PENDAHLUAN
Kertas kerja ini membincangkan hadis mengenai setiap perkara yang dilakukan hendaklah disertakan dengan niat. Umumnya seperti mana yang diketahui bahawa hadis ini begitu masyhur dikalangan masyarakat Islam seperti di dalam buku-buku agama, penulisan, ceramah, syarahan dan khutbah. Namun begitu bagi mereka yang menceburi dalam bidang agama semestinya mengetahui kesahihan sesuatu hadis yang disampaikan kepada masyarakat. Hal ini kerana hadis adalah sesuatu yang diperkatakan oleh Rasulullah s.a.w dan setiap apa yang diperkatakan oleh baginda hendaklah ditentukan kebenarannya yakni sama ada sesuatu hadis itu adalah benar diucapkan oleh baginda atau tidak. Sekiranya seseorang itu menaqalkan sesuatu hadis yang tidak pernah diucapkan oleh Rasulullah, maka dengan jelas dia berdusta atas nama baginda.
Maka, dalam tugasan ini penulis akan mengambil beberapa hadis yang sama mengenai niat hendaklah disertakan dalam setiap perkara yang dilakukan ini melalui beberapa sumber yang berautoriti iaitu Kutub al-Sittah yang terdiri dari Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Tarmidhi, Sunan Ibn Majah, Sunan Abu Daud dan Sunan Imam Nasa’i. Kemudiannya kajian terhadap perawi-perawi hadis ini akan dilakukan untuk mengetahui latar belakang mereka.
Akhirnya, dua objektif akan diperolehi apabila selesainya tugasan ini iaitu untuk mengetahui sama ada hadis ini terletak dalam ketegori hadis sahih atau selainnya, serta untuk mengenal pasti setiap perawi-perawi hadis ini sama ada mereka tergolong dalam perawi yang thiqah atau sebaliknya.
HADIS MENGENAI SETIAP PERBUATAN BEDASARKAN PADA NIAT
Salah satu matan dan sanad Hadithnya adalah seperti berikut iaitu dari ᶜAbdullah bin Maslamah dari Imām Mālik dari Yahyā bin Saᶜīd dari Muhammad bin Ibrāhīm dari ᶜAlqamah bin Waqās dari ᶜUmar bin al-Khaṭṭāb. Hadithnya berbunyi:
حدثنا عبد الله بن مسلمة قال أخبرنا مالك عن يحيى بن سعيد عن محمد بن إبراهيم عن علقمة بن وقاص عن عمر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : الأعمال بالنية ولكل امرىء ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه
BEBERAPA ṬURUQ-ṬURUQ HADITH INI DALAM KITAB-KITAB HADITH.
Hadith ini diriwayatkan melalui beberapa Ṭuruq yang berbeza perawinya di akhir-akhir Ṭuruq tersebut sedangkan perawi diawalnya adalah sama. Antara Ṭuruqnya adalah:
Ṭuruq yang pertama:
حدثنا عبد الله بن مسلمة قال أخبرنا مالك عن يحيى بن سعيد عن محمد بن إبراهيم عن علقمة بن وقاص عن عمر أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : الأعمال بالنية ولكل امرىء ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه
Ṭuruq yang kedua:
حدثنا محمد بن كثير عن سفيان حدثنا يحيى ين سعيد عن محمد بن إبراهيم التيمي عن علقمة بن وقاص الليثي قال سمعت عمر بن الخطاب رضي الله عنه : عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : الأعمال بالنية ولامرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه
Ṭuruq yang ketiga:
حدثنا عبد الله حدثني أبي ثنا سفيان عن يحيى عن محمد بن إبراهيم التيمي عن علقمة بن وقاص قال سمعت عمر رضي الله عنه يقول سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إنما الأعمال بالنية ولكل امرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله عز وجل فهجرته إلى ما هاجر إليه ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه
تعليق شعيب الأرنؤوط : إسناده صحيح على شرط الشيخين
Ṭuruq yang keempat:
حدثنا محمد بن المثنى حدثنا عبد الوهاب الثقفي عن يحيى بن سعيد عن محمد بن إبراهيم عن علقمة بن وقاص الليثي عن عمر بن الخطاب قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم انما الأعمال بالنية وإنما لامرئ ما نوى فمن كانت هجرته إلى الله وإلى رسوله فهجرته إلى الله ورسوله ومن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو امرأة يتزوجها فهجرته إلى ما هاجر إليه قال أبو عيسى هذا حديث حسن صحيح
قال الشيخ الألباني : صحيح
Ṭuruq yang kelima:
حدثنا الحميدي عبد الله بن الزبير قال حدثنا سفيان قال حدثنا يحيى بن سعيد الأنصاري قال أخبرني محمد بن إبراهيم التيمي أنه سمع علقمة بن وقاص الليثي يقول سمعت عمر بن الخطاب رضي الله عنه على المنبر قال سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : إنما الأعمال بالنيات وإنما لكل امرىء ما نوى فمن كانت هجرته إلى دنيا يصيبها أو إلى امرأة ينكحها فهجرته إلى ما هاجر إليه
KAJIAN HADITH MENGENAI SETIAP PERBUATAN BERDASARKAN NIAT DARI SUDUT SANADNYA
Setelah disebutkan beberapa Ṭuruq sanad hadith ini sebagaimana di atas, akan dibincangkan pula perawi-perawi yang meriwayatkan hadith ini dari Ṭuruq sanad yang pertama.
