Ucapan Salam Pendahulu Bicara

Friday, November 18, 2011

Syiah Di Selangor... Suatu Kajian dari Sudut akidah dan Ibadah.. BAB II

BAB 2


PENYEBARAN FAHAMAN SYIAH DI SELANGOR


2.1 Pendahuluan

Nama Syiah itu pada mulanya bermaksud golongan atau firqah dalam bahasa Arab. Tetapi pada permulaan Islam nama ini digunakan untuk suatu golongan yang tertentu, iaitu golongan yang membela Ali bin Abi Thalib, khalifah yang keempat, suami dari anak junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w., bernama Fatimah dan mempunyai hubungan penuh dengan Nabi, iaitu anak bapa saudaranya Abu Talib, saudara ayahnya. Ketika zaman salaf, zaman Nabi dan sahabatnya, perkataan ini belum digunakan orang, tetapi yang digunakan adalah perkataan Ahlul Bait atau ʽAlawi atau Bani Ali atau Ba ʽAlawi. Orang-orang Syiah itu, ertinya orang-orang dari golongan Saidina Ali, mempercayai bahawa Saidina Ali itulah orang yang berhak menjadi pengganti Nabi sesudah wafatnya, begitu pula jawatan khalifah itu menurun daripadanya, sebagai orang yang berhak menjadi Imam, iaitu ketua masyarakat kaum muslimin, kerana mereka itulah, yang juga dinamakan Ahlul Bait, yang lebih mengetahui dan lebih dekat serta lebih meyakini akan ajaran Nabi Muhammad (Aboe Bakar Ajteh 1977: 1). Imam Syafi’e pernah berkata (al-Baihaqi 1980: 208):

Tidak pernah aku melihat satu golongan dari golongan ahli Ahwa’ yang bersaksi dengan saksi palsu melainkan dari kalangan golongan Rafidhah (Syiah)

Apa yang akan penulis nukilkan hanyalah sekadar apa yang telah penulis dapatkan dari golongan Syiah sendiri berkaitan dengan fahaman dan ajaran mereka sama ada dari sudut akidah mahupun ibadah dan Syariat dan sedikit sahaja dari kajian literal buku-buku tentang Syiah. Kajian yang penulis lakukan ini hanyalah berkisar kepada golongan Syiah di Selangor sahaja. Jika mahu dibesarkan lagi skopnya adalah tidak mencukupi masa dan terbatas tempatnya. Maka Syiah yang dibincangkan dalam penulisan ini hanyalah Syiah yang wujud disekitar Selangor sahaja, Ianya berkaitan pula dengan ajaran-ajaran serta fahaman-fahaman mereka yang mereka sendiri amalkan pada realitinya dan bukan hanya pada teorinya sahaja. Sebagai contoh nikah Mut’ah, kadang-kadang ada sebahagian penganut Syiah yang kita dengar hanyalah menganut dari sudut akidah sahaja dan mengenepikan beberapa Syariat yang dibolehkan terhadap mereka. Pengalaman yang penulis lalui sendiri adalah mereka-mereka yang mengamalkan majoriti dari Syariat mereka seperti Mut’ah ini secara realitinya, bukan hanya cerita kosong. Inilah antara kepentingan kajian berasaskan Temu bual kepada responden dari kalangan Syiah sendiri.

2.2 Latar Belakang Kedatangan Syiah ke Selangor

Syiah telah datang ke Selangor melalui berbagai-bagai cara. Ianya adalah satu penyebaran pemikiran yang begitu berleluasa dan meracuni pemikiran rakyat di seluruh dunia. Menurut Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), penyebaran fahaman Syiah di Malaysia datang melalui beberapa cara, antaranya seperti lawatan pembesar-pembesar Iran ke Malaysia yang di susuli dengan kempen dan penerangan fahaman mereka, lawatan pelawat-pelawat Malaysia ke Republik Iran, melalui pelajar-pelajar Malaysia yang ditawarkan belajar ke Republik Iran dengan diberi biasiswa dan kemudahan asas yang secukupnya, melalui pegawai-pegawai Kedutaan Iran di Malaysia yang membuat lawatan ke pusat-pusat pengajian tinggi di Malaysia, dan memberi hadiah berupa buku fahaman Syiah kepada perpustakaan-perpustakaan umum seperti perpustakaan universiti, masjid dan tokoh-tokoh buku yang terkenal (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor. 14 Disember 2010).
Berdasarkan kepada Temu bual yang dilakukan terhadap beberapa orang responden pula, mereka telah memberikan jawapan yang postif tentang kedatangan Syiah ini ke Selangor. Kedatangan Syiah ke Selangor sebenarnya telah melalui berbagai-bagai peringkat. Ada sebahagian mereka mengatakan bahawa kedatangan Syiah ke Selangor adalah sebelum berlakunya Revolusi Iran dan ada juga yang mengatakan Revolusi Iran itulah punca banyaknya tersebar fahaman Syiah ini ke Selangor. Semua pandangan responden tentang kedatangan Syiah ini dapat dipecahkan kepada dua bahagian iaitu (Kamil Zuhairi 2010: Temu bual, 25 November; Abu Dzar Latip 2010: Temu Bual, 26 November; Kasmawi 2010: Temu Bual, 25 November; Wan Zailan 2011: Temu Bual, 7 Januari):

