Ucapan Salam Pendahulu Bicara

Friday, November 18, 2011

tafsir ayat-ayat kawniyyat

1. Pendahuluan


Proses kejadian alam ini satu persoalan yang menarik sejak dari zaman dahulu hingga ke hari ini. Manusia masih ingin mencari kepastian asal usul kejadian alam ini. Bagaimana proses kejadiannya. Bagaimana alam ini terjadi dan diciptakan. Manusia masih tercari-cari jawapannya. Manusia tidak jemu-jemu dengan segala usaha dan kemahiran yang ada untuk mencari jawapannya. Ahli-ahli sains hari ini dengan teknologi tinggi dan canggih masih terus berusaha untuk mencari rahsia kejadian alam ini.

Allah yang menciptakan alam ini tidak membiarkan manusia untuk mencari jawapannya kerana Dia Maha Mengetahui akan kelemahan hambaNya. Kelemahan manusia sungguh banyak contohnya kita tidak boleh menjelajah jauh ke seluruh pelusuk alam untuk mengetahui keadaan sebenar seluruh alam. Apa yang manusia boleh lakukan hanya meramalkan berdasarkan dengan sedikit ilmu yang ada pada ketika itu. Mungkin betul dan mungkin juga salah. Oleh kerana itulah Allah telah memberitahu manusia jawapan bagaimana dan siapa yang menciptakan alam ini. JawapanNya diterangkan di dalam al Quraan melalui RasulNya. Di dalam al Quran yang suci Allah menyebutkan Dialah yang menciptakan alam semesta ini dengan kekuasaan dan kehendakNya. FirmanNya:

وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ بِالْحَقِّ وَيَوْمَ يَقُولُ كُنْ فَيَكُونُ قَوْلُهُ الْحَقُّ وَلَهُ الْمُلْكُ يَوْمَ يُنْفَخُ فِي الصُّورِ عَالِمُ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ وَهُوَ الْحَكِيمُ الْخَبِيرُ[1]


"Dan Dialah menciptakan langit dan bumi dengan benar. Dan benarlah perkataanNya diwaktu Dia menyatakan, Jadilah lalu terjadilah', dan di tanganNyalah segala kekuasaaan diwaktu sangkakala ditiup. Dia mengetahui yang ghaib dan yang nampak. Dan Dialah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui"

Segala sesuatu makhluk dan kejadian yang dicipta oleh Allah s.w.t di alam ini pasti ada rahsia yang tersurat dan yang tersirat.Oleh kerana itu,Dia telah menurunkan Al-Qur’an kepada manusia agar mereka mentadabur, mengkaji segala rahsia yang terdapat di dalamnya dan natijahnya manusia itu akan bertambahlah keimanannya terhadap Allah s.w.t.Allah s.w.t memuliakan golongan yang suka mengkaji alam dan menggelar mereka sebagai golongan ulul albab. Firman-Nya :-


إِنَّ فِى خَلْقِ السَّمَـوَتِ وَالاٌّرْضِ وَاخْتِلَـفِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لاّيَـتٍ لاٌّوْلِى الاٌّلْبَـبِ[2]


“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal”

Pengembangan pemikiran santifik dan ilmu telah menyebabkan berlainan reaksi di kalangan umat Islam. Dalam dunia Islam kini, kebanyakan fokusnya pada hubungan Islam dan sains termasuk terjemahan saintifik al-Quran (dan kadang-kadang Sunnah) telah menunjukkan bahawa sumber-sumber ini telah membuat kenyataan terus mengenai sifat alam, pengembangan biologi dan fenomena lain kemudiannya disahkan oleh kajian sains, dan bukti asal-usul kesucian al-Quran. Usaha ini telah dikritik oleh sesetengah ahli sains dan ahli falsafah sebagai mengandungi kesalahan logik, disebabkan tidak saintifik, mungkin dibuktikan palsu dengan mencari punca teori saintifik (Cook. 2000: 30) (Ruthven. 2002:126)

Seterusnya akan penulis bentangkan tentang ayat al-quran surah al-Anbiya’ serta huraiannya menurut perspektif alquran dan sains.

2. Hubungan Antara al-Quran dan Sains

Seperti mana yang telah disebut dalam kuliah Tafsir Ayat-Ayat Kawniyat yang lepas, Sains dan al-Quran tidak dapat dipisahkan. Walau bagaimanapun al-Quran bukannya sebuah buku sains. Ia adalah wahyu Allah. Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk agar manusia dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil. Walau bagaimanapun terdapat dalamnya ayat-ayat yang menceritakan tentang kejadian alam semesta serta fenomena-fenomena yang berkaitan dengannya.

Sains ialah hasil berdasarkan kajian yang dilakukan oleh manusia. Secara dasarnya, penemuan yang sahih tentang alam tidak akan bercanggah dengan al-Quran. Hal ini disebabkan al-Quran dan alam datang daripada Allah, al-Quran diturunkan oleh Allah dan alam dicipta oleh Allah. Kedua-duanya adalah daripada Allah. Justeru, hubungan antara kedua-duanya adalah suatu hubungan tidak berbeza antara satu sama lain.

Ada juga ayat al-Quran yang menjelaskan tentang hubungan ini iaitu ayat 53 dalam surah Fussilat:

óOÎgÎã\y $uZÏF»t#uä Îû É-$sùFy$# þÎûur öNÍkŦàÿRr& 4Ó®Lym tû¨üt7oKt öNßgs9 çm¯Rr& ,ptø:$# 3 öNs9urr& É#õ3t y7În/tÎ/ ¼çm¯Rr& 4n?tã Èe@ä. &äóÓx« î[3] Íky­

"Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa al-Quran itu benar."

Ada sebahagian ulama yang mentafsirkan ayat ini dengan cara yang berbeza sedikit. Bagi mereka ayat ini bermaksud, "Akan Kami tunjukkan kepada mereka bukti-bukti kebenaran Kami di segenap ufuk (penjuru) dan pada diri mereka sendiri, sehingga jelas kepada mereka bahawa Islam itu benar."

Sains wujud daripada perasaan ingin tahu manusia terhadap alam sekelilingnya dan merupakan salah satu cabang utama ilmu pengetahuan yang dapat digunakan untuk meningkatkan keimanan. Sungguhpun Islam telah memberikan garis kasar terhadap kaedah dan jawapan kepada banyak persoalan sains, namun ianya masih memerlukan pengkajian yang mendalam untuk membuktikan kebenarannya. Atas sebab inilah maka Islam sangat menuntut umatnya mencari, mengembang dan menguasai ilmu pengetahaun.

Islam telah menetapkan bahawa setiap perkara itu adalah tertakluk kepada peraturan yang telah ditetapkan oleh Al Quran dan Sunnah Nabinya, dan tidak terkecuali juga ilmu sains dan teknologi. Oleh itu ilmu sains dan teknologi yang diterima oleh Islam adalah ilmu yang dipimpin dan disuluh oleh Nur Ilahi, kerana hanya dengan itu ilmu tersebut tidak akan bersifat menindas dan menganiaya makhluk lain.