1. Sayyidinā ᶜUmar Bin al-Khaṭṭāb
Nama sebenar beliau adalah ᶜUmar Bin al-Khaṭṭāb Bin Nufayl Bin Abdul Uzza Bin Riyah Bin Ibn Abd Allah Bin Qarṭ Bin Razāh Bin ᶜAdi Bin Kaab Bin Lu’ayy Bin Ghalib al-Qurasyi Abu Hafs. Nama ibu beliau pula Hantamah Binti Hasyim Bin al-Mughirah Ibn Abd Allah Bin Umar Bin Makhzum. ᶜUmar Bin al-Khaṭṭāb merupakan Khalifah Islam yang kedua setelah Abu Bakar. Beliau meriwayatkan (guru) sanadnya dari Rasulullah s.a.w sendiri, Abu Bakr, dan Ubay Bin Kaab. Mereka yang meriwayatkan (murid) darinya pula dari kalangan sahabat adalah Abdullah, Imam Asim, Hafsah, Uthman bin Affan, Ali Bin Abi Talib, Saad Bin Abi Waqas, Talhah Bin Ubaidillah, Abdul Rahman Bin Auf, Ibnu Masᶜud, Syaibah Bin Uthman al-Hajabi, al-Asyᶜath Bin Qays, Jarir al-Bajli, Huzaifah al-Yamani, Amru Bin al-As, Muᶜawiyyah, Adi Bin Hatim, Hamzah Bin Amru, Zaid Bin Thabit, Sufyan bin Abdullah al-Thaqafi, Abdullah bin Unais al-Juhni, Abdullah bin Amru bin al-As, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Zubir, Uqbah bin Amir al-Juhni, Fadhalah Ibn Ubai bin ajzah, al-Musawwar bin Mukhzamah, Nafiᶜ bin Ad al-Harith, Abu Amamah, Abu Qatadah al-Ansari, Abu Hurairah, Abu Musa al-Ashari, Aishah Umm al-Mu’minin, Anas, Jabir, Barra’ bin Azib, al-Nu’man bin Bashir dan lain-lain. Antara muridnya yang lain pula adalah Said bin Musayyab Abis bin Rabiah, Abd al-Rahman binAbd al-Qari, Ubaid bin Umair, Alqamah bin Waqqas, al-Labsi, Abu Maisarah Amru bin Syurhabil, Qays bin Abi Hazim, Maᶜdan bin Abi Talhah, Abu Tamim al-Jayshani dan lain-lain (Ibn Abi Hatim t.th: 105-106; al-Athqalani 1968: 438-439).
Usamah bin Zayd bin Aslam berkata, dari datuknya berkata, aku mendengar Umar berkata, aku dilahirkan 4 tahun sebelum Fujjār al-Aᶜẓam dan sebahagian pandangan yang lain pula mengatakan Umar dilahirkan selepas tahun gajah iaitu 13 tahun sesudahnya. Zubir bin Bakkar pula berkata bahawa Umar merupakan semulia-mulia orang Quraysh dan beliau merupakan duta orang Quraysh, sekiranya berlaku pertelingkahan dikalangan Bani Quraysh maka beliaulah menjadi tempat rujukan utama. Adapun keislaman beliau merupakan satu kemuliaan yang besar bagi Islam hasil dakwah Nabi s.a.w. Dikatakan selepas 40 orang lelaki dan 11 orang perempuan yang memeluk Islam baharulah Umar memeluk Islam dan yang menyaksikannya adalah ahli Badar dan saksi-saksinya pula merupakan penyokong terhadap perlantikan khalifah Abu Bakar. Beliau dibaiᶜah atau diangkat menjadi khalifah pada hari kewafatan khalifah Abu Bakar lalu bermulalah perjalanan sejarah kebangkitan perluasan Islam sehingga Syam, Iraq dan Mesir dibuka (Ibn Abi Hatim t.th: 105-106; al-Athqalani 1968: 439-440).
