Pendahuluan
Asceticism adalah satu proses pengabdian diri kepada Tuhan yang mana para penganut bagi satu-satu agama melakukan apa sahaja bentuk penderitaan terhadap zahir tubuh mereka. Mereka melakukan ini semata-mata mahu mencapai proses Union atau kita sebut sebagai kesatuan dengan Tuhan. Proses ini memerlukan pengorbanan yang sangat tinggi dalam menjalani hidup seharian yang mana para penganut setiap agama tersebut akan melakukan berbagai-bagai penderitaan zahir seperti menahan kelaparan, menyiksa tubuh badan dan sebagainya. Penulis akan menerangkan asceticism dari sudut tiga agama iaitu Hiinduisme, Buddhisme, dan Kristian.
Pengertian Asceticism
Perkataan asceticismism ini adalah berasal dari perkataan Greek iaitu Arkesis yang membawa beberapa maksud, antaranya adalah suatu latihan yang berbentuk fizikal (The Encyclopedia of Religion. 1987. s.v. “asceticism”). Menurut The New Encyclopedia of Britannica (1985. s.v. “asceticism”), masyarakat Greek Purba dahulu bersedia untuk pertandingan yang berbentuk fizikal seperti Sukan Olimpik atau apa sahaja jenisnya melalui pelbagai latihan fizikal yang sukar juga disebut sebagai asceticismism.
Asceticism menurut istilah pula, adalah satu-satu amalan atau latihan yang mempunyai tujuan untuk menafikan kehendak-kehendak jasmani dan psikologi untuk mencapai matlamat kesempurnaan rohani. Ianya adalah menolak apa jua keinginan jasad yang berlawanan dengan rohani yang menjadi prinsip utama dalam pemikiran etika. Menurut kepercayaan Plato, segala keinginan jasad perlu dihapuskan supaya jiwa akan sentiasa merasa bebas dalam mendapatkan ilmu pengetahuan. Pandangan ini kemudian disokong pula oleh oleh Plotinus yang menjadi pengasas kepada Neo-Platonisme. Emmanuel Kant pula terlibat dalam proses moral asceticismism dalam mencapai kebajikan. Jika dilihat sekali pandang, hampir kesemua agama mempunyai asceticismisme dalam proses kerohanian mereka yang mana ianya wujud dalam jiwa setiap manusia dalam mencapai matlamat utama (The New Encyclopedia of Britannica. 1985. s.v. “asceticism”).
Disebabkan kerana kalimah asceticismism ini terlalu banyak dibincangkan oleh para pengkaji Barat, yang mana pandangan mereka melihat kepada asceticism yang wujud dalam Hindu, Kristian dan lain-lain agama, maka mereka menganggap asceticism dalam agama sebagai melampau yang menolak tuntutan jasmani dan kemewahan dunia. Hakikatnya, istilah asceticism ini diguna pakai secara langsung dalam sebarang bentuk disiplin moral, akan tetapi banyak agama menjuruskan istilah ini kepada perbuatan yang negatif. (The Encyclopedia of Philosophy. 1972. s.v “asceticismism”).
Asceticismisme Dalam Beragama
Disini akan dijelaskan secara ringkas aspek-aspek asceticism yang wujud berbagai bentuk dalam kebanyakan agama. Aspek-aspek yang disebut ini kadang-kadang wujud persamaan antara agama-agama tersebut. Antara aspek-aspek asceticismism yang dilakukan adalah:
1. Kawalan terhadap seks
Kawalan terhadap seks ini disebut dalam The New Encyclopedia Britannica (1985) sebagai perkara utama yang wajib wujud dalam kehidupan masyarakat beragama dikalangan para pengikut yang terawal dari agama Kristian kerana ianya dianggap sebagai status yang tinggi dikalangan masyarakat mereka. Bagi mereka yang bujang sahaja dibenarkan menjadi pendeta atau ahli agama dalam Roman Katholik. Hampir kesemua agama yang menganjurkan kawalan terhadap seks bagi golongan pendeta (monk) (Kamariah Yusoff. 2002: 32)
2. Kesukaran Hidup
Iaitu cara para golongan yang mengamalkan moral asceticismism ini dalam menjalani hidup seharian. Mereka hidup dengan cara meminta sedekah dan mereka juga tidak dibenarkan mengumpul harta dan hanya mengharapkan dari belas ihsan orang lain. Amalan dan cara ini diamalkan oleh golongan Kristian Fransisca dan juga sami-sami Hindu dan Budha (The New Encyclopedia of Britannica. 1985. s.v. “asceticism”).
