BAB 3
AJARAN-AJARAN DALAM FAHAMAN SYIAH DARI SUDUT AKIDAH
3.1 Khilafah Adalah Pemilihan Dari Allah Bukan Syura
Sebelum dibawa pandangan golongan Syiah tentang konsep Khalifah dalam Islam, penulis membawa pandangan tentang metodologi Khalifah dalam Islam menurut perspektif Sunni. Dalam metodologi pemilihan Khalifah, Islam menggunakan 3 cara iaitu: Bai’ah, Istikhlaf dan rampasan kuasa (Abdul Rahim al-Dahlawi 1995: 271). Ketiga-tiga cara ini adalah disepakati oleh Islam dalam penentuan untuk memilih Khalifah. Apabila telah terpilih melalui tiga cara ini, rakyat perlu taat kepada pemerintahan tersebut. Bagi Syiah, mereka menambah satu lagi cara pemilihan iaitu melalui nas. Melalui cara nas ini ada sebahagian ulama Ahli Sunah yang menyokong pandangan ini, antara mereka adalah Ibn Hazm, Hasan al-Basri dan Ahmad bin Hanbal (Ibn Taimiyyah 1322: 35). Tetapi Syiah menggunakan cara ini untuk mempertahankan pandangannya bahawa Ali adalah pemilihan dari Allah.
Mengenai perlantikan khalifah secara nas ini juga disentuh oleh pemimpin Syiah iaitu Syeikh Muhamad Redha dalam kitabnya Aqaid Imamiyyah (al-Muzaffar 1961: 78) :
نعتقد أن الإمامة كالنبوة لا تكون إلا بالنص من الله تعالى على لسان الإمان المنصوب بالنص إذا أراد أن ينص على الإمام من بعده، وحكمها في ذلك حكم النبوة بلا فرق، فليس للناس أن يتحكموا فيمن يعينه الله هاديا ومرشدا لعامة البشر، كما ليس لهم حق تعيينه أو ترشيحه أو انتخابه. لأن الشخص الذي له من نفسه القدسية استعدادا لتحمل أعباء الإمامة العامة وهداية البشر قاطبة يجب ألا يعرف إلا بتعرف الله ولا يعين إلا بتعيينه
Kami beriktiqad bahawa imam-imam seperti Nabi, tidak berlaku melainkan apa yang didatangkan oleh nas daripada Allah s.w.t atau lisan Rasul atau lisan imam yang dilantik secara nas apabila ia hendak menentukan imam selepasnya. Hukum imamah sama seperti nabi, tiada perbezaan. Orang ramai tidak boleh membuat hukum lain terhadap orang yang telah ditentukan oleh Allah sebagaimana mereka tidak mempunyai hak penentuan, pencalonan dan pemilihan kerana orang yang telah dilantik, telah mempunyai persediaan yang cukup untuk menanggung bebanan imam dan memimpin masyarakat yang sudah pasti tidak boleh diketahui kecuali dengan ketentuan Allah.
Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) pula, bagi pengikut Ahlul Bait (Syiah) mereka sentiasa berpegang kuat dalam hati bahawa konsep khilafah dalam pemerintahan Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w adalah konsepnya melalui pemilihan Allah yang dinaqalkan oleh Nabi s.a.w. Bagi mereka tiada konsep Syura dalam pemerintahan Islam. Menurut mereka lagi Syura yang digunakan dalam pemilihan Saidina Abu Bakar r.a setelah kewafatan Nabi adalah tidak sah. Malah ianya bersalahan dengan konsep Syura yang selalu disebut Sunni dalam agama Islam. Mereka juga menentang pemilihan Saidina Umar r.a dan Uthman r.a dengan mengatakan bahawa kedua mereka ini dipilih bukan melalui pemilihan Syura, malah ianya ditentukan oleh Khalifah sebelumnya sehingga saidina Ali r.a terpaksa mendiamkan diri demi menjaga kemaslahatan umat dari berpecah pada ketika itu.
Pegangan mereka (Syiah) juga Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) lagi, meletakkan Saidina Ali r.a adalah sepatutnya pemerintah Islam yang pertama selepas kewafatan Nabi kerana berasaskan pemahaman dari sabda Nabi s.a.w di dalam khutbah haji wida’ atau wada’ iaitu khutbah terakhir Nabi s.a.w pada ketika itu yang mengangkat saidina Ali r.a sebagai walinya iaitu pada 10 Hijrah (Nabi wafat pada 11 Hijrah). Mereka memahami maksud wali pada khutbah Nabi s.a.w tersebut adalah sebagai pengganti Nabi selepas kewafatan beliau. Mereka menentang keras terhadap penafsiran atau pemahaman terhadap kalimah مولى dalam khutbah Nabi s.a.w tersebut kepada makna selain dari pengganti atau khilafah selepas kewafatan beliau. Khutbah Nabi s.a.w pada ketika ini adalah dianggap oleh pengikut Syiah sebagai peristiwa Ghadeer Khum yang mana peristiwa khutbah ini berlaku di sebuah tempat bernama Ghadeer Khum. Pada ketika ini, setelah selesai jemaah haji yang ada pada ketika, Nabi s.a.w mengarahkan jemaah haji supaya berhenti dahulu kerana beliau mahu menyampaikan satu khutbah yang penting. Nabi mengumpulkan umat Islam seramai 120 ribu orang dan menahan mereka dari pergi dahulu sebelum mendengar khutbah baginda. Di tengah panas yang terik Nabi memberi khutbah, antara khutbah beliau yang mengangkat saidina Ali sebagai مولى baginda adalah dengan Nabi mengangkat tangan saidina Ali r.a sambil berkata (al-Kulaini 1992: 355):
من كنت مولاه فعلي مولاه
“Siapa yang menjadikan aku maulanya (pelindung), maka ali adalah maulanya”
Kamil Zuhari (2010: Temu Bual, 25 November) mengatakan bahawa, Pemahaman isi kandungan maksud Nabi s.a.w terhadap ayat ini menurut pandangan Syiah adalah dengan maksud pengganti beliau sebagai Khalifah. Tetapi menurut ulama Ahli Sunah adalah مولى tersebut bermaksud sahabat sahaja. Golongan Syiah beralasan bahawa adakah logik pada akal manusia yang mana ketika peristiwa tersebut berlaku, Nabi s.a.w mengumpulkan 120 ribu orang jemaah haji yang sudah bergegas mahu pulang ke tempat masing-masing yang mana sebahagiannya mahu ke Syam, sebahagian lain mahu ke Iraq dan sebagainya, hanyalah semata-mata mahu mengatakan bahawa Ali r.a adalah مولى dengan maksud sahabat baginda sahaja. Malah hadith ini juga adalah banyak diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah sendiri tanpa khilaf. Maka masalah berlaku atau tidak berlakunya peristiwa ini tidak timbul kerana tiada khilaf antara Sunni dan Syiah tentang peristiwa yang disebut dalam hadith.
Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) lagi, Sunni berpegang bahawa sebelum kewafatan Rasulullah s.a.w, baginda tidak pernah mewasiatkan bahawa takhta khalifah itu adalah terletak pada orang-orang yang dipilih atau tertentu. Tetapi bagi Syiah mereka berpegang bahawa banyak hadith selain dari peristiwa Ghadeer Khum tadi yang meletakkan bahawa Ali r.a adalah sebagai pengganti baginda yang sebenar yang telah dipilih oleh Allah dan disampaikan oleh Nabi s.a.w, bukan dipilih oleh Nabi s.a.w. Sekiranya Nabi tidak menyampaikan apa yang telah disuruh oleh Allah, maka bermaksud risalah yang sebelum ini juga tidak disampaikan oleh Nabi s.a.w. Maka apa yang disampaikan oleh Nabi terhadap peristiwa Ghadeer ini juga adalah sesuatu yang disampaikan oleh Allah melalui Rasulnya tanpa ada perselindungan. Nabi disuruh menyampaikan sahaja, bukan melantik Ali r.a sebagai khalifah kerana perlantikan Ali boleh ditetapkan oleh Allah sahaja.