2.2.1 Kedatangan Syiah ke Selangor secara umum

Apa yang dimaksudkan dengan kedatangan secara umum adalah cara kedatangan Syiah ke seluruh dunia termasuk Malaysia dan Selangor. Kedatangannya ini bersifat umum iaitu penarikan beramai-ramai umat Islam terhadap fahaman Syiah ini, dan perkara ini bukan sahaja berlaku di Selangor sahaja tetapi berlaku di seluruh dunia termasuk Malaysia. Kedatangan ini melalui 5 cara iaitu:

i. Melalui Revolusi Iran

Revolusi Iran berlaku pada sekitar tahun 1970-an. Revolusi Iran juga dikenali sebagai Revolusi Islam yang mana kejatuhan kerajaan Shah Mohamad Reza Pahlavi digantikan dengan pimpinan oleh Ayatollah Khomeini iaitu dari sistem Monarki kerajaan Islam kepada sistem Republik Islam. Kerajaan yang jatuh ditangan Ayatollah Khomeini ini iaitu kerajaan Shah bukanlah calang-calang kerajaan kerana ianya kerajaan yang telah berumur lebih dari 2 ribu tahun bertapak di Iran. Menurut Kejatuhan kerajaan Shah ini bukanlah hanya semata-mata kejatuhan sebuah kerajaan sahaja, tapi dalam diam kebangkitan Ayatollah Khomeini ini bangkit bersama dengan kebangkitan fahaman Syiah ke seluruh dunia. Ramai umat Islam di seluruh dunia tertarik kepada Revolusi Islam ini sehingga menganggap bahawa segala apa yang dibawa oleh kerajaan Khomeini ini adalah benar termasuk fahaman tentang agama Islam yang dibawanya. Tertariknya fahaman Syiah ke seluruh dunia ini adalah kerana umat Islam sudah tidak tahan dengan berbagai-bagai tekanan dan tindakan oleh Barat yang menindas Islam pada ketika itu. Apabila kebangkitan Iran dalam menentang kerajaan Shah dalam revolusi tersebut menyebabkan mata umat Islam ketika itu terbuka dan mereka mula memahami apa itu Syiah sedikit demi sedikit.

ii. Keterbukaan Fikiran

Setelah kebangkitan Iran, iaitu revolusi Iran, umat Islam pada ketika itu mula bangkit membuka mata dan fikiran mereka. Ada sebahagian dikalangan mereka mula mengkaji fahaman Syiah ini sehingga mereka dapat memahami Syiah itu sendiri dengan lebih mendalam. Dari sudut gerakan Islam pula, ada gerakan-gerakan Islam yang pergi menghadiri conference-conference di Iran. Diantaranya adalah seperti conference Baghdad, conference sempena ulangtahun revolusi Iran, dan lain-lain. Dengan kewujudan conference ini wakil dari seluruh dunia termasuk di Malaysia dijemput untuk menghadiri conference tersebut. Apabila telah tertarik dengan pendedahan Syiah yang begitu berleluasa di Iran maka mereka mula bertanya, apa yang sedang berlaku?, apa yang berbeza di antara Iran dengan tempat-tempat atau negara-negara Islam yang lain?. Antara persoalannya adalah pegangan mazhab yang dianuti oleh penduduk di Iran. Selain itu di sana pula terdapat buku-buku dan bahan-bahan bacaan tentang fahaman Syiah yang sangat banyak, mereka yang datang ke Iran akan memperolehi sumber ilmu tentang fahaman Syiah ini dengan begitu pesat sekali. Mereka yang hadir ke Iran juga dapat bertemu dengan alim-ulama Syiah di Iran untuk bertanyakan tentang fahaman yang mereka anuti itu secara langsung tanpa ada selindung atau tapisan sama ada secara formal atau tidak formal. Mereka yang pergi ke Iran juga boleh pergi melawat ke institusi-institusi pengajian di sana dan mempelajari berbagai-bagai perkara, antara institusi pengajian yang ada disana adalah seperti kota pengajian Khum. Maka apabila mereka yang datang ke Iran dapat mempelajari apa yang terdapat di Iran dari sudut tamadun, sejarah, kebudayaan, dan kesenian mereka, lebih-lebih lagi mereka yang menuntut ilmu sendiri di Iran mereka sendiri akan mula membuka minda mereka kepada fahaman Syiah dan ini memang terbukti kepada beberapa orang Syiah yang boleh kita temui di sekitar Gombak, Selangor. Mereka juga ada diantaranya yang belajar di Iran sendiri dan akhirnya menganuti fahaman Syiah ini tanpa ada selindung sekalipun telah diharamkan di Selangor.

iii. Melalui Kajian Perbandingan

Seterusnya pula apabila mereka yang telah pergi ke Iran atau hanya sekadar mendengar-dengar sahaja dari mulut orang lain tanpa ada ilmu padanya, maka mereka mula melakukan satu yang lebih efektif dalam mencari kebenaran pada diri mereka. Manusia memang secara fitrahnya mahukan kebenaran dan kebenaran yang ingin dikecapi oleh fitrah naluri manusia itu adalah kebenaran yang benar-benar pasti tentang kebenaran. Tapi tidak kurang juga di antara mereka dalam mencari kebenaran terpesong disebabkan oleh kekurangan pemahaman mereka atau kita sebut sebagai kejahilan mereka sendiri dalam mencari kebenaran itu. Maka dari sudut ini mereka mulalah melakukan satu kajian perbandingan. Kajian demi kajian dilakukan dan ada diantara mereka yang tidak terpesong dalam kesesatan tapi tidak kurang juga ada dikalangan mereka yang melakukan kajian ini menemui Syiah sebagai pegangan hidup mereka. Mereka mula melihat kelebihan dan kekurangan antara fahaman-fahaman yang banyak dan mereka boleh memilih mana yang mereka lebih sukai. Maka ini juga adalah salah satu sumber kedatangan Syiah ke Selangor ini.