Sebenarnya, di dalam Al Quran itu sendiri sudah terkandung ilmu sains dan teknologi yang hanya menunggu untuk dikaji dan dikembangkan oleh mereka yang memahami dan mengamalkannya. Setiap ayat yang terkandung di dalamnya mempunyai maksud dan makna yang tertentu yang perlu digali, diteliti dan direnungi, sebab Al Quran adalah sumber ilmu pengetahuan yang terbesar dan terpenting. Jika tidak mutiara Al Quran itu tidak akan menyerlah dan memancarkan cahayanya untuk menyinari kehidupan umat manusia.


Berdasarkan kepada hakikat inilah maka umat Islam perlu mengambil manfaat daripadanya dengan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah untuk menjalankan pengkajian yang bersifat empirikal dan saintifik. Sekiranya ini dapat dilaksanakan, maka tidak syak lagi zaman kegemilangan Islam dapat dikembalikan dan Islam sekali akan menjadi sumber inspirasi kepada kemajuan tamadun dan kekuatan ummah. (Abu Bakar Bin Yang. 2010: 1)

Dalam konteks negara, Malaysia pula memang telah banyak mencipta malah cuba menghubungkaitkan antara al-Quran dan Sains. Buktinya dapat kita lihat dalam beberapa jurnal yang telah dikeluarkan oleh Dewan Kosmik. Antaranya adalah pada tahun 2008, menurut Ahmad Suhaimi (2008: 54-55), al-Quran telah mengajar kita tentang menggunakan otak kiri dan kanan, al-Quran juga mengajar tentang visi, misi, strategi dan taktik. Al-Quran juga mengajar kita tentang keseluruhan hidup supaya boleh berfungsi sebagai khalifah Allah. Rasulullah menyuruh kita memilih isteri yang solehah, kerana di sana ada banyak rahsia yang tersembunyi. Ibubapa yang baik dan solehah, boleh melahirkan generasi yang terbaik. Salah satu langkah yang diambil oleh kerajaan Singapura adalah mencipta generasi yang terbaik iaitu dengan melakukan penjodohan pasangan ibu bapa dari kalangan pelajar yang genius. Maklumat tentang perkara ini sudah terbukti di dalam al-Quran bahawa ibubapa yang baik atau pandai, akan melahirkan generasi yang seakan-akan mereka, malah mungkin lebih baik dari kedua mereka. Singapura juga telah membuat eksperimen bayi tabung uji dan juga menerima mana-mana warganegara asing yang genius menjadi rakyatnya dalam usaha mencapai hasrat membina Singapura baharu. Di sini lah nampak jelasnya hubungan antara al-Quran dan Sains dan banyak lagi bukti-bukti yang lain yang akan penulis ceritakan selepas ini.

قُلِ انْظُرُوا مَاذَا فِي السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ وَمَا تُغْنِي الآيَاتُ وَالنُّذُرُ عَنْ قَوْمٍ لا يُؤْمِنُونَ [4]


Katakanlah (Wahai Muhammad): "Perhatikan dan fikirkanlah apa Yang ada di langit dan di bumi dari Segala kejadian Yang menakjubkan, Yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya). Dalam pada itu, Segala tanda dan Bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah), dan Segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang Yang tidak menaruh kepercayaan kepadaNya.
Pengembangan pemikiran santifik dan ilmu telah menyebabkan berlainan reaksi di kalangan umat Islam. Dalam dunia Islam kini, kebanyakan fokusnya pada hubungan Islam dan sains termasuk terjemahan saintifik al-Quran (dan kadang-kadang Sunnah) telah menunjukkan bahawa sumber-sumber ini telah membuat kenyataan terus mengenai sifat alam, pengembangan biologi dan fenomena lain kemudiannya disahkan oleh kajian sains, dan bukti asal-usul kesucian al-Quran. Usaha ini telah dikritik oleh sesetengah ahli sains dan ahli falsafah sebagai mengandungi kesalahan logik, disebabkan tidak saintifik, mungkin dibuktikan palsu dengan mencari punca teori saintifik (Cook. 2000: 3), (Ruthven. 2002: 126)

Menurut seorang ahli fizik terkemuka dan memenangi hadiah Nobel, Albert Einstein, beliau berkata “Sains tanpa agama adalah suatu yang tempang, agama tanpa sains adalah suatu yang buta”. Dari pemahaman kita di sini adalah gabungan antara sains dan agama adalah sesuatu yang boleh dikatakan bersifat wajib menurut perspektif Islam. Walaupun kita sedari beliau bukanlah seorang yang beragama Islam, tapi beliau sendiri sudah menyedari kepentingan agama di dalam sains.(Syed Mahadzir Syed Ibrahim. 2005: 39)


3. Huraian Surah Al-Anbiya’ Ayat 33


وَهُوَ الَّذِي خَلَقَ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ[5]


Dan Dia lah (Tuhan) Yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).


Menurut tafsir Ibnu Abbas (Ibn abbas. 2000: 341) beliau mentafsirkan kalimah خلق dengan makna سخرiaitu dengan makna menciptakan malam dan siang, matahari dan bulan. Juga beliau mentafsirkan kalimah في فلك يسبحون dengan makna في دوران يدوران مجراه يذهبون dengan maksud dalam keadaan putaran yang mengikut orbit seperti mana yang teah ditetapkan oleh sunnatullah iaitu sunah alam ini.



Menurut kitab محرر الوجيز pula (Ibn ‘Atiyah. 2001: 3) , Syeikh Ibnu ‘Atiyah mentafsirkan makna فلك dengan berkata الجسم الدائر دورة اليوم والليلة في ذلك سابح متصرف iaitu suatu jisim yang berguling-guling atau berputar dengan keadaan mengelilingi dan saling bertukar antara siang dan malam.



Tafsir Menurut al-Razi



Tafsir menurut al-Razi (al-Razi. 2001: 165-167) adalah agak panjang dan perbincangannya adalah meliputi permalahan arah putaran, bintang berenang-renang seperti ikan dan sebagainya. Persoalan-persoalan berikut dibincangkan dibawah.



