BAB 1
PENDAHULUAN
1.1 LATAR BELAKANG KAJIAN
Berbagai ragam dan fenomena yang berlaku dikalangan masyarakat Islam kini yang timbul disebabkan oleh pengaruh dan kesan dari keruntuhan umat Islam satu ketika dahulu. Usaha untuk meletakkan Islam di peringkat zaman kegemilangan Khulafa al-Rasyidin dan zaman selepasnya sehingga zaman kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah masih lagi diperluas sehingga kini. Berbagai-bagai usaha oleh berbagai-bagai pihak yang ingin menjadikan Islam itu sebagai agama yang syumul merangkumi keseluruhan kehidupan manusia elah diperhebat dari semasa ke semasa. Semua ini adalah fenomena yang berlaku dikalangan umat Islam kini dalam program membangkitkan semula kegemilangan Islam yang satu ketika dahulu bertapak kukuh di dunia ini.
Akan tetapi dari usaha-usaha yang dilakukan ini, kesemuanya masih mempunyai perselisihan pendapat yang begitu ketara dikalangan penganut Islam itu sendiri. Pemikir bidang Ilmu Kalam dengan masalah takfirnya, Rasul palsu dengan doktrin penipuannya, ajaran sesat berterusan dengan penyelewengannya, para reformis dengan perkembangan gerakan pembaharuannya dan Syiah dengan gerakannya yang tidak berhenti-henti dari zaman dahulu hingga kini yang mana semuanya menggunakan pelbagai metodologi untuk menarik pengikut yang ramai agar menerima doktrin-doktrin mereka dalam usaha untuk merealisasikan apa yang pernah dikecapi oleh Islam satu ketika dahulu dan masing-masing memihak pada diri sendiri dan meletakkan kesalahan pada kelompok yang lain.
Dalam kecenderungan golongan-golongan ini, tidak lari dikalangan mereka dari kesalahan dan penyelewengan sama ada dari sudut akidah mahupun dari sudut perkara furu’ yang terdapat pada penyelewengan ini kesalahan dari berbagai-bagai sudut, yang meletakkan mereka ini dalam keadaan sama ada sesat, atau maksiat, atau kufur, hanya Allah yang Maha Mengetahui segala sesuatu. Di Malaysia tidak kurang ajaran-ajaran ini diamalkan secara menyeluruh dalam masyarakat Islam di sini. Antaranya adalah ajaran Syiah.
Ajaran Syiah adalah ajaran yang telah difatwakan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar serta terkeluar dari Akidah Ahli Sunah Wal Jamaah oleh Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak (FATWA) JAKIM dalam perbincangan mereka bil. 1/98. Fahaman Syi’ah dipercayai mula merebak di Malaysia selepas kejayaan Revolusi Khomeini di Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman ini menular ke negara ini melalui propaganda-propaganda mereka seperti bahan cetak, teknologi internet, orang perseorangan sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran dan sebagainya. Fahaman Syi‘ah ini semakin tersebar luas apabila beberapa orang pensyarah universiti tempatan telah memainkan peranan dalam menyebarkannya secara tegas kepada para pelajar di Institut Pengajian Tinggi. Pengaruh fahaman ini semakin menular ke negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kedah, Kelantan, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan, Selangor dan lain-lain.
Syiah di Malaysia ini mempunyai tiga kelompok atau mazhab yang merebak di sekitar Selangor dan negeri-negeri yang lain iaitu:
i. Syiah Tayyibi Bohra (Dawood Bohra).
ii. Syiah Ismailiah.
iii. Syiah Jaafariyah atau Imamiyah Ithna Asyarah.
Di antara sebab pengharaman Syiah di Malaysia adalah kerana doktrin-doktrin atau ajarannya yang melampau yang boleh menyebabkan terbatalnya akidah Islam seperti:
i. Menolak hadis yang diriwayatkan oleh ulama Ahli Sunah sekalipun hadis itu mutawatir.
ii. Menolak Ijmak dan Qias.
iii. Menghina Isteri-Isteri Nabi.
iv. Memfitnah sahabat dengan mendakwa mereka melakukan kezaliman seperti Saidina Abu Bakar, Omar, Uthman, Aishah, Hafsah, dan Muawiyah.
v. Begitu juga dengan dakwaan-dakwaan yang lain.
