Pendahuluan
Dalam membicarakan politik menurut pemikiran akhlak al-Tusi ini, eloklah diberi dahulu pengenalan kepada tokoh Parsi yang agak masyhur di kalangan ahli falsafah Islam parsi yang terkemuka ini. al-Tusi adalah seorang yang lebih dikenali dengan nama Nasir al-Din atau Khwaja-yi Tusi atau juga Khwajah Nasir (Seyyed Hossein Nasr 207). Nasir al-Din bermaksud Pembela Agama. Nama sebenar beliau adalah Muhamad bin Muhamad bin al-Hasan al-Tusi (Mohaini Mohamed). Beliau dilahirkan di Tus sekitar tahun 1201 masihi bersamaan dengan 597 hijrah (Medieval Islamic Civilization, An Encyclopedia. 2006. s.v. “Tusi”). Tempat kelahiran beliau juga adalah tempat kelahiran seorang Imam Hujjatul Islam Abu Hamid al-Ghazali dan juga beberapa tokoh sarjana Arab-Parsi terkemuka yang lain yang hidup sekitar abad pertengahan. Antara mereka yang hidup sezaman dengan beliau adalah tokoh Islam iaitu Rumi (m. 672H) dan Sa’di (m. 692H) dan juga tokoh Barat iaitu Albert The Great, Thomas Aquinas, dan Roger Bacon. Beliau meninggal dunia di Baghdad dalam pertengahan abad kemasyhuran rohani dan Islam terserlah iaitu sekitar tahun 1274 masihi bersamaan 672 Hijrah iaitu bersamaan dengan tarikh kematian tokoh Islam Rumi (al-Tusi. 1964 : 12; Seyyed Hossein Nasr. 1996 : 207).
Beliau seorang yang menguasai banyak disiplin ilmu sepanjang hidupnya. Tetapi disiplin ilmu yang paling masyhur yang beliau kuasai adalah matematik, astronomi dan falsafah (hijrah (Medieval Islamic Civilization, An Encyclopedia. 2006. s.v. “Espionage” & “Geometry”). Selain itu beliau juga banyak mempelajari ilmu sains dan agama dengan bapa saudaranya sebelah ibu seperti logik dan metafizik. Beliau juga adalah seorang yang amat berpengalaman dan berkemahiran dalam penulisan Ibnu Sina, malah beliau membela Ibnu Sina dalam beberapa perkara (Medieval Islamic Civilization, An Encyclopedia. 2006. s.v. “Tusi”). Sumbangan pada asalnya adalah kepada Raja Quhistan, kerajaan Ismaili (Syiah) iaitu Nasir al-Din Mu’tasim, malah beliau menulis bukunya Akhlaq-i Nasiri adalah sepanjang sebelum tahun 1232 bersama pemerintahan Quhistan. Beliau juga menulis beberapa buah kitab lagi ketika di benteng di pergunungan Ismaili, Alamut, iaitu tentang permasalahan etika, logik, falsafah dan matematik, antaranya Asas al-Iqtibas (logik) dan Risala-yi Mu’iniyya (astronomi). Kemasyhuran beliau adalah terserlah sehingga ke negeri China. (Mohaini Mohamed. 2000 : 126 – 131; al-Tusi. 1964 : 12 - 13; Seyyed Hossein Nasr. 1996 : 208 - 209)
Setelah kemasukan tentera Hulagu Khan untuk merebut Alamut pada tahun 1257, kerajaan Ismaili telah jatuh dan al-Tusi bekerja pula sebagai penasihat ilmiah kepada Hulagu Khan. Salah satu tuntutan beliau terhadap kerajaan Hulagu Khan adalah pembinaan sebuah makmal penyelidikan di Maragha, Adharbajian pada tahun 1259 yang mana tempat ini menjadi satu tempat kemajuan ilmu dalam bidang astronomi dan matematik (Mohaini Mohamed. 2000 : 126; al-Tusi. 1964 : 13).
Beliau telah menulis beberapa buah kitab. Disebut dalam kitab Seyyed Hossein Nasr (1996: 208) sebanyak 150 buah buku dari bahasa parsi dan Arab dan kebanyakannya adalah Arab. Mohaini (2000: 127) menyebut bahawa, sekitar 25 buah buku dalam bahasa Parsi telah ditulis oleh al-Tusi dan selebihnya adalah dalam bahasa Arab. Antara kitab-kitab beliau adalah (Seyyed Hossein Nasr. 1996 : 209; al-Tusi. 1964 : 13, (Medieval Islamic Civilization, An Encyclopedia. 2006. s.v. “Hippology”) :
1. Al-Risālāt al-Muᶜiniyya. Iaitu dalam dahasa Parsi yang menyentuh berkenaan bidang Astronomi.
2. Akhlāq-ī Naṣīrī. Juga dalam tulisan Parsi yang menyentuh tentang etika beliau
3. Tajrīd al-ᶜAqa’id. Dalam bahasa Arab, iainya berkaitan dengan teologi Syiah.
4. Rauḍat Al-Taslīm. Dalam bahasa Parsi yang menyentuh berkenaan dengan sejarah awal kehidupannya dan juga berkaitan falsafah.
5. Risālāt Al-Syāfiᶜiyyah.
6. Jawāmiᶜ al-Hisāb Bi al-Takht Wa al-Turāb. Adalah berkenaan dengan bidak matematik.
Begitu juga dengan banyak lagi penulisan beliau dalam bidang-bidang sains serta agama yang mana ianya menjadi rujukan oleh rakyat yang hidup sezaman dengan beliau dan juga yang hidup selepas zaman beliau. Banyak juga pemikiran falsafah yang wujud selepas kematian beliau adalah berasaskan daripada pemikiran dan kitab yang beliau tulis.
Pemikiran Politik Menurut Pemikiran Akhlak Al-Tusi . (Akhlaq-I Nasiri)
Pemikiran berkenaan dengan politik telah dimuatkan dalam penulisan beliau bertajuk Akhlaq-I Nasiri. Dalam esei tersebut, beliau menyentuh beberapa bab berkenaan dengan politik. Bab-bab dalam tajuk politik telah dimulai dengan Keperluan Tamadun dan sifat-sifat Politik (Need For Civilization and Nature of Politics), Pembahagian Masyarakat dan Situasi Bandar (Divisions of Societies and Conditions of Cities), Pemerintahan Negara dan Sikap Pemerintah (Government of Realm and Manners of Kings), Pengikut Pemerintah (Rakyat) dan Sikap Mereka (Government of Retainers and Manners of King’s Followers). Keempat-empat ini menyentuh berkenaan dengan politik dalam pemikiran al-Tusi yang akan dibincangkan di bawah (al-Tusi. 1964 : 187 – 237).