Hujah golongan Syiah lagi menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), ialah tentang perlantikan Abu bakar, Umar dan Uthman r.a. Menurut Syiah, Sunni berpendapat bahawa setelah kewafatan Rasulullah, beliau tidak mewasiatkan apa-apa atau kepada siapa-siapa pun tentang masalah khalifah. Maka Syura adalah satu pemilihan khalifah yang paling perlu digunakan kerana terdapat dalil dari al-Quran dan hadith padanya. Tetapi menurut beliau, golongan Syiah berpendapat, Sunni menggunakan sistem pemilihan demokrasi, jika begitu Abu Bakar r.a tidak benarlah perlantikannya mengikut apa yang telah ditetapkan, malah perlantikan Umar r.a dan Uthman r.a adalah tidak sah kerana dalam pandangan Syiah, Umar r.a telah dilantik oleh Abu Bakar r.a dan Uthman telah dilantik oleh Umar r.a. Perlantikan Abu Bakar pula tidak sah adalah kerana ianya bukan demokrasi kerana demokrasi adalah suara rakyat yang paling ramai sedangkan pada ketika itu, Abu Bakar r.a dipilih hanya oleh sebilangan sahabat besar yang lain.
Syiah juga menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), berhujah menggunakan dalil al-Quran yang disebut dalam khutbah haji terakhir tersebut bahawa apa yang dimaksudkan oleh Allah pada ketika itu adalah perlantikan saidina Ali r.a sebagai khalifah. Ayat tersebut adalah:
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الإسْلامَ دِينًا فَمَنِ اضْطُرَّ فِي مَخْمَصَةٍ غَيْرَ مُتَجَانِفٍ لإثْمٍ فَإِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Menurut pandangan Syiah lagi, disebut oleh Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November), kesempurnaan agama yang telah disebutkan oleh Allah pada ketika itu adalah kesempurnaan keseluruhan agama Islam dengan melantik Ali r.a sebagai khalifah yang pertama selepas Rasulullah s.a.w. Maka apabila Rasulullah telah wafat maka kesemuanya telah tersedia dengan kesempurnaan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.
3.2 Mazhab Dalam Syiah
Mazhab Syiah yang wujud disekitar Selangor antaranya adalah Syiah Tayyibi Bohra (Dawood Bohra) Kumpulan ini berasal dari India dan di Malaysia dikenali sebagai golongan yang memiliki kedai Bombay. Kumpulan yang berpusat di sekitar daerah Klang ini mempunyai tanah perkuburan dan masjid sendiri dengan jumlah pengikut dianggarkan 200 hingga 400 orang, Syiah Ismailiah. Kumpulan ini dikenali dengan nama kedai Perbhai yang bergerak di Lembah Klang. Bilangan pengikutnya lebih kecil dari kelompok Bohra. Syiah Jafariyah atau dikenali juga dengan Imamiah Ithna Asyariah. Kumpulan ini dipercayai mula bertapak di Malaysia pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman ini menular melalui bahan bacaan dan individu seperti pensyarah Institusi Pengajian Tinggi. Beberapa buku utama Syiah telah dijadikan rujukan dan telah diterjemah dalam Bahasa Melayu. Pengikut kumpulan ini dianggarkan 300 hingga 500 orang. Maklumat ini adalah berdasarkan kepada Laporan yang dikemukakan kepada Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) Negeri Selangor (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor).
Pandangan di atas adalah berbeza dengan pandangan dari penganut Syiah itu sendiri. Menurut seorang responden yang hanya mahu dikenali dengan panggilan Aji sahaja berpendapat bahawa dalam Syiah sebenarnya tidak wujud mazhab (2010: Temu bual, 25 November). Menurut Kamil Zuhairi juga begitu (2010: Temu bual, 25 November), Syiah sebenarnya tidak wujud mazhab dalam ajarannya. Akan tetapi ada sebahagian golongan Syiah yang terkeluar atau berpecah dari kalangan Syiah yang disebut sebagai Ahlul Bait. Antara Syiah yang wujud adalah Syiah Ismaili dan lain-lain. Menurut Kamil Zuhari lagi dalam membuktikan hujahnya, Syiah ini ada bermacam jenis ragam dan pandangan. Apa yang jelas Syiah ini hanyalah satu mazhab sahaja, mereka itulah yang disebut sebagai Ahlul Bait. Syiah yang lain adalah sebenarnya menyeleweng dari ajaran Syiah sebenar. Ada sebahagiannya berpendapat bahawa Ali r.a adalah tuhan. Syiah ini memang jelas terkeluar langsung dari mazhab Ahlul Bait yang sebenar. Malah Ahlul Bait sendiri menganggap mereka yang mengatakan Ali r.a adalah tuhan, maka mereka adalah golongan kafir yang bukan dari kalangan Syiah.
Mereka yang menganggap Ali r.a sebagai imam atau khalifah pengganti Rasulullah s.a.w, adalah Ahlul Bait yang sebenar. Malah jika mereka berpegang dengan mazhab Syiah yang sebenar, Ali r.a itu juga tidak sampai apatah lagi menyamai dengan taraf Rasulullah s.a.w itu sendiri, maka Syiah yang sebenar adalah Syiah yang berpegang dengan pandangan ini. Syiah yang selain dari pandangan ini adalah Syiah yang menyeleweng dari mazhab Ahlul Bait sebenar. Malah mereka juga dianggap kafir oleh golongan yang bermazhab Syiah yang sebenar iaitu Ahlul Bait. Mereka yang mengatakan bahawa taraf Ali r.a lebih tinggi sedikit dari Rasulullah juga sebenarnya adalah sudah sesat dalam pemikiran dan pandangannya. Mereka ini semua digelar atau diistilahkan oleh Ahlul Bait sebagai Ghulat, iaitu bermaksud golongan pelampau dari kalangan Syiah sendiri, pandangan ini telah diberikan oleh Kamil Zuhairi selaku penganut fahaman Syiah Ahlul Bait (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November).
Sebagai contoh yang lain pula menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November), antara mazhab Syiah yang menyimpang adalah seperti Syiah Ismaili dan Syiah Bohra. Syiah Ismaili ini juga menyeleweng dari ajaran Syiah yang sebenar kerana bagi Syiah Ismaili, mazhabnya tidak cukup imamah atau kepimpinan dari 12 imam yang disebut oleh Nabi tersebut. Syiah yang sebanar adalah Syiah dari kalangan orang yang berpegang terhadap kepimpinan 12 imam (sila rujuk lampiran) yang telah ditetapkan tersebut iaitu dari kalangan keluarga Rasulullah s.a.w sendiri. Mereka yang tidak cukup imamah bukanlah dari kalangan Syiah Ahlul Bait dan mereka terkeluar dari mazhab Syiah yang sebenar. Kepimpinan atau imamah bagi 12 imam ini adalah datangnya dari hadith Nabi yang telah disebut dalam banyak kitab-kitab Syiah dan sebahagian dalam kitab Sunni. Maka mereka yang mengurangi imamah dari kalangan 12 imam ini, mereka adalah tidak mengikuti apa yang telah disebut oleh Nabi s.a.w iaitu bermaksud:
Dari Aun bin Abi Juhaifah dari ayahnya berkata; “Saat itu aku bersama bapa saudaraku di tempat Nabi s.a.w, lalu beliau bersabda; “senantiasa umatku dalam perkara kebaikan selama ada 12 orang khalifah”. Lalu beliau s.a.w menyampaikan kalimah yang samar dan aku berkata pada bapa saudaraku, “apa yang disabdakan wahai bapa saudaraku? Dia menjawab; “Wahai anakku Rasulullah bersabda; “Semuanya dari Quraisy”.( al-Naisaburi 1986: 618)
Kesemua imam dalam Syiah adalah dari kalangan Quraisy iaitu dari keturunan keluarga Nabi sendiri, dan imam selain dari saidina Ali r.a (Sepupu Nabi dan suami Fatimah) dari Hasan bin Ali r.a hingga yang terakhir mereka iaitu Imam Mahdi adalah dari keturunan Fatimah al-Zahra r.a (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November).