Perbincangan pertama

Menurut pandangan tafsir Al-Razi ayat ini ada berkaitan dengan ayat sebelumnya iaitu tafsirannya sekiranya diciptakna langit dan bumi tetapi tidak menciptakn matahari dan bulan bagi menzahirkan malam dan siang atau menzahirkan manfaat daripada kepanasan matahari dan kesejukan bulan tersebut maka tidak sempurnalah nikmat Allalh Taala itu ke atas hambaNya bahkan lagi nikmat itu juga disebabkan oleh pergerakan keduanya mengikut orbitnya sendiri. Maka dengan itu kalimah كل في فلك يسبحون adalah apa yang dikatakan sesungguhnya telah sabitlah bintaang-bintang ada pergerakan masing-masing. Iaitu pergerakan yang merangkumi ataupun dengan makna setiap peredaran yang telah ditentukan ini bermakna pergerakan matahari seharian adalah pergerakan dari timur ke barat. Kemudian pendapat jumhur ahli falsafah dan golongan اصحاب الهيئة mereka mengatakan bintang-bintang ini bergerak daripada barat ke timur, kerana sebabnya mereka membuktikan kita salah pentafsiran. Antaranya kita melihat bintang tersebut dalam keadaan kelajuan yang tinggi, maka penglihatan kita seoalah-olah putaran tersebut berlaku dari timur ke barat sedangkan adalah barat ke timur, ini adalah pandangan ahli falsafah. Menurut kitab al-Razi ini pergerakan bintang-bintang ini adalah pergerakan dari timur ke barat, mereka membuktikan dengan mengatakan bahawa pandangan ahli falsafah adalah musathil kerana sekiranya matahari sebagai contohnya jika ia bergerak dariapda barat ke timur dalam keadaan pergerakan yang lambat tidak syak lagi bahawa matahari bergerak disebabkan oleh peredaran harian kita iaitu dari barat ke timur. Ini adalah lazim bagi sesuatu jirim yang bergerak dengan dua pergerakan dengan menuju kearah yang berbeza malah bertentangan. Ini adalah mustahil kerana pergerakan kesatu arah. Kerana setiap pergerakan jirim bergerak ke satu arah, jika satu jirim itu cuba bergerak kedua arah bertentangan maka dia hanya boleh bergerak ke satu arah sahaja dan itu adalah mustahil.



Perbincangan kedua

Adalah bahawasanya wajib kita mensabitkan dalam ayat كل في فلك يسبحون dengan termasuknya matahari denagn bulan, kerana ia disabitkan dengan makna jama’ dan kullun dan kedua-duanya termasuk juga dalam kategori bintang-bintang. Sekiranya kita tidak dapati ianya disebut pada awal ayat maka ianya kembali kepada domir yang telah disebutkan dalam ayat itu.



Perbincangan Ketiga

فلك didalam perkataan bahasa arab membawa maksud setiap perkara yang mengelilingi dan jamaknya أفلك. Perselisihan golongan عقلاء wujud padanya. Sebahagiannya berkata فلك ini bukanlah satu jisim tetapi ianya adalah atupun dalam bahasa mudahanya adalah alasan. Pendapat lain yang mengatakan ia adalah jisim bulan-bulan yang mengelilinginya. Ini hampir menyamai dengan zahir al-Quran kemudian berselisih golongan ini dengan cara ia berputar. Telah berkata sebahagian daripada mereka فلك itu adalah gelombang yang mana bergerak matahari, bulan dan bintang padanya. Berkata pula al-Kalbi: فلك itu adalah air yang berkumpul yang mana bintang-bintang berjalan padanya. Dan bintang-bintang tersebut berhajat untuk berenang di dalamnya. Al-Razi berkata. Sesungguhnya dikatakan di Parsi orang-orangnya telah berkata jumhur ahli falsafah dan اصحاب الهيئة sesungguhnya bahawa فلك ini adalah jirim yang padat dan ianya tidak berat dan tidak ringan, tidak memenuhi, ia tidak tumbuh dan tidak layu. Dan adapun kalam ahli falsafah telah disebut dalam kitab yang berkaitan dengannya. Hakikatnya tiada cara untuk kita mengetahui tentang sifat-sifat benda di langit kecuali dengan khabar dari Allah Taala.



Perbincangan Keempat

Manusia berselisih pendapat tentang pergerakan bintang-bintang. Cara pergerakan padanya ada tiga pendapat saama ada فلك itu dalam keadaan pegun dan bintang-bintang bergerak di dalamnya seolah-olah akan berenang didalam air atau فلك itu yang bergerak dan bintang-bintang itu juga bergerak di dalamnya tidak kira bertentangan arah pergerakan atau sama arah pergerakannya, sama ada pergerakan keduanya itu pergerakan yang sama gayanya dari sudut cepat atau lambat, atau berbeza gaya keduanya dari sudut cepat dan lambatnya. Ketiga sama ada falakun itu bergerak dan bintang-bintang itu pegun kedudukannya.



Adapun pendapat yang pertama itu menurut ahli falsafah ianya adlah mustahil kerana sekiranya kesemua bintang bergerak dan فلك itu pegun maka akan terjadi pelanggaran yang banyak dan itu tertolak. Adapun pendapat kedua sekiranya pergerakan antara bintang dan orbit itu bertentangan maka ianya juga akan terjadi perlanggaran. Tetapi jika orbit dan bintang-bintang itu bergerak kearah yang sama tetapi berbeza dari sudut masa cepat dan lambat masa putaran. Lazimnya akan jadi pelanggaran juga. Jika sama dari sudut lambat dan cepatnya, lazimnya juga akan berlaku perlanggaran kerana bintang-bintang bergerak dengan sebab bergeraknya orbit. Maka pergerakan bintang itu menjadi malar dengan sendirinya. Maka lazimnya juga berlaku perlanggaran maka terbatallah kedua-dua pendapat diatas dan pendapat ketiga adalah diterima iaitu bintang-bintang kesemuanya berada di dalam keadaan pegun dan orbit sahaja akan bergerak dan bintang-bintang bergerak disebabkan oleh bergerakanya orbit. Dan ketahuilah bahawa perbahasan tentang orbit adalah untuk menafikan kebarangkalian berlakunya pelanggaran di dalam orbit, kerana itu adalah batil.

Bahkan hakikatnya ketiga-tiga kemungkinan di atas adalah bergantung kepada qadar Allah taala yang ditetapkan ke atas makhluknya. Apa yang membuktikan perkara tersebut adalah lafaz al-Quran bahawa orbit adalah pegun dan bintang-bintang berenang seakan-akan ikan berenang di lautan.



Perbincangan Lima

Telah berkata ahli kasyaf perkataan kullun dengan tanwin pada lamnya iaitu untuk menyandarkan padanya kullun membawa kulluhum (kesemua bintang-bintang,bulan-bulan dan sebagainya).



Perbincangan Enam

Berhujah Abu Ali Bin Sina tentang penciptaan bintang-bintang ini hidup. Hujahnya dari kalimahيسبحون . Beliau berkata dengan alamat jama’ dengan wau dan nun dimaksudkan ianya adalah khas benda yang hidup sahaja. Termasuk dengan ayat (surah yusuf). Al Razi menjawab sesungguhnya diletakkan wau dhomir itu pada awal kalimah menunjukkan ianya adalah benda hidup kerana disifatkan dengan perbuatan mereka dengan berenang-renang.