3. Berpuasa dan hidup sentiasa dalam Pantang Larang
Ini bentuk yang paling biasa dilakukan dalam amalan asceticismism. Pada asalnya manusia Primitif meyakini bahawa semua makanan adalah berbahaya dan dikehendaki menjauhinya. Pengamal agama Greek Purba pula berpandang dari memakan daging terutama bagi orang miskin dan pemakan sayur (Kamariah Yusoff. 2002: 33).
4. Pengabaian terhadap kebersihan diri
Pengamal asceticismism akan membiarkan dirinya dipenuhi kekotoran dan debu pada badan mereka. Mereka juga akan membiarkan kuku yang panjang dengan tidak dipotong dan rambut kusut tanpa disikat (The New Encyclopedia of Britannica. 1985. s.v. “asceticism”).
Banyak lagi amalan asceticism yang diamalkan oleh penganut agama diseluruh dunia yang menjadikan asceticism sebagai kehidupan seharian mereka. Perkara ini akan dibincang dan difokuskan pada agama Hindu, Buddha dan Kristian.
Asceticismism dalam agama Hindu
Aspek-aspek asceticism adalah aspek yang sangat penting dalam agama Hindu dengan tujuan mereka untuk menghampirkan diri pada Tuhan. Mereka juga menekankan aspek ini demi untuk tujuan membebaskan diri mereka secara mutlak dari Hukum Karma. Karma adalah bererti pembalasan dalam undang-undang Hindu yang mana orang yang tidak memelihara diri dari kejahatan di dunia ini, mereka akan dilahirkan semula ke dunia pada masa akan datang dalam keadaan Kasta yang lebih bawah dari Kasta mereka sekarang atau Kasta terendah iaitu Priya atau juga dalam bentuk-bentuk yang berbagai seperti binatang dan sebagainya. Selagi mana jiwa mereka belum dibersihkan dari kekotoran maka proses itu akan berulang dan tidak akan dapat bersatu dengan Tuhan. Proses ini dinamakan samsara (Bruce R. Reichenbach. 1990: 89). Untuk melepaskan diri dari Karma ini, penganut agama hindu mesti melakukan asceticismism seperti banyak puasa, berjaga malam, tidak mengharapkan mati, menyiksa diri, selalu berduka dan sebagainya, baharulah mereka bakal mencapai kesatuan dengan tuhan. Selain itu mereka juga tidak boleh mengharapkan mati kerana apabila seseorang penganut Hindu mati, maka mereka bermakna akan dihidupkan semula untuk menjalani proses Karma. Mereka seharusnya sentiasa mengharapkan dan bercita-cita supaya dapat bersatu dengan Tuhannya. (Ahmad Shalabi. 1981: 69).
Selain itu aspek yang harus ada dalam asceticism Hindu adalah Tapas iaitu suatu bentuk meditasi (pertapaan) yang bersungguh-sungguh dan memakan masa yang sangat lama dalam usaha untuk membangunkan dan menguasai aspek spiritual dalam tujuan untuk mencapai matlamat menebus dosa. Begitu juga dengan perlakuan Samadhi iaitu suautu bentuk meditasi yang dilakukan oleh seorang yang ingin membebaskan diri dari mempunyai hubungan dengan orang lain (Kamariah Yusoff. 2002: 35). Golongan Brahmin membahagikan kehidupan mereka kepada ashramas, iaitu 4 tahap peringkat. Ianya bertujuan untuk membebaskan diri dari samsara. 4 tahap tersebut adalah Brahmachari, Grahastha, Vanapranastha dan Sannyasa (Wangu. 1991: 108 – 110).
Brahmachari adalah peringkat seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 – 11 tahun mula mempelajari kitab Veda sambil berkhidmat dengan gurunya seperti membantu guru mengangkat air, menyediakan makanan dan membersihkan pakaian. Mereka sekali-kali tidak boleh ingkar dengan segala arahan guru sehingga tamat pengajian (Patrick Burke. 1996: 32). Grahasta pula adalah seorang yang sampai ke peringkat remaja yang sudah menamatkan pengajiannya dan berkahwin. Tetapi dia tetap perlu bercita-cita untuk mencapai ashramas yang seterusnya dengan meninggalkan rumahnya (Wangu. 1991: 109). Vanapranastha pula adalah peringkat dimana seorang penganut agama Hindu menghabiskan sisa hidupnya dengan melakukan meditasi dan beribadat kepada Tuhan (T. Patrick Burke 1996: 32). Peringkat Sannyasa pula ia adalah peringkat ke empat dari tahap kehidupan seseorang yang berkasta Brahmin. Mereka harus meninggalkan rumah dan keluarga untuk beribadat di pondok-pondok kecil atau rumah-rumah buruk di pinggir hutan.