iv. Melalui Pelajar yang Menuntut Ilmu di Luar Negeri

Antara sebab yang lain pula adalah keberangkatan pelajar-pelajar Malaysia terutama pelajar Selangor ke luar negeri untuk melanjutkan pengajian. Pelajar yang melanjutkan pengajian ke Iran pula lebih mudah tertarik ke fahaman Syiah ini, terutama mereka yang tidak dapat menyembunyikan identiti Sunni mereka sendiri. Maka mereka akan lebih didekati dan dihampiri untuk didakwahkan ke dalam fahaman Syiah. Disamping pembelajaran yang didapati secara formal di dalam kelas dan kuliah, pergaulan mereka dengan pelajar-pelajar Syiah lebih mendekatkan diri mereka kepada fahaman Syiah. Itu memang satu yang tidak dapat dinafikan, dan memang, majoriti mereka yang pergi melanjutkan pelajaran ke Iran akan pasti terjebak kepada menganuti fahaman Syiah secara begitu kuat dan mendalam. Selain itu, bukan sahaja pelajar yang pergi melanjutkan pengajian ke Iran sahaja yang akan menerima tempias fahaman Syiah ini, malah mereka yang belajar di luar negeri ditempat selain Iran juga mudah ditarik ke fahaman Syiah. Caranya bukanlah dari sudut formal seperti pengajian di dalam kuliah dan kelas-kelas di tempat pengajian mereka, tetapi adalah melalui interaksi mereka antara pelajar ini dengan pelajar-pelajar dari Iran, menyebabkan terhasil satu keterbukaan dalam minda mereka untuk melakukan kajian untuk mencari sesuatu. Selain itu, terdapat kelas-kelas pengajian Syiah yang bukan formal juga wujud di negara-negara ini untuk pemahaman yang lebih mendalam terhadap fahaman Syiah ini, tidak perlu melihat jauh ke Amerika untuk melihat buktinya, cukup kita lihat situasi di Malaysia, sekalipun telah diharamkan, masih wujud kelas-kelas pengajian Syiah di merata tempat sekitar Hulu Klang. Malah terlalu banyak pelajar-pelajar di Universiti tempatan juga yang menganut malah menyebarkan fahaman ini di kalangan rakan-rakan yang terdekat mereka seperti rakan sebilik dan rakan sekelas. Melalui rakan sebilik atau rakan sekelas ini maka mulalah pertanyaan dan kemudian naik ke peringkat seterusnya iaitu diskusi ilmiah, debat dan berbagai lagi cara penularannya sehingga boleh menggoyahkan pegangan seseorang. Hakikatnya bukan kesemua mereka yang menganuti fahaman Syiah ini adalah berasaskan kebenaran yang ditemui oleh mereka, tapi kadang-kadang ada sebahagian dari mereka yang hanya mahukan kelebihan-kelebihan yang terdapat dalam Syiah seperti masalah Nikah Mut’ah dan waktu solat yang begitu fleksibel dan ringan.

v. Melalui Pelajar yang Ada di Selangor Sendiri

Seperti yang disebut di atas Syiah ini juga datang dari pelajar Malaysia sendiri yang ada di institusi-institusi pengajian tinggi seperti UKM dan UIAM yang mana mereka yang tertarik dengan apa yang berlaku di Iran iaitu revolusi Iran sehingga menyebabkan mereka bertanya kepada pelajar Iran atau pelajar yang pulang dari pengajian mereka di Iran. Maka mereka mula bertanya dan menyebarkan fahaman ini ke rakan-rakan mereka yang lain melalui interksi secara tidak formal dan seterusnya melalui pengajian diluar kampus yang tidak formal. Bagi mereka yang jahil, hujah golongan Syiah ini adalah sangat kuat dan tidak boleh dinafikan kehebatannya menurut seorang responden. Hujah Syiah ini adalah kuat dan kebiasaannya berasaskan dalil yang kefahamannya melalui akal sehingga sukar hendak membenteng iman seorang penganut Sunni yang akidahnya tidak begitu kuat.

2.2.2 Kedatangan Syiah ke Selangor secara khusus

Kedatangan melalui cara ini adalah bersifat spesifik terhadap negeri Selangor. Malah boleh dikatakan juga selangor merupakan tempat pertama yang diduduki oleh Syiah yang berasal dari hanya beberapa individu kemudian bercambah dan bertambah lebih ramai. Malah jika dilihat sekarang sukar kita hendak menghitung jumlah pengikutnya yang semakin hari semakin bertambah dinegeri Selangor ini sahaja. Kedatangan Syiah melalui cara ini pula adalah mempunyai 4 jenis iaitu (Kamil Zuhairi 2010: Temu Bual, 25 November; Abu Dzar Latip 2010: Temu Bual, 26 November; Kasmawi 2010: Temu Bual, 25 November; Wan Zailan 2011: Temu Bual, 7 Januari):

