Ucapan Salam Pendahulu Bicara

Friday, November 18, 2011

Konsep Asceticism dalam Hinduism

ABSTRAK

Asceticism adalah satu bentuk atau cara pengabdian diri seorang hamba kepada tuhannya. Sebahagian agama yang tidak mempunyai tuhan pula, asceticism dilakukan untuk mencapai salvation mengikut ajaran yang digariskan oleh agama masing-masing. Ianya ditafsirkan mengikut kesesuaian satu-satu agama dan penafsiran tentang asceticism ini seringkali mempunyai perbezaan yang tersendiri. Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk mengkaji bentuk-bentuk amalan asceticism yang diajarkan dalam agama Hindu sebagaimana yang didapati dalam kitab mereka iaitu Veda dan juga sebagaimana yang telah disusun dan ditafsirkan oleh Patanjali dalam Yoga Sutra beliau. Metodologi yang digunakan dalam kajian ini adalah berbentuk kajian kepustakaan dan penulis hanya mengkaji berdasarkan penulisan-penulisan yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh agama Hindu. Hasil kajian ini mendapati bahawa terdapat berbagai-bagai bentuk asceticism yang telah diajarkan dalam agama Hindu khususnya sebagaimana yang telah disusun oleh Patanjali dalam Yoga Sutra. Bentuk-bentuk yang dapat dilihat aspek asceticismnya secara jelas dalam agama Hindu adalah dalam Yoga dan juga lapan jalan yang digariskan oleh Patanjali.

ABSTRACT

Asceticism is a form or way of devotion of a servant to his god. Some religion has no god anyway, asceticism made to achieve salvation doctrine outlined by following their respective religions. It was interpreted in conformity following the interpretation of one religion and asceticism which often has its own distinction. The purpose of this study was conducted to examine the forms of asceticism practices taught in the Hindu's religion as found in their books namely Vedas and also as it has been compiled and interpreted by Patanjali in his Yoga Sutras. The methodology that used in this study is a form of literature review and the authors studies assessing only based on writings produced by the Hindu religious figures. The results of this study found that there are various forms of asceticism has been taught in the Hindu’s religion, especially as it has been compiled by Patanjali in the Yoga Sutras. The asceticism forms which can be seen clearly in her asceticism aspects of Hindu's religion is in Yoga and also eight path outlined by Patanjali.

Kata Kunci: Asceticism, Patanjali, Yoga, Yoga Sutra, dan Hinduism.

PENDAHULUAN

Asceticism merupakan satu amalan yang biasa dilakukan dalam semua jenis agama. Sekilas pandang, ianya hampir sama dalam banyak aspek yang ditekankan dalam setiap agama. Tetapi sebenarnya, hakikat asceticism ini adalah ianya mempunyai perbezaan dan nilai yang tersendiri mengikut agama tersebut. Bagi kebanyakan agama pula, asceticism merupakan mekanisma bagi seorang penganut agama untuk mencapai Tuhan atau Sesuatu Yang Mutlak (Absolute Thing, Enlightment, Holiness, atau apa-apa sahaja istilah), tetapi tidak kurang juga amalan asceticism ini yang diajarkan bagi sebahagian agama tidaklah bertujuan untuk mencapai tuhan tetapi adalah untuk mencapai salvation sebagaimana ajaran Buddha. Ada sebahagian dari agama atau golongan yang mengamalkan asceticism dalam bentuk hanya sekadar menafikan kehendak jasmani dengan bentuk-bentuk ritual dan penafian terhadap makanan, minuman, pakaian dan lain-lain. Akan tetapi ada juga sebahagian kelompok yang mengamalkan asceticism dalam bentuk yang lebih ekstrim iaitu dengan menyiksa diri serta melakukan pengorbanan terhadap jasad mereka (Salamone, Frank A. (ed.) 2004: 35). Begitu juga tidak kurang juga ada sebahagian agama atau mazhab dalam agama yang menyebut bahawa aspek asceticism hanyalah sekadar sesuatu yang dilakukan ringkas sahaja tanpa melakukan bentuk-bentuk ritual atau aspek penafian kehendak jasad dan nafsu.

Kalimah asceticism adalah berasal dari perkataan Greek askēsis yang membawa maksud latihan atau Exercise, Training, Practice. Golongan atlit pada zaman Greek contohnya, menyesuaikan diri mereka dalam satu bentuk latihan yang benar-benar sistematik untuk mencapai matlamat yang diingininya atau untuk mencapai kekuatan fizikal. Akan tetapi ianya ada sedikit perbezaan jika di aplikasikan perkataan ini dalam aspek falsafah, spiritual, dan etika. Ianya bukan lagi hanya tertumpu dalam bentuk latihan jasmani sahaja, tetapi lebih menjurus kepada rohani juga. Kehendak, keinginan, jiwa, minda dan sebagainya juga akan memainkan peranan dalam usaha untuk mencapai matlamat yang telah digariskan (Eliade M. (ed.) 1987: 441).

Asceticism juga membawa maksud penafian kehendak nafsu, penyiksaan terhadap jasad, penghijrahan, diet yang khusus dan lain-lain. Dari sudut istilah pula ianya adalah satu bentuk ritual dalam usaha mendaki untuk mencapai sesuatu yang transcendence dan juga proses mengeluarkan diri dari hidup bermasyarakat melalui pengawalan jasmani yang sistematik, dan spiritual, dengan tujuan untuk mencapai matlamat yang tertinggi dalam dunia yang lain.

Mengenai asal-usul asceticism pula, asceticism mula ditemui di amalkan oleh masyarakat primitif. Kebanyakan bentuk asceticism seperti menahan lapar, menahan keinginan seks, pengasingan diri dan lain-lain sudah mula diamalkan sejak zaman primitif lagi. Tujuan dilakukan bentuk-bentuk asceticism ini adalah untuk menghalang atau mengeluarkan pengaruh kuasa jahat yang datang dalam masyarakat mereka. Sebagai contohnya, dalam kepercayaan masyarakat primitif, kuasa jahat boleh masuk ke dalam jasad seseorang manusia ketika mereka makan, oleh itu untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku, seseorang menahan kelaparan dalam satu-satu tempoh atau mereka menahan diri dari jenis-jenis makanan yang tertentu bagi mengurangkan cara kemasukan roh jahat tersebut. Dikalangan masyarakat Amerika-India pula, mereka juga mengamalkan asceticism seperti contohnya ada amalan tertentu yang mereka lakukan ketika sampai waktu baligh seseorang dalam masyarakatnya. Ini adalah bagi membangkitkan atau meningkatkan ilham ketika tidur, atau mencipta bayangan (vision) semangat penjaga kepada kanak-kanak yang baru baligh tersebut. Sungguhpun begitu masih ada lagi pertikaian mengenai asal-usul asceticism di zaman primitif sama ada ianya dikategorikan sebagai satu aspek asceticism atau pun tidak (Eliade M. (ed.) 1987: 441).