4 peringkat yang dilalui di atas ini adalah peringkat pembersihan diri dari sesuatu yang bersifat keduniaan dan penumpuan diberikan kepada aspek rohani. Amalan ini dipetik oleh Dr. Ahmad Shalabi dari kitab Yoga Vasishtha (Ahmad Shalabi. 1981: 70 -71). Antara suruhannya adalah:
1. Orang yang ingin mencapai pengetahuan yang tinggi perlu menjauhi makanan yang manis, daging, bauan yang wangi, dan permpuan. Tidak boleh bercelak, tidak pakai sepatu, dan tidak boleh berpayung untuk menghindakan diri dari hujan atau panas, dilarang juga memikirkan tentang rezekinya langsung.
2. Apabila sudah tua, tinggalkan keluarga dan hendaklah bersendirian di hutan. Rambut perlu panjang, janggut, misai dan kuku juga dibiarkan panjang.
3. Makanan yang boleh diambil hanyalah dari jenis tanaman dan buah-buahan. Itupun dilarang dari memetik dari pokoknya, hanya boleh menunggunya gugur.
4. Perlu menjauhkan diri dari arak dan daging
5. Jangan berfikir tentang kerehatan jasmani. Jauhkanlah diri dari keselesaannya, jangan sesekali mendekati isteri, tidurlah di atas tanah yang keras dan hindarkan dari tempat yang selesa dan makanan yang enak.
Banyak lagi suruhan penyiksaan diri yang lain perlu dilakukan oleh penganut hindu bagi mencapai kesatuan dengan tuhannya. Di atas ini hanyalah disentuh beberapa aspek sahaja dari meditasi Hindu dalam Sannyasa.
Dalam aspek asceticism dalam perayaan Thaipusam pula, ditekankan apa itu kavadi kerana ianya aspek yang penting dalam perayaan Thaipusam. Kavadi adalah satu kayu buluh separa bulat yang mempunyai gambar tuhan murugan dihiasi dengan bunga, pelepah burung merak, daun pisang dan lain-lain. Kavadi ini sangat berat dan ianya dibawa dengan harapan Tuhan Murugan akan mengampunkan segala dosa dan menjaga diri seseorang. Ianya berkait dengan pembayaran nazar dan menunjukkan ucapan terima kasih pada Tuhan. Mereka yang membawa kavadi ini perlu berjalan berbelas-belas kilometer dengan berkaki ayam dan juga menyiksa tubuh dengan mencucuk belakang dan dada dengan penyangkut besi tajam yang dihiasi dengan limau, mencucuk lidah, pipi, dagu dengan Vel. Kadang-kadang mereka menarik kavadi yang berat dengan penyangkut besi yang telah dicucuk pada badan sambil berjalan berbelas-belas kilometer (Babb Lawrence. 1976: 6)
Pembebasan hawa nafsu dari kehendak duniawi ini adalah satu kemuliaan kerana ia akan menyatukan insan tersebut dengan Tuhannya. Menurut Ahmad Shalabi (1981: 64), beliau memetik pandangan ini berdasarkan dari Aranyaka yang menyebut:
“Sesiapa yang tidak pernah mengingini sesuatu dan tiada hendak mengingininya sama sekali, dan bebas merdeka dari perhambaan hawa nafsu, juga merasa puas dengan dirinya sendiri, dia tidak dikembalikan kepada pancainderanya dan bersatulah dia dengan Brahma serta menjadilah Dia”
Kesemua bentuk yang dilakukan dalam agama Hindu ini meliputi kawalan terhadap seks, sentiasa hidup dalam kesusahan, berpuasa, berpantang dalam banyak perkara, mengabaikan kebersihan diri, dan penyiksaan jasmani dengan tujuan untuk menepikan kehendak jasmani untuk mencapai ketinggian dalam rohani mereka. Contoh-contoh yang dibawa di atas tadi adalah beberapa aspek asceticism dalam proses melepaskan diri mereka dari samsara untuk menuju ke kehidupan abadi. Sebenarnya banyak lagi aspek yang lain dalam proses asceticism dalam kehidupan Hindu yang mana perbahasannya terlalu panjang untuk penulis huraikan.