i. Melalui seorang Syeikh dari Pakistan sebelum revolusi Iran

Syiah juga masuk ke Selangor ini melalui seorang individu yang berperwatakan yang sangat soleh. Ini berlaku sebelum revolusi Iran lagi. Individu tersebut adalah Syed Muhammad Hussain atau hanya dikenali sebagai Pak Habib. Pak Habib ini berasal dari pakistan dan datang ke Malaysia sebelum revolusi Iran berlaku lagi. Beliau adalah seorang Tabib (pengamal ilmu perubatan), iaitu Tabib Ayur Vedic. Ayur Vedic ini adalah sejenis nama bagi satu jenis perubatan tradisional India yang berasaskan kepada akar-akar kayu dan sebagainya. Ketikamana beliau sambil menjual ubat, beliau juga merangkul beberapa kitab-kitab Syiah yang sentiasa mendampingi beliau, dan kitab-kitab tersebut adalah kitab ajaran dan ilmu Syiah seperti kitab-kitab tafsir dan kitab-kitab fiqh. Dikatakan bahawa beliau ini adalah seorang yang sangat warak dan kuat agamanya sehinggakan berjalan kemana sahaja beliau akan mendirikan solat. Tidak kira tempat dan tidak kira masa jika masuk sahaja waktu, beliau akan melakukan solat. Sehari semalam tidak kurang dari lima puluh jenis solat dikerjakan oleh beliau sehinggakan beliau sangat dihormati dikalangan umat Islam di Malaysia khususnya di Selangor. Disebabkan oleh perwatakan beliau sehingga dihormati orang maka ramai orang mengikuti beliau dan ajaran beliau, bukan sahaja perwatakan beliau yang menjadi tarikan, disamping beliau juga seorang yang sentiasa berkhidmat kepada masyarakat dalam mengubati orang dan ketika mana tarikan beliau itu sangat masyhur dikalangan masyarakat berkebetulan pula dengan berlakunya revolusi Iran, maka beliau disanjung dan dijadikan sebagai rujukan tempat bertanya tentang permasalahan agama dan permasalahan yang berlaku. Ini menjadikan fahaman Syiah datang dari dua arah yang sangat penting yang menjadi tunjang utama penyebaran mazhab Syiah di Selangor. Disamping itu juga Iran pada ketika itu terkenal dengan kekayaan budaya dan kekayaan ilmu agama kerana disanalah tempat munculnya banyak imam dan alim ulama dalam negaranya, malah di Iran juga dikatakan kaya sangat dengan sumber ilmu Islam dan bukan hanya ulama sahaja. Antara imam yang wujud di kawasan Iran adalah Imam Ghazali di sebelah Khurasan, Imam Bukhari yang juga dari wilayah Parsi yang telah dipisahkan dengan Uzbekistan, Imam Tarmidzi juga dari wilayah Parsi disebelah bahagian Tarmudz, Imam Nasa’ie dari wilayah Nasa’, Imam Abu Daud dari wilayah Fistan iaitu tempatnya juga bagi penganut Syiah lahirnya seorang ulama bernama Ayatollah Sayyid Ali al-Fistani, begitu juga dengan Imam Fakhr al-Din al-Razi dari Tehran, Ibnu Sina dan lain-lain. Maka menurut responden, tidak hairanlah bagi mereka-mereka yang berkunjung ke tanah Iran sudah pasti menjadi seorang penganut fahaman Syiah kerana kayanya ulama dan sumber ilmu di sana. Maka mereka-mereka yang berada di Malaysia khususnya di Selangor juga menjadi mudah untuk tertarik dengan fahaman ini kerana kekayaan ulama dan sumbernya di sana. Kerana itu apabila pelajar-pelajar atau mereka-mereka yang melakukan penyelidikan dan perbandingan terhadap fahaman Syiah ini tidak hairanlah mereka akan tersangkut dan terjebak terhadap fahaman ini. Maka kelompok yang mula-mula dan paling awal yang menganut fahaman Syiah ini adalah kelompok yang mana mereka mengikuti Pak Habib ini sendiri, kerana pada ketika menularnya fahaman Syiah oleh Pak Habib ini, Revolusi di Iran ini masih lagi belum berlaku, dan kelompok pertama yang menjadi Syiah di Selangor ini adalah melalui Pak Habib sendiri. Kelompok ini sebenarnya pada peringkat awalnya tidaklah ramai, mereka hanyalah sekitar 10 sehingga 15 orang sahaja yang mengikuti Pak Habib, tetapi apabila mereka ini digabungkan dengan pelajar-pelajar Selangor dari Luar Negeri yang sudah menjadi Syiah seperti Amerika, London dan lain-lain, maka bertambah ramailah kelompok dan kumpulan Syiah.

ii. Melalui Gerakan Islam

Disamping mereka yang sudah terlibat dengan fahaman Syiah ini sama ada melalui Pak Habib dan sumber-sumber yang lain, maka satu lagi cara kedatangan Syiah ke Selangor ini adalah melalui gerakan-gerakan Islam yang bergerak secara aktif seperti PAS dan ABIM yang mana sebahagian dari mereka ini terpengaruh dengan Syiah kerana pernah pergi ke Iran atau dari sumber-sumber yang lain seperti conference-conference di Iran dan lain-lain. Maka di sana mereka dapat bahan-bahan bacaan yang penting tentang ajaran dan fahaman Syiah berbentuk buku-buku, majalah dan lain-lain menyebabkan mereka mula melakukan perbandingan dan berbagai-bagai kajian lagi. Malah terdapat salah sebuah buku oleh Imam Khomeini (pencetus revolusi Iran) sendiri iaitu bertajuk Hukumah Islamiyyah adalah pertama sekali diterjemahkan sendiri oleh gerakan ABIM.

iii. Melalui Mahasiswa dan Pensyarah di Universiti di Selangor

Dengan cara ini adalah penyebab kepada berkembangnya Syiah yang paling pesat di sekitar Selangor kerana golongan-golongan terpelajar ini adalah golongan yang sangat berautoriti tinggi dalam penyebaran apa jua bentuk fahaman yang wujud pada mereka. Secara realitinya kita sendiri dapat lihat betapa berkuasanya golongan Universiti ini di mata masyarakat kerana suara mereka adalah sangat dipercayai oleh orang awam. Maka melalui mereka ini sama ada pensyarah mahupun pelajar di Universiti-Universiti tempatan, mereka melakukan kajian-kajian yang begitu banyak sekali sehingga menjadi penyebab utama dalam penyebaran fahaman Syiah ini di sekitar selangor. Dari hujah-hujah Syiah yang sudah kuat disamping penyelidikan mereka yang terpengaruh dikalangan golongan Universiti ini, maka bertambah kuatlah pegangan mereka terhadap Syiah ini dan suara mereka pula menjadi pegangan pula terhadap masyarakat di Selangor khususnya.