1.2 PERMASALAHAN KAJIAN
Ajaran Syiah di Malaysia telah bertapak di Selangor sejak tahun 1979 lagi. Berasaskan daripada kajian oleh Polis dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Syiah bertapak kepada:
i. Pusat Pengajian Tinggi
Beberapa buah Pusat Pengajian Tinggi telah dikenal pasti menjadi sasaran Syiah iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa dan Institut Teknologi Mara.
ii. Orang Awam
Hasil penyiasatan JAIS bersama Polis dan JAKIM didapati beberapa orang penyebar fahaman ini telah bergerak cergas dalam kelompok kecil untuk berkempen dari rumah ke rumah. Di antara individu yang telah dikenalpasti ialah Syed Jaafar bin Abdul Hamid Al-Sagof, beliau didapati menyebarkan fahaman ini di Taman Permata dan Taman Melor di Hulu Klang.
iii. Menubuhkan Persatuan
Kumpulan ini berusaha menubuhkan persatuan untuk mengembangkan fahaman Syiah kepada orang ramai yang dikenali dengan nama "Darul Husaini" tetapi pendaftaran ditolak pada 19 September 1992 atas nasihat MAIS dan JAKIM.
Pelbagai cara telah dilakukan oleh pihak Syiah untuk menyebarkan dakwah mereka dan terbukti kekuatan mereka menyebarkan dakwah sangat menakjubkan. Bermula dari tahun 1979 sehingga sekarang masih wujud golongan Syiah ini disekitar Selangor terutama di disekitar daerah Lembah Klang dan Gombak. Mereka berjaya mengekalkan ajaran mereka di Selangor begitu lama sekitar 31 tahun.
Pihak berkuasa tempatan seperti Polis, JAKIM dan JAIS telah mengambil beberapa tindakan antaranya mengharamkan ajaran ini dan menfatwakannya menyeleweng dari akidah yang sebenar. Maka usaha yang telah dilakukan oleh berbagai pihak untuk menghalang penyebarannya adalah banyak termasuk juga dari NGO-NGO Islam serta individu-individu yang bertanggungjawab terhadap masyarakat sama ada menerusi media massa, blog-blog dan risalah-risalah dan ianya sedikit sebanyak telah berhasil.
1.3 OBJEKTIF KAJIAN
Objektif kajian ini dilakukan adalah:
i. Untuk mengetahui sejarah perkembangan ajaran Syiah di Selangor.
ii. Untuk mengetahui ajaran-ajaran yang telah dibawa oleh Syiah di Selangor.
1.4 SKOP DAN BATASAN KAJIAN
Kajian ini tertumpu pada perkembangan ajaran Syiah di sekitar kawasan negeri Selangor dan analisa dibuat terhadap tiga atau empat kawasan gerakan Syiah ini berlaku. Segala maklumat dan data adalah bergantung kepada responden kalangan penganut fahaman Syiah ini. Rujukan terhadap buku-buku Syiah juga akan dirujuk sebagai rujukan untuk mengetahui sedikit sebanyak perkembangan ajaran Syiah di Selangor, tetapi ianya tidak bersifat menyeluruh kerana sudah banyak kajian berbentuk literal yang telah dilakukan oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Apa yang hendak penulis dapatkan adalah bersifat realiti yang berlaku dizaman sekarang ini iaitu bagaimana bentuk penyebarannya, kepercayaan mereka, akidah mereka, ibadah mereka, syariat dan lain-lain, bukanlah sesuatu yang bersifat semata-mata penulisan yang hanya diambil dari sebelah pihak dikalangan Ahli Sunah mahupun fahaman-fahaman yang lain, kerana sesuatu yang diambil dari sudut pihak yang mengkritik hasilnya mungkin tidak sama ataupun pihak yang mengkritik mempunyai tujuan tertentu yang mungkin mengakibatkan tokok-tambah berlaku dalam penulisan mereka. Maka di sinilah peluang penulis untuk mendapatkan suatu perkara yang realiti yang memang benar-benar diamalkan dan diyakini oleh penganut fahaman Syiah itu sendiri.
1.5 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian ini adalah perlu dan penting kerana terdapat beberapa masalah yang wujud hasil dari berkembangnya ajaran Syiah di Selangor ini. Walaupun jika kita lihat ianya tidaklah begitu menonjol, tetapi peri pentingnya kajian ini adalah untuk mendedahkan masyarakat terhadap fahaman Syiah ini supaya tidak terjebak atau terkeliru ke dalam fahaman ini.