Asceticism menurut Buddha
Dalam Buddhisme, mereka tidak menekankan aspek ketuhanan. Tetapi ajaran Buddhisme sentisa menekankan aspek kebaikan dalam hidup dalam mencapai kesempurnaan diri. Meskipun begitu, para Buddhist yang awal tidak menafikan sepenuhnya kewujudan pencipta, mereka mengakui bahawa Brahma yang agung adalah tuhan yang dianggap berkuasa mencipta alam, Cuma mereka hanya tidak menekankan dengan mendalam persoalan ketuhanan. Ini kerana disebabkan oleh matlamat Buddhisme yang menegaskan bahawa manusia perlu membebaskan diri dari belenggu penderitaan (batin). Malah mereka mengatakan bahawa memikirkan tentang Tuhan hanya membuang masa kerana ianya menyebabkan usaha dalam membebaskan diri dari penderitaan terbantut (Edward Conze. 1959: 39).
Tujuan utama golongan Buddhisme ini hanyalah mahu mencapai nirvana iaitu perlepasan dari kesengsaraan yang wujud di dunia ini disebabkan mengikuti hawa nafsu. Mereka melalui beberapa amalan atau kita panggil sebagai konsep asceticismism dalam amalan agama mereka. Menurut Schumann, kepercayaan Buddhist adalah kehidupan di dunia ini dipenuhi dengan penderitaan. Terdapat beberapa kenyataan yang dikeluarkan Buddha di hadapan lima orang monk di Isipatana (Schumann. T.th : 30) katanya:
“kelahiran adalah penderitaan, umur tua adalah penderitaan, kesakitan adalah penderitaan, kematian adalah penderitaan, dukacita, kesediahn, kepedihan, kesengsaraan dan putus asa adalah penderitaan, disatukan dengan sesuatu yang tidak disukai adalah penderitaan, diasingkan dari sesuatu yang dicintai adalah penderitaan, tidak tercapai apa yang dirindukan adalah penderitaan”
Buddhisme mempunyai beberapa doktrin antaranya adalah Empat Kebenaran Yang Agung (The Four Holy Truth) dan Lapan Jalan Yang Mulia (Eightfold Noble Path). Ianya berfungsi bagi mencapai dan pemandu ke arah matlamat utama iaitu Nirvana. Karma pula (atau dalam bahasa Pali disebut Kamma) adalah perbuatan yang sebelum ini dilakukan dengan kemahuan. Ianya adalah berkaitan dengan kawalan terhadap manusia di mana setiap perbuatan yang baik akan memusnahkan kesan dari perbuatan jahat (Ananda. W.P Guruge. 1986). Oleh kerana itu, segala perbuatan yang dilakukan dengan kehendak dan kemahuan diri sendiri adakan mendapat ganjaran sama ada baik atau buruk. Kelahiran semula ini akan berulang beberapa kali selagimana mereka tidak mencapai nirvana iaitu dengan tidak melakukan apa-apa perbuatan baik sehingga boleh mencapai nirvana itu selagi itu mereka akan sentiasa mengalami Karma tersebut. Maka Buddhisme telah menetapkan beberapa jalan keluar daripada penderitaan untuk mencapai Nirvana. Inilah aspek asceticism yang akan dibincangkan yang wujud dalam Buddhisme. Margaret Smith menukilkan:
“Where does Nirvana consist? When th fire of lust is extinct, that is Nirvana, when the fire of hatred and infatuation are extinct, that is Nirvana : when pride, false belief and all other passions are extinct, that is Nirvana” (Margaret Smith. 1995 : 61).
Dalam mencapai Nirvana ini, Buddhism menggunakan metod asceticismism dalam usaha yang bersungguh-sungguh untuk mendapatkannya. Ianya merupakan syarat malah menjadi satu kemestian bagi mereka yang meyakini dengan ajaran Buddha dan mereka tidak akan diiktiraf sebagai seorang Buddhist selagi tidak melalui jalan tersebut (Narasu. The essence of Buddhisme. Hlm. 161). Jalan-jalannya adalah apa yang telah tersebut sebagai Lapan Jalan Yang Mulia, doktrin ini menumpukan pada aspek moral dan disiplin diri, malah aspek itu tidak bersifat sampingan bahkan ianya adalah teras untuk mencapainya. Ianya adalah:
1. Right Understanding atau Right View (Samma Ditthi)
Maksudnya adalah pandangan Hidup dan kepercayaan yang benar. Ia bermaksud apabila seorang Buddhist mencapai kefahaman terhadap apa yang disebut sebagai kejahatan dan apa yang disebut sebagai kebaikan. Antara kejahatannya adalah membunuh, mencuri, meliwat, menipu, fitnah dan lain-lain (Humphreys. 1951 : 66).