Diriwayatkan dari Nabi s.a.w pula, seandainya sesudahku ada lagi Nabi, maka nescaya Umarlah orangnya. Diriwayatkan lagi bahawa sebaik-baik manusia sesudah Nabi adalah Abu Bakar, sesudah Abu Bakar adalah Umar. Ibnu Masud berkata sesungguhnya Umar sangat dimuliakan sesudah Islamnya dan kebaikannya adalah sangat banyak dan beliau merupakan seorang yang sangat masyhur. Beliau memimpin umat Islam sebagai khalifah selama 10 tahun 5 bulan, sebahagiannya berpendapat 10 tahun 6 bulan, dan beliau terbunuh pada hari rabu bulan Zulhijjah tahun 23 Hijrah iaitu ketika berumur 63 tahun. Beliau dikebumikan berhampiran dengan Rasulullah s.a.w di rumah Aisyah r.a. tidak dapat dipasti umur sebenar beliau ketika wafat, tetapi ada pandangan yang sahih dari riwayat Jarir dari Muawiyyah bahawasanya Umar dibunuh sekitar umurnya 63 tahun dan ada sebahagian pendapat lagi iaitu dari Salim bin Abdullah yang menceritakan, setahun sebelum kewafatan Umar beliau mengatakan umurnya adalah 57 atau 58 tahun, dengan ini menjadikan kewafatan beliau sekitar 58 ke 59 tahun dari umurnya (Ibn Abi Hatim t.th: 106; al-Athqalani 1968: 440-441).
2. Al-Qamah bin Waqqas al-Laithi
Nama sebenar beliau adalah Alqamah bin Waqas bin Muhsin bin Kaldah bin Abd Yalail bin Tarif ibn Atwarah bin Amir bin Malik bin Laith bin Bakar bin Abd al-Manat bin Kinanah al-Laithi al-ᶜItwari al-Madani. Beliau meriwayatkan daripada (guru) Amru bin Amru, Bilal bin al-Harith, Muawiyyah, Amru al-As dan Aisyah r.a. Dalam kitab Taḥdhib al-Taḥdhib tidak disebutkan bahawa beliau ada meriwayatkan dari Umar akan tetapi dalam kitab al-Jarh wa al-Taᶜdīl ada disebutkan bahawa beliau meriwayatkan dari Umar al-Khattab r.a (Ibn Abi Hatim t.th: 405). Orang yang meriwayatkan darinya (murid) pula adalah anaknya sendiri iaitu Abdullah, kemudian Amru, al-Zuhri, Muhammad bin Ibrahim bin al-Harith al-Taimi, Amru bin Yahya al-Mazini, Yahya bin al-Nadhr al-Ansari dan Ibn Abi Malikah (Ibn Abi Hatim t.th: 405; al-Athqalani 1968: 280-281).
Imam al-Nasa’ie mengkategorikan beliau sebagai seorang yang thiqqah dan pendapat Ibn Said mengatakan beliau meriwayatkan sedikit sahaja hadith. Beliau wafat di Madinah. Beliau dikategorikan oleh Imam Muslim sebagai orang yang lahir di zaman Nabi s.a.w dan masih berada di zaman Nabi ketika beliau hidup dan begitu juga dengan Ibn Abd al-Barr yang berpendapat bahawa beliau hidup ketika masih di zaman Nabi s.a.w lagi. Sebahagian ulama berpendapat mengatakan bahawa beliau adalah dari kalangan sahabat dan sebahagian lagi berpendapat bahawa beliau adalah dari kalangan Tabiin. Mereka yang berpendapat beliau adalah dari kalangan sahabat adalah seperti Ibnu Mandah manakala yang berpendapat beliau dari kalangan Tabiin adalah al-Qadhi Abu Ahmad dan sebahagian ulama lain. Jalur hubungan antara Alqamah dengan Ibn Mandah adalah melalui susur galur Yazid bin Harun dari Muhammad bin Amru dari Alqamah dari bapanya dari datuknya berkata, aku melihat peperangan Khandaq lalu aku merekodkan mereka yang menziarahi Rasul s.a.w ketika itu. Sanad ini dikategorikan oleh Ibn Hajar al-Athqalani sebagai Hasan. Ibnu Hibban juga menyebut beliau sebagai Tabiin dalam Thiqqāt (Ibn Abi Hatim t.th: 405; al-Athqalani 1968: 280-281).