Perumpamaan yang diberi Kamil Zuhairi bagi Syiah ini dalam bahasa mudahnya adalah sebegini. Seorang guru atau syeikh, mempunyai ramai anak murid. Maka Syiah pada zaman Nabi dahulu juga begitu, mempunyai ramai anak murid atau pengikut. Maka dikalangan anak murid tersebut, ada sebahagian mereka yang menyimpang dan tersasar laluannya dalam menuruti Syiah yang sebenar. Tapi ada juga anak muridnya yang berpegang teguh terhadap apa yang diturunkan oleh gurunya. Maka mereka inilah yang berpegang dan menyimpan khazanah gurunya kepada susur galur yang beul untuk disampai kepada pengikut Syiah yang seterusnya.
Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November), Syiah berpendapat, dalam al-Quran, golongan yang mengikut laluan susur galur yang sebenar tanpa menyimpang ini disebut sebagai Ahlul Bait. Mereka adalah Syiah yang berpegang dengan apa yang disampaikan dan tidak menyeleweng atau berhenti di mana-mana imam, atau mengakui Ali r.a sebagai tuhan dan sebagainya. Mereka inilah yang digelar sebagai Ahlul Bait yang sebenar. Bukan semua pengikut Syiah (termasuk yang menyimpang) adalah digelar sebagai Ahlul Bait kerana mereka ini telah menyeleweng dan terkeluar dari Syiah yang sebenar. Maka khazanah Rasulullah ini akan disimpan oleh satu golongan yang digelar sebagai Ahlul Bait. Ahlul Bait yang dimaksudkan dalam ini adalah bukan keluarga atau kaum kerabat Nabi sahaja, kerana jika mahu dikira kaum kerabat atau keluarga Nabi s.a.w, Abu Jahal dan Abu Lahab juga adalah keluarga dari keluarga Nabi s.a.w. Malah mereka ini juga bukan keluarga yang jauh dari Nabi s.a.w. Mereka adalah bapa saudara Nabi s.a.w sendiri. Ahlul Bait adalah satu istilah yang khusus atau Syiah sebut sebagai عترة. Dalam hadith Nabi juga ada menyebut:
حدثنا نصر بن عبد الرحمن الكوفي حدثنا زيد بن الحسن هو الأنماطي عن جعفر بن محمد عن أبيه عن جابر بن عبد الله قال : رأيت رسول الله صلى الله عليه وسلم في حجته يوم عرفة وهو على ناقته القصواء يخطب فسمعته يقول يا أيها الناس إني قد تركت فيكم ما إن أخذتم به لن تضلوا كتاب الله وعترتي أهل بيتي
“Aku tinggalkan dua perkara yang bernilai bagi kamu, iaitu Kitab Allah dan Ahlul Baitku”
Maka kedua perkara ini tidak boleh dipisahkan antara keduanya. Jika berpegang pada al-Quran sahaja maka akan hanyut dan rosak. Mereka yang akan menafsirkan al-Quran adalah mereka yang disebut sebagai Ahlul Bait. Ahlul Bait adalah golongan yang istimewa yang disucikan oleh Allah ke atas mereka. Ahlul Bait yang dimaksudkan Syiah ini juga sering disebut dalam khutbah jumaat iaitu:
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيراً
Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu Dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "AhlulBait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)
3.3 Imam-Imam Dalam Mazhab Syiah Adalah Maksum
Dalam pegangan Syiah, Imam mereka yang 12 orang yang akan disebutkan penulis dibawah nanti adalah maksum. Kemaksuman para Imam ini adalah sama dengan kemaksuman Nabi s.a.w yang mana mereka terpelihara dari sebarang dosa kecil mahupun besar yang boleh mencacatkan kemaksuman mereka. Bagi golongan Syiah, mereka mempunyai 14 orang yang maksum iaitu 12 orang imam mereka, Fatimah al-Zahra dan Nabi s.a.w.
Pandangan mereka tentang Imam mereka yang 12 orang itu adalah maksum termasuk Rasulullah dan Fatimah al-Zahra dapat dibuktikan dalam kitab karangan Muhamad Jawad dan Muhammad Redha. Kemaksuman Imam mereka ini adalah dengan maksud suci dari sebarang dosa sama ada dosa kecil mahupun besar. Dakwaan tentang kemaksuman para imam ini tercatat dalam beberapa buah kitab Syiah lain antaranya adalah Awail al-Maqalat yang mana isinya dipetik oleh Muhammad al-Jawad dalam kitabnya Syiah fi al-Mizan (Muhammad Jawad 1979: 38):
العصمة قوة تمنع صاحبها من الوقوع في المعصية والخطأ، حيث لا يترك واجباً، ولا يفعل محرَّماً مع قدرته على الترك والفعل، وإلاّ لم يستحق مدحاً ولا ثواباً، وإن شئت قلت: إنّ المعصوم قد بلغ من التقوى حدّاً لا تتغلَّب عليه الشهوات والأهواء، وبلغ من العلم في الشريعة وأحكامها مرتبةً لا يخطأ معها أبداً...
Maksum adalah satu kekuatan yang menghalang tuannya dari melakukan maksiat dan kesalahan dimana ia tidak boleh meninggalkan yang wajib dan melakukan yang haram sekalipun mampu berbuat demikian. Jika tidak bersifat dengan yang demikian nescaya ia tidak berhak mendapat pujian dan balasan. Dengan kata lain, maksum itu ialah mencapai had ketaqwaan yang tidak boleh dicapai oleh syahwat dan nafsu dan telah mencapai ilmu syariat sehingga ke maratabat tidak melakukan kesalahn sama sekali. Syiah Imamiyah mensyaratkan dengan makna tersebut kepada imam-imam secara sempurna sebagaimana yang disyaratkan kepada wali. Berkata Syeikh Mufid dalam Awail Maqalat, bab perbincangan mengenai imam-imam itu maksum. Imam-imam memiliki sifat-sifat maksum sama dengan makam nabi dalam melaksanakan hukum-hukum dan menegakkan hudud dan memelihara syariat serta mendidik masyarakat. Mereka itu maksum sepertimana Nabi yang bersifat maksum yang tidak harus melakukan dosa besar dan kecil dan tidak harus bersifat lupa terhadap sesuatu berhubung agama bahkan tidak lupa sesuatu tentang hokum. Sifat ini wujud dalam mazhab Syiah Imamiah kecuali sedikit sahaja yang bersifat ganjil daripada mereka.
Dalam kitab Aqaid Imamiah karangan Syeikh Muhamad Redha al-Muzafar juga ada menyebut (al-Muzaffar 1961: 72):
ونعتقد أن الامام كالنبي يجب أن يكون معصوما من جميع الرذائل والفواحش ما ظهر منها وما بطن من سن الطفولة إلى الموت عمدا وسهوا،كما يجب أن يكون معصوما من السهو والخطأوالنسيان لأن الائمةحفظة الشرع،القوامون عليه، حالهم في ذلك حال النبي والدليل الذي اقتضانا أن نعتقد بعصمة الأنبياء هو نفسه يقتضينا أن نعتقد بعصمة الائمة بلا فرق
Kami mempercayai bahawa imam-imam itu seperti Nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara dari sifat-sifat yang keji dan buruk yang nyata dan tersembunyi, sejak kecil hinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimanam mereka terpelihara dari sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Kerana imam-imam adalah pemelihara syariat dan orang yang menegakkan hokum Syariat. Keadaan mereka seperti Nabi. Bukti yang mendorong kami berpegang bahawa Imam itu maksum adalah dalil yang mengatakan Nabi itu maksum. Tiada perbezaan antaranya.