Keperluan Tamadun Dan Sifat-Sifat Politik (Need For Civilization And Nature Of Politics)
Tusi berpendapat bahawa setiap benda yang wujud di dunia ini mempunyai kesempurnaan. Kesempurnaan itu pula adalah sesuatu yang berpaksikan daripada asal usul kewujudan itu sendiri iaitu kesempurnaan adalah dari dalam satu bentuk kewujudan. Setiap kewujudan itu adalah memiliki kekurangan sebelum ianya mencapai kesempurnaan. Sebelum mencapai kesempurnaan tersebut, ianya memerlukan aid atau bantuan kepada penyebab yang menjadi kesempurnaan tersebut. Beliau memberikan contoh yang terdekat dalam mencapai ketamadunan iaitu binatang dan tumbuhan. Kedua spesis ini memberikan bantuan yang cukup kepada manusia untuk meneruskan kehidupan, tanpa saling memerlukan antara manusia dan kedua spesis ini, manusia tidak akan mampu terus hidup. Begitu juga dengan binatang, yang memerlukan antara binatang yang lain untuk terus hidup, manusia yang memerlukan pasangan lelaki dan perempuan, tumbuhan yang memerlukan mineral dan sebagainya, kitaran hidup ini adalah dalam proses untuk mencapai kesempurnaan. Menurut beliau lagi, dalam putaran saling membantu ini, manusia juga tidak lepas dari memainkan peranan terhadap spesis masing-masing yang sama seperti haiwan dan tumbuhan itu tadi. Manusia memerlukan keanekaragaman dan manusia memerlukan sesebuah organisasi yang mana boleh menyempurnakan hidup mereka sebagai manusia. Manusia perlu hidup memainkan peranan dan tugas masing-masing, dan disinilah di antara hikmah atau kebijaksanaan Ilahi yang memainkan peranannya dalam menentukan proses yang berlaku. Ia memberikan takdir pada keanekaragaman hidup ini yang mana sesuatu adalah memerlukan sesuatu untuk mencapai kesempurnaan. Adalah satu perkara yang mustahil bagi setiap spesis yang ada di dunia ini, tidak wujud kerjasama atau interaksi antara satu dengan spesis yang lain, dan kerjasama ini disusuli pula dengan gabungan menuju kepada kesempurnaan. Manusia hakikatnya secara semulajadi memerlukan kepada gabungan ini. inilah yang disebut sebagai “hidup bertamadun” (civilized life). Istilah ini wujud dari perkataan city, dan city pula adalah gabungan peranan yang manusia mainkan melalui kepelbagaian cara.
Dalam perbincangan tentang sifat-sifat politik, beliau (al-Tusi) telah menyebut dalam First Discourse sebelum ini bahawa dalam pemerintahan memerlukan undang-undang yang mana undang-undang ini akan menjadi penimbang tara (penentuan hukum) dan juga undang-undang ini akan membawa kepada ekonomi, itupun jika selagimana pentadbiran ini selaras dengan kewajipan mereka dan prinsip-prinsip kebijaksanaan. Beliau membawa pandangan Aristotle tentang jenis-jenis pemerintahan yang telah dibahagikan kepada 4 iaitu:
1. Government of a King
Membawa maksud, pengurusan terhadap komuniti dalam proses meningkatkan kemajuan kepada mereka.
2. Government of Domination
Adalah pengurusan terhadap apa yang dianggapkan sebagai asas perkara asas.
3. Government of Nobility
Adalah pengurusan komuniti yang ditumpukan pada pendapatan kaum bangsawan
4. Government of Community
Pengurusan terhadap golongan satu-satu kaum berdasarkan kepada undang-undang yang ditetapkan oleh Divine Law.
Menurut al-Tusi, hubungan antara Government of a King dan Government of Community adalah setiap Government itu bergantung pada perundangan sebagaimana yang berlaku dalam urusniaga iaitu hubungan antara kontrak dan jual beli, dan begitu juga ianya juga bergantung kepada penghakiman golongan cendekiawan seperti pengurusan terhadap satu-satu kerajaan. Tiada siapa yang mampu menyentuh kedua-dua Government ini tanpa ada pengaruh atau kuasa yang lebih besar dari dua jenis Government ini. dalam menentukan penghukuman terhadap kedua Government ini, mereka memerlukan kepada seseorang yang berlainan dari dua kelompok ini yang mana keduanya boleh menerima pandangannya. Iaitu seseorang yang zaman dahulu dipanggil sebagai The Possessor of Law dan undang-undangnya adalah undang-undang ilahi atau Divine Law. The Possessor of Law ini dipanggil oleh Plato sebagai seorang yang berkuasa yang mana kuasanya tiada tandingan.
Menurut al-Tusi lagi, setiap generasi manusia mungkin sebahagiannya tidak memerlukan The Possessor of Law ini. tetapi mereka masih memerlukan seorang Pengatur yang ianya menjadi tunggak kepada pengurusan dunia, begitu juga sebagai sebahagian daripada sesuatu yang menjadikan spesis manusia ini terus bertahan untuk terus menjadi sesuatu yang sempurna. Pengatur ini juga sentiasa berusaha untuk memelihara undang-undang dan memaksa manusia yang lain untuk mengikuti undang-undangnya.
Semua ini menurut al-Tusi adalah sesuatu yang dipanggil sebagai Politik, yang mana ianya menjadi bukti bahawa Politik ini adalah sesuatu undang-undang yang bersifat Universal yang mana secara umumnya adalah usaha untuk mencapai kesempurnaan (perfection) melalui cara kerjasama. Tujuan ilmu ini (politik) adalah untuk pembentukan satu komuniti melalui gabungan atau kerjasama yang baik yang wujud dari perbuatan setiap individu dalam komuniti tersebut. Seseorang yang menceburi (menjadi pakar) satu-satu bidang ilmu, sikapnya juga perlu bersesuaian dengan apa yang ia pelajari.
