Ucapan Salam Pendahulu Bicara

Friday, November 18, 2011

ulasan terhadap karya De Boer bertajuk The History of Philosophy in Islam

Pada permulaan bab dalam buku beliau ini, De Boer mendahului dengan menghurai serba ringkas kronologi sejarah bermula dari zaman keadaan Arab Jahiliyyah sehinggalah kejatuhan kerajaan Islam di tangan kerajaan Mongol pada abad ke-13. Di Selatan, arab Badwi merupakan masyarakat yang jahil dan lebih mengutamakan sifat asabiyyah atau kepuakan tanpa mengambil kira perkara yang lain, manakala di Saba pula terdapat sebuah kerajaan yang diperintah oleh seorang permaisuri. Di Barat iaitu Mekah dan Madinah (Yathrib) dikuasai oleh kafilah-kafilah dan di Utara pula 2 negara yang berdaulat telah terbina iaitu kerajaan di Parsi dan Byzantium. Setelah kedatangan Nabi Muhammad kerajaan Islam tertegak dibawah pemerintahan Khulafa’ iaitu Abu Bakr, Umar, Uthman dan Ali, dan Umara’ iaitu zaman Umayyah dan Abasiyyah sehinggalah abad ke 13 Masihi diperintah oleh khalifah-khalifah atau pemimpin-pemimpin Islam yang akhirnya telah dijatuhkan oleh Mongol. Kemudian beliau meneruskan perbincangannya dengan membuat beberapa kesimpulan penting tentang perpindahan ilmu, antaranya yang dibincangkan adalah kehadiran ilmu-ilmu dalam Islam. Beliau memberi kesimpulan bahawa banyak ilmu Islam adalah lahir dari orang-orang Parsi dan India, antaranya adalah di India merupakan asal-usul kelahiran ilmu falsafah dalam penulisan orang Arab. Melalui jalan perdagangan ilmu india dan Parsi bergabung, kemudian Arab datang melalui penguasaan wilayah lalu tersebar ilmu-ilmunya. Banyak yang diterjemahkan ilmunya sekitar pemerintahan Khalifah Mansur dan Khalifah Harun al-Rashid yang dicampurkan ilmu antara Parsi dan India yang melibatkan berbagai bidang seperti politik, etika dan berbagai lagi. Begitu juga dengan ilmu matematik dan astrologi dimasukkan ilmu dalam dunia Islam. Sebagai contohnya buku Astrology Siddhanta Brahmagupta yang diterjemah dari bahasa Sanskrit oleh Fazari di zaman Khalifah Mansur. Sesudah itu baharulah ilmu-ilmu ini dikembangkan dalam dunia Islam.

Setelah itu Boer membincangkan tentang kronologi perpindahan, penterjemahan dan penggabungan ilmu dalam berbagai tamadun bermula dari zaman Greek sehinggalah kepada Islam. Pada bab perbincangan Ilmu Greek Boer menjelaskan, bermula dari tamadun India, China dan Byzantium, mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan Parsi dari sudut perdagangan, manakala Barat sehingga ke Prancis pula hubungannya dengan orang-orang Syria adalah dari sudut pengaruh tamadun. Syria merupakan agent penyampai pengaruh dari Greek dalam berbagai bidang ketamadunan lalu menyebarkannya di sekolah-sekolah Edessa, Nisibis, Harran (Mesopatamia) dan Gondeshapur (Parsi). Dari sudut bahasa, bahasa Syria merupakan bahasa bagi gereja Parsi di timur dan barat. Manakala dalam bidang perubatan pula pandangan Hippocrates, Galen dan Aristotle mendominasi ilmu ini. Di Mesopatamia iaitu bandar Harran golongan Semitic pula menggabungkan ilmu antara matematik dan astronomi dengan pemikiran Neo-Platonic dan Neo-Pythagorean. Sementara di Parsi, Gondeshapur (Parsi) pula sebuah institusi Falsafah dan institusi perubatan sudahpun wujud sekitar abad ke-6 Masihi. Manakala dalam abad yang sama juga tujuh orang ahli falsafah dari sekolah Neo-Platonic datang ke Parsi dari Athens. Penterjemahan ke dalam bahasa Syria dari bahasa Greek telah dilakukan sejak abad ke-4 hingga abad ke-8 Masihi lagi, pada abad ke-4 penterjemahan mengenai ilmu bahasa sudah dimulakan terjemahannya ke dalam bahasa Syria. Antara mereka yang menterjemah adalah Probus (zaman Antioch), Sergius (zaman Rasain), Jacob (zaman Edessa), yang menterjemah berbagai bidang dari bahasa Greek kepada Syria. Kemudian ketika penaklukan Islam, mereka menemui tiga jenis mazhab Kristian iaitu Monophysite, Orthodox State dan Nestorian yang akan mempunyai beberapa perkaitan dalam perbincangan di bawah nanti.