Antara tujuan sebenar untuk asceticism ini, iaitu dengan cara meninggalkan rumah dan hidup bersendirian, tidak berkahwin, menyeksa diri, dan lain-lain adalah bergantung kepada ajaran sesuatu agama. Asceticism dalam Kristian bertujuan untuk meniru gaya hidup yang diamalkan oleh Jesus sepanjang hidupnya. Asceticism dalam Hindu pula bertujuan untuk mencapai matlamat spiritual iaitu membebaskan diri dari proses kelahiran semula. Kesemua tujuan ini adalah berasaskan dari ajaran-ajaran yang telah digariskan dalam agama masing-masing dan bentuk-bentuk ritualnya juga berasaskan kepada ajaran masing-masing (Michaels, Axel & Harshav, Barbara 2004: 315).

BENTUK-BENTUK ASAS ASCETICISM SECARA UMUM

Bentuk-bentuk asas asceticism yang secara umumnya wujud dalam setiap agama ada beberapa perkara. Tetapi dalam setiap agama ianya mempunyai juga beberapa bentuk amalan asceticism yang berbeza. Contohnya seperti Hindu mereka mengamalkan asceticism dalam perayaan Thaipusam seperti menarik Kavadi (sejenis tempayan besar yang diisi sesuatu) menggunakan dawai yang telah dicucuk pada hidung. Manakala dalam Buddha pula adalah dengan bentuk yang mempunyai ciri khusus terhadap amalan asceticism dalam satu-satu agama. Perkara yang paling asas dalam bentuk ritual asceticism yang boleh dikatakan wujud dalam semua agama (yang mempunyai unsur Mistik) adalah pertamanya natural asceticism dan yang keduanya spiritual asceticism. Bagi mereka yang mengamalkan ritual natural asceticism ini, mereka hanya ingin meningkatkan kemampuan mental dan fizikal mereka dengan tujuan yang tertentu dan bersifat peribadi. Sebagai contohnya Pythagoras iaitu seorang ahli falsafah Greek berusaha untuk membebaskan diri mereka dari emosi dan kehendak (natural asceticism). Walaubagaimanapun usaha ini adalah lebih kecenderungannya menuju kepada pemikiran falsafah dan bukannya menjurus kepada bentuk ritual yang cenderung kepada keagamaan. Spiritual asceticism pula mempunyai perbezaan. Sebagai contohnya dalam agama Kristian pula, kitab Bible memberikan contoh tentang Rechabites, satu kumpulan Yahudi kuno yang mengamalkan asceticism dengan cara bersumpah untuk berhenti dari pengambilan arak. Dalam Buddha pula Siddharta Gautama mengamalkan Spiritual asceticism dalam bentuk yang ekstrim sedikit, tetapi beliau mendukung metodologi jalan pertengahan untuk meningkatkan keseimbangan dan keharmonian, sebagai contohnya beliau tidak makan dan tidak minum serta menyeksa jasadnya dengan beberapa bentuk asceticism yang lain. Setelah beliau mendapat pencahayaan beliau membentuk satu komuniti monastic yang yang dikenali dengan nama Sangha (Salamone, Frank A. (ed.) 2004: 35). Banyak lagi contoh yang lain tentang bentuk-bentuk asceticism ini seperti mana yang diamalkan agama Buddha, Islam, Hindu dan lain-lain, antaranya:

1. Menahan Lapar

Antara perkara yang biasa dalam bentuk-bentuk asceticism yang wujud adalah menanggung keperitan menahan kelaparan (Fasting). Menahan lapar ini ditemui hampir dalam kesemua agama yang mengamalkan asceticism dalam bentuk ini. Ianya termasuk menahan lapar, dahaga, dan menafikan kemahuan diri (self-denial). Dalam sesetengah kes, maksud Fasting yang hendak dibicarakan adalah mengelakkan diri dari makan dan minum, kekayaan dan pengambilan alkohol atau arak. Sebagai contohnya Roman-Katolik menahan makan dalam tempoh 40 hari dan tempoh ini dikenali sebagai Lent (pinjaman), dan amalan ini dilakukan setiap tahun. Ianya melibatkan pengharaman terhadap makanan (sebahagian jenis makanan). Dalam kebanyakan agama bentuk-bentuk ritual biasanya melibatkan pengharaman terhadap makanan sepertimana yang dijelaskan di atas. Dalam bentuk ritual pula menahan lapar ini pada asalnya adalah berbentuk yang membawa makna aktiviti keagamaan, akan tetapi dalam dunia sekarang ianya sudah ditafsirkan dalam sekop yang luas yang membawa makna social protest (Salamone, Frank A. (ed.) 2004: 37).

2. Penafian Terhadap Seksualiti

Satu bentuk lain lagi yang biasa diamalkan dalam ritual asceticism adalah penafian terhadap kehendak seks (celibacy). Ianya bergantung pada satu-satu agama, sebahagiannya menyuruh hidup secara bersendirian ini dalam satu-satu tempoh yang lama dan ada sebahagiannya dalam satu-satu tempoh yang sementara sahaja. Sebagai contohnya dalam agama hindu dan Buddha, untuk mencapai salvation atau Union mereka mesti mengawal diri dari keinginan melakukan seks dan dalam Hindu pula mereka diarahkan untuk tinggal dalam hutan seorang diri tanpa teman. Sebaliknya sebahagian agama menggalakkan hanya dalam satu tempoh tertentu. Dalam kepercayaan Hindu penafian terhadap seks ini adalah untuk memindahkan tenaga seks ini kepada tenaga spiritual dan kerana itu mereka yang sedang dalam proses menuntut ilmu agama mesti manefikan diri dari melakukan seks. Dalam sesetengah keadaan pula, usaha untuk berada dalam situasi penafian seks ini boleh mencapai satu tahap yang lebih ekstrim. Contohnya seorang ketua Kristian pernah memandulkan dirinya untuk memastikan dirinya tidak mempunyai keinginan lagi untuk melakukan seks. Sebelum ini perlakuan memandulkan diri dalam memastikan tiada keinginan seks dilakukan secara meluas dikalangan pengikut pada abad ke 3 masehi. Tetapi pada abad-abad yang terkemudian, ianya adalah satu perbuatan yang ditolak oleh golongan Kristian (Salamone, Frank A. (ed.) 2004: 37).