3. Muhammad bin Ibrahim
Nama sebenar beliau adalah Muhammad bin Ibrahim bin al-Harith bin Khalid bin Ṣakhr bin Amir bin Kaab bin Saad bin Taym bin Murrah al-Qurashi al-Taymi Abu Abdullah al-Madani. Adapun datuknya iaitu al-Harith merupakan seorang dari kalangan Muhajirin terawal. Beliau sempat bertemu dan melihat Saad bin Abi Waqas. Beliau meriwayatkan (gurunya) sanadnya antaranya daripada Abu Said al-Khudri, Umair, Jabir bin Abdullah, Anas bin Malik, Qays bin Amru al-Ansari, Mahmud bin Lubayd, Aisyah r.a, Alqamah bin Waqqas, Bisr bin Said, Khalid bin Maᶜdan, Amir bin Saad, Abdullah bin Hunain, Abd al-Rahman bin Bajid, Urwah bin Abi al-Zubair, Ata’ bin Yasar, Isa bin Talhah, Muhammad bin Abdullah bin Zaid bin Abd Rabbah, Nafiᶜ bin Ajir, Abu al-Haitham bin Nasr bin Dahr, Malik bin Abu Amir, Muaz bin Abd al-Rahman al-Taymi, Abu Salmah bin Abd al-Rahman dan lain-lain. Mereka yang meriwayatkan darinya (muridnya) pula adalah anaknya sendiri Musa, kemudian Yahya bin Said al-Ansari, Abd Rabbah, Saad Banu Said al-Ansari, Muhammad bin Amru bin Alqamah, Hisyambin Urwah, Yazid bin al-Had, Yahya bin Abi Kathir, Ammarah bin Ghazyah, Ibnu Ishaq, al-Auzaᶜi, Humayd bin Qays al-Aᶜraj, Usamah bin Zaid al-Laithi dan lain-lain (Ibn Abi Hatim t.th: 184; al-Athqalani 1968: 5).
Ulama yang mengkategorikan beliau dalam kategori thiqqah pula adalah Ibn Muᶜayyan, Abu Hatim, al-Nasa’ie dan Ibn Kharash serta Yaᶜqub bin Shaibah. Berkata Muhammad bin Amru bahawasanya Muhammad bin Ibrahim atau gelarannya Abu Abdullah ini wafat pada tahun 120 Hijrah dan beliau adalah seorang yang thiqqah dalam meriwayatkan banyak hadith. Sebahagian ulama seperti Abu Hasan al-Ziyadi meriwayatkan bahawa beliau wafat pada 119 Hijrah dan sebahagian yang lain pula meriwayatkan 121 Hijrah. Sebahagian pendapat mengatakan beliau meriwayatkan hadith dari bapanya dan datuknya dan sebahagian lagi berpendapat tidak seperti Ibn Abi Hatim yang diriwayatkan dari Jabir. Sebahagian ulama juga berpendapat beliau mendengar hadith juga dari Ibnu Umar (tahzib tahzib : ). Dari Abd al-Rahman berkata Muhammad bin Ibrahim disebut oleh bapaku dari Ishaq bin Mansur dari Yahya bin Muᶜayyan bahawasanya beliau adalah seorang yang thiqqah (Ibn Abi Hatim t.th: 184; al-Athqalani 1968: 6-7).
4. Yahya bin Said
Nama sebenar beliau ialah Yahya bin Said bin Qays bin Amru bin Sahl bin Thaᶜlabah bin al-Harith bin Zaid bin Thaᶜlabah bin Ghanam bin Malik bin al-Najjar. Sebahagian pandangan mengatakan nama sebenar beliau adalah Yahya bin Said bin Qays bin Qahd tetapi pandangan ini ditolak Imam Ibn Hajar tetapi disebut oleh Imam Ibn Abi Hatim. Beliau digelar Yahya bin Said al-Ansari. Beliau meriwayatkan (gurunya) dari Anas bin Malik, Abdullah bin Amir bin Rabiᶜah, Muhammad bin Abi Imamah bin Sahl bin Hanif, Waqid bin Amru bin Saad bin Muaz, Abu Salmah bin Abd al-Rahman, ᶜAmrah binti Abd al-Rahman, al-Nuᶜman bin Abi ᶜIyyash, Said bin Musayyab, Ubadah bin al-Walid Ubadah bin al-Ṣamat, Adi bin Thabit, Amru bin Yahya bin Amarah, al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakr al-Siddiq, Ubayd bin Hunayn, Bishr bin Yassar, Abd al-Rahman ibn Waᶜlah al-Misri, Muhammad bin Ibrahim al-Taymi, Abu Zubir al-Makki, Hamid al-Tawil, al-Zuhri, Nafiᶜ maula Ibn Umar, Muhammad bin Yahya bin Hibban dan lain-lain. Mereka yang meriwayatkan darinya pula (murid) adalah al-Zuhri, Yazid bin al-Had, Ibnu Ajlan, Malik, Ibn Ishaq, Ibn Abi Zanb, al-Auzaᶜi, Talhah bin Masraf, Jarir bin Hazim, Ibrahim bin Ṭahman, Zuhair bin Muawiyyah, Said bin Abi Urubah, Shuᶜbah, Sufyan, Ibnu Juraij, Amru bin al-Harith, Falih bin Sulaiman, al-Laith bin Saad, Hashim, Abu Muawiyyah al-Dharir, Ibn Abi Zaidah, Yazid bin Harun, Abu Badr al-Shujaᶜ bin al-Walid, Jaᶜfar bin Aun dan lain-lain (Ibn Abi Hatim t.th: 147; al-Athqalani 1968: 221-222).