Gambaran-gambaran umum di atas hanyalah serba sedikit yang diberikan oleh De Boer tentang gambaran kronologi sejarah dan perpindahan ilmu dari Greek kepada Syria dan Syria kepada Islam (Arab). Selain dari yang di atas pula De Boer menyebut bahawa orang Arab banyak terhutang budi dengan orang Syria, kerana dari mereka penterjemahan ilmu-ilmu dalam berbagai bidang berlaku. Sekitar abad ke-8 hingga ke-10 Masihi hampir kesemua penterjemahan ilmu dari Greek kepada Arab banyak dilakukan oleh orang Syria. Malah Khalid bin Yazid sendiri iaitu putera khalifah Bani Umayyah ketika itu telah menguasai ilmu Kimia dibawah bimbingan paderi Kristian (orang Syria) juga merupakan ilmu yang diterjemah dari Greek ke dalam bahasa Arab. Syair, peribahasa, huruf, surat dan segala-galanya dari dunia Greek diterjemah pada ketika itu sehinggalah zaman Khalifah Mansur yang lebih menekankan penterjemahan hanya pada ilmu alam, matematik dan logik. Selain itu juga ilmu-ilmu lain seperti Teologi, Moral, Misticisme, Fizik, Perubatan dan Falsafah juga diambil dari ilmu Syria.

Sekitar abad ke-9 pula menurut De Boer, dalam bidang perubatan, penulisan atau ilmu dari Hippocrates dan Galen merupakan antara ilmu pertama yang diterjemah sesudah Ptolemy dan Euclid. Dalam ilmu falsafah pula terjemahan Timaus dari Plato dikatakan datang dari Yuhanna atau Yahya bin Bitriq begitu juga dengan buku Aristotle bertajuk Meteorolgy, Book Of Animals, Psychology dan On The World. Abd al-Masikh bin Abdullah Naima al-Hims pula dianggap sebagai penterjemah bagi Sophistic Aristotle sebagai tambahan kepada Commentary of John Philoponus terhadap buku ‘Fizik’ atau digelar sebagai Theology of Aristotle. Qusta Ibn Luqa al-Balabakki pula dikatakan merupakan penterjemah kepada Commentaries of Alexander of Aphrodisias dan John Philoponus terhadap buku Fizik Aristotle. Selain itu juga antara penterjemah yang sangat hebat ketika itu adalah Abu Zaid Hunain Ibn Ishaq, anaknya Ishaq bin Hunain, dan sepupunya Hubaish bin al-Hasan. Aktiviti penterjemahan mereka ini adalah tersangat banyak dan aktiviti mereka ini melibatkan hampir kesemua bidang ilmu yang ada pada ketika itu. Kerja-kerja penterjemahan ini diteruskan lagi sehingga abad ke-10 Masihi. Dikalangan penterjemah-penterjemah ini ada yang juga berbeza sedikit cara mereka dari yang lain seperti Abu Bishr Matta bin Yunus al-Qannani (m. 940), Abu Zakariyya Yahya bin Adi al-Mantiqi (m. 974), Abu Ali Isa bin Ishaq bin Zura (m. 1008) dan Abu al-Khayr al-Hassan bin al-Khammar (lahir 942), iaitu murid kepada Yahya bin Adi. Mereka semua ini bukan sahaja menterjemah, memberi komentar, dan lain-lain, malah mereka mengharmonikan dalam penulisan mereka di antara falsafah dan agama. Golongan-golongan penterjemah ni tidaklah dianggap sebagai ahli falsafah tetapi mereka bekerja menterjemah ini kadang-kadang hanya kerana diarahkan oleh khalifah atau wazir mereka disamping sikap mereka yang sukakan ilmu. Perbincangan yang mendalam mengenai ilmu-ilmu yang diterjemah ini disebut oleh De Boer secara panjang lebar dalam perbahasannya mengenai ilmu dari Greek yang masuk ke dalam dunia Arab.