3. Penyiksaan Diri (Self-Mutilation)

Pelakuan memandulkan diri seperti yang dijelaskan diatas juga boleh dikategorikan dalam asceticism bentuk ini. Bagi gereja kristian pada abad pertengahan pula, sesetengah bentuk asceticism yang diamalkan ialah dengan penyiksaan terhadap diri, dan dari bentuk asceticism yang dilakukan ini lahir berbagai-bagai pemujaan pula yang telah dijadikan salah satu upacara keagamaan. Gereja yang terawal dahulu, mereka menerima perbuatan merotan atau melibas diri sebagai salah satu metodologi asceticism dengan tujuan untuk menebus dosa. Akan tetapi ketika abad ke-14 satu kelompok yang suka melibas (mencambuk) diri mereka mula muncul. Kumpulan ini mula melakukan pengembaraan ke Eropah dan berhenti di kawasan awam lalu melibas-libas diri mereka sendiri (dengan tujuan untuk menebus dosa). Sungguhpun perbuatan mereka ini ditentang keras oleh golongan sekular tetapi mereka tetap kekal. Antara contoh bentuk asceticism dalam ritual yang lain adalah seperti ketika Ngan Kin Jeh (Festival Vegetarian Cina) di Thailand. Mereka menebuk diri mereka dengan benda tajam seperti kapak sehingga menembusi jasad mereka (Salamone, Frank A. (ed.) 2004: 38).

4. Hidup Bersendirian Tanpa Bergaul Dengan Masyarakat (Solitary)

Bentuk ritual dalam asceticism juga boleh dipecahkan kepada 2 bentuk lagi iaitu amalan yang dilakukan secara bersendirian (individual) ataupun dalam bentuk kelompok (group). Salah satu bentuk yang biasa lagi dalam amalan asceticism adalah pengasingan diri dari dunia luar. Malah ianya adalah termasuk dalam salah satu aspek asceticism yang sangat biasa dilakukan dalam cara hidup para pengamal asceticism. Melalui pengasingan diri dari hubungan dengan dunia luar ini (bertapa), mereka mampu untuk menumpukan sepenuh perhatian dalam mendalami agama. Contoh-contoh agama yang mengamalkannya adalah seperti Buddhism dan Christian seperti St. Anthony. Kebiasaannya ketika pertapaan ini berlaku, mereka diasingkan dalam sebuah bilik di gereja dan hidup sebagai seorang pertapa serta mengamalkan bentuk-bentuk asceticism yang lain. Pengasingan dari hubunga dengan dunia luar ini adalah dikategorikan juga sebagai salah satu bentuk tertinggi dalam asceticism dan pengamalannya terhadap aspek keagamaan dalap kehidupannya adalah bersifat menyeluruh dan berterusan. Dalam kata yang lain, gaya hidup bersendirian telah menjadi salah satu bentuk ritual keagamaan yang berterusan sehingga ke hari ini (Salamone, Frank A. (ed.) 2004: 35-36).

Bentuk-bentuk asceticism yang telah disebut di atas hanyalah sebahagian sahaja yang lazimnya wujud dalam amalan masyarakat yang menganut fahaman masing-masing. Ianya adalah beberapa bentuk yang sangat umum yang lazimnya terdapat dalam banyak agama untuk mereka mencapai apa yang disebut sebagai Salvation (Eliade M. 1987: 442). Apa yang hendak ditekankan dalam perbincangan ini adalah amalan asceticism yang berlaku dalam masyarakat Hindu. Mereka mempunyai satu bentuk ajaran yang khusus yang terdapat dalam Kitab Suci mereka tentang amalan asceticism bagi mencapai Moksha. Jika tidak dibuat amalan asceticism ini dan tidak berusaha keras serta tidak mengorbankan diri mereka, maka mereka selamanya tidak akan mencapai Moksha dan jiwa mereka akan sentiasa tidak bebas dan proses re-incarnation (samsara) akan sentiasa berlaku (Michaels, Axel & Harshav, Barbara 2004: 316).

ASCETICISM DALAM AGAMA HINDU

Spirit atau semangat asceticism, kehidupan asceticism, atau mekanisma asceticism sudah terbukti tentang kewujudannya dalam kitab-kitab Hindu. Dalam beberapa bahagian dalam Kitab Rig Veda, ianya juga banyak menerangkan berkenaan asceticism yang seharusnya diamalkan oleh masyarakat Hindu. Sungguhpun begitu, penjelasan mengenai asceticism dalam Veda tidaklah begitu banyak dibicarakan, bahkan sumber utama berkaitan perbincangan asceticism dalam Hindu banyak diambil dari kitab Upanishad (penafsiran dari Veda). Sungguhpun sebegitu, puisi-puisi yang terdapat dalam kitab Veda Hindu tidak juga ditinggalkan yang mana di dalamnya juga menggambarkan bentuk-bentuk asceticism yang begitu ekstrim. Contoh-contoh gambaran asceticism yang wujud dalam Kitab Veda adalah (Mariasusai Dhavamony 1982: 375-376):

The long-haired supports the fire,
The poison-fluid, and heaven and earth,
He is the entire sky to look upon,
The long-haired is called the light.
The munis, clad with the wind,
Wear (garments) soiled, of yellow hue,
After the wind’s course they follow,
When once the gods have entered them.

Transpored with the ecstasy,
Of ascetics we mount the winds,
Ye, mortal men, are able now,
To see our bodies alone.

He flies through regions in the air,
Beholding all the various forms,
The ascetic, who was made a friend,
Of every God for the holy work

The steed of Vata, Vayu’s friend,
The muni, empelled by the gods,
In both the oceans hath his home,
In eastern and in western seas.

Trading the path of sylvan beast,
Gandharvas and Apsarasas,
The long-haired knows their thoughts,
Their sweet and most stimulting friend.