2. Right Resolve (Samma Sankappa)
Ianya adalah keazaman yang benar. Iaitu keazaman yang meliputi tiga perkara, keazaman mendapatkan pelepasan, keazaman untuk membuat kebajikan dan keazaman untuk tidak melakukan sesuatu yang merosakkan dan membahayakan kehidupan orang lain (Schumann. 1973 : 69).
3. Right Speech (Samma Vaca)
Pertuturan yang benar iaitu pertuturan yang bebas dari sebarang bentuk kesalahan, fitnah, bahasa yang keji dan percakapan yang sia-sia (Harvey. 1990 : 69).
4. Right Conduct (Samma Kammanta)
Tingkahlaku atau perbuatan yang benar, iaitu tidak melakukan pembunuhan, mengambil hak orang lain, melanggar batas-batas kesusilaan. Seorang Buddhist perlu melalui penderitaan perbuatan ini untuk melepaskan penderitaan dalam mencapai Nirvana (Humphreys. 1951: 68)
5. Right Livelihood (Samma Ajiva)
Gaya atau cara hidup yang benar. Mengelakkan diri dari cara hidup yang merosakkan, menggalakkan mencari nafkah dengan cara yang tidak membahayakan diri dan orang lain. Dengan itu haramlah bagi mereka jual beli senjata, daging, minuman keras dan lain-lain (Harvey. 1990 : 69)
6. Right Effort (Samma Vayama)
Usaha atau ikhtiar yang benar. Ianya adalah mengelakkan apa jua perbuatan yang tidak baik terhadap fikiran seseorang. Latihan yang paling penting adalah mengawal pancaindera supaya diri manusia bersih dan sempurna (Schumann. 1973 : 71)
7. Right Awareness (Samma Sati)
Maksudnya adalah perhatian dan kesedaran yang benar, iaitu kesedaran yang bersungguh-sungguh terhadap tubuh, perasaan, fikiran, dan objek mental. Ianya adalah cara bagi memulihkan keresahan dan kegelisahan pada akal.
8. Right Concentration (Samma Samadhi)
Penumpuan akal fikiran yang benar seperti penumpuan fikiran yang disertai kesedaran terhadap perkara yang bak yang akhirnya membawa keasyikan. Malah tahap ini digambarkan sebagai suatu peringkat di mana akal dan fikiran manusia mencapai pemahaman lebih dari manusia biasa (Guruge. 1975 : 44).
Selain dari Eightfold Noble Path ini sebenarnya Buddhisme juga mengamalkan aspek asceticismism yang lain disebut sebagai Threefold Dicipline. Ianya tidaklah sesuatu yang berbeza dari Eightfold Noble Path Cuma ianya ada mempunyai sedikit tambahan dalam doktrin Threefold Dicipline ini. tetapi Threefold Dicipline ini tidak boleh digantikan dengan Eightfold Noble Path yang menjadi tunjang utama aspek asceticismism yang wujud dalam Buddhisme.
Christian Asceticism
Pada awal agama Kristian, pengorbanan fizikal yang pertama adalah dikenali sebagai kesempurnaan agama Kristian. Satu bentuk pengorbanan spiritual berkembang di kalangan orang- orang yang masih bujang ( celibacy ) dalam penduduk tempatan yang dipanggil anak-anak dara atau zuhud dengan gaya hidup yang serius terhadap amalan taubat dan bersembahyang. Kemudian kumpulan ini telah beredar dari masyarakat jahiliyyah dan telah menghuni di sesuatu tempat. Mereka memelihara atau menjalankan amalan asceticism yang tertentu seperti berjaga malam, berpuasa, merasa panas dan sejuk, melepaskan diri dari keselesaan manusia, senyap dan bertafakur , memencilkan diri dan melawan pengaruh jahat dengan amalan spiritual. ( http://carmelnet.org/larkin/larkin002.pdf )
Asceticism Kristian yang lama telah ditambah beberapa elemen baru terhadap perspektif asas, terutamanya adalah satu kefahaman tentang kemanusiaan Christ. Satu keinginan untuk merasakan penderitaan Jesus dan berharap untuk mencari punca perjalanan Jesus dalam dunia dan penziarahannya ke tempat suci. St. Francis Asisi ( m. 1226 ) penciptaan nyanyian tetapi membawa makna terhadap parut luka paku yang ada pada badan Jesus akibat di salib ( istigma ) pertama dirakamkan dalam sejarah, ianya menjelaskan atau mengambarkan pembangunan kehidupan baru yang tidak lagi boleh dikawal dalam struktur monastic yang silam.