Mengenai falsafah Muslim pula menurut De Boer, ianya adalah satu falsafah sentiasa diteruskan dan berkesinambungan sebagai satu ilmu yang bersifat memilih dari berbagai-bagai sumber tetapi bergantung kepada jumlah bilangan terjemahan daripada Greek. Jalur laluan sejarahnya merupakan satu proses asimilasi dan bertambah baik dari generasi ke generasi. Ianya masih lagi tidak berbeza dengan falsafah yang sebelumnya, yang tampak jelas adalah sama ada pernyataan masalah yang baru atau metod yang baru dalam usaha menyelesaikan masalah. Penerimaan idea-idea Greek merupakan salah satu subjek yang menjadi daya tarikan bagi ahli falsafah Muslim. Sejarah mengenai falsafah di dalam Islam pula adalah sesuatu yang bernilai hanya kerana ianya adalah satu usaha untuk mencuba menyesuaikan hasil pemikiran Greek dahulu dengan sesuatu yang lebih bebas dan menyeluruh berbanding dengan ajaran Kristian terawal dahulu. Pengenalan dengan situasi yang dilakukan oleh falsafah Islam dapat memberikan laluan kepada kita untuk menyimpulkan (melalui alasan-alasan dan bukti analogi) seolah-olahnya inilah sebabnya penerimaan ilmu Greek-Arab ke dalam masyarakat Kristian pada Abad pertengahan menjadi sangat berkesan dan ia sedikit sebanyak mengajar kita tentang situasi falsafah yang timbul secara umum.

Pada bab yang kedua De Boer menumpukan mengenai falsafah dan ilmu dalam dunia Arab. Pertamanya beliau membincangkan mengenai ilmu ketatabahasaan (Nahwu) yang mana beliau sebenarnya lebih cenderung membincangkan mengenai dari mana asalnya pengaruh-pengaruh ilmu ini. Bahasa Arab merupakan bahasa yang sangat indah dengan mempunyai kelebihan perbendaharaan kata yang banyak walaupun sebenarnya menurut De Boer ianya hanyalah banyak perkataan yang berbentuk Sinonim sahaja. De Boer juga menjelaskan bahawa al-Quran sebenarnya tidak terlepas dari kesalahan tatabahasa (Nahwu) dan memerlukan analogi (Qiyas) dari Syair Jahili atau kata-kata Arab Badwi. Ilmu bahasa ini pula berkembang pula sehingga ke Kufah dan Basrah dan ahli bahasa di kalangan penduduk Basrah pula sebenarnya banyak terpengaruh dengan ilmu Analogi (Qiyas) dalam ilmu bahasa mereka. Ahli bahasa Basrah memang benar ianya diakui mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap metod analogi (Qiyas) dalam fenomena Nahwu manakala Kufah pula sering dilihat berbeza dengan Qiyas. Dengan itu bukan satu kebetulan bahawa Basrah adalah antara sekolah yang menjadi sumber penghasilan kepada ilmu berbentuk logikal dan merupakan tempat pengaruh pertama doktrin falsafah bermula. Ilmu bahasa ini juga menurut De Boer sebenarnya tidak terlepas dari pengaruh Logik Aristotle, bukan hanya dalam Era Muslim sahaja bahkan sebelumnya lagi iaitu ketika era Syria, Parsi yang mana mereka telah mempelajari risalah (bahasa apa tah) dengan penambahan yang dilakukan oleh Stoic dan Neo-Platonic. Ilmu Nahwu walaubagaimanapun masih lagi terbatas dan menyimpan berbagai keanehan dan kepelikan dalam bahasanya. Ianya memaksa orang untuk bersungguh meneliti dan mempelajari bagi mendapatkan kebijaksanaan dalam ilmunya.