iv. Melalui Sumber Dari Dalam Negeri Selangor

Masyarakat mula mengenali Syiah sedikit demi sedikit melalui penyebaran terhadap fahaman Syiah ini di akhbar. Di akhbar bukanlah mereka menyebarkan Syiah dengan mengajarkan masyarakat tentang ajarannya, tapi sumber dari akhbar ini adalah berbentuk penghentaman terhadap pandangan-pandangan Syiah. Bagi mereka yang jahil atau kurang ilmu akidah adalah mudah terpengaruh. Masyarakat yang jahil ini mula cuba mengkaji apa itu Syiah berdasarkan dari hentaman-hentaman yang dilakukan di dalam akhbar dan majalah atau risalah-risalah itu. Maka apabila mereka mula mengkaji lebih mendalam, tidak kurang juga dikalangan mereka mula sedikit demi sedikit terjebak dan sangat tertarik dengan fahaman-fahaman Syiah. Secara tidak langsung hakikat sebenarnya cara ini lebih banyak membantu dalam memberikan propaganda yang sangat besar dan penyebab yang sangat besar dalam memberikan peluang kepada masyarakat untuk lebih memahami Syiah dan seterusnya menganut fahaman Syiah. Pada mata penulis sendiri, tidak kurang ramai juga penganut Syiah ini bukanlah penganut yang benar-benar faham tentang ajaran yang dibawa dan permasalahan akidahnya, tapi hanyalah semata-mata mahukan keuntungan dunia seperti boleh melakukan Nikah Mut’ah atau kerana mudah hendak melakukan ibadah seperti solat, yang mana waktunya sangat fleksibel. Ini dibuktikan melalui kenyataan yang disebut oleh Tuan Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dalam akhbar Harian Metro bertarikh 17 Disember 2010 ketika serbuan dilakukan terhadap Hauzah al-Ridha di Sri Gombak. (Harian Metro. 2010. 17 Disember) Beliau menyatakan bahawa

“Bagi lelaki, tarikan seks dipercayai menjadi antara sebab utama mereka mudah mengikuti fahaman Syiah kerana fahaman ini menghalalkan nikah mutaah”

Berasaskan kepada sumber-sumber kedatangan Syiah ke Selangor ini, dapat kita bayangkan berapa ramai pengikutnya yang wujud di sekitar Selangor tanpa kita sedari. Malah sebenarnya sumber-sumber kedatangan ini adalah berlaku di zaman revolusi Iran. Dapat kita bayangkan berapa ramai pengikutnya lagi di zaman sekarang, dimana generasi-generasi yang wujud setelah revolusi Iran itu berlaku adalah lebih berkembang dari generasi yang awal. Dari 15 orang berubah menjadi 30. Dari 30 menjadi 90 dan seterusnya. Cuba kita bayangkan generasi yang pertama seramai 100 orang. Kemudian seratus orang tersebut berubah menjadi 200 disebabkan perkahwinan. Dari 200 pergi ke generasi anak mereka, katakan generasi anak mereka, setiap seorang dari 200 tersebut mempunyai 3 orang anak, ianya berubah menjadi 600. Dari 600 apabila berkahwin berubah menjadi 1200, dan generasi anak mereka pula berubah menjadi 1200 x 3, berjumlah 3600 pengikut dan seterusnya sehinggalah sekarang. Walaupun telah difatwakan haram oleh Jabatan Agama Islam Selangor, yang mana pengikutnya boleh didakwa dan didenda, tetapi masih ramai jumlah pengikutnya sehingga sekarang. Anggaran perkembangan ini dinyatakan oleh Kamil Zuhairi dalam temu bual penulis bersamanya (Temu Bual. 25 November 2010)