Al-Tusi menyebut lagi, setiap individu yang menjadi ahli dalam spesis manusia adalah saling memerlukan antara satu sama lain untuk berusaha mencapai kesempurnaan yang mana kesempurnaan tersebut hanyalah boleh dicapai melalui setiap individu. Maka setiap kewajipan individu tersebut adalah memainkan peranan masing-masing. Sebagai contohnya seorang pakar dalam bidang perubatan, peranannya adalah untuk menjaga dan mengubati kesihatan dan kesakitan manusia. Tugasnya adalah memberikan apa yang hak kepada tubuh setiap manusia dan mengelakkan mereka dari apa yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada tubuh. Tujuan utama ilmu politik ini hakikatnya adalah untuk membentuk kombinasi antara individu setiap manusia. Menurut Tusi lagi maksud sebenar gabungan atau kombinasi antara individu ini adalah melibatkan empat perkara iaitu kombinasi yang membentuk keluarga, ini adalah peringkat terawal. Seterusnya maksud gabungan individu ini adalah untuk membentuk masyarakat tempatan. Seterusnya kombinasi untuk membentuk satu komuniti yang besar dan yang terakhir adalah untuk membentuk penduduk dunia. Setiap kombinasi ini pula tidak akan berlaku tanpa satu pemimpin atau ketua yang boleh merancang dalam pembentukan ini. setiap keluarga memerlukan ketua keluarga iaitu ayah, setiap wilayah memerlukan ketua iaitu datuk bandar dan begitulah seterusnya dan ketua inilah yang mempunyai kuasa mutlak dalam menentukan apa-apa perkara. Setiap individu yang duduk dibawah kekuasaan ketua ini perlu menerima apa sahaja keputusannya dan mereka mesti mengakuinya sebagaimana ianya diiktiraf oleh mereka sendiri.
Menurut al-Tusi lagi, hubungan antara setiap individu dengan individu yang lain pula terbahagi kepada tiga jenis. Pertamanya adalah dimana satu kombinasi (gabungan) adalah menjadi sebahagian dari kombinasi yang lain. Sebagai contoh mudah, kombinasi antara individu menjadi kombinasi yang membentuk keluarga, kombinasi antara keluarga pula membentuk wilayah, dan seterusnya. Keduanya pula adalah dimana satu kombinasi itu adalah termasuk dalam kombinasi yang lain sebagai contoh kombinasi antara komuniti dan wilayah. Komuniti adalah kombinasi yang wujud dalam satu wilayah atau city. Ketiganya adalah dimana satu kombinasi itu memberi khidmat kepada kombinasi yang lain sebagai contoh kombinasi antara kampung dan wilayah (city). Dengan kesemua kombinasi ini menjadikan penduduk dunia ini membahagikan sesuatu dengan bijak. Tetapi apa yang ditekankan oleh al-Tusi adalah sikap atau keinginan hidup bersendirian tanpa memerlukan bantuan dari individu atau kombinasi yang lain. Ini adalah sesuatu yang dianggap tidak adil menurut al-Tusi kerana setiap individu memerlukan hubungan dengan yang lain seperti untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya. Maka mereka yang ingin cuba untuk hidup bersendirian adalah sesuatu yang tidak menuju kepada kesempurnaan. Mereka menghendaki sesuatu daripada orang lain tetapi tidak mahu memberi sesuatu yang ada pada diri mereka seperti khidmat dan tenaga mereka dalam membentuk masyarakat yang sempurna. Maka ini sepatutnya sesuatu perkara yang tidak sepatutnya berlaku kerana setiap individu memainkan peranan masing-masing dalam mencapai kesempuranan. Dengan sikap menyendiri ini atau disebut sebagai isolation, setiap individu itu pasti tidak akan mencapai kesempurnaan. Inilah yang disebut sebagai politik kemasyarakatan.
Pembahagian Masyarakat dan Situasi Bandar (Divisions of Societies and Conditions of Cities)
Sebelum dibincangkan bab ini, al-Tusi juga menerangkan tentang perasaan Cinta atau Sayang (Love) adalah menjadi penghubung antara masyarakat. Menurut al-Tusi cinta adalah penghubung bagi segala perbuatan dalam satu-satu masyarakat. Ianya menjadi penghubung utama di mana manusia boleh mengetepikan segalanya. Manusia dicipta dengan satu sifat semulajadi menuju kepada kesempurnaan, ianya adalah satu keinginan yang kuat untuk mencapai perkara tersebut. Keinginan yang kuat itulah yang disebut sebagai Love. Perbezaan di antara Love dan Justice (keadilan) adalah Justice adalah satu perkara yang dianggap oleh manusia bahawa ianya adalah adil, tetapi Love adalah perkara yang memang semulajadi sebati wujud dalam diri manusia. Al-Tusi membahagikan Love kepada dua bahagian, pertamanya adalah Love yang bersifat Natural dan keduanya adalah bersifat Voluntary. Natural Love boleh diumpamakan seperti Love antara ibu dan anak, iaitu secara tabi’inya memang wujud Love antara kedua insan itu, manakala Voluntary Love pula dibahagikan kepada empat kelas iaitu, cepat dalam mengikat Love pada diri seseorang tetapi lambat untuk melenyapkan Love tersebut, lambat untuk mengikat Love pada diri seseorang tetapi cepat untuk melenyapkannya, cepat untuk mengikat dan melenyapkan Love itu, lambat untuk mengikat dan lambat juga untuk melenyapkannya. Sebab dibandingkan antara Love dan Justice ini adalah kerana dibawah nanti akan disebut tentang Justice yang mana menjadi ciri utama yang perlu ada pada seorang pemimpin.
Love ini adalah sesuatu yang lebih umum sifatnya dari Friendship (persahabatan). Love adalah sesuatu yang agaknya boleh dibayangkan didalam segerombolan manusia, ianya duduk ditengah-tengah mereka tetapi Friendship tidak. Friendship adalah sesuatu yang lebih kepada sifat kasih sayang, kemesraan, dan lain-lain. Tetapi bagi Love ianya lebih menumpukan pada nafsu, syahwat, fitrah, tabi’ie, keinginan yang kuat dan lain-lain. Ianya lebih bersifat terperinci dari Friendship. Perkaitan yang hendak ditekankan oleh al-Tusi dalam Love ini adalah kesinambungannya terhadap wujudnya masyarakat yang akan mencapai kesempurnaan yang tinggi setelah wujudnya Love ini dalam satu-satu kemasyarakatan.