Vayu has agitated for him; for him,
He breaks things most hard to bend,
When he, the long-haired, has drunk,
With Rudra from the poison-cup.

Sungguhpun begitu amalan-amalan asceticism lebih banyak diperlihatkan ajarannya dalam kitab Upanishad. Dalam Upanishad ia mengajarkan bahawa jiwa manusia (atman) adalah salah satu daripada bentuk yang terjadi daripada emanasi Brahma. Shankara menegaskan bahawa sebenarnya atman (jiwa manusia) dan Brahman (tuhan) adalah benda yang satu dan kehidupan material ni hanyalah suatu bayangan sahaja (Fisher, Mary P. 1997: 80). Atman dan Brahman perlu disatukan (Moksha) bagi membebaskan diri dari proses kelahiran semula. Dalam hal ini, atman perlu disedarkan bahawa ianya adalah Brahman. Dalam usaha untuk membebaskan jiwa manusia (atman) dari kesengsaraan kelahiran semula, ianya adalah melalui proses untuk menyedarkan atman bahawa ianya adalah Brahman, dan proses-proses yang perlu dilalui oleh seorang manusia untuk mencapainya adalah dengan jalan asceticism (Mariasusai Dhavamony 1982: 376). Dalam Hinduisme, jenis-jenis asceticism wujud dalam berbagai-bagai bentuk dan jenisnya adalah banyak. Ianya termasuk asceticism yang dinamakan sebagai saṃnyāsin, yogin (yoga), Hindi bābā, sādhu dan lain lain. Aspek asceticism yang hendak dibincangkan pada kali ini adalah berkaitan yoga.

Sejak dari dahulu lagi masyarakat di benua India mengamalkan latihan disiplin spirtual yang dibentuk untuk mengosongkan pemikiran dan mencari ketenangan serta untuk mencapai kesedaran. Ianya adalah satu keinginan untuk mencapai keseimbangan, kesucian, kebijaksanaan dan ketenangan yang tertinggi dalam minda, dan usaha ini dinamakan sebagai sattvic (James Hastings 1974: 832). Keinginan-keinginan di atas adalah sama sekali berbeza dengan situasi yang berlawanan dengannya iaitu minda yang aktif dan gelisah ataupun lesu dan suram. Latihan untuk meningkatkan kualiti sattvic tadi dikenali atau lebih dikenali sebagai yoga (Fisher, Mary P. 1997: 80). Yoga adalah perkataan sanskrit yang membawa maksud ikatan atau dalam inggerisnya disebut yoke (union). Yoga merupakan salah satu gambaran perwatakan milik Tuhan India (Shiva) yang dilihat duduk secara bersilang kaki. Bagi mereka yang mengamalkan asceticism dalam agama Hindu, mereka digelar sebagai Yogi (Hinnells, John R. & Sharpe, Eric J. (ed.) 1972: 20).

Yoga mempunyai berbagai-bagai jenis pula dan sukar untuk menentukan mana asalnya dari ajaran Hindu. Ianya berbeza mengikut mazhab-mazhab yang wujud dalam Hindu dan bergantung juga pada aliran pemikiran asceticism dalam Hindu. Contohnya amalan asceticism dalam saṃnyāsin, ianya melibatkan beberapa bentuk yoga seperti Brahmachari, Grahastha, Vanapranastha dan Sannyasa (Wangu 1991: 108-110). Dalam yoga juga begitu, ianya mempunyai berbagai-bagai bentuk dan jenis bergantung kepada kehendak individu untuk mencapai union dari jenis yang mana dan jenis-jenis yoga ini pula ada juga yang bersifat gabungan kombinasi antara satu yoga dengan yoga yang lain seperti mantra-yoga, laya-yoga dan karma-yoga (Pott P. H. 1966: 3). Tetapi bentuk-bentuk yoga yang diamalkan secara asasnya mempunyai empat jenis berdasarkan empat kehendak yang diinginkan orang yang mengamalkan yoga.

1. Raja Yoga

Bagi mereka yang suka bertafakur, mereka mengamalkan yoga jenis ini yang mana ia menekankan metodologi penumpuan terhadap mental. Raja yoga adalah bertujuan untuk mencapai kesedaran yang tinggi. Sebahagian sarjana berpendapat bahawa yoga diperkenalkan suatu ketika dahulu iaitu ketika zaman Neolitik dan telah dipraktikkan dalam budaya tamadun Lembah Indus lagi. Ketika tahun 200 ratus sebelum Masehi, seorang yogi yang dikenali dengan nama Patanjali telah menggambarkan satu sistem untuk mencapai kesedaran yang tinggi iaitu dengan melalui teknik yoga (Fisher, Mary P. 1997: 81).

Dalam yoga ini kita bertemu dengan eight limbed path yang disebut oleh Patanjali. Patanjali telah membezakan lapan perkara bagi seorang yogi iaitu pengekangan (yama) disiplin (niyama), penyesuaian fizikal atau posture (asana), kawalan pernafasan (pranayama), pembebasan aktiviti deria dari didominasi atau dikuasai oleh objek material (pratyahara), penumpuan (dharana), meditasi (dhyana), dan keasyikan dalam suatu keadaan yang tenang (samadhi). Prinsip moral dan etika yang membentuk cabang yang pertama dalam amalan seorang yogi adalah kebenaran, tidak melakukan kekerasan, tidak mencuri, pengwalan nafsu, tidak mempunyai keinginan, kebersihan, bersifat puas hati terhadap apa yang sudah ada (contentment), menghapuskan keghairahan, belajar sendiri dan pembaktian diri pada tuhan (Fisher, Mary P. 1997: 82).