Huraian menurut Tafsir al-Munir



Dalam kitab Tafsir Al-Munir pula (al-Zuhaili. 1998: 47) menyatakan bahawa tafsiran ayat di atas adalah, Allah menciptakan malam dan siang sebagai nikmat daripadanya untuk kita tentukan masa untuk kita bekerja atau beristirehat, dan bukti keagungan kekuasaan Allah itu ditonjolkan dalan kehebatan Allah menciptakan putaran bumi dengan sendirinya, supaya manusia atau haiwan mengambil faedah yang dikendakinya dari keduanya sama ada dengan kegelapan dan kepegunannya, juga dari cahayanya, dan diambil dari perbezaan antara panjang dan pendek waktunya, atau sama waktu antara siang dan malam tersebut sepanjang tahun. Allah juga menciptakan matahari dan bulan untuk menerangi kegelapan bumi ini supaya hidupan dapat hidup dengan cahaya dan sedikit panas matahari[6], dan faedah jua dapat diambil oleh tanaman dan buah-buahan dengan cahaya bulan. Sesungguhnya matahari, bulan, bintang dan bumi ini kesemuanya adalah berputar mengikut paksi dan orbitnya atau gelendongnya sendiri tanpa terkeluar dari landasan mereka sedikit pun. Sama seperti firman Allah:



فَالِقُ الإصْبَاحِ وَجَعَلَ اللَّيْلَ سَكَنًا وَالشَّمْسَ وَالْقَمَرَ حُسْبَانًا ذَلِكَ تَقْدِيرُ الْعَزِيزِ الْعَلِيمِ[7]



Allah jualah yang membelah cahaya subuh (yang menyingsingkan fajar), dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat, dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). yang demikian itu adalah kuasa penentuan allah yang maha kuasa, lagi maha mengetahui.



Kesemua perkara yang diciptakan oleh Allah ini ada fungsinya tiap-tiap satunya. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara yang mana matahari dan bulan ini menjadi sumber utama kepada kehidupan manusia. Putaran atau bahasa mudahnya disebut dalam perkataan arab daur ini sudah lama disebut oleh Rasulullah s.a.w yang membuktikan kemukjizatan al-Quran selama-lamanya.Dan ini juga disebut oleh nikmat kubra aitu nikmat yang sangatlah besarnya kepada manusia.



Huraian menurut kitab-kitab tafsir yang lain



Menurut Tafsir Fi Zilalil Quran karangan Sayyid Qutb Rahimahullah pada ayat ini ialah malam dan siang merupakan dua fenomena alam. Matahari dan bulan merupakan dua jirim yang besar, yang mempunyai hubungan yang rapat di dalam kehidupan manusia di bumi dan seluruh makhluk yang hidup. Penilitian di sekitar pertukaran siang dan malam dan disekitar peredaran matahari dan bulan mempunyai peraturan yang amat halus dan tidak pernah mungkir walau sekalipun serta berterusan tanpa berhenti walau sesaat pun. Adalah wajar menyedarkan hati manusia kepada keesaan undang-undang alam, keesaan iradat dan keesaan Tuhan sebagai pencipta serta Pentadbir Yang Maha Kuasa.



Dalam kitab tafsir oleh Syeikh Safiur Rahman (2003: 444-445) tafsir kepada tafsir Ibnu Kathir menyatakan:



“The one with is darkness and stillnes, and the other with its light and human interaction: sometimes the one is longer while the other is shorter, then they switch. The sun with its own light and its own path and orbit and alloted time, and the moon which shines with a different light and travels on a different path and has its own allotted time. (كُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُونَ) means, revolving. Ibnu Abbas said,”they revolve like a spinning wheel, in a circle”.



Terjemahannya: “Yang satu dengan kegelapan dan pegun, dan yang lain antara interaksi cahaya dan manusia: kadang-kadang salah satu lebih panjang waktunya sedangkan yang lain yang lebih pendek, maka mereka beralih. Matahari dengan cahaya sendiri dan jalan sendiri dan orbit dan masa diedar, dan bulan yang bersinar dengan cahaya yang berbeza dan perjalanan di jalur yang berbeza dan mempunyai masa yang diberikan sendiri. (كل في فلك يسبحون) bererti, berguling. Ibnu Abbas berkata, "mereka berputar seperti roda berputar, dalam satu lingkaran".



Menurut Tafsir Mubin karangan al-Qurtubi (2009: 113) bahawa sebelum ayat ini diturunkan iaitu Ibn Abbas menyatakan: Allah S.W.T mengawal langit daripada dicerobohi oleh syaitan melalui bintang-bintang. Manakala al-Qurtubi pula menyatakan bahawa Allah S.W.T. mendedahkan bahawa orang kafir musyrik menjadi leka dan lupa memberi perhatian kepada ciptaan langit yang mengandungi bulan dan bintang. Seterusnya menyebabkan berlakunya peredaran siang dan malam, matahari dan bulan, dan sebagainya. Selain itu juga tentang kejadian dan perjalanan angin yang mengandungi bukti yang jelas tentang kekuasaan Allah SWT. Ini menerangkan kepada manusia supaya mereka memerhatikan semua keadaan tersebut nescaya mereka akan mendapat keyakinan bahawa seluruh alam ini diciptakan oleh Tuhan Yang Maha Esa dan Berkuasa. Selain itu juga manusia dapat mempercayai bahawa tidak sebarang rakan kongsi ataupun sebarang makhluk lain dalam kekuasaanNya.



Menurut tafsir al-Maraghiy (2001. 17-18) Allah S.W.T yang menciptakan malam dan siang adalah sebagai nikmat kepada manusia. Disamping itu juga, ia merupakan hujah terhadap keagungan dan kekuasaan-Nya. Siang dan malam masing-masing mempunyai peranan yang berbeza kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Allah S.W.T telah menciptakan bumi, matahari dan bulan berjalan pada orbit masing-masing.



Ini merupakan pendapat moden, iaitu kesemuanya beredar di alam baru ini sehingga memenuhi seluruh alam semesta ini. Matahari, bumi dan bulan beredar, sedangkan di tengah-tengahnya wujud makhluk yang hidup. Perumpamaan alam ini seperti alat cetak, sedangkan makhluk adalah perkataan dan barisnya, atau seperti kilang yang setiap hari mengeluarkan barang baru setelah barang lama luput.



Menurut tafsir Ibn Kathir (1999: 504-505) Firman Allah Taala maksudnya “manusia berpaling daripada tanda-tanda yang terdapat padaNya”. Iaitu bermaksud mereka tidak memikirkan kelapangan yang sangat luas, ketinggian yang tinggi, bintang-bintang yang bergerak pada waktu malam dan siang dan seterusNya terdapat ciptaan langit dan bumi. Kemudian Allah mengingatkan manusia terhadap sebahagian ayatNya, “dan Dialah yang menciptakan malam dan siang”. Iaitu yang bermaksud Allah menciptakan waktu malam dengan suasana kegelapan dan dan menciptakan siang dengan suasana cahaya keterangan. Kadang-kadang Allah memanjangkan malam dan memendekkan siang serta kadang-kadang sebalikNya. Setiap satu planet memancarkan cahayanya secara khusus kepada planet-planet yang lain dan pada masa yang tertentu dengan edaran secara tepat dalam pergerakan tertentu. Manakala planet yang mendapat cahaya tersebut setiap satuNya beredar mengikut perjalanan dan ketentuan yang berbeza. Kesemua itu bergerak mengikut ketetapanNya.



Menurut tafsir Al-Azhar (Hamka. 1990. 4570-1), terjadinya waktu siang dan malam disebabkan oleh bumi berputar pada paksinya. Apabila tibanya waktu malam gelaplah permukaan bumi dan terlindung daripada sinaran cahaya dan apabila menjelma siang maka terbitlah cahaya keterangan. Kejadian malam dan siang amat berkait rapat dengan peredaran matahari. Antara peredaran siang dan malam, matahari dan bulan adalah menunjukkan perhitungan hari selama 24 jam sehari semalam.