Perbincangan politik beliau seterusnya dikhususkan pula pada pembahagian masyarakat. Al-Tusi telah membahagikan masyarakat kepada dua jenis iaitu pertamanya adalah masyarakat yang menjadi sebab kepada perkara yang baik. Kelompok masyarakat ini digelar sebagai Virtuous City. Keduanya adalah masyarakat yang menjadi sebab kepada perkara yang tidak baik. Kelompok ini digelar sebagai Un-Virtuous City. Virtuous City ini tiada terbahagi kelompoknya kerana ia hanyalah penyebab kepada satu perkara iaitu kebaikan. Tetapi bagi Un-Virtuous City pula, kelompoknya terbahagi kepada tiga iaitu pertama adalah kelompok yang individu manusia (dalamnya) tidak menggunakan kemampuan rasional, oleh itu perkara ini membawa mereka untuk mengadaptasi kehidupan bertamadun sebagai menyokong satu dari kemampuan mereka. Kelompok ini digelar sebagai Ignorant City (Kelompok yang Jahil). Keduanya adalah, kelompok yang tidak menggunakan kemampuan rasional, walaupun kemampuan mereka yang lain menjadi penyebab kepadanya, diri mereka sendiri pula memberi kesan kepada kehidupan bertamadun. Mereka dikenali dengan nama Impious City (Kelompok Yang Tidak Beriman Atau Jahat) . kelompok ketiga pula adalah kelompok yang digelar sebagai Errant City iaitu kelompok yang hanya memikirkan peraturan yang dikhayalkan sahaja kerana kekurangan sikap bertimbangrasa. Setiap kelompok ini pula mempunyai cabang-cabang yang tidak terhingga banyaknya.
Virtuous City adalah kombinasi antara manusia yang membataskan penerimaan mereka kepada perkara yang baik sahaja dan menolak segala perkara yang jahat. Pembahagian kelas-kelas ini adalah sebenarnya adalah untuk membandingkan ahli falsafah yang mana adalah yang terbaik. Kumpulan yang terbawah dari mereka pula adalah pembahagian secara menurun kelompok masyarakat dari yang baik kepada yang tidak baik. Pembahagian kelas ini disebut oleh Tusi sebagai People of Faith. Sebenarnya pembahagian kelas ini adalah berasaskan kepada bakat, kecerdasan, kepintaran, kemampuan, kecekapan dan sebagainya atas individu yang menjadi satu-satu kelompok dalam masyarakat. Ianya adalah supaya setiap individu menyedari tentang kemampuannya dan tidak melonjak ke tingkatan kemampuan orang lain.
Menurut Tusi lagi, ketua bagi satu-satu City atau wilayah dalam pengkelasan yang disebut diatas adalah dari kalangan orang yang menjadi penguasa yang terkuat, dan dia adalah ketua bagi segala ketua. Dialah yang akan menjadi penyelesai segala masalah, pengawal bagi kumpulan dan komuniti pada tempatnya dan menjadi juga seorang yang akan membentuk organisasi dan perkhidmatan dari kalangan mereka. Ahli bagi Virtuous City pula, iaitu golongan yang sentiasa mencari kebaikan dan berada dalam kebaikan, mereka pula sepenuh hati berusaha menuju kepada yang lain dengan maksud mereka akan memperindahkan hidup mereka dengan perasaan Cinta (Love) satu sama lain. Hubungan mereka yang sangat erat dipenuhi kasih sayang, mereka seperti apa yang pernah disebut oleh Pembuat Undang-Undang Agama (tuhan), ‘setiap orang Islam adalah umpama satu tangan yang berada pada orang lain, dan penganutnya adalah satu jiwa’.
Dasar-dasar atau kelas-kelas bagi Virtuous City terbahagi kepada lima, iaitu, pertama adalah komuniti yang dikategorikan atau dicirikan dengan peraturan dalam City yang mereka duduki, manusia yang baik, ahli falsafah yang sempurna, mereka yang dibezakan mengikut fakulti atau kelas masing-masing yang merujuk kepada intelektual, dan yang diteliti pandangannya melalui kerja mereka. Kedua adalah komuniti yang membawa manusia biasa dan elemen terendah menuju kepada kesempurnaan. Ketiga adalah komuniti yang mempertahankan undang-undang keadilan kepada penduduk komuniti tersebut. Keempat komuniti yang mempunyai peribadi melindungi penduduk wanita dan mempertahankan integriti penduduk komuniti tersebut seperti menjauhkan Raja dari Un-Virtuous City dari penduduk komuniti itu. Kelimanya adalah komuniti yang mengorganisasikan bahan makanan dan bekalan keperluan yang lain untuk kelas-kelas ini tidak kira sama ada melalui urusniaga jual beli, atau kemahiran, atau melalui pungutan cukai dan mereka ini dipanggil sebagai Men of Substance.
Bagi Un-Virtuous City seperti yang dijelaskan tadi, al-Tusi membahagi kepada tiga iaitu Ignorant (Jahil), Impious (Jahat) dan Errant (Pengembara). Mereka ini dapat dikelaskan pula kepada enam kelompok pula iaitu; Necessary Combination, Servile Combination, Base Combination, Combination of Nobility, Dominant Combination, Free Combination. Necessary Combination adalah satu gabungan (kombinasi) antara masyarakat yang tujuannya adalah untuk kerjasama dalam mendapatkan apa sahaja yang diperlukan untuk pemeliharaan jasad manusia. Servile Combination pula adalah satu gabungan (kombinasi) antara masyarakat yang bekerjasama untuk memperoleh kekayaan dan kesihatan juga berusaha untuk memperbanyakkan keperluan harta benda dan bekalan seperti emas, perak dan sebagainya. Base Combination pula adalah gabungan (kombinasi) antara masyarakat yang bekerjasama untuk menikmati kesenangan dan kenikmatan seperti makanan, pakaian, wanita dan sebagainya. Combination of Nobility pula adalah satu gabungan (kombinasi) antara masyarakat yang bekerjasama untuk mendapatkan kemuliaan dari percakapan mahupun perbuatan. Dominant Combination pula adalah satu gabungan (kombinasi) antara masyarakat yang bekerjasama untuk menguasai orang atau kelompok yang lain. Perbincangan berkenaan dengan Dominant Combination, al-Tusi menghuraikannya dengan panjang, malah membahagikan pula ianya kepada tiga jenis iaitu pertama adalah dimana ahlinya mempunyai keinginan untuk mendominasi. Keduanya adalah dimana sebahagian sahaja ahlinya yang mempunyai keinginan untuk mendominasi, dan. Ketiga adalah dimana seorang sahaja ahlinya yang mendominasi, dan ketika mana seorang itu menguasai atau mendominasi orang lain, maka dia akan menjadi ketua kepada masyarakat tersebut. Keinginan individu dalam ahlinya itu untuk mendominasi adalah untuk mendapatkan kekayaan, kemuliaan, dan bekalan yang selengkapnya. Seterusnya yang keenam pula adalah Free Combination yang mana ianya dikenali juga dengan City of the Community. Ianya adalah kombinasi yang mana setiap individu adalah bebas jiwanya dari apa-apa pengaruh dominasi dan ianya adalah bersifat mutlak. Perbincangan mengenai kebebasan yang tersangat mutlaknya ini adalah mutlak dari semua sudut, tidak kira kebebasan mutlak dari sudut pengaruh, memberikan pandangan dan sebagainya, boleh melakukan apa sahaja.