Setelah itu yoga dimulai dengan asana iaitu latihan dalam bentuk kedudukan jasad yang betul supaya menyucikan jasad jasmani disertai dengan membangunkan kemampuan minda untuk tujuan penumpuan. Aturan pernafasan (pranayama) juga digunakan dengan tujuan untuk membetul dan menenangkan urat saraf dan meningkatkan kelengkapan dan bekalan dari badan iaitu prana, atau tenaga hidup (life energy) yang bersifat tidak nampak (invisible). Pernafasan merupakan kunci untuk pengawalan aliran tenaga hidup dan penyerapan kehalusan aliran tenaga sekeliling kepada jasad fizikal. Caranya adalah dengan melalui jalan chakras (series of chakras), atau dikenali dengan pusat tenaga halus atau tajam (subtle energy centres), dalam tulang belakang. Kundalini pula adalah merujuk kepada satu tenaga yang tersembunyi yang terletak pada asas tulang belakang. Kedudukannya melingkari tulang belakang tersebut seolahnya seperti ular membelit sesuatu. Banyak bentuk-bentuk latihan yoga dibangunkan semata-mata untuk membebaskan tenaga kundalini ini semata-mata untuk mencapai pencerahan. Secara ideologinya bagi masyarakat Hindu, mereka percaya bahawa pembukaan chakra (tenaga) yang tertinggi, membawa kita mencapai kebahagiaan bersatu dengan Tuhan. Kemuncak chakra adalah digambarkan sebagai ribuan kelopak bunga teratai yang berkilauan dengan cahaya (Claire, Thomas 2004: 37; Fisher, Mary P. 1997: 82) .

Penambahan terhadap latihan yoga ini (latihan menggunakan tubuh dan pernafasan) pula adalah diselitkan dengan idea yang lain iaitu latihan suara yang berkaitan dengan agama mereka dan sebahagian bunyi-bunyian yang dikeluarkan adalah bunyi-bunyian yang dianggap suci. Ianya dikatakan merupakan juga sebahagian dari kemahiran amalan yang dilakukan oleh yogi kuno yang digelar sebagai mantras (sacred formulas). Ianya menjelaskan satu aspek tentang ketuhanan dalam susunan kata-kata dan getaran suara yang dilakukan itu. Bunyi mantras itu dipercayai adalah bertujuan membangkitkan The Reality dan bahasa yang digunakan dalam formula mantra ini pula adalah bahasa Sanskrit. Ianya dianggap suatu penciptaan semula terhadap susunan suara yang sebenar tentang objek, perbuatan, kualiti yang mana ianya didengari oleh dewa-dewa dalam meditasi. Sebahagian getaran suara yang dikatakan dijaga adalah suara tuhan yang tidak mampu didengari melalui gegendang telinga kita yang biasa (Fisher, Mary P. 1997: 82).

Teriakan dan suku kata sebutan suci yang diulang-ulang ini adalah dikatakan untuk mengekalkan minda pemuja kepada kewujudan Dewa Tanah. Masyarakat India mengibaratkan minda manusia ini dengan belalai gajah yang mana ianya sentiasa bergerak melibas ke sana dan kesini tanpa kerehatan dan ketenangan. Akan tetapi jika ianya diberi sesuatu untuk dipegang pada belalainya, maka ianya akan tegak tanpa bergerak walau sedikit pun seolahnya ia memberi penumpuan yang sangat tinggi dalam memegang benda tersebut. Oleh itu tugas mantra adalah memberikan ketenangan pada minda suatu objek penumpuan, secara tenang minda akan memberikan fokus yang tinggi dengan penumpuan terhadap satu perkara sahaja. Jika mantra itu diberi penumpuan yang sangat tajam, maka mantra itu juga mampu menjadikan seseorang itu merasakan kehadiran dewa dan mendapatkan restu darinya (Fisher, Mary P. 1997: 82).

Selain itu juga, cara untuk mendapatkan penumpuan sepenuhnya dalam mendidik minda yang bebas dari kecelaruan adalah dengan membuat penumpuan sepenuhnya terhadap bentuk visual. Sebagai contoh terbaik yang biasa dilakukan yogi adalah melihat nyalaan api dari sebatang lilin, melihat gambar wali-wali mereka atau guru, melihat symbol OM (tuhan), atau digelar sebagai yantra. Yantra bermaksud melihat satu gambaran linear dengan simbol-simbol mutasi yang kompleks. Yantra yang besar juga direka dengan penuh warna-warni bagi tujuan ritual berbentuk jampi-jampi terhadap satu-satu tuhan (Fisher, Mary P. 1997: 82-83).

2. Jnana Yoga

Jnana adalah perkataan sanskrit yang bermaksud kebijaksanaan atau pengetahuan. Jnana yoga pula dikenali dengan yoga tentang kebijaksanaan (Yoga of Wisdom). Dalam kebanyakan yoga yang diketahui, yoga jenis inilah yang memberikan tumpuan setinggi-tingginya terhadap aktiviti mental. ‘Jnanin’ iaitu orang yang mempraktikkan Jnana yoga mencari union dengan jalan membezakan kuasa mental untuk mencari perbezaan sesuatu yang nyata dalam sesuatu yang tidak nyata, mencari diri yang terbatas dalam sesuatu unsur yang tidak terbatas iaitu punca dan sumber bagi segala kewujudan (tuhan). Maka metodologi meditasi (pertapaan) merupakan satu jalan yang sangat berpengaruh dalam pengamalan Jnana Yoga ini (Claire, Thomas 2004: 35).

Bagi mereka yang menggunakan rasional akal maka Jnana yoga adalah amalan mereka. Ianya adalah satu amalan yoga yang memerlukan kepada minda rasional. Jnana Yoga hanya mengambil kekuatan minda yang rasional dan tidak berusaha untuk mencapai tahap yang lebih dari itu melalui latihan kosentrasi (penumpuan). Melalui yoga jenis ini, kejahilan diambil kira sebagai suatu punca kepada segala masalah yang wujud. Menurut mereka yang berada dalam golongan ini, asas kejahilan adalah idea tentang diri kita sendiri sebagai seorang yang telah dipecahkan dari The Absolute (tuhan). Satu persoalan yang sentiasa timbul sehingga ke hari ini iaitu “Who am I?” atau “Siapa Aku?”. Pencari kepada jawapan ini iaitu orang-orang hebat dari kalangan mereka menemui bahawa benda yang menyoal tentang “Siapa Aku” adalah bukan jasad, atau bukan pancaindera, bukan minda, bukan anggota, tetapi ianya sesuatu yang datang dari dalam (eternal) yang merangkumi keseluruhan anggota tadi (Fisher, Mary P. 1997: 83). Guru Ramana Maharshi menjelaskan (Fisher, Mary P. 1997: 83):

Setelah menafikan segala yang disebut diatas dengan perkataan “bukan ini”, “bukan ini”, dan “bukan ini”, dengan soalan-soalan yang diri kita ini sering bertanya (contohnya: apakah tangan ini aku? Dijawab “bukan ini”, apakah minda ini adalah aku? Dijawab “bukan ini”), maka idea tentang “Siapa Aku?” akan memusnahkan idea yang lain, perumpamaan satu tongkat yang digunakan untuk menggaul atau mengacau longgokan kayu api yang sedang membakar, tongkat itu juga khirnya akan musnah, dan setelah itu baharulah akan terbit kesedaran diri (Self-Realization).