Kemudian setelah itu De Boer mengulas pula keilmuan Islam dari sudut Ethical Teaching, De Boer menjelaskan hukum-hakam dalam Islam serta Syariat secara umum. Menurut beliau orang Islam berpegang pada beberapa sumber perundangan mengikut turutan, pertamanya berpegang dengan al-Quran iaitu Word of God. Keduanya apabila tidak terdapat penyelesaian dalam al-Quran maka Sunnah dijadikan sumber panduan pula. Sesudah Islam berkembang ke pelusuk dunia, panduan telah dipecahkan kerana keperluan yang berbeza. Maka lahirlah golongan Ahl al-Ra’y (Qiyas) yang dipelopori oleh Imam Abu Hanifah yang meletakkan Qiyas antara sumber perundangannya dan Ahl al-Hadith yang sentiasa takut melakukan sesuatu yang berbeza dengan Sunnah. Dalam pandangan De Boer ketika inilah ilmu logik diperkenalkan dalam istilah yang lain iaitu Qiyas atau Analogi. Qiyas digunakan secara meluas dalam sekolah Hanafiyyah dan kemudiannya dikembangkan kepada Syafiᶜiyyah (tidak terlalu meluas). Qiyas tidak mendapat tempat yang tinggi dalam perundangan Islam selepas al-Quran dan Sunnah. Bahkan Ijmaᶜ yang mendahului Qiyas dan Ijmaᶜ adalah sumber yang paling berpengaruh dalam perundangan Islam. Dalam persoalan fiqh pula Boer menyebut pembahagian prinsip fiqh yang lima dalam islam iaitu pertama Wajib – sesuatu yang jika dilakukan mendapat pahala tetapi jika ditinggalkan berdosa. Kemudian Sunat – iaitu sesuatu yang dilakukan mendapat pahala, jika ditinggalkan tidak berdosa. Seterusnya Harus – sesuatu yang dilakukan dan ditinggalkan tiada beza. Keempat Makruh – sesuatu yang tidak dapat diterima tetapi tidak berdosa jika dilakukan dan terakhir adalah Haram – iaitu sesuatu sangat ditegah oleh Syariah. Dalam Ethical Teaching Islam ini, Boer tidak lupa menyebut beberapa pengaruh yang berkait rapat antara Islam dengan Falsafah Greek iaitu antaranya sistem etikanya yang dipengaruhi bentuk sistem Pythagorean-Platonic (kerana tidak bercanggah dengan al-Quran dan Sunnah).

Dari sudut sistem Doktrin pula, Boer menyebut bahawa al-Quran (Islam) memberikan pada umat Islam suatu agama tetapi bukan satu sistem, satu petunjuk tapi tiada doktrin. Golongan terawal Islam hanya menerima tanpa menyoal kenapa dan bagaimana. Akan tetapi setelah Islam menakluk dunia mereka berdepan dengan berbagai persoalan agama sehingga mengubahnya menjadi agama yang bersistem dan berdoktrin, dan nampak jelas menurut De Boer sistem doktrin ini juga merupakan pengaruh dari Kristian. Contohnya di Damsyik ajaran Islam dikalangan masyarakat Muslim dipengaruhi oleh Islam Klasik dan Kristian bermazhab Monophysite manakala di Basrah dan Baghdad lebih jelas kelihatan pengaruh Kristian bermazhab Nestorian dikalangan masyarakat Islam. Kerana itu menunjukkan bahawa dua agama ini saling berhubungan antara satu sama lain. Antara isu yang dilihat terhadap pengaruh Kristian dalam Islam adalah doktrin mengenai Kebebasan Memilih (Human Free Will) yang mana sebelum Islam, Kristian sudah membincangkan terlebih dahulu mengenai doktrin ini.

Isu mengenai logik menurut De Boer dikembangkan lagi dalam ilmu Islam menjadi satu ilmu terpenting Islam iaitu antara ilmu yang terhasil dari logik adalah ilmu yang disebut sebagai Ilmu Kalam iaitu dengan gaya dialectic. Ilmu Kalam ini adalah merupakan suatu pembaharuan yang agak keras yang datang dalam dunia Islam kemudian. Ilmu ini dipelopori oleh golongan Muktazilah yang dibidᶜahkan oleh golongan fiqh dengan mengatakan ilmu yang bukan dari Islam. Kepelbagaian pemikiran yang menyeleweng ini banyak berlaku ketika zaman Abasiyyah bahkan sebahagian penguasa Islam ketika itu juga menganut fahaman Muktazilah sehingga beberapa dekad sehinggakan mereka menganiaya sebahagian ulama salaf. Isu-isu dalam ilmu kalam ini antaranya adalah doktrin mengenai ketuhanan, isu sifat Allah, bentuk dan gambaran Tuhan, kebebasan perbuatan manusia (Muktazilah dan Jabariyah), keadilan Allah dan sebagainya dan sebahagiannya menurut De Boer dilihat adalah hasil pengaruh dari Ahli Logik (Falsafah). Maka banyak isu yang bertentangan dikalangan golongan Muktazilah, Jabariyyah dengan golongan Salaf atau Khalaf. Antara tokoh yang diketengahkan De Boer secara panjang lebar adalah Abu Huzail al-Allaf dengan isu sifat Allah, kehendak Allah dan beberapa pengaruh falsafah Greek dalam pemikirannya dan juga al-Nazzam dengan teori Atomnya serta penolakannya terhadap Ijmaᶜ Ulama.