2.3 Bilangan hauzah dan jumlah pengikut disekitar selangor

Hauzah adalah pusat pengajian bagi golongan Syiah. Ia boleh dinisbahkan bagi golongan Sunni sebagai tempat pengajian asas fardhu ain atau disebut sebagai KAFA. Hauzah Syiah yang wujud di sekitar Selangor adalah banyak, dan bilangan ahli Syiah dalam setiap Hauzah adalah ramai. Anggarannya disebut oleh Kamil Zuhairi dalam temu bual bersamanya.Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), anggaran bilangan Hauzah yang wujud disekitar selangor bagi penganut fahaman Syiah ini adalah sekitar sepuluh buah Hauzah yang masih wujud dan aktif. Sebenarnya Hauzah ini memainkan peranan penting dalam pergerakan Syiah ini dan dakwah mereka. Hauzah yang dianggarkan disekitar Selangor ini hanyalah sepuluh buah Hauzah, tetapi sebenarnya bagi golongan Syiah ini, bukan hanya Hauzah yang menjadi penggerak utamanya sahaja, malah terdapat kelas-kelas pengajian yang sangat banyak disekitar Selangor ini. Antara kelas pengajian yang terdapat di Selangor adalah di sebuah tempat di Taman Permata yang mana penulis dijemput untuk menghadiri kelas pengajiannya. Mereka mengajarkan beberapa buah kitab Syiah yang menjadi rujukan utamanya dari sudut fiqh, akidah, dan syariat yang lainnya. Disamping itu juga wujud kelas pengajian terhadap kitab-kitab tafsir dan hadith yang dikarang oleh pemimpin-pemimpin mereka seperti kitab Tafsir al-Mizan karangan Allamah Tabatabai dan kitab Fiqh berjudul Lum’ah karangan Syahid Awal.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) lagi , Hauzah yang paling aktif disekitar selangor yang mana ianya juga boleh dikatakan menjadi pusat dan tunjang utama pergerakan fahaman Syiah ini adalah Hauzah al-Ridha yang terletak di Seri Gombak, Selangor. Hauzah ini bukan sahaja memainkan peranannya hanya ketika ada majlis-majlis kebesaran Syiah, tetapi ianya juga wujud kelas-kelas pengajian agama disemua peringkat umur dari sekolah rendah sehinggalah golongan yang berumur. Kelas-pengajian agama mereka ini berlangsung setiap hari yang mana mereka mengajarkan segala ajaran fahaman Syiah dari asas sehinggalah ke peringkat tinggi. Jika kita di sekolah rendah dahulu, dan sekolah sekarang juga, pada waktu pagi, kita akan menghantar anak ke sekolah akademik, dan disebelah petangnya kita akan menghantar anak ke sekolah agama, sekolah agama itulah yang dihantar oleh golongan Syiah, anak-anak mereka yang masih muda ke sekolah yang terdapat di Hauzah al-Ridha ini dan juga di Hauzah-Hauzah yang lain.

Pandangan Kamil Zuhairi ini tentang Hauzah yang paling aktif dan menjadi pusat utama penyebaran Syiah ini disokong oleh kenyataan akhbar dari Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi. Katanya:

“Jais percaya daerah Gombak menjadi pusat utama penyebaran Syiah di Selangor sedangkan fahaman itu sudah diwartakan sebagai ajaran sesat di Selangor mengikut Seksyen 12 (C) 1995”.

Katanya lagi:

“JAIS sudah melakukan intipan selama dua tahun bagi mengumpul bukti mencukupi sebelum melakukan serbuan ini dan penahanan lebih 100 orang terbabit menjadikan ia tangkapan ajaran sesat terbesar di Selangor pada tahun ini”.

Kenyataan ini dibuat pada hari serbuan dilakukan di Hauzah al-Ridha oleh JAIS dengan kerjasama Polis, Majlis Perbandaran Selayang dan lain-lain (Harian Metro. 2010. 19 Disember).

Menurut Kamil Zuhairi dan Kasmawi, Anggaran bilangan pengikut disekitar selangor ini adalah sukar untuk dibayangkan kerana Syiah ini berkembang sangat pesat. Malah menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November) dan Kasmawi (2010: Temu Bual, 29 November), seorang ulama Wahabi iaitu Ibn Baz, Mufti Mekah, menyuruh umat Islam lebih berhati-hati dengan perkembangan gerakan Syiah yang sentiasa bergerak begitu laju. Mereka yang menjadi Syiah ini pula sentiasa merahsiakan bahawa mereka adalah penganut fahaman Syiah. Diluar mereka tiada beza dengan golongan Sunni, tetapi di Hauzah mereka adalah penganut Syiah yang taat. Dari sudut ibadahnya mereka juga mereka rahsiakan di luar kerana tidak mahu dikenal orang.

Anggaran bilangan pengikut ini yang diberikan oleh responden hanyalah anggaran berdasarkan Hauzah yang wujud di sekitar Selangor. Anggaran yang diberikan sebenarnya adalah lebih sedikit berbanding hakikatnya yang berada diluar yang mana pengikutnya lebih ramai dari jangkaan. Anggaran yang dibuat adalah bilangan Hauzah yang wujud disekitar Selangor iaitu sebanyak sepuluh buah Hauzah. Pengikut bagi setiap Hauzah puratanya adalah seramai 50 orang pengikut. Maka setiap Hauzah yang ahlinya tetap menghadiri kelas setiap hari adalah 500 orang. Tetapi apabila ada majlis pengikutnya berubah mendadak bilangannya. Seperti yang berlaku sendiri di Hauzah al-Ridha ketika mana penulis sendiri pergi ke Majlis Ghadeer Khum, iaitu majlis yang disambut sempena perlantikan Ali r.a yang sepatutnya menjadi Khalifah setelah Rasulullah s.a.w tetapi Abu Bakr mengambil tempat sebagai Khalifah selepas Rasulullah s.a.w. Ketika majlis tersebut berlangsung, dianggarkan seramai 200 orang pengikut yang menghadiri majlis tersebut tidak termasuk pelajar-pelajar yang menghadiri kelas setiap hari. Anggaran ini tidak termasuk juga dengan majlis yang berlangsung selain dari majlis di Hauzah-Hauzah, seperti yang terdapat di Taman Permata di Wangsa Maju, majlis Ghadeer Khum berlangsung bukanlah di Hauzah, tapi di tempat mereka melakukan kelas pengajian. Maka anggaran mudah yang boleh dilakukan secara umumnya tentang bilangan pengikut Syiah disekitar selangor adalah bermula pada peringkat awal iaitu anggaran seramai 5000 orang diseluruh semenanjung Malaysia dibahgaikan dengan 12 buah negeri 5000 ÷ 12 jumlahnya 420 orang secara purata pengikutnya diperingkat awal. Setelah 40 tahun berlalu mengikut perkiraan berkembang pesatnya penganut Syiah dari satu generasi ke generasi yang dibawahnya kita anggarkan 420 orang darab dengan perkahwinan 420 x 2 = 840, ditambah pula dengan generasi kedua iaitu anak-anak mereka dan anggaran purata anak-anak mereka 3 orang satu keluarga. Maka 840 + (420 x 3) dengan 420 buah keluarga darab dengan 3 orang anak satu keluarga. Jumlahnya 840 + 1260 hasilnya 2100 orang dalam satu generasi. Anggarkan pula dalam 40 tahun kita wujud tiga generasi menjadikan pengikut Syiah disekitar Selangor sahaja adalah 6300 orang pengikut. Maka inilah anggaran sebenar pengikut Syiah yang wujud pada sekarang ini tidak termasuk dengan generasi keempat yang sekarang ini semakin berkembang pesat disamping teknologi yang canggih. Anggaran ini juga adalah tidak termasuk mereka yang terpengaruh dibawah ajakan rakan mahupun guru-guru mereka dan sebagainya. Maka jumlah anggaran inilah yang agak tepat pada masa sekarang (Kamil Zuhairi. 2010: Temu Bual, 25 November).