Antara kepentingannya lagi adalah untuk mengelakkan dari berlaku kekeliruan fahaman Syiah ini dengan fahaman Ahli Sunah supaya masyarakat tidak terikut fahaman ini dalam keadaan tidak disedari. Semua fahaman yang menyeleweng mengaku bahawa mereka ini adalah membawa ajaran Islam yang sebenar, kitalah yang menentukan kebenarannya berasaskan dari ilmu dan pengetahuan yang kita pelajari.
Antara kepentingannya lagi adalah untuk mendedahkan identiti dan mendedahkan sejauh mana Syiah ini telah berkembang di dalam masyarakat di sekitar Selangor supaya beberapa manfaat boleh diambil dari berbagai pihak seperti JAIS, iaitu dengan menghalang dan menyekat penyebarannya, dan Polis dalam membanteras dan menangkap penganut fahaman ini dan sebagainya.
Selain itu antara kepentingannya lagi adalah untuk memelihara kesucian sejarah Islam yang mana telah banyak diseleweng oleh pihak Syiah ini, juga untuk memelihara nama isteri dan Sahabat Rasulullah s.a.w dari sentiasa dicela sehingga akhirnya telah menjadi budaya dalam masyarakat barat untuk mencela dan menghina para Sahabat Nabi s.a.w.
Antara kepentingan yang lain adalah untuk mengkaji sejauh mana pengamalan dan pegangan terhadap ajaran Syiah di Selangor khususnya dan di Malaysia umumnya terhadap ajaran yang mereka anuti, kerana mungkin sebahagian atau banyak dari kajian lepas atau literal adalah menceritakan tentang apa yang dibawa oleh Syiah tentang ajaran-ajarannya yang terdahulu dan asas-asasnya. Dalam kajian ini adalah bersifat sesuatu yang realiti yang benar-benar diamalkan dan dipegang oleh golongan Syiah ini dan bukannya sesuatu yang hanya diperkatakan orang tetapi hakikatnya tidak begitu.
Kesemua kepentingan ini adalah sesuatu sangat-sangat diperlukan oleh masyarakat sekarang kerana kurangnya pendedahan terhadap ajaran ini dan kurangnya pencegahan terhadap mereka ini pada waktu sekarang. Ditambah dengan kemelut politik yang tidak sudah-sudah pertelingkahannya sehingga perkara yang usul ini diabaikan oleh pihak yang bertanggungjawab tidak kira dari mana-mana parti atau fahaman. Maka kajian ini menjadi satu kemestian bagi penulis untuk menjalankannya mudah-mudahan manfaatnya dapat dicapai oleh masyarakat di Malaysia khususnya di Selangor.
1.6 METODOLOGI KAJIAN
Metodologi kajian yang penulis gunakan untuk mendapatkan data hanyalah bergantung kepada temu bual bersama penganut-penganut fahaman Syiah itu sendiri, dan data yang terhasil adalah berbentuk pengamalan atau pengajaran yang wujud di Selangor sahaja tanpa merujuk kepada buku-buku penulisan yang berbentuk sekunder. Data ini diambil terus secara direct dari penganut fahaman Syiah itu dan bukan kepada pengkaji atau orang yang memperkatakan tentang Syiah sedangkan mereka bukan dari Syiah itu sendiri. Seramai empat responden secara formal telah penulis temu bual dan telah direkodkan segala maklumat yang diberi kepada penulis menggunakan voice recorder atau tape recorder. Selain itu, maklumat dari beberapa buah kitab Syiah juga digunakan bagi menyokong pendapat dan pandangan golongan Syiah ini bagi membuktikan apa yang mereka amalkan adalah memang benar terdapat dalam ajaran Syiah yang sebenar.