Selain itu juga, dengan adanya edaran bumi mengelilingi matahari menimbulkan edaran musim yang pelbagai. Pertama, terjadinya musim panas dengan keadaan siang menjadi panjang dan malam menjadi pendek. Kedua, terjadi musim sejuk dengan keadaan siangnya pendek dan malamnya panjang. Perjalanan edaran matahari berulang alik diatas paksinya selama 365 hari, manakala edaran bulan kurang 11 hari daripada matahari iaitu 354 hari. Maka, dengan ini berhasillah bilangan hitungan syamsiah menurut edaran matahari dan tahun qamariah mengikut edaran bulan. Dengan demikian, manusia dapat menghitung umurnya yang sudah digunakan dan menghitung masa yang masing boleh digunakan.



Perkataan يسبحون yang bermaksud beredar ataupun berenang. Selain itu juga dapat dimaksudkan sebagai ruang angkasa yang kosong ataupun lapang. Ini bermaksud bahawa bulan-bulan, bintang-bintang dan bumi adalah kesemuanya mempunyai peredaran yang tetap ataupun berenang diatas ruang angkasa yang terbentang luas. Walaupun ruang angkasa terbentang luas, setiap bulan, bintang dan bumi mempunyai landasan masing-masing yang ditentukan oleh Allah Taala.



Perkataan falak pula merujuk kepada keadaan edaran bumi yang beredar menuruti garis-garis edaran yang ditentukan oleh Allah Taala berdasarkan ukuran jarak masing-masing. Sebagai contoh, sekiranya peredaran bumi dengan matahari berlaku dalam keadaan cepat maka masa akan beredar dengan putaran yang cepat. Manakala jika bintang beredar dengan jarak yang lebih lama maka akan berhasillah masa yanag lama. Kesimpulannya ialah sekiranya perjalanan falak (edaran) yang teratur mengikut edaran adalah menunjukkan satu bukti bahawa ada Maha Pengatur (Allah).


4. Huraian ayat mengikut perspektif sains



Kajian demi kajian telah dilakukan oleh saintis-saintis yang terkemuka. Mereka telah menemui berbagai-bagai bentuk sistem suria di angkasa dan mengeluarkan teori-teori mereka, malah teori-teori tersebut semakin berkembang sehingga manusia dapat melihat gambaran tentang cakerawala dan sistem-sister peredaran bintang di luar bumi.



Sains merupakan sistem pemikiran falsafah yang bertitik tolak dari penemuan-penemuan ilmiah abad ke-16 dan 17M, khususnya penemuan-penemuan yang dilakukan oleh Copernicus, Kepler, Galileo dan Newton. Mereka semua adalah pengeluar teori-teori moden tentang angkasa dalam bidang ilmu Astronomi. Tidak kurang juga pemikiran falsafah yang bercorak rasional, yang berakar umbi dalam pemikiran lbnu Rusyd, Descartes dan Bacon pada abad itu juga membantu hasil-hasil penemuan ilmiah di bidang astronomi iaitu bidang kaji bintang. (Matson & Floyd. 1966: 30).


Teori-teori atau andaian-andaian sains berkenaan alam langit dipenuhi dengan doktrin-doktrin Aristotle dan Plato sebelum ini, yang meletakkan bumi sebagai pusat alam semesta bagi memenuhi tuntutan agama dan keperluan kepada suatu mekanisme sebab-akibat. Walaupun Copernicus bersetuju dengan pandangan Aristotle berkenaan pergerakan planet yang berpusingan dan tetap, beliau berbeza pandangan dalam soal kedudukan bumi berbanding planet-planet lain. Copernicus, seperti para pengikut Pythagoras, meletakkan matahari di pusat alam semesta, sekaligus menemui semula teori baru yang lebih kepada revolusi berkenaan pergerakan planet matahari dan bulan. The Commentariolus, yang ditulis oleh Copernicus mengemukakan andaian-andaian berani selaras dengan maklumat-maklumat bersifat nombor, geometri dan ilmu hisab yang dikemukakan oleh orang-orang Yunani purba. Beliau meramalkan dengan tepat pusingan harian bumi di atas paksinya, pusingan tahunan mengelilingi matahari dan berusaha menjelaskan lagi andaian-andaiannya dengan menyertakan ketepatan hisabiah (mathematical precision) berdasarkan premis berkenaan. (Syed Ali Tawfik Al-Attas, 2007: 1)



Sains moden ini bermula dengan munculnya Revolusi Copernicus pada zaman Renaisannce abad ke-16M dan menemukan bentuknya yang muktamad pada abad ke-17 di bawah pengaruh rasionalisme Cartesian. Penemuan-penemuan Copernicus, Kepler dan Galileo di bidang astronomi, hasil dari jasa teori-teori geometri dan matematik, berhasil mengubah pandangan kaum intelektual tentang pusat perputaran alam semesta. Sebelum ini mereka mengikuti pandangan rasmi gereja bahawa bumi merupakan pusat peredaran alam semesta. Planet-planet di angkasa raya, bulan dan matahari, semuanya beredar mengelilingi bumi. Copernicus membuktikan melalui penelitian ilmiahnya bahawa sesungguhnya bukan bumi, tetapi matahari yang menjadi pusat perputaran alam semesta.


Kemudian Johannes Keppler (1571-1630), dan Galileo Galilei (1546-1642), yang juga menegaskan dan menyambung kembali kebenaran pandangan heliosentri (teori Copernicus). Untuk memperkuat pendapatnya, Galileo kemudiannya mencipta teleskop bintang. Teleskop ini mampu menjelajah cakerawala yang berada di angkasaraya bagi membuktikan teori Galileo. Pandangan Copernicus yang diperkuat dengan serangkaian penemuan astronomi oleh Galileo, membuatkan ahli fizik mula kagum terhadapnya dan beliau dipandang sebagai ilmuwan genius pada zamannya. Hasilnya, banyak penemuan-penemuan lagi yang ditemui, arah perputaran bumi, matahari mengorbit dan bergeran, bumi bergerak, dan teori-teori yang lain. (Prosch & Harry. 1971: 9-47).



Imaginasi para seniman dan sastrawan, tentang masyarakat yang ideal, juga tidak kecil peranannya dalam memperluaskan cakerawala, dan mempercepat perkembangan sains. Salah satunya ialah imaginasi Thomas More dalam bukunya Utopia (1515-6), sebuah karya setengah fiksion dan setengah falsafah yang diilhami oleh pemikiran Plato, St. Augustinus dan Thomas Aquinas. Kata utopia diambil dari bahasa Yunani, gabungan dari kata uo dan tapas, yang ertinya sebuah tempat yang ideal dan sempurna tatanan kehidupannya tetapi entah di mana (Abdul Hadi W. M. 2007: 2)



Selanjutnya keppler pula telah mencipta 3 hukum keppler yang dinisbahkan keatasnya iaitu (Husain Heriyanto. 2003. 142-160):

Matahari adalah salah satu dari jutaan gugusan bintang yang membentuk sebuah galaksi. Galaksi matahari disebut sebagai galaksi Bimasakti. Galaksi yang terdekat dengan Bimasakti adalah galaksi Awan Magellan yang jaraknya terhadap Bimasakti 160.000 tahun cahaya. (1 tahun cahaya = 365 hari cahaya = 365 x 24 x 3600 detik cahaya = 365 km x 24 x 3600 x 300000 = 9,46 x 10¹² km.)



Matahari merupakan pusat penggerak bagi anggota sistem suria kerana pengaruh graviti matahari menyebabkan anggota planet mengelilinginya. Kesannya ialah semua anggota sistem suria dipengaruhi oleh matahari, termasuk kita yang berada di planet bumi. Jarak antara bumi dengan matahari adalah 149.600.000 km, yang disebut satu astronomi.



a. Hukum I Keppler

Semua planet mengelilingi matahari dengan lintasan elips dan matahari terletak pada salah satu titik cahayanya.



b. Hukum II Keppler

Satu garis yang menghubungkan planet matahari akan menyapu luas kawasan peredaran yang sama dalam jarak waktu yang sama. Jika luas A1 = A2 maka jarak AB dan jarak CD akan dilalui dalam waktu yang sama. Sekiranya peredaran planet dekat dengan matahari maka pergerakan menjadi cepat dan sekiranya peredaran planet jauh dengan matahari maka pergerakan matahari menjadi lambat.



c. Hukum III Keppler

Kekuasaan peredaran planet dalam orbitnya terhadap matahari adalah sama dengan tiga jarak planet ke matahari.



Ketika kematian Kepler dan Galileo, kajian mereka masih belum sempurna betul. Dia meninggalkan satu persoalan yang belum terjawab. Persoalan itu adalah berkenaan dengan hukum yang menyebabkan planet-planet di angkasa raya ini boleh bergerak dan berputar mengelilingi orbitnya. Walaupun Kepler da Galileo tidak sempat untuk membuat penemuan tersebut,ianya sudah memberi inspirasi yang banyak kepada ahli-ahli selepasnya. Dan terbukti untuk menemui jawapannya adalah benar.



Jawapan terhadap persoalan itu ternyata tidak lama. Pada tahun 1687 Isaac Newton menerbitkan buku hasil penyelidikan ilmiahnya di bidang mekanik berjudul Mathematical Principles of Natural Philosophy. Dalam bukunya itu dia menemukan bahawa asas pergerakan benda-benda di alam semesta ialah graviti. Daripada teori gavitilah itu wujudnya putaran-putaran planet di angkasa. Isaac Newton berjaya menyamakan daya graviti di permukaan bumi dengan daya yg menggerakkan semua cakerawala dgn mengandaikan batu yg ditembak dari atas gunung yg amat tinggi pada halaju yg cukup laju sehingga gerakan jatuh batu kerana graviti akan melepasi bumi dan dengan itu batu itu bergerak dalam orbit seperti cakera wala (Prosch 1971:66-71)



Isaac Newton mengungkapkan tiga Hukum Newton dalam buku besarnya Philosophiae naturalis prinpia mathematica. Teori-teori beliau berasaskan kepada gravity yang menjadi penyebab kepada putaran bumi, matahari, bulan dan bintang-bintang yang lain. Hasil dari teori Newton, Kepler, Galileo dan yang lain membawa kepada penemuan penyebab kepada gerhana, proses siang dan malam, orbit, arah putaran dan sebagainya. (Abdul Hadi W. M. 2007: 2) Setiap jasad meneruskan keadaan tak bergerak atau bergerak seragam kecuali jika jasad itu dikenakan daya luar.



1. Perubahan gerakan sebarang jasad berkadaran dengan daya yang dikenakan ke atasnya dan ke arah daya itu.
2. Bagi setiap tindakan terdapat tindak balas bertentangan yang sama



Dalam buku ini juga beliau telah menerbitkan Hukum Graviti Sejagat dengan mengandaikan cakerawala dikenakan daya memusat yang berkadaran dgn jejari & bersalingan kalanya dengan ganda dua. Hukum Newton pada masa ini menggantikan Hukum Keppler ke-3. Ini menghasilkan daya tarikan graviti antara dua jasad yg berkadaran dgn salingan ganda dua jarak antara mereka & berkadaran langsung dgn hasil darab jisim kedua-duanya.



Lantaran Hukum Ke-3nya, Newton mengandaikan setiap cakerawala yg mengenakan daya graviti terhadap cakerawala lain mengalami daya yg sama & berlawanan & kedua-dua cakerawala bergerak mengelilingi pusat jisim mereka. Newton telah mengubah Hukum Keppler Ke-3. (Wan Ramli Wan Daud & Kamarudin Mohd. Yusof. Tth: 15-30)



Pandangan-pandangan Newton ini juga selari dengan seorang ahli falsafah sebelumnya iaitu Rene Des Cartes iaitu yang falsafahnya menggunakan logik matematik. Rene Des Cartes juga mengatakan bumi berputar mengelilingi matahari. Malah matahari juga berputar pada orbit. Bentuk perputaran kesemuanya di terangkan juga oleh Des Cartes. Proses pergantian anatara siang dan malam, termenam dan terbitnya matahari seperti kita lihat di perut bumi adalah hasil dari perputaran tersebut. (Maritain & Jacques 1944:61)



Kajian-kajian menurut saintis diatas telah membuktikan bahawa alam ini bergerak pada orbitnya termasuk juga matahari yang sentiasa bergerak pada orbitnya. Ini membuktikan secara sainsnya bahawa proses kejadian siang dan malam sepertimana firman Allah itu adalah menepati apa yang telah ditemui oleh para sainstis yang beragama Islam dan bukan beragama Islam. Putaran bumi adalah penyebab kepada proses terjadinya siang dan malam. Apabila sebahagian bumi menghadap matahari, maka siang terjadi dan begitulah sebaliknya. Putaran-putaran kesemua bintang-bintang ini adalah mengikut sunnah yang telah ditetapkan ke atasnya sehinggalah sampai suatu masa sunah ini akan berhenti. Benarlah firman Allah yang mengatakan kesemuanya bintang-bintang di cakerawala mengorbit mengikut peredaran yang ditentukan, dan dari perdaran mereka semua ini menjadi penyebab kepada kehidupan di muka bumi ini.



Dari teori-teori dan kajian yang dikemukakan di atas, perkaitan antara ayat dalam surah al-Anbiya’ ayat 33 itu dapat dilihat secara jelas. Kita dapat lihat tentang teori sains oleh Galileo yang mengatakan matahari adalah dikelilingi oleh planet-planet yang lain, menunjukkan Bumi juga berputar mengelilingi matahari dan penyebab terjadinya siang dan malam. Jika kita lihat teori Newton tentang Gariviti, sangat-sangat lah menepati dengan ayat في فلك يسبحون, iaitu semuanya bergerak tanpa ada suatupun yang terhenti, bergerak menepati orbitnya. Sungguhpun kita tahu dari ayat al-Quran bahawa planet bergerak mengelilingi dan berputar, tetapi secara terperincinya kita tidak mengetahui kenapa ianya berputar, apakah sebab yang menyebabkan ianya bersifat mengelilingi tanpa henti. Gunanya teori Newton adalah di sini, penyebab kepada gerakan bumi dan planet lainnya adalah kerana Graviti. Dari teori Graviti Newton, teori Kepler dan Galileo serta lain-lainnya, dapat kita lihat simpulkan bahawa, Bumi, Matahari, dan yang lain-lainnya adalah bergerak dan berputar. Malah putarannya juga adalah bersifat malar (kekal), sesuai dengan ayat al-Quran ini.