Senarai imam mereka sebenarnya boleh didapati di mana-mana buku atau laman web di internet. Akan tetapi sengaja penulis bawakan kerana kisah disebalik imam-imam ini mahu penulis cungkilkan menurut pandangan Syiah. Walaupun tidak seberapa banyak kisah yang dapat beliau ceritakan, akan tetapi sedikit sebanyak ada ilmu yang sebelum ini mungkin belum kita ketahui menurut pandangan kacamata Syiah. Walaupun hakikatnya imam-imam ini bukanlah dari kalangan Syiah sebenarnya, kerana imam-imam ini adalah antara imam-imam yang warak dan alim di sisi Ahli Sunnah. Akan tetapi golongan Syiah sahaja yang mengakui bahawa mereka ini imam mereka dan bermazhab mereka. Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 November) dan Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari), imam-imam mereka adalah:
1. Imam Saidina Ali r.a
Saidina Ali r.a adalah seorang sahabat Nabi s.a.w. Menurut pandangan Syiah (Ahlul Bait), Saidina Ali r.a adalah pengganti Rasulullah s.a.w sebagai khalifah pertama setelah kewafatan baginda berasaskan dari hadith tentang peristiwa Ghadeer Khum yang telah diterangkan di atas tadi. Akan tetapi kuasa Saidina Ali iaitu khazanah Ahlul Bait telah dirampas oleh Abu Bakar r.a yang menjadi khalifah pertama setelah kewafatan Nabi s.a.w. Ada sebahagian Syiah yang telah menyeleweng mendakwa bahawa Ali adalah Tuhan. Ini jelas telah berpegang dengan iktiqad atau akidah Yahudi dan Nasrani dan golongan Syiah Ahlul Bait juga mengkafirkan mereka. Ada sebahagian yang lain mendakwa Ali r.a adalah nabi. Tetapi ini juga ditentang oleh golongan Syiah sebenar.
2. Imam Hasan bin Ali r.a
Beliau adalah anak kepada saidina Ali r.a dan imam kedua mazhab Syiah. Beliau adalah sepatutnya menjadi pengganti kepada khalifah Ali r.a selepas kewafatan baginda, akan tetapi menurut Syiah, kuasanya dirampas oleh Muawiyah bin Abi Sufyan dengan direlakan oleh Hasan bin Ali r.a. Akan tetapi lepasan kuasa oleh Hasan ini adalah bersyarat iaitu dengan syarat setelah Muawiyah beliau perlu menyerahkan kembali kuasa khalifah tersebut kepada tangan adiknya iaitu Hussain bin Ali r.a. Akan tetapi Muawiyah melanggar syarat tersebut dengan menyerahkan kuasa kepada anaknya iaitu Yazid bin Muawiyah.
3. Imam Hussain bin Ali r.a
Beliau adalah anak kepada Ali r.a juga dan cucu kepada Rasulullah s.a.w. Beliau adalah imam yang ketiga dalam mazhab Syiah. Menurut Syiah kuasa khalifah adalah jatuh kepada beliau sekiranya Hasan r.a abangnya tiada. Akan tetapi Khalifah terus silih berganti dari kalangan keluarga Muawiyah. Menurut pandangan Syiah lagi, sebelum Muawiyah meninggal dunia, beliau telah berpesan kepada anaknya Yazid iaitu apabila beliau meninggal janganlah memaksa Hussain r.a mengangkat bai’ah kepada Yazid sekiranya Hussain tidak mahu. Akan tetapi Yazid juga tidak mengikuti perintah bapanya maka terjadilah peristiwa Karbala’, iaitu peristiwa dimana Yazid bin Muawiyah menghantar skuad pembunuh untuk membunuh Hussain yang mana ketika itu Hussain sedang melakukan haji. Saidina Hussain bersama dengan 72 orang pengikut beliau berhadapan dengan 30 ribu tentera Yazid di Karbala’. Kesemua pengikut Hussain wafat termasuk berliau sendiri yang kepalanya dipancung. Seramai 27 orang keturunan saidina Ali dalam perang tersebut wafat.
4. Imam Ali Zainal Abidin bin Hussain
Beliau adalah imam keempat dalam penganut Syiah. Beliau mengikuti perang menentang Yazid bin Muawiyah yang berpihak kepada Hussain. Ketika perang sudah tamat, beliau adalah salah seorang yang sedang nazak yang meminta air berkali-kali dari tentera Yazid. Akan tetapi yang datang kepada beliau bukanlah air, tetapi anak panah. Beliau digelar sayyid al-sajidin iaitu orang yang kuat bersujud.
5. Muhamad Baqir bin Ali
Beliau adalah bapa kepada Imam Jaafar al-Sadiq. Beliau menjadi saksi ke atas keseluruhan perang di Karbala yang berlaku antara tentera Yazid dan pengikut Hussain bin Ali. Beliau adalah berumur 4 tahun pada ketika itu yang menyaksikan kematian bapanya.
6. Imam Jaafar al-Sadiq bin Muhamad Baqir
Beliau antara Imam yang terkenal dikalangan Syiah dan umat Islam dengan kefaqihan beliau. Berkata Imam Malik:
“Tidak pernah telinga aku mendengar, mata aku melihat seorang yang lebih faqih dari Jaafar al-Sadiq” (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November)
7. Imam Musa al-Kazem bin Jaafar
Beliau adalah anak kepada Imam Jaafar al-Sadiq. Beliau dibunuh oleh Khalifah Harun al-Rasyid pada tahun 1019 hijrah di Baghdad setelah beberapa tahun dipenjara dari satu penjara ke penjara yang lain dipindahkan.
8. Imam Ali Ridha bin Musa
Hidup pada zaman ketika anak kepada Harun al-Rasyid menjadi Khalifah iaitu Khalifah al-Makmun zaman Abasiyyah. Beliau seorang yang sangat kuat pengaruhnya. Disebabkan takut tergugat oleh pengaruh Ali Ridha, maka khalifah terpaksa berlakon untuk melantik Ali menjadi Khalifah. Beliau dari Madinah dibawa ke Khurasan iaitu ibu negeri yang dipindahkan dari Baghdad ke Khurasan. Pada ketika itu beliau ditipu kononnya hendak dijadikan Khalifah dan beliau telah dilantik menjadi putera mahkota. Akan tetapi disebabkan pengaruh beliau masih tidak berkurang dan disebabkan takut maka beliau akhirnya dibunuh.
9. Imam Muhammad al-Jawad
Beliau dijadikan imam ketika masih kecil lagi iaitu pada umur 8 tahun. Beliau sangat ditakuti kerana kehebatannya walaupun ketika masih kecil. Pernah Khalifah al-Makmun memanggil segala alim ulama, pendeta, rahib dan sebagainya yang paling pandai dan bijaksana menentang hujah beliau, tetapi kesemuanya kalah. Disebabkan kepandaian beliau ini maka beliau dibunuh juga oleh al-Makmun.
10. Imam Ali al-Hadi bin Muhammad al-Jawad
Beliau juga diangkat menjadi imam berumur sekitar 7-8 tahun. Beliau anak kepada imam Muhammad al-Jawad. Tetapi kerana kuat juga pengaruhnya, maka beliau juga dibunuh.
11. Imam Hasan al-Askari bin Ali al-Hadi
Beliau seorang yang juga sangat berpengaruh. Beliau terpaksa dikawal keluar masuknya dan siapa yang menemuinya. Beliau diletakkan dikawasan tentera yang dikawal dengan sangat rapi.
12. Imam al-Mahdi al-Muntazar
Akan diterangkan tentang sedikit sebanyak perkara berkenaan dengan imam Mahdi dalam tajuk konsep Raj’ah, iaitu kebangkitan sesudah mati. Kerana perkara berkaitan dengan Imam Mahdi adalah sangat berkait rapat dengan konsep tersebut. Menurut Wan Zailan, Imam Mahdi adalah orang yang dinamakan oleh Rasulullah sebagai Muhammad sebagaimana nama Rasulullah sendiri. Beliau dinamakan sebagai Muhammad bin Hasan al-Askari iaitu anak kepada Imam Hasan al-Askari (Wan Zailan 2011: Temu bual, 7 Januari).