Bidang Pemerintahan Dan Sikap Pemerintah (Government of Realm and Manners of Kings)
Di atas telah banyak dibincangkan perkara mengenai kemasyarakatan iaitu individu yang hidup di bawah naungan pemerintahan. Mereka perlu sentiasa memainkan peranan masing-masing mencapai kesempurnaan dalam politik kemanusiaan. Tetapi bukan sahaja rakyat yang pelu memainkan peranan mereka sebagai rakyat, begitu juga dengan pemerintah. Mereka ada peranan dan sikap yang perlu diikuti.
Dibawah ini pula akan dibincangkan mengenai dua perkara yang menjadi tajuk utama perbincangan. Pertamanya adalah berkenaan dengan bidang pemerintahan iaitu cara-cara pemerintahan dan yang kedua adalah sikap yang perlu ada pada seorang yang menjadi pemerintah. Walaupun benar banyak sekali apa yang Tusi sebutkan tentang dua perkara ini dalam kitabnya Akhlaq-I Nasiri, tetapi penulis akan membincangkan beberapa bahagian yang terpenting yang berkaitan dengan tajuk di atas. Terlebih dahulu akan dibincangkan perkara berkenaan bidang pemerintahan (Government of Realm).
Government of Realm ini menurut al-Tusi terbahagi kepada dua iaitu Virtuous Government dan Deficient Govenrment. Virtuous Government ini dikenali juga dengan nama Imamate (Imamah) dan tujuannya pula adalah untuk mencapai kesempurnaan (Perfection) sama seperti kelompok masyarakat di atas tadi, dan kesan pada akhirnya adalah kebahagiaan yang mutlak. Deficient Govenrment pula juga dikenali dengan nama Domination. Tujuannya adalah untuk memperhambakan manusia dibawah kekuasaannya dan kesannya adalah penderitaan, kemiskinan, kesengsaraan dan sebagainya.
Virtuous Government adalah kerajaan yang sentiasa berpegang dengan keadilan, menjadikan rakyat atau orang dibawah kekuasaannya sebagai rakan, memenuhkan wilayah yang dikuasainya dengan perkara yang baik manakala Deficient Government pula adalah sentiasa melakukan kezaliman, menjadikan manusia yang lain sebagai hamba dan mengerah tenaga mereka, memenuhkan wilayah kekuasaannya dengan kezaliman. Menurut al-Tusi, ada sebahagian tempat yang melihat sikap dan sifat Raja mereka lalu menirunya. Kerana bagi mereka, mereka mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang tinggi kepada raja mereka, mereka akan meniru dan melakukan apa yang Raja mereka lakukan.
Menurut al-Tusi, seorang yang mahu menjadi pemimpin atau ketua atau Raja mesti berusaha keras untuk menyatukan pada diri mereka tujuh perkara penting ini iaitu pertamanya, mesti menjaga keturunan, kedua cita-cita yang tinggi yang dapat direalisasikan melalui kecekapan dan ketahanan fizikal. Ketiga mesti tegas dalam pendapatnya dan mempunyai wawasan serta akhlak yang tinggi, kuat belajar dan sebagainya. Keempat adalah penentuan sepenuhnya iaitu satu perkara yang baik datang dari gabungan pandangan atau pendapat dengan kemantapan yang sempurna. Kelima adalah menahan diri terhadap penderitaan dan kesulitan, mereka perlu gigih dalam satu-satu pencarian tanpa mengenal penat dan lemah, dan menahan diri dari keinginan nafsu. Keenam adalah kaya kerana dengan kekayaan mereka tidak memerlukan harta orang lain dan yang ketujuh adalah sebagai pembantu yang baik atau benar.
Menurut al-Tusi lagi, perancangan bagi pemeliharaan dan keamanan bagi satu-satu negara perlulah mengaplikasikan dua perkara terpenting ini iaitu mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan kawan atau sekutu, dan bermusuh dengan musuh sahaja. Ini adalah untuk menentukan keamanan dan kedamaian dalam sesebuah negara atau wilayah kuasanya daripada sebarang bentuk percampuran anasir luar, diserang musuh malah mengelakkan kewujudan musuh dalam selimut sepertimana yang berlaku pada zaman kerajaan Darius.
Setelah itu, al-Tusi menyebutkan pula berkenaan dengan syarat untuk mencapai keadilan bagi seorang raja. Ianya adalah bertujuan meletakkan hak rakyat dan keperluan bagi seorang pemimpin dalam menjalankan hak dan tanggungjawab masing-masing. Antara syarat bagi mencapai keadilan adalah pertamanya seorang pemimpin perlu membahagikan manusia kepada kelas yang berbeza dan mereka pula perlu saling berhubungan antara satu sama lain. Hubungan antara kelas yang lain yang bercampur pelbagai jenis kelas ini pula dibahagi kepada empat iaitu, pertama digelar sebagai Men of the Pen seperti orang yang pakar dalam ilmu, kehakiman, setiausaha, akauntan dan lain-lain. Kedua adalah Men of Sword iaitu pahlawan, orang yang gagah, orang yang bertempur, penjaga dan sebagainya. Ketiga adalah Men of Negtiation iaitu seperti pedagang, saudagar, pengutip cukai, orang yang bertukang dan sebagainya. Keempat pula Men of Husbandry, iaitu golongan yang bertani, petani pekebun peladang dan sebagainya.