Imam Ibn Ṣaᶜad mengkategorikan beliau sebagai thiqqah dalam banyak riwayat hadith dan bagi beliau, hujahnya adalah thabit. Hammad bin Zaid berkata tidak pernah aku tinggalkan seorang yang lebih faqih dari Yahya bin Said (bermaksud tidak pernah ditemui seorang yang lebih faqih dari Yahya bin Said). Berkata Said bin Abd al-Rahman pula tidak pernah aku lihat seorang yang sangat menyerupai al-Zuhri selain dari Yahya bin Said, sekiranya tidak kerana mereka berdua nescaya banyak hadith akan hilang. Berkata Ibn al-Madini pula tidak terdapat di Madinah sesudah Kibar al-Tabiᶜīn lebih alim dari Ibn Shihab dan Yahya bin Said. Beliau merupakan seorang yang Sahabat yang besar dalam bidang hadith. Berkata pula Imam al-Laith bahawa Yahya bin Said merupakan seorang Ulama yang dimuliakan dan diutamakan di zamannya. Beliau sentiasa dilabelkan oleh ulama sebagai seorang yang alim, thiqqah, dhabt dan adil dalam bidang hadith. Al-ᶜAjli pula mengatakan bahawa Yahya bin Said adalah seorang yang sangat thiqqah dan seorang ulama yang soleh dan beliau merupakan seorang Qadhi. Selain itu Sufyan al-Thauri mengatakan pula bahawa Yahya bin Said al-Ansari merupaka Huffaẓ al-Nās. Yahya bin Mughirah pula mendengar dari Jarir mengatakan bahawasanya tidak pernah aku lihat dari kalangan Muhaddithin seorang manusia yang sangat cerdik dan mulia disisiku dari Yahya bin Said. Antara ulama ulama yang mengkategorikan beliau sebagai thiqqah adalah Ibnu Saad, Qatadah, al-Nasa’ie, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Muᶜayyan, Abu Hatim, Abu Zurᶜah dan lain-lain (Ibn Abi Hatim t.th: 148-149; al-Athqalani 1968: 222-224).
Sebahagian riwayat berpendapat bahawa beliau wafat pada 143 Hijrah. Riwayat ini dipegang oleh Ibn Said dan seorang lagi ulama. Sebahagian riwayat lain pula mengatakan bahawa beliau wafat sekitar tahun 144 hijrah. Riwayat ini pula dipegang leh Yazid bin Harun dan Amru bin Ali dan sebahagian lagi pendapat mengatakan beliau wafat pada 146 Hijrah. Ibn al-Madani berpendapat bahawa Yahya bin Said hanya mendengar hadith hanyalah dari Anas sahaja tetapi ditolak oleh al-Bard dengan berpendapat bahawa beliau juga mengambil hadith dari Said bin Musayyab dan Abu Hurairah r.a (Ibn Abi Hatim t.th: 148-149; al-Athqalani 1968: 223-224).
5. Malik bin Anas
Nama sebenar beliau adalah Malik bin Anas bin Abi Amir bin Amru bin al-Harith bin Uthman bin Ibn Jathil bin Amru bin al-Harith al-Asbahi Abu Abdullah al-Madani al-Faqih. Beliau merupakan seorang ulama fiqh yang sangat terkenal dan beliau adalah pengasas kepada mazhab Maliki. Beliau meriwayatkan (guru) dari Amir bin Abdullah bin Zubir bin al-Awwam, Nuᶜaim bin Abdullah, Zayd bin Aslam, Nafiᶜ maula Ibn Umar, Humayd al-Tawil, Said al-Maqbari, Abu Hazm, Salmah bin Dinar, Syarik bin Abdullah bin Abi Namr, Salih bin Kaisan, al-Zuhri, Safwan bin Salim, Rabiah bin Abi Abd al-Rahman, Abi Zinad, Ibn al-Munkadir, Abdullah bin Dinar, Abu Tuwalah, Abd Rabbah, Yahya bin Said, Amru bin Abi Amru, al-ᶜAla’ bin Abd al-Rahman, Hisham bin Urwah, Yazid bin al-Muhajir, Yazid bin Abdullah bin Khasifah, Abi al-Zubair al-Makki, Ibrahim, Musa, Ibni Uqbah, Ayyub al-Sakhtiyani, Ismail bin Abi Hakim, Humayd bin Abd al-Rahman, Jaafar bin Muhammad Sadiq, Humayd bin Qays al-Makki, Daud bin al-Husayn, Ziyyad bin Saad, Zaid bin Rabah, Salim Abi Nadhr, Suhail bin Abi Salih, Saifi Maula Abi Ayyub, Dhamrah bin Said, Abdullah bin Abu Bakr dan lain-lain yang disebut dalam kitab Taḥdhīb al-Taḥdhīb dan kitab al-Jarh Wa al-Taᶜdīl (Ibn Abi Hatim t.th: 204-205; al-Athqalani 1968: 5).