Melalui jalan Jnana, seorang sālik (seeker) mesti membangunkan dan meningkatkan kebaikan spiritual seperti ketenangan (calmness), pengekangan (restrain), penumpuan (cocentration), keyakinan (faith) dan lain-lain. Kebijaksanaan yang tertinggi adalah pengetahuan spiritual berbanding pengetahuan intelektual tentang diri sendiri. Menurut Swami Vivekananda (seorang ahli misticisme Ramakrishna Paramahansa abad ke-19) pengetahuan spiritual adalah satu-satunya perkara yang mampu memusnahkan kesengsaraan selama-lamanya, pengetahuan selain dari pengetahuan spiritual, hanyalah memusnahkan kesengsaraan buat satu-satu masa sahaja (Fisher, Mary P. 1997: 83).
3. Karma Yoga

Karma adalah beasal dari perkataan Sanskrit yang mebawa maksud perbuatan atau tindakan (action) dan penyebab (cause). Karma yoga juga dikenali dengan nama Yoga Tindakan (Yoga of Action). Pengikut kepada karma yoga ini, mereka melibatkan pencarian terhadap pembebasan (union) melalui satu tindakan di dunia ini. Mereka yang mengambil yoga ini menumpukan pada satu term iaitu selfless (sikap tidak mementingkan diri) dan bersedia untuk berkhidmat terhadap orang lain. Mereka yang mengamalkan yoga ini sentiasa berkhidmat dan selfless dengan sepenuh hati tanpa mengambil kira sama ada ianya berjaya atau gagal dalam usaha untuk mencapai union. Melalui karma yoga ini, sekalipun perkara-perkara yang ringkas seperti memandu kereta, atau menyapu sampah dan apa-apa sahaja tetap dikira sebagai yoga asalkan ianya bersifat selfless dan berkhidmat pada orang, bukan dengan tujuan untuk kebaikan sendiri. Ramai manusia yang menggabungkan antara yoga dengan asceticism dan membuang dunia sebagai jalan untuk mencapai union. Akan tetapi karma yoga ini menawarkan satu bentuk yoga yang mana ianya dipraktikkan dalam dunia realiti ini tanpa perlu membuangnya untuk mencapai sesuatu yang absolute dan mereka boleh mempraktikkan yoga secara aktif di dunia ini tanpa perlu mengasingkan diri dari masyarakat dan dunia luar (Claire, Thomas 2004: 35).

Latihan yoga jenis ini adalah bertentangan dengan segala bentuk yoga yang bersifat tafakkur. Ianya merupakan satu jalan yang sangat membantu dan memberi manfaat kepada dunia reliti sekarang. Ianya tidak melihat dan tidak kisah kepada hasil yang ingin dicapai seperti yoga-yoga yang lain yang mana ingin mencapai pembebasan dari kelahiran semula dan mencapai moksha. Yogi dalam karma yoga mengetahui bahawa absolute (tuhan) menciptakan perbuatan makhluk, dan setiap perbuatan yang makhluk lakukan merupakan hadiah kepadaNya. Kesedaran inilah yang memandu manusia mendapatkan pembebasan diri bersama-sama dengan perbuatan yang mereka lakukan (Fisher, Mary P. 1997: 83).

4. Bhakti Yoga

Bhakti bermaksud devotion atau penyembahan melalui berbagai cara. Ianya melibatkan sembahyang, nyanyian memuja, bacaan kitab-kitab, ingatan terhadap tuhan, ritual, memperhambakan diri dan sebagainya (White, Ganga 2007). Satu lagi maksud Bhakti ialah berkongsi (to share) iaitu untuk berkongsi hubungan dengan tuhan (Fisher, Mary P. 1997: 84). Dalam definisi klasiknya, bhakti yoga bermaksud Union Through Devotion (Yogani 2008: 13). Bhakti yoga juga merupakan yoga yang banyak diikuti oleh pengikut Sanatana Dharma. Bhakti yoga ini adalah satu jalan penyembahan khusus kepada satu-satu dewa. Bagi Bhakta (pengikut yoga Bhakti) hubungan yang ingin dikongsi dengan tuhan adalah Love (Fisher, Mary P. 1997: 84).

Pengamal yoga bhakti diajar untuk lebih mencintai tuhan. Bhakti yoga ini mempunyai kisah tersendiri di sebalik pengamalannya. Melalui jalan bhakti yoga, walaupun Bhakta mungkin tidak menjangkaui sifat-sifat dalam samadhi, akan tetapi keseluruhan hidup, sikap dan cara mereka adalah diserahkan sepenuhnya bulat-bulat kepada dewa yang disembah. Ramakrishna menjelaskan kenapa jalan yoga bhati ini lebih sesuai kepada masyarakat (Fisher, Mary P. 1997: 85):

As long as the I sense lasts, so long are true knowledge and liberation impossible. (But) how very few can obtain this union (samadhi) and free themself from this “I”?. It is very rarely possible. Talk as much as you want, isolate yourself continuously, still this “I” will always return you. Cut down the poplar tree today, and you will find tomorrow it forms new shoots. When you ultimately find that this “I” cannot be destroyed, let it remain as “I” the servant.


Keempat-empat yoga ini merupakan asas bagi seorang penganut Hindu untuk mencapai Samadhi dengan mengamalkan cara latihan yang telah digariskan. Yoga ini adalah bertujuan untuk mendidik diri seorang yoga dalam berhadapan dengan kesusahan demi kesusahan untuk mencapai kebahagiaan. Cara hidup seorang yogi telah ditentukan dalam beberapa elemen etika dan amalan dalam membentuk jati diri penganutnya. Keseluruhan yoga ini perlu dilakukan untuk seseorang mencapai samadhi dan Raja-Yoga merupakan yoga yang terakgir sebelum seseorang mampu mencapai samadhi. Ianya melibatkan aktiviti penumpuan yang tertinggi untuk memberikan satu fokus yang tetap dalam mencapai apa yang dikatakan sebagai tujuan akhir (Absolute Thing). Sebagaimana yang telah disebutkan di atas, Patanjali telah menggariskan lapan elemen yang perlu dicapai bagi membentuk teknik-teknik, dan juga sebagai membentuk tahap asceticism dan liku-liku perjalanan spiritual dalam usaha untuk mencapai kebebasan tertinggi.