Syarat mencapai keamanan yang kedua pula adalah, ketua atau Raja perlu memikirkan tentang negaranya dan segala tindakan rakyatnya dalam menentukan tingkatan atau tahap setiap mereka itu serta mengukur tahap kemampuan mereka. Sekarang manusia pula terbahagi kepada lima kelas iaitu, pertama mereka yang memang secara semulajadi baik, yang kebaikan itu adalah mampu berhubungan, kedua adalah mereka yang semulajadi baik juga tetapi lemah dalam berhubungan, ketiga adalah golongan yang tidak baik dan tidak jahat, kelas ini perlu diberi perhatian dan dibimbing menuju kepada kebaikan, keempat pula adalah golongan yang memang jahat tetapi tidak berhubungan, dan kelima pula adalah semulajadi jahat dan jahat itu pula adalah berhubungan.
Al-Tusi mengatakan bahawa kejahatan dalam sesebuah negara boleh dibanteras iaitu dengan beberapa cara. Pertama, melalui cara kurungan atau penjara yang mengelakkan mereka dari bercampur gaul atau berhubungan dengan manusia yang lain. Kedua adalah melalui pengekangan iaitu merampas hak mereka keatas diri mereka sendiri. Ketiga melalui pembuangan iaitu tiada pengiktirafan kedudukan mereka.
Syarat ketiga pula dalam mendapatkan keamanan adalah apabila seorang Raja itu sudah menyempurnakan dalam membahagikan tingkatan mahupun kelas kepada rakyatnya mengikut pengkelasan yang benar-benar sesuai mengikut kemampuan mereka, maka seorang raja itu sepatutnya melestarikan kesetaraan yang telah dibuat antara mereka itu. raja juga perlu mempunyai pertimbangan terhadap jasa dan kemampuan kesemua mereka tanpa mengira kelas. Perkara yang baik adalah sesuatu yang menuju kepada kesejahteraan. Setelah membahagikan tinngkatan atau kelas ini, seorang Raja pula perlu memelihara dan mengekalkan kebaikan yang wujud pada rakyatnya itu. Maksudnya disini adalah beliau perlu memelihara segala bentuk anasir luar yang mahu datang mempengaruhi dan menghilangkan kebaikan yang wujud dalam diri setiap rakyat yang dikelaskan tersebut. Jika itu berlaku juga, maka seorang ketua atau Raja perlu membalas pada orang yang membawa anasir itu dengan meminta gantirugi (dengan apa jua yang member manfaat kepada rakyat) atau menghukumnya terhadap kecacatan atau kemusnahan yang dilakukan pada pengkelasan setiap rakyatnya itu.
Menurut al-Tusi, ahli falsafah sentiasa bertanya apakah setiap kezaliman yang dilakukan oleh setiap individu yang dilakukan dalam satu City atau wilayah itu membawa kezaliman pada City tersebut juga? Mereka yang mengatakan demikian (kezaliman yang dilakukan oleh setiap individu yang adalah dalam satu City atau wilayah itu membawa kezaliman pada City tersebut juga), juga mengatakan bahawa pengampunan yang diberikan terhadap mereka yang zalim juga tidak akan boleh menghilangkan hukuman yang perlu dijalankan ke atasnya. Tetapi bagi mereka yang berlawanan dengan pendapat di atas (yang mengatakan kezaliman yang dilakukan oleh setiap individu yang adalah dalam satu City atau wilayah itu tidak membawa kezaliman pada City tersebut juga) mengatakan bahawa melalui pengampunan, mereka yang melakukan kezaliman tadi tidak akan dihukum.
Setelah itu, perbincangan al-Tusi pula lebih menyentuh pula kepada sikap yang perlu ada pada seorang pemimpin atau raja bagi memastikan keadaan negara dan keperluan setiap tahap individu termasuk pemimpinnya mendapatkan hak masing-masing sebagaimana yang sepatutnya. Al-Tusi menyampaikan mesej tentang sikap yang perlu ada pada Raja adalah dengan cara meletakkan satu garis panduan bagi seorang pemimpin atau raja untuk raja tersebut mengikuti apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu ditinggalkan. Fokus ini tidaklah secara menyeluruh kerana terlalu banyak undang-undang yang telah ditetapkan oleh al-Tusi dalam karya politiknya terhadap sikap yang perlu ada pada seorang Raja. Antara yang ditekankan Tusi adalah:
Seorang raja juga perlu menunjukkan sifat baik kepada rakyatnya berdasarkan dari pandangan ahli falsafah di atas. Kebaikan yang dimaksudkan Tusi adalah jasa dan apa jua kebaikan yang beliau berkemungkinan untuk melakukannya, malah melakukan kebaikan itu adalah melebihi apa yang sepatutnya dilakukan oleh Raja. Sebagai contoh seorang raja perlu adil, tetapi beliau boleh menambah kebaikannya dengan sikap mengambil berat terhadap seluruh rakyatnya dengan melawat tempat-tempat yang dianggap rendah tarafnya bagi seorang Raja. Sikapnya yang baik itu juga boleh menunjukkan perasaan yang kagum daripada rakyat dan menunjukkan kemegahan serta kemuliaan terhadap dirinya.
Seorang Raja juga tidak sepatutnya menerima kata-kata atau khabar angin yang diadukan kepadanya seperti cerita-cerita yang boleh menjatuhkan rakyatnya yang lain. Beliau juga sepatutnya tidak mendengar atau menerima apa-apa aduan dari orang yang mengadu kepadanya tanpa ada sebarang bukti yang boleh ditunjukkan. Diri seorang Raja itu tidak patut menjadi penutup kepada pintu harapan rakyat yang sentiasa mengharapkannya, dan beliau juga tidak patut menjadikan rakyat takut kepadanya. Beliau juga seharusnya menerima segala kelemahan rakyatnya, menjadi pelindung kepada rakyatnya, dan menjadikan diri seorang yang gagah perkasa. Beliau tidak sepatutnya juga mementingkan diri sendiri dalam semua keadaan tanpa mengambil kira pandangan orang lain dalam beberapa keadaan.
Selain itu seorang Raja seharusnya menjaga sesuatu rahsia bagi sesebuah negara. Ini bagi memastikan musuh dari luar tidak mampu mengalahkan atau menjatuhkan sesebuah negara dengan sebab bocornya rahsia satu-satu kerajaan itu. Selain itu jika seorang Raja menyimpan rahsianya, maka ia boleh merancang apa sahaja keperluan untuk sesebuah negara serta boleh mengubah pandangannya mengikut realiti yang diperlukan pada zaman pemerintahan itu. Jika seorang musuh mampu mengetahui apa rahsia yang tidak patut diketahui, maka tidak mustahil musuh itu mampu mencari kelemahan dan dengan mudah mampu menjajah sesebuah negara dengan mudah.