Kesemua imam yang dua belas ini (sila rujuk lampiran) adalah imam yang dipegang oleh golongan Syiah sebagai imam yang memimpin umat setelah kewafatan beliau. Imam-imam ini adalah imam-imam yang disebut dalam hadith menurut kepercayaan mereka sebagai imam yang memang sudah ditentukan oleh Allah sebagai pemimpin dan ianya telah dinaqalkan melalui hadith Rasulullah s.a.w. kesemua imam ini adalah dianggap maksum oleh peganut fahaman Syiah ini tanpa ada khilaf. Akan tetapi bukanlah semua imam ini sahaja yang maksum malah ada juga sebilangan manusia yang lain maksum seperti Fatimah al-Zahra iaitu puteri Rasulullah sendiri. Kedudukan maksum puteri Rasulullah ini adalah lebih tinggi kemaksumannya dari para 12 imam ini.
Menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember), para maksum yang dimaksudkan adalah Rasulullah s.a.w, Fatimah al-Zahra dan dua belas imam yang disebutkan di atas. Apa yang dimaksudkan dengan maksum adalah suci dari sebarang dosa. Ayat yang menyebut tentang kemaksuman mereka adalah dari surah al-Ahzab ayat 33 berbunyi:
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنْكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيراً
Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu wahai "Ahlul Bait" dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).
Suci yang dimaksudkan dengan ayat ini adalah suci dengan sesuci-sucinya dari sebarang apa jua dosa. Siapa yang dimaksudkan dengan Ahlul Bait pula adalah Rasulullah dan ahli keluarga beliau.
3.4 Konsep Raj’ah
Dalam mazhab Syiah juga ada disebut satu konsep yang dinamakan dengan konsep Raj’ah. Konsep ini adalah kepercayaan bahawa kembalinya Imam Mahdi ke dunia setelah dimatikan dan akan dibangkitkan oleh Allah ketika kiamat hampir dekat. konsep ini dibuktikan wujud dalam fahaman Syiah berdasarkan dari kitab karangan penganut Syiah sendiri iaitu Muhammad Redha bertajuk Aqaid Imamiah.
Dalam konsep Raj’ah, Syiah mempercayai bahawa setiap manusia yang telah diberi autoriti oleh Allah untuk kembali semula seperti imam Mahdi beserta mereka yang lain akan dibangkitkan semula ketika kiamat hampir menjelang. Ini telah dijelaskan dalam kitab Aqaid Imamiah karangan Muhamad Redha. (al-Muzaffar 1961: Hlm. 83):
إن الذي تذهب إليه الإمامية أخذا بما جاء عن البيت عليهم السلام أن الله تعالى يعيد قوما من الأموات إلى الدنيا في صورهم التي كانوا عليها، فيعز فريقا ويذل فريقا آخر، ويديل المحقين من المبطلين والمظلومين منهم من الظالمين، وذلك عند قيام مهدى آل محمد عليه وعليهم أفضل الصلاة والسلام. ولا يرجع إلا من علت درجته في الإيمان أو من بلغ الغاية من الفساد، ثم يصيرون بعد ذلك إلى الموت، ومن بعده إلى النشور وما يستحقونه من الثواب أو العقاب، كما الله تعالى في القرآن الكريم تمنى هؤلاء المرتجعين الذي لم يصلحوا بالارتجاع فنالوا مقت الله أن يخرجوا ثالثا لعلهم يصلحون: (قالوا ربنا أمتنا اثنتين وأحييتنا اثنتين فاعترفنا بذنوبنا فهل إلى خروج من سبيل) (المؤمن: 11)
Sesungguhnya pendapat Syiah tentang Raj’ah itu ialah kerana mengambil dari Ahli Bait di mana Allah akan mengembalikan sesuatu kaum yang telah mati ke dunia ini dalam bentuk yang asal lalu sebahagian dari golongan yang memuliakan suatu puak yang lain dan menghina satu puak yang lain dan ia menunjukkan golongan yang melakukan kezaliman. Peristiwa ini berlaku ketika bangunnya Mahdi keluarga Nabi Muhammad dan tidak kembali ke dunia kecuali orang yang tinggi darjat imannya atau orang yang paling jahat. Kemudian mereka akan mati semula. Begitulah dengan orang yang selepasnya sehinggalah dibangkitkan semula dan mereka akan menerima pahala atau siksaan sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam firmannya, di mana orang yang akan dikembalikan di dunia ini bercita-cita untuk kembali ke dunia, sedangkan mereka tidak boleh kembali lagi. Mereka akan mendapat kemurkaan Allah bahawa mereka akan kembali kedunia ini kali ketiga dengan harapan mereka dapat berbuat kebaikan. Firman Allah: “Mereka menjawab: "Wahai Tuhan kami! Engkau telah menjadikan Kami berkeadaan mati dua kali, dan telah menjadikan Kami bersifat hidup dua kali, maka Kami (sekarang) mengakui akan dosa-dosa kami. oleh itu Adakah sebarang jalan untuk (Kami) keluar (dari neraka)?"
Selain itu pegangan ini dibuktikan dari kenyataan penganut Syiah sendiri iaitu Kamil Zuhairi. Dalam temu bual bersamanya (2010: Temu bual, 25 Disember) beliau berpendapat, Imam Mahdi adalah imam yang ditunggu-tunggu oleh kaum muslimin seluruhnya akan kebangkitannya ketika mana hari hampir kiamat. Syiah menganggap bahawa Imam Mahdi ini telah lama lahir iaitu pada tahun 256 hijrah. Akan tetapi manusia tidak mengenalinya dan tidak mengetahui bahawa beliaulah yang akan bangkit ketika hampir kiamat kelak. Beliau dianggap sebagai anak kepada Imam Hasan al-Askari. Beberapa ulama Sunni mempunyai pandangan yang sama dengan Syiah bahawa Imam Mahdi adalah anak kepada Hasan al-Askari. Malah menurut Kamil Zuhairi lagi, Syiah berpegang bahawa imam Mahdi ini adalah masih hidup, cuma tidak dizahirkan lagi sehingga hampir tiba kiamat nanti. Akan tetapi hidupnya Imam Mahdi ini tidak diketahui dimana dan tidak dikenali. Antara mereka lain yang akan muncul bersama imam Mahdi pada ketika kiamat sudah hampir adalah antaranya Nabi Khidir yang dikatakan masih hidup lagi sehingga ke hari ini, sebahagiannya mengatakan Nabi Ilyas, Nabi Isa yang mana Islamnya dunia Eropah adalah di tangan Nabi Isa a.s, dan lain-lain.
Menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember) pula, konsep Raj’ah adalah konsep pengembalian semula. Apabila disebut Raj’ah, maka ianya bermaksud mengembalikan mereka yang telah mati semula. Menurutnya lagi, Allah membawa banyak cerita berkenaan dengan konsep Raj’ah ini antaranya yang paling terkenal adalah cerita Ashab al-Kahfi dan Nabi Uzair. Allah berfirman dalam surah al-Kahfi:
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِنْ لَدُنْكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا فَضَرَبْنَا عَلَى آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ سِنِينَ عَدَدًا ثُمَّ بَعَثْنَاهُمْ لِنَعْلَمَ أَيُّ الْحِزْبَيْنِ أَحْصَى لِمَا لَبِثُوا أَمَدًا نحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُمْ بِالْحَقِّ إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى وَرَبَطْنَا عَلَى قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لَنْ نَدْعُوَ مِنْ دُونِهِ إِلَهًا لَقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا هَؤُلاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِنْ دُونِهِ آلِهَةً لَوْلا يَأْتُونَ عَلَيْهِمْ بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ افْتَرَى عَلَى اللَّهِ كَذِبًا وَإِذِ اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلا اللَّهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنْشُرْ لَكُمْ رَبُّكُمْ مِنْ رَحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُمْ مِنْ أَمْرِكُمْ مِرفَقًا وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَتْ تَزَاوَرُ عَنْ كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَتْ تَقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِنْهُ ذَلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَنْ تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُرْشِدًا وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا وَكَذَلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا بَيْنَهُمْ قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ بَعْضَ يَوْمٍ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُمْ بِوَرِقِكُمْ هَذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنْظُرْ أَيُّهَا أَزْكَى طَعَامًا فَلْيَأْتِكُمْ بِرِزْقٍ مِنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا إِنَّهُمْ إِنْ يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ وَلَنْ تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا وَكَذَلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا
Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah "Ashabul Kahfi" dan "ar-Raqiim" itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami? (Ingatkanlah peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama kami". Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang banyak bilangannya. Kemudian Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk kami menguji siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka hidup (dalam gua itu). Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, kami tidak sekali-kali akan menyembah tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran." (mereka berkata pula sesama sendiri): "Kaum kita itu, menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, sepatutnya mereka mengemukakan keterangan yang nyata yang membuktikan ketuhanan makhluk-makhluk yang mereka sembah itu? (tetapi mereka tidak dapat berbuat demikian); maka tidak ada yang lebih zalim dari orang-orang yang berdusta terhadap Allah. Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari allah, maka pergilah kamu berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmatnya kepada kamu, dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk (menjayakan) urusan kamu dengan memberikan bantuan yang berguna". Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan, dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya. Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka. Dan demikianlah pula kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: "Berapa lama kamu tidur?" (sebahagian dari) mereka menjawab: "Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari". (sebahagian lagi dari) mereka berkata: "Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur; sekarang utuslah salah seorang dari kamu, membawa wang perak kamu ini ke bandar; kemudian biarlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang lebih baik lagi halal (yang dijual di situ); kemudian hendaklah ia membawa untuk kamu sedikit habuan daripadanya; dan hendaklah ia berlemah-lembut dengan bersungguh-sungguh (semasa di bandar); dan janganlah dia melakukan sesuatu yang menyebabkan sesiapapun menyedari akan hal kamu. "Sesungguhnya, kalaulah mereka mengetahui hal kamu, tentulah mereka akan merejam dengan membunuh kamu, atau mereka akan mengembalikan kamu kepada agama mereka (secara paksa); dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya". Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka".
Allah berfirman dalam Surah al-Taubah ayat 30:
وَقَالَتِ الْيَهُودُ عُزَيْرٌ ابْنُ اللَّهِ وَقَالَتِ النَّصَارَى الْمَسِيحُ ابْنُ اللَّهِ ذَلِكَ قَوْلُهُمْ بِأَفْوَاهِهِمْ يُضَاهِئُونَ قَوْلَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ قَبْلُ قَاتَلَهُمُ اللَّهُ أَنَّى يُؤْفَكُونَ
Dan orang-orang Yahudi berkata: "Uzair ialah anak Allah" dan orang-orang Nasrani berkata: "Al-Masih ialah anak Allah". Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (Iaitu) mereka menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling dari kebenaran?
Dari kedua contoh ayat yang disebutkan, menurut Abu Dzar bin Latip (2010: Temu bual, 26 Disember), Allah s.w.t mahu menerangkan tentang sebenar-benar konsep Raj’ah. Ini juga adalah salah satu corak Raj’ah yang mana Allah mengizinkan dikalangan hambanya yang mulia yang hatinya sentiasa terpaut kepada Allah s.w.t untuk kembali ke dunia untuk bersama dengan Imam Mahdi. Salah satu sebab mereka semua dikembalikan oleh Allah adalah kerana untuk mengenali Allah s.w.t dan hendak melihat dunia itu aman. Bila imam Mahdi dizahirkan, maka imam Mahdi memerlukan pengikut-pengikut yang mana mereka kesemuanya bersama imam Mahdi untuk menegakkan keadilan yang mana ianya sangat-sangat dikehendaki oleh semua makhluk di muka bumi ini. Maka keamanan ini akan dikembalikan sendiri oleh imam Mahdi dan pengikut-pengikut yang bersama-sama dengan beliau.
Menurut Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari) pula, Imam Mahdi yang dipercayai oleh penganut Syiah akan dibangkitkan bersama dengan orang yang terpilih dan yang terbaik sahaja dari kalangan mereka. Ini berdasarkan apa yang terdapat dalam kitab-kitab Syiah yang telah ditulis oleh penganut Syiah sendiri. Mengikut daripada ideologi Syiah memang benar bahawa akan ada manusia yang dibangkitkan bersama Imam Mahdi menjelang hari Kiamat nanti untuk menyelamatkan umat Islam. Mereka adalah orang yang benar-benar mengenali siapa Imam Mahdi dan mempunyai hubungan yang sangat rapat dari sudut rohani dan jasmani dan orang yang tidak mengenali beliau adalah mustahil untuk dibangkitkan bersama dengan beliau.
3.5 Masalah Sifat Allah
Mengenai Sifat Allah pula, ada antara pegangan Syiah ini yang menyeleweng dari ajaran Islam sebenar. Ianya jelas terbukti dalam kitab karangan al-Kulaini. Beliau berhujah dengan mengatakan bahawa Ilmu Allah berubah-ubah mengikut sesuatu peristiwa yang berlaku kepada manusia. Dari segi bahasa Al-Bada' bermaksud lahir sesudah tersembunyi. Menurut akidah Syiah, al-Bada' ialah peristiwa berkenaan yang sebelum ini dianggap tersembunyi daripada-Nya. Perkara ini jelas menganggap Allah itu jahil atau tidak mempunyai ilmu yang meliputi. Ini jelas seperti yang disebutkan oleh Al-Tabatabai dalam kitab al-Usul Min al-Kafi oleh Al-Kulaini (al-Kulaini 1992: 146).
فالبداء ظهور ما كان خفيا من الفعل لظهور ما كان خفيا من العلم بالمصلحة ثم توسع في الاستعمال فأطلقنا البداء على ظهور كل فعل كان الظاهر خلافه"
Al-Bada adalah zahir perbuatan yang tersembunyi disebabkan ternyata tersembunyi ilmu kerana adanya maslahah. Kemudian diluaskan penggunaannya, maka kami maksudkan dengan al-Bada itu ialah lahirnya setiap perbuatan yang sebelumnya itu adalah tersembunyi daripada Allah s.w.t.
Mengikut akidah Syiah, Ilmu itu akan berubah dan bersesuaian dengan fenomena baru. Tuhan akan berubah kehendak-Nya terhadap sesuatu perkara sesuai dengan keadaan yang berlaku. Hal ini dijelaskan dalam Kitab al-Usul Min al-Kafi (al-Kulaini 1992: 146):
محمد بن يحيى، عن أحمد بن محمد بن عيسى، عن الحجال، عن أبي اسحاق ثعلبة، عن زرارة بن أعين، عن أحدهما عليهما السلام قال: ما عبد الله بشيء مثل البداء. وفي رواية ابن أبي عمير، عن هشام بن سالم، عن أبي عبدالله عليه السلام ما عظم الله بمثل البداء.علي بن إبراهيم، عن أبيه، عن أبي عمير، عن هشام بن سالم وحفص بن البختري وغيرهما، عن أبي عبدالله عليه السلام قال في هذه الآية: يمحو الله ما يشاء ويثبت.
Muhammad bin Yahya dari Ahmad bin Muhamad bin Isa, dari al-Hajjal dari Abu Ishak Tha’labah dari Zararah bin A’yun, dari salah seorang antara keduanya, katanya: Tidak ada ibadat yang paling utama seperti al-Bada. Dalam riwayat Ibn Abu Umair dari Hisyam bin Salim dari Abdullah, “tidak ada perkara yang paling agung disisi Allah seperti al-Bada”. Ali Ibrahim dari bapanya dari Ibnu Umar dari Hisyam bin Salim dan Hafs bin al-Bukhturi dan selain dari keduanya, dari Abdullah katanya mengenai ayat ini maksudnya “Allah menghapuskan apa yang ia kehendaki dan menetapkan apa yang ia kehendaki”.