Dalam metodologi kajian ini, penulis telah menggunakan teknik bola salji dalam proses mendapatkan maklumat kedudukan penganut fahaman Syiah ini. Dalam proses ini pada mulanya penulis mendapatkan seorang penganut fahaman Syiah dan seterusnya dari beliau penulis mendapatkan tempat atau individu yang seterusnya untuk di temu bual. Walaupun proses ini agak sukar, tetapi dengan kerjasama dari individu-individu yang terlibat, penulis berjaya mendapatkan maklumat responden yang berkaitan. Penulis telah melakukan temu bual di empat kawasan atau tempat yang berlainan. Dua daripadanya adalah tenaga pengajar kepada fahaman Syiah itu sendiri yang mana salah satunya adalah Hauzah yang agak aktif di antara banyak Hauzah yang wujud di sekitar Selangor, dan satu lagi adalah tempat pembelajaran bagi golongan Syiah itu sendiri. Satu lagi pula adalah tempat penganut fahaman Syiah sahaja yang mana beliau tidak terlibat dengan mana-mana aktiviti Syiah atau apa jua bentuk pengajaran kepada fahaman Syiah yang lain. Sungguhpun begitu temu bual yang dilakukan bersama orang yang ketiga ini kurang mendapat kerjasama kerana mungkin beliau bersikap dengan apa yang fahaman beliau sebut sebagai Taqiyyah. Penulis menyebut ini kerana ketika mana penulis pergi ke Gombak untuk mendapatkan data, penganut-penganut fahaman Syiah di sana mengenali individu yang ketiga yang penulis menemu bual beliau ini. Maka pemahaman penulis adalah mungkin beliau adalah seorang penganut fahaman Syiah tetapi bersikap menyembunyikan atau Taqiyyah sahaja tanpa mahu dikenali sebagai penganut Syiah. Kemudian satu lagi penulis telah menemu bual salah seorang dari ahli akademik iaitu seorang pensyarah dari satu universiti tempatan dan pandangannya akan dibincangkan semula dalam perbahasan terhadap isu Syiah ini. Kita biarkan dahulu apa yang disebut sebagai konsep ini dalam perbincangan dapatan kajian nanti.
Tempat yang telah penulis pergi adalah pertamanya di Gombak iaitu sebuah Hauzah yang aktif di sekitar kawasan tersebut. Nama Hauzah tersebut adalah Hauzah al-Ridha bersempena dengan nama Imam Syiah yang ke 8 iaitu Ali al-Ridha bin Musa. Tempat tersebut beralamat, No 9, Jalan SG 3/16, Taman Sri Gombak, 68100 Batu Caves, Selangor. Kedudukan kawasan tersebut adalah agak strategik kerana ianya berada disekitar kawasan pekan. Kebiasaannya kedudukan tempat perkembangan fahaman Syiah adalah di kawasan rumah kedai, dan Hauzah ini juga bertempat di sebuah Rumah kedai di tingkat 4 iaitu tingkat teratas sekali. Waktu penulis sampai di sana adalah waktu maghrib kerana penulis dijemput hadir pada waktu itu berkebetulan dengan majlis Ghadeer Khum yang diadakan di Hauzah tersebut. Walaupun sampai pada ketika itu adalah seawal jam 7.30 petang, temu bual yang penulis lakukan adalah bermula jam 12 tengah malam dan berakhir pada pukul 2 pagi. Ini adalah kerana ada majlis yang berlangsung selama beberapa jam sebelum penulis sempat menemu bual dengan pengetua Hauzah tersebut. Temubual berlangsung sekitar 110 minit iaitu 1 jam 50 minit di dalam kelas pengajian tersebut. Penulis telah berjumpa dengan pengetua beliau yang hanya mahu dikenali dengan nama Kamil Zuhairi.
Tempat kedua yang penulis pergi adalah di kawasan Taman Permata di Hulu Klang. Tempat ini bukanlah mempunyai sebuah Hauzah tetapi hanyalah kelas pengajian mingguan yang mana tempat ini memang hanya disewa khas untuk mengajar golongan yang sudah berumur. Penulis bertemu dengan tenaga pengajar disana yang hanya mahu dikenali dengan nama Abu Dzar bin Latip. Kedudukan tempat ini adalah di sebuah rumah kedai 3 tingkat di atas sebuah restoran bernama Restoran D’ Anjung Corner. Tempat ini beralamat no 2737, Jalan Changkat Permata, 53300 Taman Permata, Selangor. Kedudukan tempat ini juga amat strategik kerana ia berada di kawasan pekan atau Bandar di Hulu Klang. Penulis sampai di sana adalah pada waktu Isyak sekitar jam 9 malam. Seperti biasa, penulis tidak melakukan temubual pada waktu tersebut kerana tenaga responden perlu mengajar dahulu sebelum dapat penulis berjumpa beliau untuk di temubual. Sekitar jam 11 baharulah bermula proses temu bual. Temu bual tersebut berlangsung sekitar 1 jam yang berlangsung di tempat tersebut bermula jam 11 malam dan berakhir sekitar jam 12 tengah malam.