2.4 Bagaimana Penerimaan Syiah di Selangor

Sebelum kita membincangkan tentang ajaran-ajaran yang terdapat dalam Syiah yang diamalkan oleh masyarakat di Selangor, terlebih dahulu penulis mahu menyentuh tentang pegangan Syiah bagi individu itu sendiri. ini merujuk kepada bagaimana penerimaan setiap individu di Selangor terhadap fahaman Syiah. Dalam membincangkan Syiah terhadap individu ini, penulis memilih 3 orang responden dalam menentukan cara penerimaan Syiah di Selangor ini, bagaimana boleh terlibat dengan Syiah itu sendiri, sejauh mana pemahaman mereka terhadap pegangan dan anutan Syiah ini, apakah penyebab utama yang menjadikan mereka sangat tertarik dengan fahaman ini, berapa ramai yang mengikuti Syiah dibawah mereka sama ada dalam kelas yang formal mahupun secara tidak formal, adakah mereka ini memang asalnya Syiah atau mereka ini asalnya Sunni tapi sudah berubah kepada Syiah dan kenapa mereka memilih Syiah sebagai pegangan.

Menurut responden-responden ini, secara individunya mereka memang berasal dari kalangan keluarga Sunni dan mendapat didikan dalam suasana Ahli Sunah, tetapi mereka kemudiannya berubah menjadi Syiah disebabkan kerana tertarik terhadap apa yang wujud dalam fahaman Syiah. Menurut Kamil Zuhairi dan Abu Dzar, majoriti masyarakat Syiah di Malaysia memang mereka semua adalah berasal dari pegangan akidah Ahli Sunnah tetapi kemudian mereka semua berubah menjadi Syiah berdasarkan faktor diri masing-masing (Kamil Zuhairi. 2010: Temu Bual, 25 November; Abu Dzar. 2010: Temu Bual, 26 November). Seperti responden kedua, Abu Dzar, beliau menganut fahaman Syiah adalah disebabkan oleh faktor beliau berhijrah ke Iran dalam menuntut ilmu. Selain itu beliau memberitahu lagi kepada penulis bahawa sebenarnya penyebab kepada beliau ini menganut fahaman Syiah adalah kerana sikap masyarakat yang sangat jahil dalam ilmu agama. Beliau memberikan contoh, ketika beliau masih kanak-kanak, beliau pergi ke surau dan mahu solat kerana niat ikhlas mahu menunaikan solat tetapi selalu beliau dikatakan sebegini, “datang ke surau nak main sahaja, pegi jauh-jauh” oleh pakcik-pakcik di surau. Selain itu apabila ada majlis-majlis yang ada disediakan makanan apabila beliau datang untuk menunaikan solat, ada mulut yang berbunyi “datang surau nak melantak la tu”. Sikap-sikap sebegini menyebabkan beliau mula mencari kebenaran dan akhirnya menemui Syiah (Abu Dzar. 2010: Temu Bual, 26 November). Menurut responden ketiga pula iaitu Kasmawi (2010: Temu Bual, 29 November), beliau terlibat dengan fahaman Syiah adalah kerana beliau adalah seorang penuntut di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan beliau amat berminat dengan Iran. Disini mungkin wujud sikap al-Taqiyyah pada diri ustaz tersebut kerana apabila ditanya namanya pada penganut Syiah yang lain disekitar Gombak, mereka mengenali ustaz Kasmawi sebagai seorang yang berfahaman Syiah, begitu juga di Bangi. Beliau juga tidak terlibat dengan mengajar atau mana-mana Hauzah di sini. Selain itu menurut beliau lagi beliau menjadi tertarik dengan Syiah ini adalah kerana terdedah dengan suasana Syiah dan kesedaran Islam di Universiti tersebut.