Antara ulama yang hidup sezaman dengan beliau adalah Imam al-Shafiᶜie, Ibn al-Mubarak, Ibn Wahab, Ibn al-Qasim, al-Qasim bin Yazid, Maᶜan bin Isa, Abu Ali al-Hanafi, Abu Nuᶜaim, Abu Asim, Abu al-Walid al-Ṭialisi, Ahmad bin Abdullah bin Yunus, Ishaq bin Isa bin al-Ṭibaᶜ, Bishr bin Umar al-Zahrani, Juwairiyyah bin Asma’, Khalid bin Mukhallad, Said bin Mansur, Abdullah bin Raja’ al-Makki, Yahyah bin Yahya al-Naisaburi, Abdullah bin Yusuf, Yahya bin Abdullah bin Bakir, Yahya bin Quzᶜah, Qutaibah bin Said, Abu Musᶜab al-Zuhri, Ismail bin Musa al-Fazari, Khalaf bin Hisham dan lain-lain (Ibn Abi Hatim t.th: 204-206; al-Athqalani 1968: 6).
Berkata Muhammad bin Ishaq, Muhammad bin Ismail al-Bukhari pernah ditanya tentang kesahihan sanad-sanad Imam Malik, jawabnya, Malik diambil dari Nafiᶜ dari Ibn Umar. Berkata Ibn al-Madani dari Uyainah, tidak terdapat kritikan yang kuat ke atas Malik dari sudut Rijalnya dan keilmuannya. Ibn Muᶜayyan pula berpendapat bahawa segala yang diriwayatkan dari Imam Malik adalah thiqqah kecuali melalui Abd al-Karim. Yahya bin Said berkata pula, tidak terdapat dalam satu kaum yang terlebih sahih hadithnya dari riwayat Malik iaitu riwayat dari dua orang Sufyan dan Malik. Malik pula lebih disukai dari Maᶜmar. Berkata pula Harb bin Ismail al-Karmani, aku berkata kepada Ahmad bin Hanbal, adakah Malik bin Anas lebih baik hadithnya dari Sufyan bin Uyainah atau al-Zuhri? Maka jawabnya, Malik lebih Sahih Hadithnya. Aku bertanya lagi, Maᶜmar pula? Jawabnya, Malik lebih utama dari Maᶜmar, dan Maᶜmar lebih banyak diambil hadithnya dari al-Zuhri (Ibn Abi Hatim t.th: 204-206; al-Athqalani 1968: 6-9).
Berkata Yahya bin Muᶜayyan bahawasanya Malik bin Anas adalah seorang yang thiqqah, dan beliau terthabit pada Nafiᶜ dari Ayyub, Ubaidillah bin Umar dan Layth bin Saad. Berkata Abd al-Rahman pula beliau mendengar dari bapanya, Malik bin Anas adalah seorang yang thiqqah, beliau merupakan Imam bagi penduduk Hijaz dan beliau adalah Ashab Imam al-Zuhri dan Ibn Uyainah, sekiranya terdapat khilaf di antara Malik dan penduduk Hijaz, maka ambillah pandangan Imam Malik, dan Malik adalah seorang yang sangat bersih dari sudut Rijal dan juga dari sudut hadithnya. Banyak ulama yang telah menthabitkan beliau dengan al-Zuhri dari sudut pengambilan hadith menunjukkan kesahihan sanad Imam Malik (Ibn Abi Hatim t.th: 204-206; al-Athqalani 1968: 6-9).
Dari Musᶜab al-Zubairi bahawasanya wafat Imam Malik pada bulan Safar tahun 179 Hijrah dan Malik merupakan seorang yang thabit thiqqahnya waraᶜnya faqihnya alimnya dan merupakan seorang yang thabit hujahnya. Pendapat dari Ismail bin Abi Uwais pula mengatakan bahawasanya secara tepatnya kewafatan Imam Malik adalah pada 14 Rabiᶜ al-Awwal tahun 179 Hijrah dan ketika wafatnya Imam Malik, umur beliau pada waktu itu adalah 85 tahun. Pandangan al-Waqidi pula mengatakan bahawa beliau wafat pada umurnya 90 tahun. Ada sebahagian pendapat mengatakan bahawa Imam Malik dilahirkan pada tahun 93 Hijrah (Ibn Abi Hatim t.th: 204-206; al-Athqalani 1968: 8).
