Ucapan Salam Pendahulu Bicara

Tuesday, January 17, 2012

apa itu salaf, salafi, salafiyyah, wahabiyyah dan khalaf

Salaf dan Khalaf
Pemahaman Ahli Sunah bersandarkan syariah dan sejarah. Terdapat
dua generasi yang sangat popular di dalam sejarah perkembangan
Ahli Sunah Waljamaah, golongan pertama dikenali dengan nama
Ahli Salaf manakala golongan kedua dikenali dengan Khalaf.
Perkataan Ahli Salaf sama ada dilihat dari sudut etimologi
atau dari sudut metodologi (manhaj) adalah generasi awal Islam.
Generasi ini terdiri daripada para Sahabat Nabi, Tabiin dan Tabi
Tabiin yang mewarisi pegangan, fahaman dan penghayatan Islam
yang unggul dan benar. Ini adalah seperti yang digariskan oleh
Nabi s.a.w., khususnya dalam bidang akidah.
Pengertian Ahli Salaf dari perspektif metodologi tidak berbeza
dengan Ahli Sunah Waljamaah. Istilah Salaf mula dimasyarakatkan
oleh seorang tokoh Islam terkemuka iaitu Syeikh Islam Ibnu
Taimiah (w. 728H). Justeru itu Ahli Salaf dikaitkan secara sebati
dengan nama Ahli Sunah Waljamaah. Ibnu Khaldun sendiri
menggunakan istilah Ahli Salaf yang merujuk kepada Ahli Sunah
dalam kitab Mukaddimah karangannya (Ibnu Khaldun t.th, 458;
Abdul Shukor 1993, 106).
Kewujudan Ahli Salaf dari perspektif metodologi ini akan
berterusan selagi ada umat Islam yang menerima berterusan
pegangan dan penghayatan kepada kaedah tersebut. Manakala
golongan yang tidak menerima kaedah tersebut dalam pendekatan
mereka kepada akidah, maka mereka tidak boleh digolongkan
ke dalam Ahli Salaf. Dari perspektif metodologi Salaf, tidak
semua Muslim yang berada pada zaman awal Islam atau zaman
Sahabat dan Tabiin dapat dikategorikan ke dalam Ahli Salaf.
Contohnya beberapa orang tokoh dan pengasas mazhab atau
aliran dalam Ilmu Kalam yang terdiri daripada Abu Huzaifah
Wasil bin cAta’ (w. 131H.) yang mengasas Muktzalilah manakala
Mcabad bin Abdullah al-Juhani (w. 80H.) pengasas aliran ikhtiar
yang mutlak dan Jahm bin Safwan (w. 129H) yang mengasas
aliran Jabariah. Mereka tidak dianggap sebagai Ahli Salaf atau
Ahli Sunah walaupun mereka berada pada awal Islam kerana
pendekatan mereka dalam akidah sangat berbeza dengan
pendekatan yang dihayati oleh Ahli Salaf yang terdiri daripada
Sahabat, Tabiin dan masyarakat umum Islam ketika itu (Abdul
Shukor 1983, 10; 1987, 7; 1996: 3).
Manhaj Ahli Salaf
Pada umumnya kaedah Ahli Salaf dalam akidah mempunyai
persamaan dengan pendekatan umum Ahli Sunah Waljamaah. Ini
kerana pendekatan Ahli Sunah Waljamaah diasaskan oleh Ahli
Salaf yang menjadikan Quran dan Sunnah sebagai sumber akidah
dan kepercayaan, memahami dan mengisbatkan kebenarannya
serta menyebarkan akidah Islam menerusi pendekatan Quran.
Generasi Ahli Salaf tidak melihat kepada pendekatan lain
seperti perbincangan akal, sistem logik dan sebagainya. Sikap
Ahli Salaf didorong oleh beberapa faktor:
1. Kejernihan hati dan kepatuhan Ahli Salaf yang tulen kepada
Quran dan Sunnah. Mereka percaya dengan mudahnya tentang
perkara ghaib seperti ketuhanan, kenabian dan lain-lain hakikat
keimanan dan kepercayaan. Mereka menghayati cara hidup,