Dalam Syiah pandangan mereka mengenai Sifat Allah juga menghampiri dengan pandangan Muktazilah. Mereka menafikan sifat yang ada pada Allah sebagai satu tambahan atau dalam bahasa mudahnya disebut sebagai bukan Zat atau tambahan pada Zat Allah. Mereka mengatakan bahawa Sifat Zatiyyah yang wujud pada Allah adalah Zat Allah sendiri dan bukan sifat. Sekiranya sifat itu adalah penambahan pada Zat Allah maka terjadilah berbilangnya Qadim kerana sifat Allah ada banyak. Setiap Sifat adalah Qadim, maka satu sifat adalah satu Qadim. Ini menyebabkan wujudnya berbilang Qadim dan ini adalah mustahil wujud pada Alam ini.
Ini dibuktikan oleh Kamil Zuhairi dalam kenyataannya ketika diTemu bual penulis. Beliau mengatakan bahawa, Syiah berpendapat bahawa Tuhan mempunyai sifat Zat dan sifat perbuatan (fi’liyyah). Syiah mengatakan bahawa, dalam masalah sifat Allah, bagi Allah tiada sifat yang berbeza dari ZatNya. Sekiranya dikatakan bahawa sifat itu berbeza dengan Zat maka ianya sudah jadi berbilang Qadim. Apakah ilmu Allah berbeza dengan Zat Allah? Menurut mereka tidak kerana ilmu Allah ada pada diri Allah itu, bukan diluar dari diri Allah itu sendiri. Maka ilmu Allah adalah Zat Allah, bukannya ilmu Allah itu adalah lain dari Allah. Beliau memberi contoh, jika Allah mempunyai Zat yang lain dari sifat, bermakna Allah menyerupai manusia kerana seperti contoh manusia, bagi diri manusia, zat diri dengan sifat ilmu adalah lain. Manusia adalah dari jahil kemudian menjadi alim dengan pergi belajar di sekolah dan institusi yang lain. Manusia juga dari lemah kemudian berubah menjadi kuat, itu adalah satu sifat yang mendatang. Ianya ada perbezaan antara zat diri manusia dengan sifat yang ia miliki secara mendatang, dan sifat itu adalah sesuatu yang menjadi tambahan kepada zat. Bagi Allah tidak, menurut Syiah, صفاته عبن ذاته وذاته عين صفاته maka ianya bukanlah satu yang lain atau tambahan pada zat. Allah berkuasa dengan kuasanya dan kuasanya itulah zatnya, bukan kuasa itu selain dari Zat. الله عالم بعلمه هو هو اي بذاته. Jika sifat Allah itu adalah berbeza maka ianya menyebabkan terhasil تعدد القدماء iaitu berbilang-bilangnya Qadim dan itu mustahil bagi Allah kerana menjadikan Allah itu lemah (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 Disember; Abu Dzar 2010: Temu bual, 26 Disember).
Dalam sifat perbuatan (sifat fi’liyyah) pula menurutnya lagi, Syiah tidak bercanggah dengan Asya’irah yang mengatakan bahawa ianya adalah sifat yang mendatang iaitu satu sifat yang bukan sifat yang azali yang ada pada Zat Allah. Sebagai contoh sifat Takwin. Sifat Takwin atau menjadikan ini adalah sifat yang hanya wujud pada Allah apabila datang IradahNya ketika mahu mencipta sesuatu benda. Sifat Takwin ini wujud hanya apabila wujudnya Qudrah dan Iradah Allah pada hendak mencipta sesuatu benda (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 Disember).
3.6 Rukun Iman Dalam Mazhab Syiah
Dalam mazhab Ahli Sunah, rukun iman kita terbahagi kepada enam perkara iaitu, keyakinan dan kepercayaan kepada Allah, Malaikat-Malaikat, Kitab-Kitab yang diturunkan Allah, Rasul-Rasul yang diutuskan oleh Allah, Hari Akhirat dan Qadha serta Qadar. Ini berdasarkan dari hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
قال عمر بن الخطاب : كنا عند رسول الله صلى الله عليه وسلم فجاء رجل شديد بياض الثياب شديد سواد الشعر لا يرى عليه أثر السفر ولا يعرفه منا أحد حتى أتى النبي صلى الله عليه وسلم فألزق ركبته بركبته ثم قال : يا محمد ما الإيمان ؟ قال أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره
Akan tetapi dalam mazhab Syiah, rukun iman kepada mereka adalah berbeza dari Ahli Sunah. Menurut Abu Dzar (2010: Temu bual, 26 Disember), Kamil Zuhairi (2010: Temu bual, 25 Disember) dan Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari), rukun Iman dalam mazhab Syiah ada lima perkara iaitu:
1) Tauhid. Iaitu keesaan kepada Allah.
2) Keadilan Allah s.w.t.
3) Kenabian Nabi-Nabi yang diutuskan Allah
4) Imamah atau kemimpinan. Iaitu imam yang ditentukan Allah iaitu imam yang 12.
5) Hari Kebangkitan. Iaitu dipanggil juga sebagai ma’ad, Hari Pengembalian.
3.7 Syahadah dalam Mazhab Syiah
Dalam mazhab Syiah, Kalimah Syahadah mereka juga adalah berlainan dengan mazhab Ahli Sunah. Syahadah mereka wujud penambahan di akhirnya. Bagi Ahli Sunah, Syahadah adalah:
أشهد ان لا إله الاالله وأشهد أن محمداً رسول الله
Ini berdasarkan dari hadis Nabi s.a.w yang berbunyi:
عن ابن عمر رضي الله عنه قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول بني الإسلام على خمس شهادة أن لا إله إلا الله وأن محمدا رسول الله وإقام الصلاة وإيتاء الزكاة وحج البيت وصوم رمضان
Bagi mazhab Syiah, mereka mempunyai syahadah yang sama dengan Ahli Sunah, akan tetapi perbezaannya adalah wujud penambahan di akhir kalimah Syahadah tersebut iaitu:
أشهد ان لا إله الاالله وأشهد أن محمداً رسول الله وأشهد أن عليا ولي الله
Kalimah Syadah ini dibacakan oleh Kamil Zuhairi ketika penulis menemubual beliau. Menurutnya lagi, kalimah Syahadah ini adalah untuk membuktikan bahawa Islam sangat mementingkan masalah kepimpinan atau Imamah, dan Ali r.a adalah bukti kepimpinan mereka, begitu juga dengan Imam-Imam mereka yang lain. Tanpa Imamah, Islam akan hancur dan rosak (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 Disember). Menurut Abu Dzar (2010: Temu bual, 26 Disember), dan Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari) juga begitu, ada terdapat penambahan dalam Syahadah menurut fahaman Syiah seperti yang terdapat dalam kitab mereka.
Penambahan dalam Syahadah ini juga sangat jelas disebut oleh pemimpin-pemimpin Syiah dalam penulisan mereka. Antara kitab yang terkenal yang menyebut bahawa ada penambahan pada Syahadah adalah kitab Usul min al-Kafi (al-Kulaini 1992: 441). Al-Kulaini menyatakan dalam kitab tersebut:
سهل بن زياد: عن محمد بن الوليد قال : سمعت يونس بن يعقوب، عن سنان بن طريف، عن أبي عبدالله عليه السلام يقول : قال : إنا أول أهل بيت نوه الله بأسمائنا إنه لما خلق السماوات والأرض أمر مناديا فنادى أشهد أن لا إله إلا الله. - ثلاثا- أشهد أن محمد رسول الله- ثلاثا- أشهد أن عليا أمير المؤمنين حقا- ثلاثا-
Sahal bin Ziyad, dari muhamad bin walid, aku mendengar dari Yunus bin Yakub, dari sinan bin tariff dari Abu Abdullah a.s berkata. Sesungguhnya kami ialah Ahli Bait yang pertama yang disebutkan oleh Allah nama-nama kami. Sesungguhnya Allah mencipta langit dan bumi seraya menyeru malaikat dengan kalimah ”Aku naik saksi tiada tuhan melainkan Allah” sebanyak tiga kali, kemudian “Aku naik saksi bahawa Muhamad pesuruh Allah” sebanyak tiga kali, dan “Aku naik saksi bahawa Ali adalah Amir Mukminin” sebanyak tiga kali.