( http://carmelnet.org/larkin/larkin002.pdf )
Pada awal zaman moden, penggerak besar spiritual kontemporari – Ignatius of Layola, Teresa of Avila, John of The Cross, Francis de Sales – meneruskan tradisi yang kuat terhadap asceticism. Ahli reformasi protestan ( mazhab kristian ) menyebarkan asceticism dan menolak beberapa bentuk amalan tradisional terutamanya adalah membujang dan kerahiban dalam usaha untuk mengumumkan kesucian ganjaran kurianaan ( Jesus ).
( http://carmelnet.org/larkin/larkin002.pdf)
Amalan Asceticism Kristian
Walaupun amalan asceticism telah sekian lama wujud sehingga beribu tahun, tetapi hari ini amalan ini seperti difahami oleh golongan minoriti Kristian sahaja dan melakukan latihan dengan rajin oleh golongan jauh lebih kecil. Amalan asceticism ini diperlukan adalah untuk memastikan bahagian fizikal kita sentiasa sihat dan dalam beberapa jalan kita perlukan untuk latihan spiritual agar kehidupan spiritiual ( kerohanian ) berterusan kuat dan sihat. Paul mengatakan apabila kita melakukan amalan atau latihan terhadap kebaikan ia adalah sesuatu yang menguntungkan kepada semua perkara. ( Davis Noris. 2007: 155 )
lTimothy4vs7… exercise yourself toward godliness. 8 For bodily exercise profits a little, but is profitable for all things, having promise of the life that now is and of that which is to come.
Antara amalan-amalan yang perlu dilakukan oleh penganut agama Kristian untuk memahami dan untuk bersatu dengan Tuhan mereka adalah pertamanya dengan membaca Bible. Tanpa membaca Bible susah bagi penganut agama Kristian untuk mendalami pemahaman terhadap Tuhan. Mempunyai komitmen dalam kehidupan spiritual, mereka perlu mempelajari tentang ketuhanan dan kehidupan. Tuhan mahukan mereka hidup memalui pelajaran Bible. Bible merupakan percakapan Tuhan dan ianya mesti diterima dan dipercayai keseluruhannya. ( Davis Noris. 2007: 160 )
Keduanya adalah dengan melakukan ibadat seperti berdoa atau sembahyang. Seperti membaca Bible juga, ianya adalah penting bagi semua penganut agama Kristian untuk berinteraksi dengan Tuahn mereka. Sembahyang adalah percakapan rohani dengan Tuahn dan Tuhan sentiasa mahu mendengar percakapan yang di luahkan dari hati anak-anak Nya. Sembahyang adalah masa yang di luangkan berkomunikasi dengan Tuhan dan seseorang itu akan membangun secara spriritual sebanyak mana masa yang diluangkan untuk bersembahyang atau berdoa. Semakin banyak seseorang itu melakukan amalan ini semakin banyak dia mendapat perwatakan Tuhannya. ( Davis Noris. 2007: 168)
Antara lain nya juga adalah dengan melakukan amalan berpuasa. Dalam Matthew verse 6, halaman 16-17 pernyataan yang dibuat oleh Jesus menunjukkan bahawa Dia mengaggap manusia akan berpuasa apabila Dia menyatakan “when you fast…”. Dengan berpuasa mereka mungkin menjauhkan diri daripada makanan dan minuman untuk beberapa hari, menjauhkan diri dari segala makanan hanya pada jangka waktu tertentu sahaja atau menjauhkan diri daripada beberapa bentuk makanan dalam waktu tertentu. Penjagaan perlu diambil ketika berpuasa untuk memastikan tubuh badan mampu untuk menahannya dan perlu mengambil nasihat doctor apabila mahu berpuasa. ( Davis Noris. 2007: 165 )
Dalam pada itu juga, penganut agama Kristian perlu melakukan amalan pertapaan atau bertafakur. Pertapaan Kristian perlu jelas berlainan dari pertapaan barat. Mereka perlu membersihkan atau mengosongkan minda mereka dari segala pemikiran dan perlu tekun secara mendalam dan juga menenagkan diri mereka. Dalam melakukan amalan ini, mereka seperti kehilangan identiti dan menyelami diri mereka untuk berhubung dengan kuasa kerohanian. Dengan pertapaan Kristian mereka selalunya menggunakan minda untuk berfikir secara dalam tentang Tuhan, seperti sifat-sifatnya, percakapan Tuhan dalam Bible, apa yang telah dilakukan dan dijanjikan kepada penciptaanNya. ( Davis Noris. 2007: 170 )
Antara yang akhirnya ialah ibadat ( worship ). Ianya adalah fokus terhadap Tuhan dan mesti ditujukan semata-mata kepada Nya. Mereka telah diberitahu dalam ayat daripada John’s gospel bahawa mereka mesti beribadat kepada Tuhan “ in spirit and in truth”
John verse 4, halaman 24 : God is spirit, and those who worship Him must worship in spirit and truth.