Berkata Maᶜan bin Isa aku mendengar Malik berkata, sesungguhnya aku adalah manusia biasa yang hanya banyak melakukan kesilapan, apabila terdapat masalah maka rujuklah pada pandanganku, seandainya pandanganku itu bertepatan dengan sunnah maka ambillah ia. Dari Ayyub bin Ubaidillah bin Umar bahawa Imam Nasa’ie berkata, tidak ada disisiku seorang yang lebih mulia dari Imam Malik sesudah Tabiin, tidak ada yang lebih tinggi tarafnya dari beliau, tidak ada yang lebih yakin hadithnya dari beliau, tidak ada yang lebih sedikit kedhaifan riwayatnya dari beliau dan seterusnya. Dari Imam Malik ini juga terhasilnya ramai ulama-ulama muktabar antaranya Imam al-Shafiᶜie. Imam al-Tabari memuji beliau dengan mengatakan sesungguhnya aku mendengar Ibn Mahdi berkata, tidak pernah aku lihat seorang manusia yang lebih berakal (bijak) dari Malik. Ibn Hajar berkata bahawa manaqib Imam Malik adalah terlalu banyak dan penulisan-penulisan beliau juga adalah menjadi rujukan yang muktabar (Ibn Abi Hatim t.th: 204-206; al-Athqalani 1968: 8-9).
6. Abdullah bin Maslamah
Nama sebenar beliau adalah Abdullah bin Maslamah bin Qaᶜnab al-Qaᶜnabi al-Harithi Abu Abd al-Rahman al-Madani dan beliau tinggal di Basrah. Beliau meriwayat sanadnya (gurunya) dari bapanya sendiri, kemudian Aflah bin Humayd, Salmah bin Wardan, Malik bin Anas, Shuᶜbah, al-Laith, Daud bin Qays, Sulaiman bin Bilal, Zaid bin Aslam, Yazid bin Ibrahim, Nafiᶜ bin Umar, Ibn Akhi al-Zuhri, Nafiᶜ bin Abi Nuᶜaim al-Qari, Ibrahim bin Saad, Fudhail bin ᶜIyyaḍ, Hisham bin Saad, Yaaqub bin Muhammad bin Ṭahla’ dan lain-lain. Mereka yang meriwayatkan darinya (muridnya) pula adalah al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’ie, melalui perantaraan Ahmad bin al-Hasan al-Tirmizi, Abd bin Humayd, Amru bin Mansur al-Nasa’ie, Musa bin Hazam, Hilal bin al-ᶜAla’, al-Maimuni, Muhammad bin Abdullah bin Abd al-Hakim, Muhammad bin Ali bin Maimun, Abu Masᶜud al-Razi, Muhammad bin Sahl bin ᶜAskar, Abu Yahya al-Bazzar, Ahmad bin Sinan al-Qaṭṭan, Abu Zurᶜah, Abu Hatim, al-Zuhli, Yaᶜqum bin Sufyan, Yaᶜqub bin Syaibah, Ismail bin Ishaq al-Qadhi, Ali bin Abd al-Aziz al-Baghawi, Muaz bin al-Mathna, Abu khalifah al-Fadhl bin al-Hubab dan lain-lain (Ibn Abi Hatim t.th: 181; al-Athqalani 1968: 31-33).
Ibnu Said mengatakan bahawa beliau merupakan seorang yang mulia, mengambil ilmu dari Imam Malik dan menulisnya. Berkata pula al-ᶜAjli al-Basri bahawasanya beliau merupakan seorang lelaki yang thiqqah serta soleh dan Imam Malik membacakan separuh dari kitab muwaṭṭa’ itu kepadanya dan beliau pula membaca separuh lagi baki dari kitab tersebut kepada Malik pula. Berkata Abu Hatim beliau merupakan seorang yang thiqah hujjah. Ibn Abi Hatim pula berkata, bahawasanya aku berkata kepada al-Qaᶜnabi (Abdullah bin Maslamah) aku lebih menyukai engkau atau Ibn Abi Uways dalam muwaṭṭa’. Berkata pula Abd al-Ṣamad bin al-Mufaḍḍal al-Balkhi, tidak pernah aku melihat dari dua mataku orang yang seumpama dengan empat orang ini iaitu dua lelaki dari Iraq (tidak dinyatakan), Qaiṣah dan al-Qaᶜnabi (Abdullah bin Maslamah) (Ibn Abi Hatim t.th: 181; al-Athqalani 1968: 31-33).
Pandangan dari al-Bukhari mengatakan bahawa beliau wafat pada tahun antara 220 hingga 221 Hijrah. Manakala pandangan dari Abu Daud dan ulama lain pula mengatakan beliau wafat pada tahun 221 Hijrah pada bulan Muharram dan beliau wafat di Mekah. Ini juga disebut dalam kitab Tarikh Abu Musa al-Zaman. Mutin pula menyebut bahawa Abdullah bin Maslamah wafat ketika dalam perjalanan ke Mekah akan tetapi Ibn Adi dan Ibn Hibban mengatakan bahawa beliau wafat di Basrah iaitu di tempat tinggalnya sendiri (Ibn Abi Hatim t.th: 181; al-Athqalani 1968: 31-33).