5. Manfaat Siang Dan Malam Serta Putaran-Putaran Planet



1. Matahari



Matahari ini tidak lah dijadikan hanya semata-mata untuk cahaya sahaja. Jika kita melihat secara tersirat apakah manfaat yang dapat kita ambil dari keduanya, akan kita bincangkan. Setiap pusingan dan putaran itu tentulah memberi kesan kepada kehidupan. Jika pusingan bulan mengelilingi bumi dan peredaran bumi mengelilingi matahari boleh mengakibatkan pasang surut paras laut, gerhana bulan dan bintang dan lain-lain fenomena lagi, maka sudah tentulah peredaran seluruh bintang-bintang itu akan memberi kesan kepada keseimbangan alam ini.



Atas asas ini, maka fenomena yang terjadi kepada bumi ini tentulah mempunyai hubungkaitnya dengan alam di luar bumi, cuma manusia tidak dapat mengesannya. Semua pergerakan dan proses peyesuaian ini berada di bawah kuasa Allah yang mencipta makhluk dengan fitrahnya sekali. Sepertimana makhluk-makhluk yang lain, bumi mempunyai sistem atau sunnah (perjalanan) hidup yang telah ditentukan oleh Allah SWT.



Jika makhluk lain mengalami proses kelahiran, pembesaran, kematangan dan akhirnya kematian, maka bumi juga mengalami proses yang sama dengan caranya yang tersendiri. Sungguhpun kita lihat secara zahirnya bumi tidak bergerak atau membesar, namun ia mengalami proses hakisan, luluhan, perubahan kepada struktur batu batan (terutamanya semasa letusan gunung berapi atau gempa bumi berlaku) dan kemendapan. Keadaan-keadaan ini memang telah ditetapkan oleh Allah SWT dan tidak berlaku dengan sendirinya. (Dr. Mohd Sabri Abdul Ghafar. 2007: 4)



2. Bulan



Bulan digunakan untuk penentuan waktu dan berbagai lagi dapat diketahui bahwa dimulainya bulan baru, menurut petunjuk ayat itu, adalah apabila Bulan telah kembali kepada bentuknya yang paling kecil. Bentuk yang paling kecil itu dicapai di sekitar saat ijtima’ antara Matahari dan Bulan. Pada saat ijtima’, posisi Bulan berada di antara Matahari dan bumi, meskipun tidak setiap kali ijtima’ posisi Bulan, Matahari dan bumi betul-betul satu garis, kerana bidang falak Bulan dan bidang ekliptika, peredaran bumi mengelilingi Matahari membentuk sudut inklinasi sekitar 05˚ 09, maka suatu ketika Bulan dan Matahari dapat membuat jarak sekitar 05˚ 092. Jika Bulan, Matahari dan bumi benar-benar satu garis, maka terjadilah gerhana Matahari. Dalam keadaan jarak Bulan dengan Matahari mencapai 05˚ 09 masih ada bagian permukaan Bulan yang terkena sinar Matahari yang menghadap ke bumi. Namun demikian, sangat sukar untuk dilihat. (Ayob bin Sharif. 1997: 106)



3. Pasang Surut



Salah satu fenomena fizik yang selalu dijumpai di lautan adalah naik turunnya permukaan air yang selama satu putaran waktu tertentu yang disebut pasang surut (Nybakken, J.W. 1992: 459). Pasang surut terjadi kerana adanya daya tarik menarik antara daya sentrifugal dan daya graviti yang berasal dari bulan dan matahari terhadap bumi.



Daya sentrifugal adalah suatu tenaga yang dipaksa ke arah luar pusat bumi, besarnya kurang lebih sama dengan tenaga yang ditarik ke permukaan bumi. Daya graviti bulan terhadap bumi dua kali ganda jika dibandingkan dengan daya graviti matahari terhadap bumi. Hal ini terjadi kerana jarak antara bumi dan bulan lebih dekat daripada jarak antara bumi dan matahari. Pada bahagian bumi yang menghadap bulan, daya gravitinya lebih kuat daripada daya sentrifugal, sehingga air tertarik keatas, disebut pasang naik.



Adapun pada bahagian bumi yang berjauhan dengan bulan juga akan mengalami penarikan air menjauhi bumi, tetapi besarnya air yang ditarik keluar tidak sebesar dengan penarikan air pada bahagian bumi yang secara langsung berhadapan dengan bulan, disebut pasang turun. Daya graviti yang ada dibahagian ini lemah dan gaya sentifugalnya kuat. Pada sisi dari bagian bumi yang tidak mengalami penarikan air, disebut surut. Dengan demikian terdapat dua pasang dan dua surut. Pasang surut akan bergerak dipermukaan bumi. Perputarannya memerlukan waktu selama kurang lebih 24 jam 50 minit dalam satu putaran. (Nybakken, J.W. 1992: 459)



4. Siang dan malam



Bumi bergerak mengelilingi matahari pada kelajuan purata 30 km/s dalam orbit berbentuk elips. Dalam pergerakan ini, bumi akan berada di titik terjauh daripada matahari iaitu afelion lebih kurang pada 4 Julai dan berada di titik terdekat(perihelion) pada 4 Januari setiap tahun. Jarak purata Bumi dengan matahari adalah 149.6 juta kilometer. Sehari di Bumi bersamaan 24 jam dan setahun di bumi bersamaan 365.25 hari. Ini adalah menyebabkan berlakunya proses siang dan malam seperti yang telah difirmankan oleh Allah. (Oppenheimer, R. 1953: 13)



Allah berfirman:

وَجَعَلْنَا اللَّيْلَ لِبَاسًا وَجَعَلْنَا النَّهَارَ مَعَاشًا



Dan Kami telah menjadikan malam (dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? dan Kami telah menjadikan siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?



Menurut tafsir al-Razi (hlm 8), surah an naba , asal maksud لباسا, adalah bermakna, sesuatu yang menerkup atau menutupi manusia. Dan malam itu menerkup manusia dengan kegelapannya. Itu adalah dari sudut majaz. Adapun dari sudut nikmat, adalah kegelapan itu menutupi manusia dari pandangan, jika mahu melarikan diri dari musuh, atau menyembunyikan apa yang tidak harus dizahirkan pada manusia. Itulah fungsi kegelapan malam.