Ibadat adalah amalan kerohanian semata-mata yang boleh dibuat oleh manusia yang hidup semata-mata kepada Tuhan. Ibadat ini mengajar mereka kebenaran tentang Tuhan dan ianya memberi panduan terhadap kasih sayang dan mengenali Tuhan sepenuhnya. Walaupun begitu, sebelum mereka melakukan peribadatan, mereka perlu melihat kembali kehidupan mereka dan bertaubat dari segala dosa. Mereka juga perlu memaafkan sesiapa yang mahukan kemaafan mereka. Ini adalah untuk mendapatkan peribadatan yang sempurna dengan hati yang bersih , jiwa yang tenang dan akal yang murni dalam kemahuan untuk bersama dengan Tuhan. ( Davis Noris. 2007: 179 )
Walaupun ada sebahagian pengamal asceticismism dalam penganut Kristian yang melakukan amalan asceticismism secara menyeluruh, tetapi hakikatnya asceticismism dalam Kristian sebenarnya tidak lah banyak dibincangkan, malah ianya juga tidak merangkumi keseluruhan ajaran yang terdapat dalam Kristian. Ini dibuktikan oleh Schmidt dalam bukunya. Menurut Schmidt (1999: 541) dalam agama Kristian, asceticismism sebenarnya bukanlah sesuatu yang sangat ditekankan, malah kurang berpengaruh jika dibandingkan dengan agama-agama yang lain. Bagi agama Kristian, asceticismism adalah sesuatu yang didefinisikan sebagai meninggalkan semua jenis atau bentuk kehidupan mahupun amalan yang bersifat duniawi dan kehendak fizikal. Asketikism dalam kristian secara umumnya adalah mempunyai beberapa bentuk anataranya seperti tinggal secara berasingan dari masyarakat yang hidup dalam satu kelompok, atau juga meninggalkan kehidupan di sesuatu bandar dan mengambil jalan untuk tinggal didalam hutan. Secara asasnya, hakikat ini bukanlah sesuatu yang diajarkan oleh Kristian, cuma ianya adalah salah satu usaha dari para pengikut Kristian untuk menghampirkan diri kepada Jesus.
Antara tokoh pertama awal dunia Kristian yang mengamalkan asceticismism ini adalah seperti Saint Antony. Beliau adalah seorang yang hidup sebagai petani tetapi beliau adalah seorang yang buta huruf. Dari biografinya dapat dilihat bahawa beliau menjadi seorang yang mengamalkan asketikism kerana mengambil kata-kata dari Gospel iaitu,
‘Jika mahu menjadi seorang yang sempurna juallah segala apa yang menjadi milikmu (harta dan lain-lain), sedekahkannya kepada orang miskin dan ikutilah aku’. (Luke 18: 22)
Menurut Antony dan para ahli mistikisme yang mengamalkan asceticismism selepas beliau, dunia adalah sebagai satu penghalang kepada manusia, ianya adalah sesuatu yang dianggap sebagai pelindung diri manusia dari mendekatkan diri kepada Tuhan. Golongan ini mengakui dan mempercayai bahawa perbuatan atau amalan ini merupakan amalan asas dalam agama Kristian dan ianya adalah amalan yang sebenar yang sepatutnya diikuti oleh golongan yang menganuti agama Kristian. Malah amalan-amalan yang dilakukan di dalam gereja adalah kurang tarafnya berbanding amalan yang sepatutnya dilakukan oleh penganut agama Kristian iaitu asceticismism yang mereka amalkan pada ketika itu. Mereka bertujuan untuk meninggalkan segala apa yang berbentuk dan bersifat duniawi, tidak kira sama ada seperti berkahwin, mengumpul harta dan sebagainya kerana menganggap ianya hanyalah semata-mata enurutkan hawa nafsu yang menggoda sekalian manusia daripada mengikuti apa yang diajar dan diamalkan Jesus. Dengan cara melakukan korban seperti yang dilakukan oleh Tuhan mereka iaitu Jesus, yang mengorbankan diri semata-mata kerana hambanya, dengan cara yang sama apabila mereka melakukan perkara yang sama mereka berharap agar dapat bersatu dengan Tuhan. Teori mereka ini juga menurut Schmidt lagi adalah menyamai dengan apa yang diajarkan oleh gerakan Neo-Platonisme tentang The Flight of the Alone to the Alone. Dalam ajaran Neo-Platonisme ini mereka menjelaskan apa yang disebut sebagai asceticismism dan menjelaskan amalan-amalan yang dilakukan. (Schmidt 1999: 541)
Sebenarnya apa yang diamalkan dalam asceticismism Kristian ini bukanlah satu ajaran yang disuruh oleh Jesus. Menurut Schmidt (1999: 540) Jesus tidak pernah sekalipun meninggalkan amanat kepada para pengikutnya supaya meninggalkan kehidupan yang bersifat material ini dan mengamalkan apa yang menanti di hari kemudian kelak. Memang benar menurut fahaman Kristian, Jesus tidak berkahwin, tetapi Jesus tidak pernah menyuruh umatnya tidak berkahwin, malah tiada pun sebarang bentuk atau jenis galakan yang disebut mahupun yang diarahkan oleh Jesus kepada pengikutnya untuk melakukan sedemikian.