Tempat ketiga yang penulis pergi untuk temu bual adalah di Ampang. Tempat ini pula bukan juga Hauzah atau tempat mengajar bagi fahaman Syiah. Malah orang yang penulis temui juga tidak mengaku bahawa beliau adalah seorang penganut fahaman Syiah. Akan tetapi beliau mengetahui agak banyak juga maklumat berkaitan dengan apa yang hendak penulis dapatkan. Tempat ketiga yang penulis pergi ini adalah sebuah syarikat persendirian iaitu AMIN Research and Culture Centre. Tempat ini beralamat No. 314, Jalan 4, Taman Ampang Utama, 68000 Ampang, Selangor. Individu ini hanya mahu dikenali sebagai Kasmawi sahaja. Waktu temu bual berlangsung sekitar 30 minit sahaja bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 12.30 tengah hari.
Tempat ke empat pula penulis telah pergi ke sebuah Universiti tempatan. Sebagai seorang ahli akademik, beliau memberikan kerjasama dengan sangat baik dan penulis dapat mengumpul maklumat atau data yang dikehendaki. Penulis pergi ke sana tepat pada jam 10 pagi 7 Januari 2011 dan berakhir temu bual kami pada pukul 12.30 tengah hari.
Pengumpulan data yang penulis lakukan untuk mendapatkan maklumat secara terus berkaitan dengan fahaman Syiah ini berjaya dan mereka memberi kerjasama yang agak baik. Walaupun ada seorang yang kurang memberikan maklumat, tetapi kesemua maklumat lain yang diberikan adalah bermanfaat. Moga-moga dengan penulisan daripada kajian ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca.
1.7 KAJIAN LEPAS
Antara penyelidikan yang lepas yang telah penulis kaji adalah pertamanya tesis doktor falsafah pada tahun 2003 dari Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk Shi’ah dan Pengaruhnya Dalam Bidang Politik dan Tasawuf Falsafah di Alam Melayu Zaman Tradisional. Kajian ini di tulis oleh Kamis bin Ismail. Kajian ini berkisar tentang sejauhmana sumbangan Syiah dalam bidang politik dan pemikiran tasawuf falsafah di alam melayu. Antara penemuan yang telah diperolehi adalah Syiah adalah paling awal datang ke alam melayu berbanding golongan Sunni. Mereka juga didapati menubuhkan kerajaan Islam yang pertama serta amat berpengaruh dalam sudut agama, politik dan sosial. Tesis ini juga ada membincangkan pertamanya berkisar tentang sejarah Syiah dari sudut epistimologi sehinggalah ke aliran dan doktrin mereka. Keduanya dari sudut kedatangan awalnya ke alam melayu. Ketiganya adalah pengaruh Syiah dalam bidang politik serta tasawuf falsafah di alam melayu, iaitu berkisar tentang konsep Wehdah Al-Wujud, Al-Insan Al-Kamil, Konsep Nur Muhammad, Dan Martabat Tujuh. Hasil kajiannya telah penulis sebutkan di atas.
Ulasan kajian lepas yang seterusnya telah penulis kaji adalah, tesis sarjana pengajian Islam (MA) dari Universiti Kebangsaan Malaysia juga, dikemukakan pada tahun 2004 oleh Rifanto bin Ridwan bertajuk Syarat Perlantikan Khalifah dari perspektif Syiah dan Sunni : Suatu Perbandingan. Kajian ini membincangkan tentang syarat perlantikan khalifah menurut perspektif Syiah dan Ahli Sunah. Ianya berkisar kepada konsep khilafah iaitu epistimologi khilafah, cara pemilihan, hukum permohonan untuk menjadi khilafah serta gelaran terhadap khilafah. Ia juga membandingkan konsep tersebut dari sudut Syiah dan Ahli sunah dari sudut-sudut yang telah disebutkan tadi. Tesis ini juga memberi penilaian terhadap syarat perlantikan khilafah menurut perspektif Syiah. Hasil kajian ini adalah bahawa slogan Cinta Ahlu al-Bayt yang selalu digembar-gemburkan oleh Syiah adalah hanya semata-mata alat untuk mendapatkan beberapa kepentingan mereka. Malah syarat perlantikan khilafah yang diletakkan oleh mereka adalah bertujuan menghalang khalifah yang lain seperti Abu Bakr, Umar, dan Uthman dari menjawat jawatan khalifah atas sebab-sebab tertentu.