Pemberi maklumat negara dan pengintip dalam sesebuah negara pula perlu bekerja keras bagi mencari segala apa strategi yang tersembunyi bagi negara pihak musuh. Mereka juga perlu meninjau segala apa perancangan mengikut kemampuan mereka. Seorang Raja dalam sesebuah negara perlu melantik beberapa pengintip dan pemberi maklumat kepada negara bagi memberi maklumat-maklumat yang penting dalam memastikan pertahanan dan keharmonian sesebuah dengan negara terjamin. Pengintip atau pemberi maklumat itu pula perlu dihantar ke wilayah-wilayah yang dikuasai oleh orang lain khususnya negara musuh, malah negara sekutu juga perlu bagi memastikan tidak ada sebarang bentuk pembelotan mahupun musuh disebalik selimut terhadap negara. Mereka perlu mengkaji setiap apa maklumat yang diperlukan dan mencari apa yang masih kurang terhadap pertahanan negara. Tusi mengatakan, senjata yang paling hebat didunia adalah menyedari apa yang dirancang oleh pihak musuh sebelum bertarung dengannya. Tusi memberikan satu pendekatan yang lebih efektif iaitu metodologi dalam mendapatkan maklumat tentang sesebuah negara yang lain, iaitu pemimpin perlu mengadakan banyak perhubungan dengan rakyatnya yang mempunyai rakan atau saudara di sesebuah Negara yang lain. Mereka mampu mendedahkan apa sahaja yang mereka ketahui dari rakan atau saudara yang menetap di Negara yang lain.
Satu usaha yang paling penting adalah menguasai musuh dan membuat perjanjian dengan mereka dan memastikan sama ada mereka memerlukan peperangan dengan Negara milik kita atau tidak. Jika itu berlaku maka dua perkara pasti terjadi iaitu sama ada satu-satu Negara itu akan menjadi penyerang atau bertahan. Jika ini berlaku, perlu diadakan rundingan bagi mengetahui undang-undang peperangan yang akan dibuat bagi memastikan tiada penipuan dalam peperangan berlaku. Seorang raja pula sepatutnya tidak mengetuai peperangan kerana jika dia tumpas maka tiada orang yang mampu merancang strategi yang sepatutnya pada negaranya.
Menurut al-Tusi lagi, dalam peperangan sikap hormat perlu ada pada diri seorang Raja atau sesebuah negara. Ini bagi memastikan apakah keuntungan yang akan diperolehi dan ia tidak sepatutnya mengorbankan nyawa manusia dan harta benda bagi sesuatu perkara yang tidak ada keuntungan yang besar. Medan peperangan perlu dipilih dan ditetapkan tempatnya supaya tidak memusnahkan apa yang tidak sepatutnya. Bagi seseorang yang menunjukkan keistimewaannya ketika peperangan pula dengan menampakkan keberanian yang teguh dan sebagainya, kurniaan dan hadiah perlu diberi kepadanya supaya dirinya rasa dihargai dan berusaha mencapai yang terbaik lagi. Persoalan sekiranya musuh dapat ditawan adakah sepatutnya dibunuh sahaja? Menurut al-Tusi sekiranya seorang raja memberi pengampunan pada musuhnya adalah terlebih baik daripada membunuhnya. Itu dapat menunjukkan kemuliaan dan keagungannya lagi. Kemaafan adalah sesuatu yang lebih terpuji pada seorang raja itu. Sekiranya sesebuah Negara itu mengambil posisi bertahan dan bukan menyerang, seharusnya baginya menyerang dengan cara serang hendap dan ianya patut dilakukan ketika waktu malam dengan serangan yang mengejut. Kebiasaanya bagi mereka yang mengambil posisi bertahan dalam kawasan sendiri kemudian menyerang hendap maka ia akan dapat mengwal situasi peperangan dan musuhnya akan kucar-kacir.
Banyak lagi sifat seorang Raja atau pemimpin yang disebut oleh al-Tusi dalam politiknya terhadap sikap seorang raja yang perlu raja itu miliki dalam menjadi seorang pemimpin yang berjaya dan dapat memelihara keamanan serta mencukupkan keperluan bagi rakyat dan negaranya. Apa yang disebut di atas hanyalah sebahagian sahaja dari apa yang disebut oleh Tusi dalam karya tentang politiknya.
Pengikut Pemerintah (Rakyat) dan Sikap Mereka (Government of Retainers and Manners of King’s Followers)
Bagi pengikut terhadap satu-satu pemerintahan, mereka juga mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebagaiman yang disebut oleh al-Tusi. Mereka ini menjadi tulang belakang bagi seorang Raja dalam menjadi pentadbir yang baik bagi mencapai apa yang disebut sebagai kesempurnaan dalam satu organisasi pemerintahan. Al-Tusi telah meletakkan beberapa pandangannya terhadap pengikut pemerintah (Raja) dan sikap mereka. Di bawah ini akan dibincangkan pula apa yang disarankan oleh al-Tusi. Sebelum itu, ingin penulis tegaskan sekali lagi bahawa sebelum ini telah dijelaskan bahawa kitab Akhlaq-I Nasiri ini adalah untuk dipersembahkan kepada Raja. Maka segala yang disebut oleh al-Tusi dalam Kitabnya ini tentang kewajian seorang rakyat mungkin sebahagiannya ada yang kita tidak dapat menerimanya, tetapi secara realitinya itulah perkara yang harus berlaku menurut pemikiran akhlak al-Tusi.
Sebagaimana yang disebut dalam kitabnya Akhlaq-I Nasiri, Tusi mengatakan bahawa, setiap pengikut pemerintah (rakyat) perlu dengan sedaya upaya dan sepenuh hati menasihati Raja dalam hal-hal tertentu. Mereka juga harus mengucapkan setinggi-tinggi kemuliaan kepada Raja melalui hati dan lidah mereka sendiri bagi menunjukkan kemuliaan kepada Raja dan menyembunyikan segala kesalahan Raja. Mereka seharusnya dengan kerelaan dan kegembiraan mematuhi apa yang disuruh oleh Raja seperti membayar cukai dan sebagainya. Mereka juga seharusnya taat dengan sepenuh kerelaan hati dan menunjukkan rasa dan sikap hormat kepada pemerintah sebagai ketua yang tertinggi dalam sebuah organisasi. Cara mereka dalam memberi khidmat kepada Raja adalah dengan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan, menumpukan sepenuh perhatian terhadap apa yang dipertanggungjawabkan. Apabila dipanggil atas sesuatu urusan mereka perlu bersegera menghadapnya walaupun ada perkara yang tidak dapat dielakkan. Apa sahaja yang telah diperbuat, perlu diberikan sanjungan dan pujian kepada pemerintah.