Aspek aceticism sudah terlihat dalam latihan-latihan yoga yang telah disebutkan diatas. Melalui lapan Limbed Path yang telah diletakkan oleh patanjali bagi para yogi pula, disinilah tampaknya lebih jelas aspek asceticism yang melibatkan perbuatan-perbuatan dan penafian-penafian kepada beberapa aspek fizikal. Dalam lapan perkara tadi boleh dibahagikan bentuk-bentuk asceticism secara berperingkat yang perlu diamalkan oleh para yogi iaitu:

1. Pengawalan Diri (Pengekangan) Dan Disiplin

Yama dan niyama merupakan permulaan yang paling utama bagi segala bentuk asceticism yang hendak diamalkan dalam setiap agama. Ianya adalah asas terpenting sebelum memulakan satu-satu latihan asceticisme. Dalam Hindu terdapat lima bentuk pengawalan diri iaitu ahimsa (kawalan dari melakukan kekerasan dan kekejaman), satya (kawalan dari berdusta), asteya (mengawal diri dari mencuri), brahmacarya (mengawal diri dari aktiviti seksual), aparigraha (mengawal diri dari keserakahan dan ketamakan). Dalam mencapai kawalan-kawalan terhadap semua perkara ini (yama) seorang yogi terlebih dahulu perlu melatih dan membiasakan diri dengan niyama iaitu disiplin iaitu displin dari sudut fizikal dan mental. Kesucian, ketenangan, asceticism (tapas), pembelajaran metafizik yoga, dan menjadikan isvara sebagai tujuan utama dalam setiap perbuatan (perbuatan yang diniatkan semata-mata pada isvara) adalah merupakan asas-asas disiplin. Memang benar kesukaran dan kesusahan akan sentiasa menjelma dalam proses-proses latihan ini dan hanya mereka yang benar-benar kuat dan tabah akan mencapainya. Contohnya dalam tapas, bentuk-bentuk asceticism yang diamalkan adalah sangat ekstrim sehingga mencederakan diri, serta menafikan segala keperluan jasad dalam pelbagai bentuk bergantung kepada ketinggian tahap seseorang yogi. Patanjali menyebut bahawa di akhir kesusahan ini akan ada balasan dan ganjaran yang akan diterima oleh seorang yogi antara yang terbesarnya adalah mereka akan menerima keajaiban demi keajaiban. Sebagai contohnya bagi mereka yang kekal dengan pengamalan asteya maka dia akan melihat semua permata datang menghampirinya (Eliade M. (ed.) 1987: 520).

2. Asana Dan Pranayama

Posture badan dan kawalan pernafasan merupakan satu aspek yang penting juga dalam teknik yogi. Asana mampu memberikan satu kstabilan yang tinggi kepada jasad dalam masa yang sama keupayaan fizikal dikurangkan kepada tahap minimum dan akhirnya menyingkirkan ia sepenuhnya. Asana merupakan aspek yang pertama diambil oleh seseorang yogi. Dalam satu situasi jasad, asana menjadi metod penumpuan jasad dalam keadaan satu posisi. Ketika mana seseorang sampai ke tahap peneutralan minda, kesedaran bukan lagi satu masalah dengan kehadiran jasad. Kecenderungan menuju kesatuan (unification) merupakan satu ciri khusus dalam latihan yoga. Matlamat mereka adalah pencapaian menuju sesuatu yang bersifat abadi dan menafikan segala situasi kemanusiaan supaya mereka mencapai kebahagiaan (Eliade M. (ed.) 1987: 520).

Pranayama pula adalah penolakan untuk bernafas seperti manusia yang lain yang mana tidak mempunyai metodologi atau susunan pernafasan yang betul. Patanjali mendefinisikan pranayama iaitu ianya adalah proses menahan pergerakan sedutan dan hembusan dan ianya dicapai setelah asana dicapai. Dengan pernafasan ini seluruh organ mampu berfungsi menjadi lebih baik berbeza dengan mereka yang tidak melakukannya. Kemudian apabila proses pernafasan yang betul ini dapat dicapai maka ianya akan menghasilkan satu penumpuan (cocentration) kesedaran terhadap satu objek sahaja. Inilah tujuan utamanya supaya tercapai matlamat dengan baik iaitu dengan membentuk susunan pernafasan yang baik melalui pengharmonian tiga perkara dalam pernafasan iaitu penyedutan, penahanan nafas, dan penghembusan (Eliade M. (ed.) 1987: 521).

3. Penumpuan (Dharana) Dan Meditasi (Dhyana)

Satu lagi aspek asceticism dalam agama Hindu adalah latihan terhadap penumpuan dan latihan melakukan meditasi. Setelah melakukan bentuk-bentuk seperti diatas iaitu latihan pernafasan serta posture badan maka ia akan menawarkan kepada yogi penumpuan yang tinggi. Bagi seseorang yogi untuk mengetahui tahap penumpuan mereka, maka mereka boleh mengukur kualiti penumpuan mereka melalui pratyahara, iaitu jika diterjemahkan bermaksud kemampuan untuk membebaskan aktiviti deria dari didominasi oleh objek material. Dengan ini, seseorang yogi tidak lagi mematuhi kehendak deria material mereka bahkan material yang akan tunduk mematuhi mereka. Apabila akal mahu mengetahui suatu objek yang material, ia tidak menggunakan deria luar untuk mengetahuinya, ia mampu mengetahui satu-satu objek melalui kuasanya yang tersendiri. Pengetahuan ini adalah pengtahuan yang datang dari sudut pandangan yogi, dan ianya adalah benar-benar berbeza dengan pengetahuan orang awam. Kaitan di antara dharana dengan pranayama pula adalah sangat tinggi kerana dalam proses untuk mencapai penumpuan yang tinggi perlu kepada kawalan pernafasan yang baik sebelum dapat menumpukan pemikiran hanya pada satu-satu perkara. Mengikut pandangan sebahagian sarjana, dharana memerlukan sehingga dua belas kali pranayama (kawalan pernafasan) baharulah ianya tercapai di tahap yang tinggi. Melalui keberterusan kawalan pernafasan (pranyama) ini pula sehingga mencapai kepada penumpuan yang tinggi, seseorang yogi akan mula mencapai tahap meditasi iaitu dhyana. Patanjali pula menyebut dhyana sebagaia suatu pemikiran yang dipadukan dan Vyasa menambah definisi Patanjali itu dengan maksud ‘rangkaian kesatuan keupayaan mental menuju asimilasi objek dalam meditasi, bebas dari keupayaan yang lain (dari mental) dalam mengasimilasikan objek yang lain (Eliade M. (ed.) 1987: 521).