Ulasan seterusnya adalah buku bertajuk Perbandingan Mazhab Syi’ah Rasionalisme Dalam Islam yang ditulis oleh Aboe Bakar Ajteh, terbitan dari Jakarta. Buku ini adalah sangat baik jika pembaca inginkan maklumat yang lebih lanjut tentang Syiah. Buku ini berkisar tentang sejarah Syiah secara terperinci dari permulaan lahirnya Islam, lahirnya aliran Islam, sehinggalah ke penamaan kepada Syiah. Kemudian perbincangnnya juga berkisar disekitar keturunan Ali dan seterusnya memberikan perincian tentang mazhab-mazhab Syiah. Setelah itu, buku ini menerangkan pula apa itu mazhab Ahlu Bait yang serig digembar-gemburkan Syiah. Kemudian akhirnya perbandingan apa yang dibawa oleh Syiah satu persatu dengan Ahli Sunah serta melihat dari perspektif bezanya dan kesalahannya.
Kemudian buku bertajuk Dedah Fahaman Syiah yang diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 1998 yang dikarang oleh Musa al-Musawi dan diterjemahkan oleh Udah Bin Mohsin, Mohd Zawawi Bin Abdullah, dan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia Mudasir Bin Rosder. Buku ini tidak bersifat menerangkan apa yang ada dalam Syiah ataupun dari sudut sejarah kebangkitan, atau apa-apa yang menerangkan Syiah itu, tetapi buku ini lebih kepada menolak terus fahaman-fahaman Syiah yang melampau dan menyalahi akidah umat Islam. Buku ini membincangkan beberapa perkara penting, antaranya, konsep Taqiyyah, Imam Mahdi, pukulan rantai di kepala, syahadah yang ketiga, nikah mut’ah, sujud di atas tanah Husain, sistem imam dan Khilafah dan lain-lain. Buku ini kebanyakannya menolak pandangan-pandangan dalam fahaman Syiah seperti penolakan dakwaan imam maksum dan perlantikan khilafah.
Dalam jurnal Jurnal Asy-Syir’ah Vol. 42 No. II dikeluarkan pada tahun 2009 karangan Ahmad Yani Anshori pula, bertajuk Ideologi Syi’ah: Penelusuran Sejarah, memberi penumpuan dan penekanan sejarah kebangkitan Syiah dan disebut juga padanya tentang Revolusi Iran. Selain itu beliau juga mendedahkan krisis kepimpinan Islam yang menyebabkan jatuhnya kerajaan Islam dan pernah juga naiknya kerajaan Syiah seperti kerajaan Fatimiyyah suatu masa dahulu. Kemudian penulis jurnal ini pula lagi menerangkan istilah Syiah dan menerangkan secara terperinci juga berkaitan dengan beberapa ideologi Syiah seperti maksumnya Imam mereka, dan tidak layaknya 3 orang khalifah sebelum Ali dilantik sebagai khalifah.
Dalam sebuah kertas kerja seminar pula dalam seminar Ahli Sunnah Dan Syiah Imemiyyah bertajuk Bahaya Syiah Kepada Aqidah, Syariah, Akhlak, Ummah Dan Negara hasil kerja Mohd Asri Yusof dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1992, dibawah sub-tajuk Aspek-Aspek Persamaan Dan Perbezaaan, beliau memberi pada permulaannya adalah penerangan tentang bahaya Syiah kepada umat Islam dari sudut akidah syirik. Kemudian lagi menyambung dengan bahayanya Syiah dari perspektif syariat, dari sudut solatnya, hadith palsunya, dan lain-lain. Kemudian penerangan ringkas tentang bahayanya terhadap akhlak. Kemudian diteruskan pula penerangan tentang perbuatan Syiah memaki caci sahabat dan isteri-isteri Rasulullah yang boleh menyakiti hati sesiapa yang mendengarnya. Seterusnya bahaya terhadap agama dari sudut menyeleweng dan menghancurkan agama, dan yang terakhir menjelaskan mengapa mereka ini dianggap memusnahkan imej Islam.