Menurut Kamil Zuhairi (2010: Temu Bual, 25 November), penganut Syiah di Malaysia ini adalah kebanyakannya penganut Syiah setelah revolusi Iran berlaku dan bukan berasal dari memang Syiah pure (asli). Orang yang benar-benar berasal dari Syiah asli adalah Pak Habib dan pengikutnya itu sendiri yang memang beliau sendiri menganut fahaman Syiah sebelum revolusi Iran berlaku. Bagi responden-responden ini, mereka menjadi tertarik kepada fahaman Syiah ini adalah kerana revolusi Iran tersebut yang menyebabkan mereka sendiri berminat untuk meneliti apa itu fahaman Syiah. Revolusi Iran adalah penyebab utama yang terbesar dalam penarikan umat terhadap Syiah. Menurut responden bukan sahaja di Selangor ianya menjadi tarikan terbesar, malah diseluruh dunia termasuk di Arab Saudi sendiri yang majoritinya berfahaman Wahabi. Malah menurutnya lagi tidak kira orang Sunni atau bukan Sunni juga malah orang bukan Islam juga menjadi tertarik dengan keistimewaan yang terdapat pada revolusi Iran itu. Kerana, bukan mudah untuk orang percaya tentang kejatuhan kerajaan Shah Iran pada ketika itu ditangan Ayatollah Khomeini, kerana kerajaan Shah Iran itu sangat berkuasa yang mana kuasanya juga mempunyai back up dari Amerika sendiri, kuasanya sudah hampir 2 ribu tahun menguasai Iran sehingga dikatakan bahawa giginya juga adalah satu senjata bagi beliau atau dalam bahasa Parsinya disebut “ho dan don musallah” yang membawa maksud orang yang sehinggakan giginya juga adalah senjata.

Bibliografi

Abdul Rahim al-Dahlawi. 1995. Hujjat al-Balighah. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Aboe Bakar Ajteh. 1977. Aliran Syi'ah Di Nusantara. Jakarta: Islamic Research Institute.
al-Baihaqi, Ahmad ibn al-Husain. 1980. Sunan al-Kubra. Jil. 10. Kaherah. Dar al-Fikr.
al-Dimasyqi, Abi Bakar. Dufi’a Syibh min Syibh wa tamarud wa nasb zalik ila al-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad. Bab Qissah al-Rahibin ma’a Abi ‘Abd Allah.
al-Hakim al-Naisaburi, Muhamad bin Abd Allah. 1986. Al-Mustadrak ‘ala Sahihain. Juz 3. Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah.
Ibn Babawaih, Muhammad bin Ali bin Husain. 1985. Man la yahdhurhu al-Faqih. Juz 1. Beirut: Dar al-Adwa’.
Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi. 1966. Al-Bidayah wa al-Nihayah. 14 Juz. Beirut: Dar al-Ma’arif.
Ibn Taimiyyah, Ahmad Ibn Abd al-Halim. 1322. Minhaj al-Sunnah al-Nabawiyyah fi Naqd Kalam Syiah al-Qadariyyah. Baihaq: Matbaah Amiriyyah.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. 2010. Portal e-Fatwa.
http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/perkembangan-fahaman-syiah-di-selangor [14 Disember 2010]
al-Kulaini, Abu Jaafar Muhammad bin Yaakub. 1992. Usul al-Kafi. Beirut: Dar al-Adwai.
Lutpi Ibrahim. 1993. Minhaj Kebenaran dan Pendedahan (Fiqh Lima Mazhab di antara Nas dan Ijtihad). Cet. I. al-Wahdah Publication.
al-Mufid, al-Imam Abi Abd Allah bin Muhamad bin Muhamad bin al-Nu’man. 413H. al-Irsyad. Beirut: Muassasah al-‘Alami li al-Matbu’at.
Muhammad Jawad. 1979. Syiah fi al-Mizan. Beirut: Dar Ta’aruf Lil Matbu’at.
Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham.
al-Muzaffar, Muhamad Redha. 1961. Aqaid Imamiah. Kaherah: Matba’ah Nur al-Amal.
Said bin Mansur. Sunan Said bin Mansur. Bab Ma Ja’a Fi al-Mut’ah.
Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Manaqib. Bab Manaqib Ahli al-Nabiyy Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam.
Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Iman. Bab Wasafa Jibril Li al-Nabiyy Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam al-Iman Wa al-Islam.
al-Tusi, Muhamad bin al-Hasan. 1980. al-Nihayah fi Mujarrad al-Fiqh wa al-Fatawa. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi.

nota kaki

1. Al-Quran. Al-Maidah. 5: 3
2. Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Manaqib. Bab Manaqib Ahli al-Nabiyy Sallallahu ‘alaihi Wa Sallam. Juz 5. Hlm. 662.
3. Al-Quran. Al-Ahzab. 33 : 33
4. Al-Quran. Al-Ahzab. 33 : 33
5. Al-Quran. Al-Kahfi. 18: 9
6. Al-Quran. Al-Taubah. 9: 30
7. Al-Tirmizi, Muhammad bin Isa Abu Isa. Sunan al-Tirmizi. Kitab al-Iman. Bab Wasafa Jibril Li al-Nabiyy Sallallahu ‘Alaihi wa Sallam al-Iman Wa al-Islam. Juz 5. Hlm. 6.
8. Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham. Juz 1. Hlm. 45.
9. Muslim, Muslim bin al-Hajjaj Abu al-Hasin al-Qasyiri al-Naisaburi. Sahih Muslim. Kitab al-Iman. Bab Bayan Arkan al-Islam wa da’aimahu al-‘Izham. Juz 1. Hlm. 45.
10. Ibnu Kathir, Ismail bin Umar bin Kathir al-Qurasyi. 1966. Al-Bidayah wa al-Nihayah. 14 Juz. Beirut: Dar al-Ma’arif. Hlm. 299
11. Al-Quran. Al-Nisa. 4: 24
12. Said bin Mansur. Sunan Said bin Mansur. Bab Ma Ja’a Fi al-Mut’ah. Juz 1. Hlm. 219.
13. Al-Quran. Al-Nisa. 4: 24
14. al-Dimasyqi, Abi Bakar. Dufi’a Syibh min Syibh wa tamarud wa Nasb Zalik ila al-Sayyid al-Jalil al-Imam Ahmad. Bab Qissah al-Rahibin ma’a Abi ‘Abd Allah. Juz.1. Hlm. 95.

No comments:

Post a Comment