budaya berfikir dan bermasyarakat seperti yang telah
ditentukan oleh Quran dan Sunnah.
2. Keyakinan Ahli Salaf yang kental dan meyakinkan terhadap
kebenaran dan kesempurnaan agama Islam dalam semua
aspek yang diperlukan oleh manusia seperti yang difirmankan
Allah yang bermaksud:
Pada hari ini Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu Agama
kamu dan Aku telah cukupkan nikmat Ku kepada mu dan aku telah
relakan Islam sebagai Agama kamu
(Surah 5: 3).
3. Keimanan Ahli Salaf yang sangat tinggi terhadap kenabian
Muhammad s.a.w. dan kesempurnaannya menyampai dan
menerangkan wahyu Ilahi terutama yang berkaitan dengan
akidah. Mereka juga berkeyakinan bahawa akal tidak boleh
digunakan bagi sesuatu yang berada di luar kemampuan
yang ditetapkan. Contohnya menggunakan akal untuk
menentukan masalah akidah dan perkara ghaib. Perbuatan
sedemikian didorong oleh sifat tamak dan zalim manusia
dalam menggunakan sesuatu bukan pada tempatnya (Abdul
Shukor 1983, 13; 1987, 7-10; 1993, 108; Ibnu Khaldun t.th;
460).
Maka di atas keyakinan inilah Ahli Salaf tidak mahu
mengambil pendekatan lain dalam memahami dan menangani
isu akidah. Ahli Salaf dari perspektif metodologi ini tidak
berakhir pada generasi pertama Islam. Malahan ia berterusan dan
diperjuangkan oleh ulama yang ikhlas seperti Imam Malik bin
Anas (w. 179H), Imam Ahmad bin Hanbal (w. 241H) dan
pengikut-pengikut mereka. Pada awal abad ke-7 Hijrah lahir
Imam Ahmad bin Abdul Halim (Ibnu Taimiah) dan Ibnu Qayyim
Jawziyyah (w. 751H). Beliau adalah seorang murid setia kepada
Ibnu Taimiah. Kemudian pada abad ke-12 Hijrah lahir pula di
Semenanjung Tanah Arab seorang tokoh bernama Muhammad
bin Abdul Wahab yang mengasas aliran Wahabiah.
Walaupun kehadiran dan peranan tokoh-tokoh di atas berbeza
dari sudut dan situasi persekitaran, namun faktor itu membuatkan
mereka sentiasa mendahulukan petunjuk Quran dan Sunnah.
Mereka tidak menerima pendekatan lain atau pandangan dari
mana-mana sumber sebelum mereka menyelaraskannya dengan
Quran dan Sunnah Nabi s.a.w. (Abdul Shukor 1993, 106; 1997,
4; al-Maqrizi 1270H, 1; 12).
Sikap seperti ini tidak boleh ditafsirkan sebagai penafian
Ahli Salaf kepada peranan akal dan kedudukannya yang
merupakan kurniaan Allah yang sangat tinggi nilainya.
Sebenarnya Ahli Salaf menyedari dan akur tentang hakikat ini
dan akur pula bahawa akal merupakan asas penerimaan taklif
atau tanggungjawab agama. Ahli Salaf juga mempunyai
kefahaman yang mendalam terhadap pendekatan Quran dan
Sunnah yang merangkumi semua aspek pendekatan. Pendekatan
ini tercetus di hati dan minda ke arah yang boleh membawa
kepada keyakinan bagi sesiapa yang memahaminya dengan jujur
dan ikhlas. Ahli Salaf juga sangat memahami bahawa akal itu
sifatnya tidak mutlak, hukumnya tidak sentiasa benar, kemampuan
dan kebolehannya berkisar di sekitar alam fizik, tidak boleh
menjangkau lebih dari itu. Maka perbuatan mendorong manusia
berpegang kepada akal lebih daripada ruang yang ditetapkan
adalah satu perbuatan yang menggunakan sesuatu bukan pada
tempatnya (Abdul Shukor 1983,10; 1984, 117; 1997, 96; Abu
Zahrah t.th: 187 & 213)