Menurut Margaret Smith (1995: 10-11), kecenderungan dalam mengamalkan asceticismism bukan bermula dari doktrin Kristian itu sendiri malah apa yang ditemui adalah ianya bermula dari agama Yahudi. John the Baptist pernah hidup dalam kehidupan asceticism di dalam hutan belantara, Essenes dan Therapeutae pula adalah seorang pengamal asceticism Yahudi yang dipengaruhi oleh Hellenisme. Di mesir, kelompok mereka yang mengamalkan asceticism di dalam Fayoum adalah sekitar tahun 340 sebelum masihi. Agama Kristian sekitar abad 100 adalah mengamalkan sikap asceticism dalam kehidupan mereka tetapi asceticism yang mereka amalkan adalah berbentuk seperti mereka menjadi atlit, berlawan menentang dunia, mempunyai tubuh yang sangat kasar, dan mereka melawan apa-apa yang berbentuk rohani seperti syaitan dan jin. Walaupun dalam dunia Kristian asceticism hanya pada nama sahaja, kecenderungan untuk hidup secara bersendirian dan pengasingan (khalwat) itu adalah satu peluang yang digunakan untuk hidup secara bebas dari keduniaan yang bersifat menyeluruh terhadap diri mereka sendiri.
Rujukan
Ananda. W.P Guruge. 1986. Buddhism : The Religion And Its Culture. Madras: M. Seshachalam & Co.
Babb, Lawrence A. 1976. Thaipusam in Singapore. Singapore : Singapore Chopmen Enterprise.
Norris, David A. 2007. Christian Spiritual Life : The Narrow Pathway to Eternal Life. Nashville: Thomas Nelson, Inc.
Edward Conze. 1959. Buddhism: Its Essence and Development. New York: Harper & Row Publishers.
Guruge, Ananda W.P. 1975. Buddhisme : The religion and Its Culture. India : M. Seshachalam & Co.
Harvey, Peter. 1990. An Introduction To Buddhism : Teachings, History and Practices. Cambridge : Cambridge University Press.
Humphreys, Christmas. 1951. Buddhism. England: Penguin Book Ltd.
Kamariah Yusoff. 2002. Zuhud Dalam Islam Dan Asceticisme Dalam Agama Hindu : Satu Kajian Perbandingan. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia
Madhu Bazaz Wangu. 1991. Hinduism World’s Religion. New York : Fact on File.
Reichenbach, Bruce R. 1990. The Law Of Karma – Philosophical Study. London : Mc Millan Academic of Professional Ltd.
Schmidt, Roger. 1999. Patterns of Religions. USA: Wadsworth Publishing Company.
Schumann. T.th Buddhisme an outline of its teachings and school. Terj. Georg Fenerstein. London: Rider and Company.
Schumann, H. Wolfgang. 1973. Buddhism : An Outline Its Teachings And School. Terj. George Fenerstien. London : Rider Company.
Shalabi, Ahmad. 1981. Muqaranat Al-Adyan – Adyan Al-Hind Al-Kubra. Kaherah : Maktabat al-Nahdah al-Misriyyah.
Smith, Margaret. 1995. Studies in Early Mysticism in the Near and Middle East. Oxford: One World.
T. Patrick Burke. 1996. The Major Religions. USA : Blackwell Publishers Inc.
The Encyclopedia of philosophy. 1972. 8 volumes. New York : Mac Millan Publishing Co. Inc. & The Free Press
The Encyclopedia of Religion. 1987. 16 Volumes. New York. Mac Millan Publishing Company.
The New Encyclopedia Britannica. 1985. 32 Volumes. Chicago. Encyclopedia Britannica inc.
http://carmelnet.org/larkin/larkin002.pdf
No comments:
Post a Comment