Dalam berbagai ilmu yang bercampur baur dengan ilmu-ilmu luar ini menurut De Boer, kemudiannya datang pula Ashari yang menjelaskan dengan terperinci dan menyelesaikan segala isu-isu mengenai sifat Allah dan berbagai-bagai isu selepasnya. Sungguhpun begitu menurut De Boer, Ashari bukanlah membawa doktrin yang baru bahkan tiada originality dalam ajarannya. Beliau hanya menyusun semula apa yang datang kepadanya lalu dijadikan perbahasan yang menghilangkan perselisihan. Setelah selesai isu perbahasan ini, De Boer mengungkap persoalan yang dianggapnya sangat sukar diselesaikan dalam Ilmu Kalam Islam iaitu isu mengenai Atom (Jawhar dan Aradh). Isu ini sungguhpun sebenarnya menurut Boer sudah nampak bibitnya dibincangkan oleh Muktazilah, tetapi secara jelasnya ianya adalah isu yang dipelopori oleh Ashari. Golongan Ashairah menjelaskan Jawhar dan Aradh secara terperinci dan Boer tetap mengatakan bahawa isu ini juga merupakan pengaruh dari Aristotle yang menentang golongan Atomism.

Antara isu yang disentuh oleh De Boer lagi dalam bukunya adalah mengenai isu sufisme dalam Islam pula, De Boer berpendapat bahawa aliran sufisme atau mistikisme dalam Islam merupakan aliran yang juga dipengaruhi oleh gabungan Kristian dan Indo-Parsi lalu dikembangkan dan dibangunkan semula menjadi satu aliran yang sangat masyhur dalam Islam. Boer menganggap bahawa aliran sufisme dalam Islam sebenarnya dibangkitkan semula oleh orang-orang Islam hasil cedokan dari ahli mistik Kristian dan gereja di Syria serta Mesir, malah ditambah pula pengaruhnya dari ahli mistik India, dan ajaran-ajaran mistikisme yang dibawa dalam Islam hanyalah ulangan dari mereka ini. Sebagai contohnya dalam masalah beruzlah dan latihan-latihan dalam sufisme Islam, menurut Boer sebenarnya ianya adalah pengaruh dari Yoga India. Antara perkara yang diketengahkan oleh Boer dalam Sufisme Islam adalah mengenai Cinta. Cinta itu bukanlah takut atau mengharap kepada tuhan akan tetapi ianya mengangkat jiwa manusia mendekati tuhan.

Dalam perbahasan mengenai Falsafah alam pula, Boer berpendapat bahawa pengaruh yang paling kuat dalam ilmu matematik Islam adalah daripada Pythagoras disamping sedikit elemen Greek dan India dicampurkan. Tanpa mempelajari ilmu matematik seperti Aritmetik, Geometri, Astronomi dan Muzik, seseorang tidak boleh menjadi ahli falsafah atau ahli fizik (doktor). Dalam bidang perubatan pula, prinsip-prinsip perubatan dikatakan bahawa pengumpulan mengenai ilmunya adalah sekitar zaman Khalifah Wathiq. Antara mereka yang mempeloporinya dalam Islam adalah al-Razi. Beliau merupakan seorang doktor perubatan. Beliau dilahirkan di Ray dan mempelajari ilmu matematik, perubatan dan falsafah alam dalam kebanyakan bidang ilmunya dan pemikirannya lebih menjurus kepada Logik.