Ulasan yang terakhir pula adalah Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syi‘ah dan mengharamkan pengamalannya di Malaysia. Antara negeri yang telah mewarta dan mengharamkan Syi‘ah adalah, Selangor pada 19 Januari 1998, Wilayah Persekutuan pada 3 April 1997, Terengganu pada 25 September 1997, Pulau Pinang pada 16 Januari 1997, Negeri Sembilan pada 12 Mac 1998, dan Kelantan pada September 1987. Dalam fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri ini, mereka mengeluarkan sebab-sebab yang menyebabkan Syiah ini menjadi sesat, antaranya adalah penghinaan terhadap isteri Nabi dan para sahabat, kerosakan akidah Syiah ini dengan mengkafirkan ramai para sahabat dan sebagainya. Pewartaan sesat ini adalah berasaskan kepada akidah Ahli Sunah Wal Jamaah dan tiada yang membantah dengan keputusan ini. Dalam muzakarah ini juga telah disebut perbincangan yang juga termasuk perbincangan tentang amalan-amalan dan ajaran syi`ah yang bertentangan dengan agama dan fitrah manusia seperti, Abu Hasan a.s. berkata: “Aurat itu ada dua iaitu qubul (kemaluan) dan dubur, dubur ditutup oleh dua papan punggung, apabila telah ditutup kemaluan dan dua telurnya maka auratnya telahpun ditutup.” Dalam kitab mereka Al-Furu’ min al-Kaafi juzuk 6 halaman 51, dan juga dalam Tahzib al-Ahkam juzuk 1 halaman 374.
Bibliografi
Abdul Rahim al-Dahlawi. 1995. Hujjat al-Balighah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Aboe Bakar Ajteh. 1977. Aliran Syi'ah Di Nusantara. Jakarta: Islamic Research Institute.
al-Baihaqi, Ahmad ibn al-Husain. 1980. Sunan al-Kubra. Jil. 10. Kaherah. Dar al-Fikr.
al-Dimasyqi, Abi Bakar. Dufi’a Syibh min Syibh wa tamarud wa nasb zalik ila al-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad. Bab Qissah al-Rahibin ma’a Abi ‘Abd Allah.
al-Hakim al-Naisaburi, Muhamad bin Abd Allah. 1986. Al-Mustadrak ‘ala Sahihain. Juz 3. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Ibn Babawaih, Muhammad bin Ali bin Husain. 1985. Man la yahdhurhu al-Faqih. Juz 1. Beirut: Dar al-Adwa’.
Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi. 1966. Al-Bidayah wa al-Nihayah. 14 Juz. Beirut: Dar al-Ma’arif.
Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd al-Halim. 1322. Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam Syiah al-Qadariyyah. Baihaq: Matbaah Amiriyyah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2010. Portal e-Fatwa.
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor [14 Disember 2010]
al-Kulaini, Abu Jaafar Muhammad bin Yaakub. 1992. Usul al-Kafi. Beirut: Dar al-Adwai.
Lutpi Ibrahim. 1993. Minhaj Kebenaran dan Pendedahan (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad). Cet. I. al-Wahdah Publication.
al-Mufid, al-Imam Abi Abd Allah bin Muhamad bin Muhamad bin al-Nu’man. 413H. al-Irsyad. Beirut: Muassasah al-‘Alami li al-Matbu’at.
Muhammad Jawad. 1979. Syiah fi al-Mizan. Beirut: Dar Ta’aruf Lil Matbu’at.
Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham.
al-Muzaffar, Muhamad Redha. 1961. Aqaid Imamiah. Kaherah: Matba’ah Nur al-Amal.
Said bin Mansur. Sunan Said bin Mansur. Bab Ma Ja’a Fi al-Mut’ah.
Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Manaqib. Bab Manaqib Ahli al-Nabiyy Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam.
Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Iman. Bab Wasafa Jibril Li al-Nabiyy Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam al-Iman Wa al-Islam.
al-Tusi, Muhamad bin al-Hasan. 1980. al-Nihayah fi Mujarrad al-Fiqh wa al-Fatawa. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi.
No comments:
Post a Comment