Penambahan dalam syahadah ini juga disebut oleh Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam ahkbar Harian Metro bertajuk Tatu Kalimah Allah. Antara kesalahan yang dilakukan oleh Syiah adalah membuat penambahan dalam kalimah Syahadah (Harian Metro. 2010. 17 Disember).
3.8 Pegangan Syiah terhadap hadith yang diriwayatkan oleh Ahli Sunah
Hadith yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah adalah dianggap tidak berautoriti kepada penganut fahaman Syiah. Bagi mereka hadith yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah adalah kurang berautoriti berbanding ulama mereka sendiri. Dalam permasalahan setiap perkara, Syiah akan merujuk kepada hadith yang diriwayatkan oleh ulama mereka sendiri dahulu berbanding dengan hadith yang diriwayatkan dari ulama Ahli Sunah yang lain. Walaupun pada anggapan golongan Ahli Sunah, hadith satu-satu hadith itu mempunyai darjat mutawatir sekalipun, jika tiada ulama Syiah yang merekodkan hadith tersebut maka ianya dianggap tertolak. Ini dibuktikan oleh Wan Zailan ketika ditemu bual.
Menurut Wan Zailan (2011: Temu bual, 7 Januari), memang benar golongan Syiah menolak hadith yang diriwayatkan dari ulama Ahli Sunah. Tetapi perlu kita fahami bahawa, autoriti terhadap sesuatu perkara adalah perlu dalam mewujudkan keyakinan terhadap kepercayaan seseorang. Sebagai contohnya, seseorang meriwayatkan satu-satu hadith dan kita mengenali beliau sebagai seorang seorang yang tidak thiqah. Maka hadith tersebut adalah dianggap sebagai dhaif kerana sikapnya yang telah lama kita kenali. Akan tetapi bagi orang yang kurang mengenali beliau, beliau mungkin dianggap thiqah dan hadith tersebut dihukumkan sebagai hasan oleh orang yang kurang mengenali tersebut. Begitu juga sebagai contohnya, kita mahu berdakwah kepada orang Kristian, akan tetapi kita menggunakan ayat al-Quran dalam mengajaknya memeluk Islam, sudah tentu bagi penganut Kristian tersebut akan menganggap al-Quran sebagai tidak berautoriti langsung berbanding Bible yang diimani beliau. Begitu juga dengan penganut fahaman Syiah. Mereka meyakini tentang kesahihan satu-satu hadith hanya berdasarkan kepada ulama mereka. Malah begitu juga dengan penganut fahaman Sunni yang hanya berpegang kepada autoriti hadith yang diriwayatkan oleh ulama yang dipercayai Ahli Sunah sebagai thiqah. Setiap kelompok mempunyai autoriti masing-masing dan kita tidak boleh memecahkan tradisi autoriti kelompok yang lain sebagaimana mereka tidak boleh berbuat demikian pada kita. Maka dalam permasalahan ini golongan Syiah tidak harus dipersalahkan dalam masalah keyakinan mereka terhadap autoriti hadith sekalipun hadith tersebut bertaraf mutawatir.
Pegangan Syiah yang menolak hadith yang diriwayatkan oleh ulama Sunni ini juga disebut oleh Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS ketika diwawancara wartawan akhbar Harian Metro. Beliau menyatakan bahawa antara kesalahan golongan yang berfahaman Syiah ini adalah menafikan kesahihan dan menolak hadith yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah sekalipun hadith tersebut bertaraf mutawatir (Harian Metro. 2011. 17 Januari).
Bibliografi
Abdul Rahim al-Dahlawi. 1995. Hujjat al-Balighah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Aboe Bakar Ajteh. 1977. Aliran Syi'ah Di Nusantara. Jakarta: Islamic Research Institute.
al-Baihaqi, Ahmad ibn al-Husain. 1980. Sunan al-Kubra. Jil. 10. Kaherah. Dar al-Fikr.
al-Dimasyqi, Abi Bakar. Dufi’a Syibh min Syibh wa tamarud wa nasb zalik ila al-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad. Bab Qissah al-Rahibin ma’a Abi ‘Abd Allah.
al-Hakim al-Naisaburi, Muhamad bin Abd Allah. 1986. Al-Mustadrak ‘ala Sahihain. Juz 3. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Ibn Babawaih, Muhammad bin Ali bin Husain. 1985. Man la yahdhurhu al-Faqih. Juz 1. Beirut: Dar al-Adwa’.
Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi. 1966. Al-Bidayah wa al-Nihayah. 14 Juz. Beirut: Dar al-Ma’arif.
Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd al-Halim. 1322. Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam Syiah al-Qadariyyah. Baihaq: Matbaah Amiriyyah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2010. Portal e-Fatwa.
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor [14 Disember 2010]
al-Kulaini, Abu Jaafar Muhammad bin Yaakub. 1992. Usul al-Kafi. Beirut: Dar al-Adwai.
Lutpi Ibrahim. 1993. Minhaj Kebenaran dan Pendedahan (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad). Cet. I. al-Wahdah Publication.
al-Mufid, al-Imam Abi Abd Allah bin Muhamad bin Muhamad bin al-Nu’man. 413H. al-Irsyad. Beirut: Muassasah al-‘Alami li al-Matbu’at.
Muhammad Jawad. 1979. Syiah fi al-Mizan. Beirut: Dar Ta’aruf Lil Matbu’at.
Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham.
al-Muzaffar, Muhamad Redha. 1961. Aqaid Imamiah. Kaherah: Matba’ah Nur al-Amal.
Said bin Mansur. Sunan Said bin Mansur. Bab Ma Ja’a Fi al-Mut’ah.
Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Manaqib. Bab Manaqib Ahli al-Nabiyy Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam.
Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Iman. Bab Wasafa Jibril Li al-Nabiyy Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam al-Iman Wa al-Islam.
al-Tusi, Muhamad bin al-Hasan. 1980. al-Nihayah fi Mujarrad al-Fiqh wa al-Fatawa. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi.
nota kaki
1. Al-Quran. Al-Maidah. 5: 3
2. Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Manaqib. Bab Manaqib Ahli al-Nabiyy Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Juz 5. Hlm. 662.
3. Al-Quran. Al-Ahzab. 33 : 33
4. Al-Quran. Al-Ahzab. 33 : 33
5. Al-Quran. Al-Kahfi. 18: 9
6. Al-Quran. Al-Taubah. 9: 30
7. Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Iman. Bab Wasafa Jibril Li al-Nabiyy Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam al-Iman Wa al-Islam. Juz 5. Hlm. 6.
8. Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham. Juz 1. Hlm. 45.
9. Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham. Juz 1. Hlm. 45.
10. Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi. 1966. Al-Bidayah wa al-Nihayah. 14 Juz. Beirut: Dar al-Ma’arif. Hlm. 299
11. Al-Quran. Al-Nisa. 4: 24
12. Said bin Mansur. Sunan Said bin Mansur. Bab Ma Ja’a Fi al-Mut’ah. Juz 1. Hlm. 219.
13. Al-Quran. Al-Nisa. 4: 24
14. al-Dimasyqi, Abi Bakar. Dufi’a Syibh min Syibh wa tamarud wa Nasb Zalik ila al-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad. Bab Qissah al-Rahibin ma’a Abi ‘Abd Allah. Juz.1. Hlm. 95.
No comments:
Post a Comment