معاشا pula asal perkataan membawa maksud hidup. Dalam erti kata lain Allah menciptakan siang hari untuk hidupan. Iaitu menyuruh manusia berusaha, melimpahkan rezeki di bumi, memberikan makanan pada tumbuhan melalui proses fotosintesis, menjalankan proses pasang surut laut, memberikan cahaya kepada seluruh alam, binatang dan sebagainya agar semuanya tidak berada dalam kegelapan sepanjang masa dan tidak menjadikan manusia itu tidur sepanjang masa (dengan kegelapan malam)


6. Penutup

Secara kesimpulannya, banyak ayat-ayat alquran telah dijelaskan oleh Allah Taala amat berkaitan dengan perspektif sains pada masa kini. Ini menunujukkan bahawa ilmu-ilmu sains yang ada pada masa kini telah lama dijelaskan didalam al-quran dan menjadi panduan kepada manusia untuk mengkaji ilmu-ilmu sains berdasarkan al-quran. Kejadian ini juga mengajak kita untuk menambahkan lagi keimanan tentang kehebatan dan kekuasaan Allah Taala sebagai Pentadbir seluruh alam, segala peredaran cakerawala, bumi, bulan, matahari dan seumpamanya. Peredaran bulan dan matahari yang teratur setiap hari secara berganti-ganti, matahari beredar di waktu siang, manakala bulan beredar di waktu malam adalah atas kudrat dan iradat Allah Taala. Ia mempunyai hikmat dan tujuan tersendiri antaranya bagi tujuan membolehkan manusia untuk bekerja pada siang hari dengan mudah dan pada malam hari pula dapat berehat dan bermunajat kepadaNya.



Oleh itu setiap kejadian yang berlaku termasuk gerhana bulan pada malam ini adalah untuk menyuntik hati kita agar bersyukur dan mengingati Allah sepanjang masa dan tempat. Kita sentiasa diminta agar berfikir tentang kejadian alam ciptaan Allah dalam mengenali sifat-sifat Allah dan juga mengakui diri kita sebagai hamba yang serba lemah. Al-Quran menjelaskan bahawa alam dan segala kandungannya adalah ciptaan Maha Pencipta, Allah s.w.t.



Allah s.w.t bukan sahaja Pencipta al am, tetapi juga memelihara, mengawal, dan mengurus segala juzuk alam daripada sekecil-kecil hingga yang sebesar-besarnya. Semuanya tunduk kepada hukum dan peraturan yang telah ditetapkan. Sudah tentunya al-Quran dan sains saling berkait rapat. Jika difikir dan direnung dengan akal yang waras, sudah tentu keadaan sebegitu berlaku melalui satu perancangan dan pentadbiran yang teliti dan tidak mungkin hal tersebut berlaku dengan sendirinya.



Rujukan



Abdul Hadi W. M. 2007. Krisis Manusia Moden: Tinjauan Falsafah Terhadap Saintisme Dan Relativisme Kultural. The Official Journal Of The Centre For Civilisational Dialogue. Vole. 3. Hlm 2.

Abd Al-Malik Abd Al-Karim Amrullah. 1990. Tafsir Al-Azhar. Jil. 6. Singapore: Pustaka Nasional PTE. LTD.

Abu Bakar Bin Yang. 2010. Hubungan Islam Dengan Sains Dan Teknologi. Istitut Kefahaman Islam Malaysia. 1

Ahmad Suhaimi . 2008. Mendidik Saintis Berotak Al-Quran. Dewan Kosmik Disember: 54-55.

Al-Maraghiy, Ahmad Mustafa. 2001. Tafsir Al-Maraghiy. Jil. 9. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Al-Qurtubi. 2009. Tafsir Mubin. Terj. Salahuddin Abdullah & Omar Khalid. Jil. 4. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Al-Razi, Fakhr Al-Din. 2001. Tafsir Al-Razi. Beirut, Lubnan: Dar Al-Fikr.

Ayob Bin Sharif. 1997. Skala Waktu Dan Penentuan Waktu Dari Sistem Gps (Global Positioning System). Ph.D Buletin Geomformasi. No. 1. Jil. 3. Penerbitan Akademik Fakulti Kejuruteraan & Sains Geoinformasi. Disember: 104 -111.

Al-Zuhaili, Wahbah. 1998. Tafsir Al-Munir. Juz. 17. Beirut: Dar Al-Fikr

Cook & Michael. 2000. The Koran: A Very Short Introduction. Oxford University Press

Husain Heriyanto. 2003. Tinjauan Hermeneutika : Cara Pandang Ilmuwan Barat Dan Muslim Terhadap Sains Kasus Astronomi. Jurnal Universitas Paramadina. Vol. 2. No. 2. Januari: 142-160

Ibn Abbas. 2000. Tanwir Al-Miqbas Min Tafsir Ibn Abbas. Beirut: Dar Al-Kutub.

Ibn Atiyah, Abi Muhammad Abd Al-Haq Bin Ghalib. 2001. Al-Muharrar Wajiz Fi Tafsir Kitab Al-‘Aziz. Juz. 4. Beirut: Dar Al-Kutub.

Ibn Kathir, Abu Al-Fida’ Ismail. 2003. Tafsir Ibn Kathir. Terj. Inggeris. Syeikh Safiur Rahman Al-Mubarakpuri. Jil. 6. Riyadh: Maktabah Dar Al-Salam.

Ibn Kathir, Abu Al-Fida’ Ismail. 1999. Tafsir Ibn Kathir. Jil. 2. Kaherah: Dar Al- Shobuni.

Matson & Floyd. 1966. The Broken Image: Man, Science And Society. Garden City, New York: Double Day & Company Inc

Mohd Sabri Abdul Ghafar. 2007. Bencana Alam: Fenomena Semulajadi Atau Bala Dari Allah?. Al-Qalam. Febuari. 2-4

Maritain & Jacques. 1944. The Dream Of Descartes. New York: Philosophical Library.

Nybakken, J.W. 1992. Biologi Laut. Suatu Pendekatan Ekologis. Gramedia: Pustaka Utama

Oppenheimer, R. (1953). Science And The Common Understanding. New York: Simon & Schuster

Prosch & Harry (1971). The Genesis Of 20th Century Philosophy: The Eooluion Of Thought From Copernicus To The Present. New York: Thomas Y. Crowell Company

Ruthven, Malise. 2002. A Fury For God. New York : Granta

Syed Mahadzir Syed Ibrahim. 2005. Al-Quran Dan Sains Moden. Al-Islam. Mac: 38- 41.

Syed Ali Tawfik Al-Attas. 2007. Ulasan Ringkas Terhadap Andaian-Andaian Aristotle Dan Copernicus Berkenaan Pergerakan Planet. Institut Kefahaman Islam Malaysia. Oktober. 1-2

Wan Ramli Wan Daud & Kamarudin Mohd. Yusof. Tth. Teknologi & Peradaban Revolusi Sains & Revolusi Industri. Slaid. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia

[1] Al-Quran. Al-An’am. 10: 73

[2]Al-Quran. Ali-Imran. 3:190

[3] Al-Quran. Fussilat. 41:3
[4] Al-Quran. Yunus. 10: 101

[5] Al-Quran. Al-Anbiya’. 21: 33

[6] Sebagai contoh, tumbuhan memerlukan cahaya matahari untuk proses fotosintesis iaitu membuat makanannya sendiri.

[7]Al-Quran. Al-An’am. 6: 96

No comments:

Post a Comment