Setelah itu pada bab yang keempat dan kelima, De Boer menjelaskan mengenai biografi tokoh-tokoh falsafah dari sudut sejarah hidup mereka, karya mereka dan beberapa pemikiran mereka dalam bidang falsafah. Tokoh-tokoh falsafah yang diperkenalkan dan buku De Boer adalah dari kalangan ahli falsafah Islam yang mempunyai pemikiran Neo-Platonic Aristotelian di Timur dan Barat serta al-Ghazali. Mereka adalah al-Kindi, al-Farabi, Ibnu Sina, Miskawayh, Ibn Haitham, Ibn Bajah, Ibn Tufail dan Ibnu Rushd serta sedikit mengenai Ibn Khaldun. Kesemuanya dijelaskan secara ringkas oleh De Boer dalam bukunya ini. Penulis akan membincangkan sebahagian sahaja tokoh dan sedikit pemikirannya sebagaimana yang dibincangkan oleh De Boer dalam bukunya ini. Tokoh yang pertama secara ringkasnya al-Kindi, merupakan seorang ahli falsafah yang dilahirkan di Kufah sekitar abad ke-9 Masihi. Antara pemikirannya adalah, beliau merupakan seorang ahli falsafah Matemamatik dan falsafah alam. Menurutnya mereka yang tidak mempelajari matematik bukanlah seorang ahli falsafah. Matematik diaplikasikan dalam bidang perubatan menurut teorinya. Selain itu menurut al-Kindi, alam adalah ciptaan tuhan, akan tetapi pengaruh tuhan itu disebar melalui berbagai perantara makhluk. Jiwa manusia pula menurut beliau adalah sesuatu yang hidup sendiri, bukan satu campuran atau sebatian, dan ianya unsur yang tidak kekal, diturunkan dari dunia akal kepada dunia deria dan ianya sentiasa menderita dengan keinginan. Hanya dunia akal sahajalah kestabilannya tercapai. Teori pengetahuannya pula terbahagi kepada dua iaitu sama ada pengetahuan itu diperoleh dari akal, atau dari pancaindera. Dari sini lah timbulnya teori-teori ᶜAql dalam falsafah Islam. Ramai yang menganggap bahawa beliau banyak dipengaruhi Aristotle dalam penulisannya.

Al-Farabi pula menurut De Boer, adalah seorang ahli falsafah yang mengambil jalan sufi sebagai teman hidupnya. Beliau lahir di Wasidj iaitu sebuah daerah kecil Farab di Turkish Transoxiana. Beliau menuntut ilmu sebahagian besarnya dari Yuhanna ibn Hailan. Beliau merupakan seorang ahli matematik yang membentuk persamaan Trivium dan Quadrivium. Antara penulisannya adalah mengenai ilmu Muzik yang mempraktikkan ilmu matematiknya. Sebahagian pandangan mengatakan bahawa beliau memahami sekitar 70 bahasa dunia pada ketika hayatnya. Al-Farabi juga dikatakan merupaka seorang doktor tetapi tidak pernah dilihat mempraktikkan ilmunya itu. Banyak pengaruh dari ilmunya adalah datang dari pemikiran Aristotle. Beliau melakukan begitu banyak usaha dalam mengharmonikan antara pemikiran Aristotle dan Plato walaupun kelihatan agak sukar. Antara isu yang diketengahkan oleh al-Farabi dalam buku De Boer ini adalah mengenai ketuhanan, ilmu Logik, kekuatan jiwa manusia serta tingkatan-tingkatannya, Jiwa dan akal, Etika dan politik al-Farabi, dan juga pemikiran akhlaknya. Kesemuanya memerlukan penghuraian yang panjang dalam menjelaskan satu persatu isunya.

Miskawayh pula menurut De Boer adalah seorang tokoh falsafah, sejarawan, doktor dan hidup sekitar abad ke-10 Masihi. Beliau merupakan seorang sahabat kepada sultan Adudaddaula dan beliau wafat sekitar tahun 1030 Masihi. Antara falsafah yang ditinggalkan kepada kita adalah falsafah mengenai akhlak yang mana ianya menurut De Boer adalah kombinasi daripada Plato, Aristotle, Galen dan Syariah Islam. Antara isu yang dibincangkan oleh Miskawayh dalam penulisan De Boer ini adalah mengenai jiwa manusia. Jiwa manusia menurut beliau adalah sesuatu yang ringkas, bukan jasad, wujud, mengetahui dan bekerja. Jiwa manusia ini berbeza dengan jiwa binatang kerana dikurniakan akal padanya. Jiwa manusia sebahagiannya lahir dalam keadaan baik dan sebahagiannya sederhana dan berusaha untuk mencapai kebaikan, dan sebahagian lagi adalah buruk dan selamanya tidak akan menjadi baik. Untuk mencapai kebahagiaan maka jiwa manusia perlu menjadi baik. Manusia pula akan baik dan gembira sekiranya dia bertindak sebagai manusia dan kebaikan merupakan kejayaan bagi manusia. Manusia pula dibahagi tingkatannya mengikut tingkatan kebaikan dirinya. Selain itu juga menurut De Boer, Miskawayh juga membincangkan mengenai apa itu kebaikan. Menurutnya, kebaikan adalah sama ada ianya kebaik secara umum atau secara khusus, dan di sana juga terdapat kebaikan yang mutlak yang mana ianya adalah Jiwa yang tertinggi dan pengetahuan yang tertinggi. Undang-undang Syariah pula difahami sebagai sesuatu yang unggul dan ianya mestilah sesuatu yang selaras dengan Etika amalan. Agama merupakan satu latihan moral bagi manusia. Itu adalah antara pemikiran Miskawayh yang dibincangkan oleh De Boer dalam bukunya.

Ibnu Sina pula, menurut De Boer, merupakan seorang ahli falsafah yang dilahirkan pada 980 Masihi di Efshene. Beliau mempelajari ilmu falsafah dan perubatan di Bokhara dan ketika umurnya 17 tahun beliau sudah mula mengubati penyakit pemerintah ketika itu, Nukh bin Mansur, lalu diberi kebenaran untuk menggunakan perpustakaannya. Pemikiran Ibn Sina pula menurut De Boer juga lebih menjurus kepada Aristotelianism melebihi al-Farabi. Beliau merupakan tokoh falsafah terkemuka di Timur dan seluruh dunia dan kitab terpenting beliau yang menjadi rujukan seluruh dunia adalah Qanun Fi al-Tibb atau digelar sebagai Encyclopaedia of Philosophy. Antara pemikiran Ibn Sina yang disebut De Boer adalah, menurut Ibn Sina Falsafah terbahagi kepada tiga iaitu logik, fizik dan metafizik yang mana ketiga-tiga ini merangkul keseluruhan ilmu tentang kewujudan di dunia dan juga prinsip bagi keseluruhan pecahan ilmu. Setiap kewujudan pula adalah sama ada ianya rohani atau jasmani. Rohani merupakan subjek bagi metafizik manakan jasmani merupakan subjek bagi fizik. Ibnu Sina juga membahagikan manusia kepada dua (Dualistik) iaitu Jiwa dan Jasad berbanding beberapa ahli falsafah yang lain. Jiwa dan Jasad pula menurutnya adalah sesuatu yang sangat berbeza dan tidak mempunyai hubungan yang dalam antara satu sama lain.

Setelah Ibn Sina, tokoh yang dibahas secara agak terperinci oleh De Boer adalah al-Ghazali. Beliau merupakan seorang ulama Kalam, seorang Sufi, seorang ahli falsafah Pythagorean dan juga seorang Neo-Platonic Aristotelianism. Beliau dilahirkan di Tus pada 1059 dan mempelajari ilmu teologi di Naisabur dengan Imam Haramyn. Kemudian beliau juga pernah memegang jawatan terpenting dalam pemerintahan ketika zamannya dan beliau merupakan seorang Profesor di Baghdad. Antara yang di fokuskan oleh De Boer tentang pemikirannya adalah penentangannya mengenai isu metafizik yang dilakukan oleh ahli falsafah sebelumnya, dan beliau menggunakan senjata yang sama dalam berhujah iaitu Logik Aristotelianisme. Antara isunya adalah penentangan al-Ghazali terhadap Ibn Sina mengenai alam ini Qadim (infinite) dari sudut jangka masa. Keduanya pula isu mengenai idea tentang tuhan yang mana ahli falsafah sebelum al-Ghazali menyebut bahawa alam ini (keseluruhan makhluk) terhasil dari proses emanasi (limpahan) dari tuhan. Maka al-Ghazali menentangnya dengan hujah yang dikemukakan secara terperinci. Selain dari penentangan al-Ghazali terhadap isu falsafah, De Boer juga menyebut tentang pandangan al-Ghazali mengenai cara bagaimana pengetahuan dan keyakinan dapat diperoleh iaitu pertama, ilmu pengetahuan yang secara umum diketahui oleh ramai orang contohnya, “semua orang tahu bahawa ada orang dalam rumah itu…”. Kedua keyakinan dan ilmu yang didapati dari pembelajaran dan diberi melalui ilham, contohnya “aku dengar ni dari seseorang bahawa ada orang dalam rumah itu…”. Ketiga pula keyakinan yang secara pantas didapati sebagai contohnya, “aku masuk dalam rumah tu dan jelas nampak seseorang dalam rumah itu…”.

Ahli falsafah di Barat pula antara yang disentuh oleh Boer adalah Ibn Tufail yang hidup sekitar abad ke-11 hingga ke-12 Masihi. Beliau juga merupakan seorang ulama dan ahli falsafah yang masyhur dan beliau juga pernah memegang jawatan sebagai setiausaha bagi kerajaan Islam di Granada. Beliau juga antara tokoh falsafah yang cuba mengharmonikan ajaran Islam dengan falsafah melalui penulisan-penulisannya. Dalam buku De Boer ini beliau sebenarnya lebih menumpukan pada karya falsafah Ibn Tufail yang sangat terkenal dikalangan masyarakat sehingga ke hari ini iaitu bertajuk Hayy ibn Yaqzan. Hayy ibn Yaqzan secara ringkasnya merupakan sebuah karya yang mengisahkan mengenai bagaimana manusia boleh menerima satu-satu ilmu atau pengetahuan atau secara khususnya untuk mengenali Tuhan sekalipun tanpa wahyu dari Allah s.w.t dan hanya melalui akal sahaja. Menurut De Boer sebenarnya karya ini dilihat cuba mengharmonikan di antara falsafah dan agama dengan menggunakan metodologi penceritaan kepada masyarakat supaya mudah difahami. Dalam kisah Hayy ini, beliau melalui 7 peringkat kehidupan bermula dari kecil hinggalah ke dewasa dan De Boer berpendapat bahawa kisah yang dibawa oleh Ibn Tufail dalam cerita Hayy ini tidak lari dari pengaruh unsur kesufian sebagaimana yang diterapkan juga oleh ahli falsafah di Timur seperti Farabi. Dan Hayy pula membentuk dan membangunkan dirinya dalam 7 peringkat kehidupannya dengan dipenuhi sistem etika yang seolahnya mempamerkan unsur falsafah Pythagorean iaitu untuk mencari tuhannya.


KESIMPULAN

Dalam karya De Boer ini sekitar halaman-halaman terawal dalam bukunya hanya menceritakan kronologi sejarah Islam bermula dari sebelum kedatangan Nabi Muhammad sehinggalah kejatuhan kerajaan Islam di tangan raja Mongol. Kemudian setelah itu De Boer mengupas satu persatu mengenai isu ilmu dalam islam bermula dari penterjemahan ilmu oleh orang Syria, Parsi dan India, seterusnya turun ke dalam dunia Arab pada sekitar abad ke-8 sehingga ke-10 Masihi. Sesudah itu beliau membincangkan secara terperinci ilmu-ilmu yang terpecah dalam Islam dan mengupas mengenai beberapa ilmu utama iaitu ilmu Nahwu, Fiqh, Doktrin dalam ajaran Islam dan beberapa kupasan yang sedikit mengenai sejarah dan penulisan. Pada bab-bab terakhir dalam buku ini pula De Boer mengupas satu-satu persatu biografi tokoh-tokoh falsafah Islam yang terkenal bermula dari al-Kindi, al-Farabi sehinggalah kepada Ibn Khaldun beserta dengan sumbangan dan peranan mereka terhadap dunia keilmuan sama ada di timur dan barat seperti sumbangan mereka dalam bidang matematik, metafizik dan fizik. Beliau juga menyentuh sedikit sebanyak mengenai isu-isu pro dan kontra dikalangan ahli falsafah ini tetapi tidak begitu mendalam. Dari pandangan penulis, apa yang dilihat dari karya Boer ini pertamanya beliau ingin mengkaji dan menjelaskan kepada para pembaca mengenai pengaruh-pengaruh ilmu yang datang ke dalam Islam sehingga membuat kesimpulan bahawa sebenarnya falsafah dalam Islam hanyalah satu susunan ilmu, bukan satu pembaharuan ilmu. Keduanya beliau ingin melihat pro dan kontra antara beberapa tokoh falsafah Islam lalu menjelaskannya disamping ulasan beliau sedikit sebanyak mengenai isu falsafah yang wujud dalam islam. Ketiganya beliau ingin mengaitkan pengaruh di kalangan ahli falsafah sama ada ianya dari Greek atau dari sumber-sumber yang lain seperti india dan sebagainya, disamping ada juga beliau menerangkan pengaruh sistem Kristian dalam sistem doktrin Islam. Kerana itu, beliau telah menghasilkan karya ini yang bertajuk The History of Philosophy in Islam.

No comments:

Post a Comment