Berkata Imam Ibn Qaniᶜ Basri bahawasanya Abdullah bin Maslamah merupakan seorang yang thiqqah dan dikatakan pula bahawasanya Bukhari dan Muslim banyak meriwayatkan hadith darinya. Dari bukhari meriwayatkan darinya sebanyak 123 hadith dan Imam Muslim pula meriwayatkan hadith darinya sebanyak 70 buah hadith. Ibn Hibban meriwayatkan bahawa beliau merupakan seorang yang bertaqwa dalam ilmu hadith (Ibn Abi Hatim t.th: 181; al-Athqalani 1968: 31-33).
KESIMPULAN
Hadis yang telah dikemukakan adalah hadis mengenai gesaan setiap amalan yang dilakukan hendaklah disertakan dengan niat. Niat ini bertujuan untuk mengetahui untuk siapakah seseorang itu beramal, sebagai mana di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w telah memberikan contoh mengenai penghijrahan orang-orang Islam dari Mekah ke Madinah, yakni sama ada seseorang itu berhijrah kerana Allah, atau kerana habuan dunia, ataupun kerana seorang perempuan.
Hadis mengenai amalan perlu disertakan dengan niat ini, penulis telah mengemukakannya dari sumber-sumber yang berlainan iaitu dari Sahih Bukhari dalam Kitab al-Imam, Kitab al-‘Itq dan Kitab Bad’a al-Wahy, Sunan Tarmidhi dalam Kitab Fadhai al-Jihad, serta dari Musnad Ahmad bin Hanbal dalam Musnad al-Ashrah al-Mubasyirin bi al-Jannah. Kesemua sumber-sumber ini meletakkan matan yang sama, tetapi berbeza dari segi perawi yang meriwayatkan hadis ini. Setelah dilakukan penelitian terhadap perawi-perawi hadis ini dengan mengambil satu contoh turuq sahaja, kesemua perawi ini adalah seorang yang “thiqah” di mana ia menjadi syarat terpenting dalam penerimaan sesuatu hadis. Maka jelaslah bahawa hadis mengenai sesuatu amalan itu perlu disertakan dengan niat ini terletak di dalam ketegori hadis sahih.
RUJUKAN
Al-Bukhari, Muhammad Bin Ismail Abu Abdullah. 1987. Ṣahīh al-Bukhāri. 6 Juz. Bayrut: Dar Ibn Kathir
Ahmad Bin Hanbal, Abu Abdullah al-Syaibani. 1946. Musnad al-Imām Ahmad Bin Hanbal. 6 Juz. Bayrut: Maktab al-Islami.
Al-Tirmidhi, Muhammad bin Isa Abu Isa al-Tirmidhi al-Salmi. 1999. al-Jāmiᶜ al- Ṣahīh Sunan al-Tirmidhi. 5 Juz. Al-Qahirah: Dar al-Hadith.
Al-Athqalani, Ahmad bin Ali Ibn Hajar. 1968. Taḥdhīb al-Taḥdhīb. 12 Juz. Bayrut: Dar Sadir.
Ibn Abi Hatim, Abi Muhammad Abd al-Rahman. T.th. Kitāb al-Jarh Wa al-Taᶜdīl. Haydar Abad: Matbaah Majlis Da’irah al-Maᶜarif al-ᶜUthmaniyyah.
nota kaki
1. Al-Bukhari. Sahīh al-Bukhāri. Kitab al-Īmān. Bab Mā Jā’a Anna al-Aᶜmāl Bi al-Niyyāt al-Hasanah Wa Likulli Imri’in Mā Nawā.
2. Al-Bukhari. Sahīh al-Bukhāri. Kitab al-ᶜItq. Bab al-Khaṭa’ Wa al-Nisyān Fi al-ᶜIt āqah Wa al-Ṭalāq Wa Nahwuhu Wala ᶜItāqah Illa Li Wajh.
3. Ahmad Bin Hanbal. Musnad. Musnad al-ᶜAshraḥ al-Mubashshirīn Bi al-Jannah. Musnad ᶜUmar Ibn al-Khattāb Radhiyallah ᶜAnḥ.
4. Al-Tirmidhi. Sunan al-Tirmidhi. Kitab Fadhā’il al-Jiḥad. Bab Fīman Yuqātil Riyā’ Wa Li al-Duniyā
5. Al-Bukhari. Sahīh al-Bukhāri. Kitab Bad’a al-Wahy. Bab Kaif Kāna Bad’a al-Wahy Ilā Rasūl Allah Ṣallallahu ᶜAlaih Wa Sallam.
Sebuah Penyampaian Data Ilmiyyah Berbentuk Deskriptif Bukan Hanya Omongan Kosong
Ucapan Salam Pendahulu Bicara
Friday, November 18, 2011
kajian terhadap sanad dan Turuq hadith bertajuk انما الأعمال بالنيات
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment