Ucapan Salam Pendahulu Bicara

Friday, November 18, 2011

al-Tusi dan pemikiran akhlaknya dalam buku beliau Akhlaq-i Nasiri

PENDAHULUAN

Al-Tusi merupakan seorang tokoh Parsi yang agak masyhur di kalangan ahli falsafah Islam Parsi. al-Tusi adalah seorang yang lebih dikenali dengan nama Nasir al-Din atau Khwaja-yi Tusi atau juga Khwajah Nasir (Seyyed Hossein Nasr 1996: 207). Nasir al-Din bermaksud Pembela Agama. Nama sebenar beliau adalah Muhamad bin Muhamad bin al-Hasan al-Tusi (Mohaini Mohamed 2000: 126). Beliau dilahirkan di Tus sekitar tahun 1201 masihi bersamaan dengan 597 hijrah (Meri, Josef W. (ed.) 2006: 839-841). Tempat kelahiran beliau juga adalah tempat kelahiran seorang Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali dan juga beberapa tokoh sarjana Arab-Parsi terkemuka yang lain yang hidup sekitar abad pertengahan. Antara mereka yang hidup sezaman dengan beliau adalah tokoh Islam iaitu Rumi (m. 672H) dan Sa’di (m. 692H) dan juga tokoh Barat iaitu Albert The Great, Thomas Aquinas, dan Roger Bacon. Beliau meninggal dunia di Baghdad dalam pertengahan abad kemasyhuran rohani dan Islam terserlah iaitu sekitar tahun 1274 masihi bersamaan 672 Hijrah iaitu bersamaan dengan tarikh kematian tokoh Islam Rumi (al-Tusi. 1964 : 12; Seyyed Hossein Nasr. 1996 : 207).

Beliau seorang yang menguasai banyak disiplin ilmu sepanjang hidupnya. Tetapi disiplin ilmu yang paling masyhur yang beliau kuasai adalah matematik, astronomi dan falsafah (hijrah (Meri, Josef W. (ed.) 2006: 239-240). Selain itu beliau juga banyak mempelajari ilmu sains dan agama dengan bapa saudaranya sebelah ibunya seperti logik dan metafizik. Beliau juga adalah seorang yang amat berpengalaman dan berkemahiran dalam penulisan Ibnu Sina, malah beliau merupakan pembela bagi Ibnu Sina dalam beberapa perkara berkaitan dengan ilmu falsafah (Meri, Josef W. (ed.) 2006: 839-841). Sumbangan pada asalnya adalah kepada Raja Quhistan, kerajaan Ismaili (Syiah) iaitu Nasir al-Din Mu’tasim, malah beliau menulis bukunya Akhlāq-ī Naṣīrī adalah sepanjang sebelum tahun 1232 di dalam pemerintahan Quhistan. Beliau juga menulis beberapa buah kitab lagi ketika di benteng di pergunungan Ismaili, Alamut, iaitu tentang permasalahan etika, logik, falsafah dan matematik, antaranya Asās al-Iqtibās (logik) dan Al-Risālāt al-Muᶜiniyya (astronomi). Kemasyhuran beliau adalah terserlah sehingga ke negeri China. (Mohaini Mohamed. 2000 : 126 – 131; al-Tusi. 1964 : 12 - 13; Seyyed Hossein Nasr. 1996 : 208 - 209)

Setelah kemasukan tentera Hulagu Khan untuk merebut Alamut pada tahun 1257, kerajaan Ismaili telah jatuh dan al-Tusi bekerja pula sebagai penasihat ilmiah kepada Hulagu Khan. Salah satu tuntutan beliau terhadap kerajaan Hulagu Khan adalah pembinaan sebuah makmal penyelidikan di Maragha, Adharbajian pada tahun 1259 yang mana tempat ini menjadi satu tempat kemajuan ilmu dalam bidang astronomi dan matematik (Mohaini Mohamed. 2000 : 126; al-Tusi. 1964 : 13). Makmal penyelidikan ini dikenali dengan nama Rasad Khanah, yang dilengkapi dengan berbagai peralatan yang terbaik. Ketika mempunyai kelebihan inilah al-Tusi menyusun jadual astronomi yang lebih dikenali dengan nama Zij al-Ilkhani yang menjadi terkenal diseluruh Asia termasuk China. Tempat ini juga dijadikan al-Tusi sebagai pusat ilmu yang mengumpulkan ilmuan-ilmuan Islam yang menyusun sistem pengajaran falsafah untuk dipelajari dan diajari terutamanya bidang matematik dan astronomi. Disebelah Rasad Khanah ini pula bersambung bangunannya dengan sebuah bangunan perpustakaan yang sangat besar yang menyimpan berbagai khazanah ilmu dan perpustakaan ini tidak dimusnahkan ketika kemasukan tentera Mongol semasa penaklukan mereka berleluasa. Sebahagian pandangan berpendapat perpustakaan ini memiliki tidak kurang dari empat ratus ribu (400 000) jilid naskhah buku (Baktiar Husain Siddiqi 1994: 564).

Al-Tusi telah menulis beberapa buah kitab yang masyhur. Menurut pandangan Seyyed Hossein Nasr (1996: 208), beliau telah mengarang sebanyak 150 buah buku dari bahasa parsi dan Arab dan kebanyakannya adalah Arab. Mohaini (2000: 127) menyebut bahawa, sekitar 25 buah buku dalam bahasa Parsi telah ditulis oleh al-Tusi dan selebihnya adalah dalam bahasa Arab. Antara kitab-kitab beliau adalah (Seyyed Hossein Nasr. 1996 : 209; al-Tusi. 1964 : 13, (Meri, Josef W. (ed.) 2006: 325-326) :

1. Al-Risālāt al-Muᶜiniyya. Iaitu dalam dahasa Parsi yang menyentuh berkenaan bidang Astronomi.
2. Akhlāq-ī Naṣīrī. Juga dalam tulisan Parsi yang menyentuh tentang etika beliau
3. Tajrīd al-ᶜAqa’id. Dalam bahasa Arab, iainya berkaitan dengan teologi Syiah.
4. Rauḍat Al-Taslīm. Dalam bahasa Parsi yang menyentuh berkenaan dengan sejarah awal kehidupannya dan juga berkaitan falsafah.
5. Risālāt Al-Syāfiᶜiyyah.
6. Jawāmiᶜ al-Hisāb Bi al-Takht Wa al-Turāb. Adalah berkenaan dengan bidak matematik.

Begitu juga dengan banyak lagi penulisan beliau dalam bidang-bidang sains serta agama yang mana ianya menjadi rujukan oleh rakyat yang hidup sezaman dengan beliau dan juga yang hidup selepas zaman beliau. Banyak juga pemikiran falsafah yang wujud selepas kematian beliau adalah berasaskan daripada pemikiran dan kitab yang beliau tulis. Pada kali ini akan dibincangkan salah satu dari pemikiran tokoh ini yang agak terkenal bidangnya berasaskan dari ssalah sebuah bukunya yang bertajuk Akhlāq-ī Naṣīrī. Secara umumnya karya Akhlāq-ī Naṣīrī merupakan sebuah karya yang masyhur dalam pemikiran akhlak, ekononomi dan politiknya. Sebahagian pendapat mendakwa bahawa karya ini dalam bab etikanya adalah terjemahan penuh dari kitab Taḥdhīb al-Akhlāq karangan Miskawayh, dan dalam bab politiknya merupakan cedokan dari pemikiran Ibn Sina dan al-Farabi (Baktiar Husain Siddiqi 1994: 567). Sungguhpun begitu, tidak dapat dinafikan juga bahawa karya ini adalah merupakan karya asli beliau tanpa meniru atau mencedok dari mana-mana pemikiran tokoh Islam sebelumnya kerana jika diteliti, terdapat beberapa perkara yang ditambah dan tidak terdapat dari pendangan mana-mana tokoh sebelumnya. Kita tinggalkan dahulu perbincangan mengenai hukuman terhadap karyanya, dan kita akan mulakan perbincangan yang ringkas mengenai isi pemikiran akhlak beliau berasaskan dari karya beliau yang sangat masyhur ini.

KARYA AKHLĀQ-Ī NAṢĪRĪ

Al-Tusi telah menulis beberapa buah kitab yang masyhur mengenai berbagai bidang dan menjadi rujukan kepada beberapa generasi ilmuan Islam dan bukan Islam. Antara kitab yang terkenal beliau adalah bertajuk Akhlāq-ī Naṣīrī, iaitu sebuah kitab yang ditulis dalam bahasa Parsi. Dalam kitab ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu mengenai pemikiran Akhlak, Ekonomi dan Politik beliau. Pada bab ini akan dibincangkan mengenai pemikiran akhlak beliau berdasarkan kepada buku beliau ini.

Dalam bab akhlak atau etika ini, beliau telah membahagikannya kepada dua bahagian iaitu pemikiran akhlak dari sudut teorinya (On Principles) dan juga praktikalnya (On Ends). Dari sudut teorinya beliau membahaskan beberapa konstitusi atau situasi kejiwaan manusia dari sudut sumber, fakulti, asal satu-satu tindakan terlahir, bagaimana membentuk jiwa manusia dan bebagai lagi yang akan dibahaskan dibawah nanti. Dari sudut praktikal pula beliau memberikan cara bagaimana melahirkan satu perbuatan yang baik, membahagikan kelas-kelas kebaikan, pembahagian terhadap kemuliaan manusia berasaskan kebaikan mereka, konsep keburukan, dan yang terakhir bagaimana merawati jiwa. Kesemua isu ini akan diulas dan diringkaskan dibawah nanti.

Pada isu-isu akhlak ini al-Tusi pertamanya membincangkan mengenai perkara-perkara utama yang perlu dibahaskan dalam membincangkan mengenai isu kejiwaan atau dalam bahasa mudahnya falsafah Akhlak. Beliau mengatakan bahawa perkara pertama yang patut dimulakan adalah ilmu mengenai bagaimana jiwa manusia memperoleh satu disposisi yang menghasilkan perbuatan yang dilahirkan dari kehendaknya. Maka untuk mengetahui mengenai perkara ini, perlulah pertamanya sekali seseorang itu mengetahui apakah yang dimaksudkan dengan jiwa manusia, dimana terletaknya kesempurnaannya, apakah fakulti-fakultinya, dengan apa dia mencapai apa yang dicarinya (kebahagiaan), dan apakah halangan-halangan yang menyebabkan ia tidak dapat mencapai kesempurnaan tersebut. Menurut al-Tusi kebanyakan prinsip-prinsip tentang ilmu akhlak ini sangat berkait rapat dengan ilmu alam (Natural Science) dan tempat bagi menghuraikan pembuktiannya adalah terletak pada persoalan-persoalan dalam ilmu ini.

Mengenai dengan jiwa manusia pula al-Tusi menyatakan bahawa jiwa manusia adalah satu unsur yang ringkas yang mana ianya dapat difahami hanyalah melalui dirinya sahaja, bukan dengan sesuatu yang lain dan jwa ini juga adalah punca segala tindakan. Ianya bukan jasad, bukan jasmani, bukan deria tetapi hanyalah jiwa. Oleh kerana itu, menurut al-Tusi enam perbahasan yang perlu diketengahkan di sini. Pertamanya jiwa manusia adalah sesuatu yang wujud. Kewujudannya tidak perlu kepada pemubuktian, sebagai contoh untuk membuktikan seseorang itu tidur hanyalah dengan melihat ia tidur nyenyak maka sudah membuktikan ianya tidur. Tetapi membuktikan juga kewujudannya, maka dapatlah dikatakan bahawa jiwa merupakan perantara kepada manusia iaitu perantara yang menghasilkan tindakan yang dikehendaki dari jiwa. Keduanya mengenai keunsuran jiwa tersebut, sama ada ianya sesuatu yang wujud dengan bantuan sesuatu yang lain atau ia wujud dengan sendirinya, sama ada ianya unsur yang bukan hak miliknya atau ianya unsur yang hidup secara pemilikan kepada dirinya sepenuhnya. Gambaran ini dapat dikategorikan seperti jawhar dan aradh yang mana jawhar adalah unsur yang wujud dengan sendiri tanpa perlu kepada sesuatu yang lain untuk dia wujud, manakala aradh pula adalah perlu kepada unsur yang lain untuk dia wujud, contohnya seperti warna. Maka Jiwa merupakan Unsur atau umpama Jawhar. Ketiga pula jiwa adalah bukan sesuatu yang boleh dipecah atau dibahagikan. Sekiranya ianya boleh dibahagi maka ia tidak mampu memegang idea tentang kesatuan ‘The One’. Keempat pula jiwa bukanlah jasad atau sesuatu yang berbentuk jasmani, sama ada jasmani yang berbentuk atom (sesuatu yang tidak boleh dipecah lagi) atau jasmani yang berbentuk sebatian. Ia tidak boleh menerima bentuk, atau rupa atau sesuatu yang boleh memperlihatkan ia. Ia juga tidak boleh menerima dua yang bertentangan pada unsurnya seperti warna hitam dan putih dalam masa yang sama. Kelimanya Jiwa mempunyai tanggapan dan persepsinya tersendiri dan ianya dikawal melalui organ. Keenam pula jiwa tidak boleh dirasa melalui deria yang banyak kerana deria hanya menerima sesuatu yang bersifat jasmani sedangkan jiwa bukan jasmani, bukan jasad bahkan hanyalah jiwa, kerana itu ia tidak boleh dirasa.

Dalam perbahasan mengenai fakulti jiwa pula al-Tusi membahagikan fakulti Jiwa Manusia kepada tiga iaitu Fakulti Rasional iaitu fakulti yang membezakan antara tindakan baik dan buruk. Ianya terletak di otak. Kedua pula fakulti Nafsu iaitu fakulti yang hanya mencari keuntungan dan keseronokan dengan makanan, perempuan, pangkat, harta dan lain-lain. Ianya terletak di hati. Ketiga pula adalah Fakulti Marah, yang sentiasa mendatangkan kemudharatan kepada manusia. Ianya terletak di Limpa. Fakulti yang membezakan antara fakulti manusia dengan fakulti haiwan dan tumbuhan hanyalah fakulti akal sahaja dan kesemua fakulti manusia ini terbahagi pada tiga iaitu Jiwa yang Baik, Jiwa yang Buruk dan Jiwa yang bersifat kebinatangan. Dalam memberikan kemuliaan pada diri manusia, akal diletakkan sebagai tempat yang tertinggi oleh al-Tusi sebagaimana yang dikategorikan dalam fakultinya. Mereka yang melakukan kebaikan, maka tarafnya adalah lebih tinggi dari malaikat (Angelic) di sisi tuhan dan mereka yang melakukan keburukan maka tarafnya dijatuhkan sehingga lebih bawah dari taraf jiwa kebinatangan. Al-Tusi berpendapat lagi bahawa manusia sejak dilahirkan adalah berada di kedudukan yang sederhana, tidak tinggi dan tidak rendah. Maka dengan kehendak dan diikuti dengan tindakan mereka, taraf mereka akan dinaikkan dan diturunkan. Jika kehendak dan tindakannya baik, maka tarafnya dinaikkan tinggi bahkan kadangkala melebihi taraf malaikat, dan jika kehendak dan tindakannya buruk maka tarafnya diturunkan bahkan kadangakala sehingga bawah dari taraf binatang. Kesemua ini adalah bersifat bebas dan manusia boleh memilih salah satu dari dua natijah di atas. Sungguhpun sejak dilahirkan manusia adalah berada dalam dua situasi seperti yang telah dijelaskan, namun mereka tetap juga memerlukan Nabi, Imam, Pemimpin, Pembawa dan lain-lain untuk memandu mereka menjadi baik.

Mengenai dengan kesempurnaan jiwa manusia pula, al-Tusi berpendapat bagi manusia mereka mempunyai ciri khusus yang tersendiri yang tidak ada pada makhluk yang lain. Walaupun begitu, manusia juga masih lagi mempunyai tindakan dan fakulti yang berkongsi dengan binatang dan tumbuhan seperti fakulti nafsu yang mana manusia berkongsi dengan binatang. Maka apa yang membezakan antara manusia dengan makhluk yang lain adalah Rationality iaitu akal. Ianya membezakan di antara perkara yang baik dan yang buruk juga membezakan perilaku tindakan yang baik dan buruk. Maka mereka yang berusaha mencapai fakulti ini mereka adalah sedang berusaha mencari kebahagiaan yang abadi dan mereka yang tidak berusaha, maka mereka hanyalah semata-mata mencari keseronokan dalam khayalan kehidupan mereka.

Mengenai konsep kebaikan dan kebahagiaan pula, dapat diringkaskan seperti berikut. Menurut al-Tusi setiap tindakan mempunyai tujuan dan kesempurnaan jiwa manusia juga dicapai atas tujuan tertentu. Makanya tujuan jiwa manusia ini untuk mencapai kesempurnaan adalah tidak lain dan tidak bukan hanyalah untuk mencapai kebahagiaan. Kebahagiaan yang dimaksudkan disini pula adalah kebahagiaan yang selaras dengan suatu situasi kebaikan. Bukan kebahagiaan yang dicapai dengan amalan kejahatan atau keburukan. Al-Tusi mengambil contoh perbahasan mengenai persoalan kebaikan, kebahagiaan dan sebagainya daripada tokoh-tokoh akhlak sebelumnya iaitu Aristotle dan Abu Ali yang mereka memberi takrif atau memperkenalkan konsep kebaikan, kebahagian dan keburukan secara umum. Lalu disusun semula oleh al-Tusi tentang konsep-konsep ini.

Menurut al-Tusi lagi, berdasarkan dari pandangan ahli Falsafah abad terawal, kebaikan adalah terbahagi kepada dua iaitu kebaikan yang relatif dan kebaikan yang mutlak. Kebaikan yang mutlak adalah kebaikan yang dicari oleh setiap benda hidup di dunia ini. Manakala kebaikan yang berbentuk relatif pula merujuk kepada sesuatu yang mana benda yang hendak dicapai oleh seseorang, maka itu lah yang disebut kebaikan baginya. Kebahagiaan pula adalah sesuatu yang sama dengan kebaikan akan tetapi ianya bersifat relatif bergantung atas individu, yang mana ianya disebut sebagai kebahagiaan apabila ianya mencapai kehendak yang diingini oleh seseorang yang dijelmakan kebaikan dari pencapaian tersebut berdasarkan sifat-sifat kesempurnaan yang diletakkan oleh seseorang yang ingin memiliki sesuatu perkara tersebut. Kerana itu kebahgiaan adalah sesuatu yang berbeza ke atas individu yang berbeza, manakala kebaikan pula adalah bersifat sejagat dan tidak bersifat relatif pada pandangan seseorang individu.

Kebaikan yang mutlak pula menurut al-Tusi adalah satu kenyataan tentang satu idea yang mana kesemua individu sama ada manusia, atau binatang atau tumbuhan bersepakat tentang kebaikannya berasaskan alasan-alasan tertentu. Setiap gerakan adalah satu usaha untuk mencapai keperluan atau setiap tindakan adalah satu usaha untuk mencapai tujuan. Akan tetapi akal tidak dapat menerima sesuatu tujuan sekiranya ianya dicapai melalui jalan yang tidak baik. Maka setiap perbuatan dalam usaha mencapai tujuan intu juga mesti lah sesuatu yang rasional. Sebagai contohnya dalam usaha untuk mencapai kebaikan, kita melakukan kerosakan semata-mata untuk mencapai kebaikan, maka ianya adalah sesuatu yang tidak dapat diterima sekalipun tujuan akhirnya adalah mulia. Kebaikan yang mutlak merupakan sesuatu yang dikira dan dipertimbangkan oleh setiap kewujudan bahawa ianya adalah sesuatu yang baik. Bukanlah dipertimbangkan hanya melalui seseorang individu sahaja.

Al-Tusi menyebut lagi bahawa Aristotle membahagikan kebaikan kepada beberapa bahagian iaitu, kadang-kadang kebaikan ini ditakrifkan sebagai kemuliaan, kadang-kadang kebaikan adalah dari sudut pujian, kadang-kadang juga kebaikan diistilahkan sebagai kebaikan dalam potensi atau kemungkinan dan berbagai-bagai lagi. Al-Tusi mengambil jalan yang berbeza, beliau menyatakan bahawa kebaikan adalah sama ada ianya pengakhiran (penamat) atau bukan pengakhiran bagi sesuatu. Seandainya ia adalah satu pengakhiran maka boleh jadi ianya pengakhiran yang sempurna (Complete End) atau tidak sempurna (Incomplete End). Sekiranya ianya penamat yang sempurna, maka itulah yang dinamakan sebagai kebahagiaan, yang mana apabila ianya dicapai, tiada persoalan lagi tentang kebaikan sesudahnya. Sekiranya ianya penamat yang tidak sempurna maka ianya adalah sesuatu yang relatif sama ada kebaikan itu adalah berbentuk seperti kekayaan, kesihatan, atau kebaikan-kebaikan yang lain.

Kebahagiaan juga dapat dibahagikan kepada beberapa bahagian. Menurut sebahagian ahli falsafah kuno, sebagaimana yang dibawa oleh al-Tusi dalam bukunya, seperti Pythagoras, Socrates, Plato dan lain-lain, kebahagiaan merujuk kepada jiwa, yang mana jasad tidak berkongsi kebahagiaan tersebut. Walaubagaimanapun kesemua ahli falsafah bersepakat bahawa kebahagiaan terdiri dari empat jenis iaitu Kebijaksanaan, Keberanian, Pengawalan dan Keadilan. Mereka berpendapat bahawa kebahagiaan akan dapat dicapai hanya mencukupi dengan keempat-empat perkara ini, tidak perlu kepada perkara yang lain selain dari empat ini.

Kebahagiaan manusia pula menurut Tusi dapat dibahagikan kepada dua tingkatan. Tingkatan yang pertama adalah kebahagian yang belum lagi bebas dari pencemaran atau kecacatan emosi dari penyesalan yang tidak berkesudahan, sama ada kerana tidak dapat mencapai tingkatan darjat yang tertinggi atau pun kerana keasyikan dengan penipuan dunia, kerana itulah kebahagiaan berada di tahap yang rosak pada situasi ini. Tingkatan yang kedua pula adalah kebahagiaan yang sempurna, manusia yang memiliki tingkatan kebahagiaan yang kedua ini, mereka menghiasi diri mereka dengan cahaya ketuhanan. Mereka yang mencapai tahap ini maka mereka telah mencapai batas tingkatan tertinggi kebahagiaan. Dalam persoalan yang membicarakan tentang konsep kebaikan dan keburukan serta kebahagiaan, al-Tusi banyak membawa pandangan dari ahli falsafah sebelum beliau terutamanya dari pandangan Aristotle, dalam banyak hal beliau seringkali memetik dahulu pandangan Aristotle lalu menerjemahkannya dalam pemikiran beliau sendiri. Selain itu, berasaskan dari pandangan beberapa ahli falsafah yang lain juga, beliau menyusun dan membuat kesimpulan tentang apa itu konsep kebaikan dan keburukan serta membahaskan persoalan kebahagiaan dengan huraian yang panjang lebar sebagaimana yang telah diringkaskan di atas.

Pada perbahasan yang seterusnya pula mengenai pemikiran akhlak beliau, al-Tusi memberikan takrif bagi disposisi dengan mengatakan bahawa, disposisi adalah satu tabiat Jiwa yang mana darinya menghasilkan satu tindakan yang mudah tanpa perlu kepada pemikiran untuk melaksanakannya atau tanpa perlu melakukan sesuatu tindakan itu dengan sengaja. Tabiat atau habit merupakan suatu tindakan fizikal yang mana ianya lahir hasil dari suatu disposisi dalam jiwa manusia. Al-Tusi banyak membawa pandangan dari tokoh akhlak yang lain mengenai situasi kejiwaan manusia, antaranya beliau membawa pandangan dari Stoic yang berpendapat bahawa manusia ini pada asalnya adalah baik secara semulajadi, akan tetapi mereka menjadi jahat disebabkan oleh kemahuan mereka untuk melakukan kejahatan dan percampuran dengan unsur-unsur yang menjadikan mereka jahat. Manakala pandangan dari Galen pula mengatakan bahawa manusia ini sebahagiannya adalah pada asalnya baik dan sebahagian lagi jahat dan sebahagian yang lain pula adalah dikalangan pertengahan di antara baik dan jahat. Manakala pandangan Aristotle pula mengatakan manusia yang jahat boleh menjadi baik dengan panduan dan disiplin.

Al-Tusi membahagikan pula fakulti kejiwaan pada diri manusia kepada tiga bahagian sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Fakulti yang pertama adalah Fakulti Rasional iaitu satu fakulti yang memegang prinsip tindak balas dan pembezaan dan juga keinginan yang kuat untuk melihat realiti terhadap sesuatu benda. Fakulti ini disebut juga sebagai Jiwa Malaikat. Keduanya adalah Fakulti Marah yang ia memegang prinsip kecenderungan kepada marah dan prinsip keberanian, juga satu keinginan yang kuat untuk mematuhi peraturan serta keinginan yang kuat untuk mengangkat darjat atau status dirinya. Fakulti ini disebut juga sebagai Jiwa yang Tidak Bertamadun atau Kejam. Fakulti yang ketika pula adalah Fakulti Nafsu yang memegang prinsip keinginan atau selera, serta mempunyai keinginan yang kuat untuk sentiasa mencari keseronokan sama ada melalui makan atau minum atau wanita. Fakulti ini juga digelar sebagai Jiwa yang Ganas atau Rakus (seperti binatang buas). Setiap jiwa ini perlu mencapai keseimbangan supaya ianya tidak menjurus kepada melakukan kejahatan atau kerosakan dan setiap jiwa ini mempunyai kebaikan dan keburukan. Setiap fakulti ini akan sentiasa saling berinteraksi dan setiap fakulti akan sentiasa cuba untuk mendominasi di antara satu sama lain. Maka keseimbangan perlu dicapai dalam usaha untuk menjurus kepada arah kebaikan.

Al-Tusi juga telah melakukan pengkelasan terhadap kebaikan sebagaimana yang telah disebut diatas kebijaksanaan, keberanian, pengekangan (continence) dan keadilan. Spesis hidupan yang berada dalam kelas Kebijaksanaan dipecahkan pula kepada tujuh iaitu cepat menangkap, cepat memahami, kejelasan minda, mudah belajar, pemikiran yang unggul, hafalan dan ingatan semula. Spesis yang wujud dalam kelas Keberanian pula dipecahkan kepada 11 iaitu jiwa yang kental, sangat berani, pemikiran yang tinggi, ketabahan, kelembutan, ketenangan, mempunyai tenaga dan kesihatan, penderitaan yang panjang, rendah hati, maruah dan belas kasihan. Spesis dalam Pengekangan pula terbahagi pada 12 iaitu rasa malu, ketaatan atau sifat menuruti, penjaga yang benar, mencintai kedamaian, ketenteraman, semangat, kepuasan hati, keseriusan, kesederhanaan, arahan, kebebasan dan keterbukaan. Spesis yang terakhir pula iatu spesis yang berada dalam kategori Keadilan pula terbahagi kepada 12 juga iaitu keikhlasan, persahabatan, ketaatan, keprihatinan, mengambil berat terhadap saudara, persatuan, hukuman yang adil, sifat suka, penerimaan, kebolehpercayaan dan kesetiaan.

Begitu juga al-Tusi memberi pengkelasan terhadap sifat-sifat yang lawan terhadap sifat-sifat di atas iaitu dalam kategori pertama lawan kepada Kebijaksanaan iaitu Kejahilan kemudian lawan kepada Keberanian adalah Penakut, kemudian lawan kepada Pengekangan adalah Keinginan dan yang terakhir lawan kepada Keadilan adalah Kezaliman. Kesemua ini dijelaskan untuk membezakan diantara kebaikan dan keburukan dan supaya spesis manusia di dunia ini memilih untuk mengambil jalan yang membawanya ke tingkatan lebih tinggi dari malaikat dan untuk supaya mereka boleh menolak jiwa mereka dari jatuh tarfnya ke tingkatan yang lebih hina dari haiwan.

Dalam isu merawati penyakit jiwa pula, al-Tusi sebagaimana dalam kitab Akhlāq-Ī Naṣīrī, beliau menghuraikannya secara terperinci serta membahagi dan menyusunnya mengikut fakulti-fakulti dan punca-punca kehadirannya. Malah beliau juga membahagikan cara-cara merawat penyakit jiwa ini mengikut fakulti yang melahirkan penyakit itu dan juga apa penyakit yang dialami. Sebagai contohnya dalam merawati penyakit yang berada pada Speculative Faculty, al-Tusi memberikan tiga cara marawati penyakit yang ada di dalamnya iaitu penyakit kebingungan (kekacauan jiwa), penyakit kejahilan yang ringkas, dan penyakit kejahilan yang bergabung. Selain itu juga perbahasan cara mengenai rawatan penyakit jiwa ini juga dibincangkan oleh al-Tusi dalam merawati penyakit yang wujud dalam Faculty of Repulsion. Antara penyakit yang ada dalam fakulti ini adalah penyakit marah dan cara merawatnya pula bergantung pada tahap kronik penyakit tersebut. Setiap penyakit pula mempunyai beberapa jenis dan kategorinya yang dibincang oleh al-Tusi dengan begitu mendalam. Selain itu juga beliau juga memberi cara merawati penyakit penyebab kepada marah, sombong, bongkak, suka bergurau, menipu, angkuh, memandang rendah orang lain, dengki, khianat, ketidak adilan, penakut atau pengecut, penyakit takut, penyakit takutkan mati, kuat makan, kesedihan, kemurungan, kemalasan, dan lain-lain. Kesemua penyakit pula adalah bergantung pula pada fakulti, dan setiap fakulti mempunyai penyakit yang tersendiri. Oleh kerana itu cara rawatannya adalah berbeza mengikut cara yang diperkenalkan oleh al-Tusi dan perbincangan mengenainya adalah terlalu panjang untuk dihuraikan disini. Sebenarnya pada pandangan al-Tusi, penyakit-penyakit jiwa ini lahir dari ketidak seimbangan yang wujud dalam jiwa manusia yang mana kecenderungannya adalah melebihi kepada keburukan daripada kebaikan. Oleh itu berbagai alternatif telah diberikan oleh tokoh moralis al-Tusi ini dalam merawati berbagai penyakit yang melibatkan konstitusi kejiwaan dan kesemuanya ini adalah berasaskan dari pemikiran falsafah akhlaknya.


KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, al-Tusi merupakan seorang tokoh falsafah yang sangat terkenal dalam berbagai bidang seperti akhlak dan lain-lain di samping bidang-bidang keduniaan seperti matematik dan astronomi. Beliau adalah seorang tokoh yang berwibawa dalam membawakan pandangannya dan merupakan antara tokoh yang sangat dihormati dikalangan masyarakat dizamannya. Ketokohan beliau terlihat dari beberapa buah kitab yang ditulisnya sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini . Beliau juga merupakan seorang yang menjadi kepercayaan kerajaan pada ketika itu untuk memegang jawatan terpenting iaitu gabenor di Quhistan kerana kebijaksanaan dan kehebatannya. Bukunya pula yang terpenting adalah kitab akhlaknya iaitu Akhlāq-Ī Naṣīrī yang mana telah dihuraikan secara ringkas di atas. Buku ini ditulis untuk kerajaan Ismaili pada ketika itu dan ianya ditulis dalam bahasa Parsi. Buku ini dikatakan juga antara buku terbaik mengenai falsafah akhlak yang disebarkan sekitar tahun 1235 Masihi di Parsi. Beliau telah memberikan penjelasan tentang bidang akhlak secara keseluruhannya dalam bukunya. Secara ringkasnya segala perkara berkaitan dengan ilmu akhlak sudah pun lama dibincangkan oleh al-Tusi pada abad ke-13 ini dan buku ini sesuai untuk dijadikan rujukan bagi semua peringkat masyarakat dan ianya juga adalah antara satu usaha al-Tusi yang terhebat dalam bidang ilmu akhlak.

RUJUKAN

Al-Tusi, Nasir al-Din. 1964. The Nasirean Ethics. Terj. G. M. Wickens. London : George Allen & Unwin Ltd.

Baktiar Husain Siddiqi. 1994. Nasir al-Din al-Tusi. Dlm. M. M. Shariff (ed.). Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, hlm. 564-580. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohaini Mohamed. 2000. Great Muslim Mathematicians. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia.

Seyyed Hossein Nasr. 1996. The Islamic Intellectual Tradition in Persia. Surrey : Curzon Press.

Meri, Josef W. (ed.). Medieval Islamic Civilization, An Encyclopedia. 2006. 2 Vol. Routledge: Taylor & Francis Group.

No comments:

Post a Comment