4. Samadhi dan Tuhan kepada Yogi

Samadhi merupakan pencapaian yang tertinggi dan terakhir kepada para yogi dan ia juga adalah mahkota tertinggi dalam semua bentuk keupayaan dan latihan spiritual asceticism. Samadhi merupakan perkataan yang difikirkan membawa maksud menggenggam objek secara langsung. Di sana terdapat satu realiti yang tidak disengajakan di antara pengetahuan tentang sesuatu dan sesuatu pengetahuan. Patanjali membezakan sebahagian bentuk, atau tahap dalam samadhi. Ketika mana ia dicapai melalui bantuan satu-satu objek atau idea, ianya disebut sebagai samprajnata samadhi iaitu bermaksud samadhi yang dicapai melalui bantuan. Ketika mana samadhi dicapai melalui apa-apa kaitan dengan sesuatu dari dunia luar ianya di gelar asaprajnata samadhi, iaitu undifferentiated samadhi. Dalam bahasa mudahnya samadhi merupakan matlamat utama kepada semua jenis bentuk asceticism dan pengabdian diri pada sesuatu yang absolute. Ianya ingin dicapai oleh semua orang yang melalui berbagai-bagai kesusahan semata-mata kerana tuhan .

Dalam samadhi pula, kesedaran (consciousness) mempunyai ilham secara langsung tentang self (purusa). Bagi yogi yang mempunyai tuhan (ascetic dalam bentuk penyembahan), tahap ini adalah tahap ilham tentang Tuhan atau Isvara (Supereme Self) mula disedari dan dicapai. Berbeza dengan Samkhya, Yoga membuktikan tentang kewujudan Tuhan Isvara. Isvara bukanlah tuhan pencipta dan tuhan pada alam ini, tapi dalam sesetengah kes, isvara mempercepatkan proses penerimaan (penerimaan kuasa ajaib). Isvara adalah Self atau Purusa yag bebas secara eternal. Patanjali mengatakan bahawa Isvara menjadi guru kepada dewa-dewa pada satu-satu masa. Maka ini menjadikan samadhi adalah sesuatu penyembahan yang dilakukan ke atas Isvara buka pada dewa yang lain. Akan tetapi samadhi juga boleh bdicapai tanpa sesuatu latihan yang berbentuk mistik seperti yoga. Dalam ajaran yoga klasik Patanjali, Isvara memainkan peranan yang kecil sahaja sebenarnya, akan tetapi pentafsir-pentafsir kepada yoga seperti vijnanabhiksu dan Nilakantha meletakkan Isvara sebagai Tuhan sebenar (Eliade M. (ed.) 1987: 522).

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya asceticism dalam Hinduism mempunyai berbagai-bagai bentuk yang berbeza mengikut cara dan mazhab masing-masing. Apa yang ditekankan dalam kajian ini adalah bentuk asceticism yang dapat dilihat dalam keempat-empat Yoga yang telah digariskan oleh Patanjali disamping Lapan Jalan Mulia yang diajarkan oleh beliau dalam Yoga Sutra kerana bentuk-bentuk asceticism dalam kitab ini lebih bersifat tersusun dan mudah untuk diikuti kerana ianya telah diberi garis panduan oleh Patanjali sendiri. Seandainya seorang penganut agama Hindu ingin mencapai kebahagiaan abadi dan bebas dari kelahiran semula maka aspek-aspek asceticism ini perlu diamalkan sehingga mereka mencapai salvation. Penafian segala bentuk keinginan diri, menyiksa diri dengan melakukan ritual dan bentuk-bentuk kedudukan yang sangat sukar dilakukan, mencintai tuhan sehingga sanggup berlapar dan bersusah payah dan lain-lain merupakan aspek yang perlu dilakukan bagi penganut Hindu untuk mendapatkan kebahagiaan selama-selamanya buat mereka. Bagi mereka yang tidak melakukan aspek-aspek asceticism ini, maka salvation atau union tidak akan dapat dicapai dan mereka masih lagi akan terperangkap dengan proses kelahiran semula sampai bila-bila sehinggalah mereka sanggup untuk bersusah payah dalam menjalani proses asceticism yang membawa mereka bebas dari penderitaan dunia.



RUJUKAN

Claire, Thomas. 2004. Yoga for Men: Postures for Healthy, Stress-Free Living. Canada: career Press

Eliade, Mircea (ed.). 1987. The Encyclopedia of Religion. New York: McMillan Publishing Company.

Hastings, James (ed.). 1974. Encyclopedia of Religion and Ethics. New York: Charles Scribner’s Sons.

Johnson, Donald & Johnson, Jean. 2008. Through Indian Eyes. New York: Council On International and Public Affairs.

Mariasusai Dhavamony. 1982. Classical Hinduism. Rome: Gregorian University Press
Michaels, Axel & Harshav, Barbara. 2004. Hinduism. United Kingdom: Princeton University Press

Pott. P. H. 1966. Yoga En Yantra: In Hunne Betekenis Voor De Indische Archaelogie. Terj. Rodney Needham. Yoga and Yantra: Their Interrelation and Their Significanca for Indian Archaelogy. Natherlands: Ministry of Education and Sciences.

Salamone, Frank A. (ed.). 2004. Encyclopedia of Religious Rites, Rituals and Festival. New York: Routledge.

Stutly, Margaret. 1985. Hinduism: The Eternal Law. Wellingborough: The Aquarian Press.

Wangu, Madhu Bazaz. 1991. Hinduism: World Religions. New York: Facts on File Inc.
White, Ganga. 2007. Yoga Beyond Belief: Insights to Awaken and Deepen Your Practice. Carlifornia: north atlantic books

Yogani. 2008. Bhakti and Karma Yoga - The Science of Devotion and Liberation Through Action. USA: AYP Publishing.

No comments:

Post a Comment