Apabila satu-satu urusan pemerintahan yang berkaitan dengan Raja yang diamanahkan oleh Raja seperti Menteri, penasihat Raja dan sebagainya, maka jika wujud satu-satu tugas dan tugas itu mahu diserahkan kepada Raja, pastikanlah bahawa tugas tersebut adalah apa yang selayaknya bagi kedudukan Raja. Sebagai contohnya, jika sesebuah keluarga mempunyai masalah suami isteri, adalah agak tidak layak diserahkan urusan permasalahan sesebuah keluarga yang kecil dari komuniti pemerintahan Raja tersebut untuk Raja menyelesaikannya.
Selain itu seorang rakyat seharusnya dengan sepenuh hati dan setiap masa menjaga dan memelihara rahsia Rajanya, tidak kira dengan siapa pun walau isterinya sekalipun. Walau siapa pun Rajanya, pengikutnya mestilah menerima kenyataan tentang Rajanya dan sentiasa menyimpan apa sahaja rahsia semampu yang mungkin sama ada berkaitan peribadi Rajanya mahupun negara. Sikap Raja pula adalah supaya jangan sentiasa memikirkan keburukan atau mencurigai pengikutnya bahawa pengikutnya akan membocorkan rahsia. Persefahaman sepatutnya berlaku dan saling mempercayai adalah tunggak yang penting antara Raja dan rakyatnya, ini bagi membolehkan seorang rakyat akan menjadi pengikut yang sangat taat dan setia kepada Rajanya, sekalipun diberi apa sahaja kepadanya, ia tidak akan mengkhianati Rajanya sendiri. Keadaan ini jika kita lihat adalah berlaku di zaman Hang Tuah yang mana ketaatannya adalah tidak berbelah bagi.
Pengikut Raja juga perlu mengetahui bahawa Rajanya mempunyai kehendak tersendiri untuk menunjukkan kemuliaan pada dirinya yang mana kemuliaan itu harus didapati dari seluruh manusia dibawah kekuasaannya, iaitu ketaatan dan janji sumpah setia terhadap kedaulatan Rajanya. Ini adalah kerana menunjukkan sikap seorang rakyat yang menyanjung sepenuh hati pemerintah mereka.
Rakyat juga dalam apa jua situasi, dan apa jua perkara seharusnya tidak menyalahkan Raja atau pemimpin dalam segala hal, sekalipun perkara itu adalah berkaitan dengan hidup mati seorang pengikut atau rakyat bagi Raja atau pemerintah itu. Jika seorang rakyat melihat atau mengetahui sesuatu perkara yang tidak boleh diterima, dilakukan oleh Raja atau pemerintah itu, mereka perlu menasihati Raja agar tidak mengulangi perbuatan tersebut, jika pemerintah atau Raja itu mengulangi kesalahan itu, mintalah kepadanya supaya jangan mengakuinya dihadapan siapapun, sekalipun perkara itu sudah diketahui. Selain itu jika berlaku perselisihan antara Raja dan rakyat terhadap satu-satu isu yang memalukan dan mengaibkan salah seorang antara kedua mereka, berilah satu-satu keputusan itu diletakkan di atas tanga Raja atau pemerintah itu sepenuhnya kerana dia adalah ketua. Selain itu banyak lagi yang disebut al-Tusi secara terperinci berkaitan sikap yang perlu ada pada seorang rakyat terhadap Rajanya. Al-Tusi juga membawa beberapa contoh, pandangan dan isu dari Ibn al-Muqaffa yang menyentuh berkaitan sikap seorang pemimpin dan orang bawahannya. Maka di akhirnya Al-Tusi mengatakan di akhir bab ini dengan kalimah:
This is all that we have to say on this subject, and God best knows what is right
Semua perkara yang kami perlu sebut tentang subjek (politik) ini adalah ini (beberapa bab yang disebut sebelumnya), dan tuhan adalah orang yang paling mengetahui tentang apa yang benar.
Penutup
Inilah apa yang ditekankan oleh al-Tusi dalam bab politiknya. Apa yang diambil oleh penulis adalah apa yang dirasakan penting dan yang berkaitan dengan politik. Segala apa yang disebut oleh al-Tusi mengenai politiknya mempunyai kebaikan dan jikalau kita lihatpun ianya boleh diaplikasi pada isu politik pada masa kini. Apa yang selayang pandang penulis pada politik masa kini (terutama di Malaysia) apabila dibanding dengan apa yang disebut oleh al-Tusi, boleh dikatakan hampir keseluruhannya telah diamalkan dalam pentadbiran kerajaan. Al-Tusi adalah seorang ahli falsafah yang sangat hebat dan masyhur pada zamannya. Buku etikanya ini mendapat sambutan dari umat seluruh dunia sehingga banyak diterjemahkan ke dalam bahasa yang lain. Kitab Akhlaq-I Nasiri ini adalah antara kitab termasyhur beliau tentang etika, ekonomi, dan politiknya yang begitu hebat penulisannya. Moga-moga apa yang penting dapat dijadikan panduan dalam kehidupan umat zaman ini.
Rujukan
Al-Tusi, Nasir al-Din. 1964. The Nasirean Ethics. Terj. G. M. Wickens. London : George Allen & Unwin Ltd.
Baktiar Husain Siddiqi. 1994. Nasir al-Din al-Tusi. Dlm. M. M. Shariff (ed.). Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, hlm. 564-580. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohaini Mohamed. 2000. Great Muslim Mathematicians. Skudai : Universiti Teknologi Malaysia.
Seyyed Hossein Nasr. 1996. The Islamic Intellectual Tradition in Persia. Surrey : Curzon Press.
Meri, Josef W. (ed.). Medieval Islamic Civilization, An Encyclopedia. 2006. 2 Vol. Routledge: Taylor & Francis Group.
No comments:
Post a Comment