Golongan Khalaf

Satu hakikat yang sukar dinafikan bahawa keadaan masyarakat
Islam dan manusia terus berkembang dan berubah dari aspek
pemikiran, cara hidup, ilmu pengetahuan dan cabaran yang
dihadapi. Masyarakat Islam tidak statik, malah terus maju
terutamanya dalam mentafsir nusus Agama, masalah kehidupan,
pemikiran dan kebudayaan asing yang mula menyelinap masuk
ke dalam masyarakat Islam.
Pemikiran falsafah ketuhanan Yunani, kepercayaan Batiniah
dan Tasawuf falsafi tersebar dan mendapat tempat dalam
masyarakat Islam. Keadaan ini mencabar dan menggugat
kemurnian akidah umat Islam kini.
Yang paling ketara sebagai sebab utama munculnya istilah
Salaf dan Khalaf dalam dunia Ahli Sunah Waljamaah ialah
apabila timbul kegawatan dalam mentafsir dan memahami ayat
Mutasyabihat. Ayat ini mengandungi sifat-sifat Allah yang pada
zahirnya mempunyai persamaan dengan sifat-sifat makhluk. Kalau
diimbau kembali, punca perselisihan faham di antara Salaf dan
Khalaf bermula daripada perbezaan mereka memamahi firman
Allah yang bermaksud
Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab suci al-
Quran. Sebahagian besar dari al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamat”
(yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayatayat
Muhkamat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran dan yang lain
lagi ialah ayat-ayat “Mutasyabihat” (yang samar-samar, tidak terang
maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah fahaman yang berlainan menurut
kandungan hati masing-masing) - ada pun orang-orang yang ada dalam
hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut
apa yang samar-samar dari al-Quran untuk mencari fitnah dan mencaricari
takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya).
Pada hal tidak ada yang mengetahui takwilnya (tafsir maksudnya yang
sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang tetap, teguh serta mendalam
pengetahuannya dalam ilmu-ilmu agama berkata kami beriman kepada
semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami. Dan tiadalah yang
mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang
berfikiran (Surah 3:7)
Golongan Salaf berpendapat bahawa orang yang berhak dan
tahu mentakwil atau mentafsirkan ayat-ayat Mutasyabihat ialah
Allah s.n.w. sahaja. Orang lain tidak mengetahui hakikatnya
tetapi golongan Khalaf pula memahami bahawa orang yang
boleh mentafsirkan ayat-ayat tersebut termasuk orang-orang yang
cukup mendalami bidang ilmu Agama yang berkaitan. Dengan
adanya perbezaan pemahaman tadi, maka sikap Salaf di dalam
mentafsirkan ayat Mutasyabihat, ialah berpegang kepada tiga dasar:
1. Beriman dengan kebenaran ayat Mutasyabihat.
2. Mentanzihkan Allah daripada sebarang persamaan dan
penyerupaan dengan makhluk.
3. Mengtafwidkan atau menyerahkan kepada Allah hakikat
sebenar yang dikehendaki oleh ayat-ayat tersebut tanpa
melakukan sebarang takwil. Menurut Ahli Salaf, pendekatan
ini lebih terjamin dan selamat daripada sebarang pelanggaran
yang tidak dikehendaki oleh Allah.
Golongan Khalaf yang menghadapi kegawatan pemikiran
akidah dan kecelaruan dalam mentafsirkan nusus Agama
mengusahakan satu pendekatan baru. Pendekatan yang lebih
berkesan dan mudah difahami oleh akal manusia, sesuai dengan
keadaan dan situasi masyarakat semasa. Maka pendekatan Khalaf
dalam mentafsirkan ayat Mutasyabihat ialah:
1. Beriman dengan kebenaran ayat Mutasyabihat.
2. Mentanzihkan Allah daripada sebarang persamaan dan
penyerupaan dengan makhluk.
3. Mentakwilkan pengertian ayat Mutasyabihat dengan pengertian
yang sesuai dengan Allah dan dapat difahami oleh akal.
Maka pendekatan yang dikemukakan oleh Khalaf bertujuan
menjamin kefahaman umat Islam tetap mantap dan subur di
samping mampu menangani penyelewengan yang timbul dalam
masyarakat Islam. (Abdul Shukor & Samsul Bahri 1997: 8-12)
Manhaj Khalaf
Kehadiran golongan Khalaf bertujuan menangani kegawatan dalam
mentafsirkan nusus Agama daripada sebarang penyelewengan
dan membersihkan akidah Islam daripada pemikiran falsafah
ketuhanan Yunani, Batiniah, Tasawuf falsafi dan kebudayaan
lama Parsi daripada terus bertapak dalam masyarakat Islam.
Imam Ghazali adalah di antara tokoh utama mempelopori
pendekatan Khalaf. Imam Ghazali melakukan perubahan kerana
keadaan dan cabaran yang dihadapi oleh beliau pada masa itu.
Imam Ghazali sangat gigih dan prihatin kepada cabaran tersebut.
Usaha pertamanya ialah memahami dengan mendalam cabaran
yang terdapat pada ketika itu. Dalam falsafah beliau membuktikan
kemampuan serta kewibawaannya mengkritik orang-orang yang
terpikat dengan falsafah ketuhanan Yunani seperti al-Farabi dan
Ibnu Sina’. Dua buah kitab beliau yang sangat terkenal bertajuk
Maqasid al-falasifah dan Tahafut al-falasifah membuktikan
kewibawaan beliau dalam bidang falsafah. Kritikan beliau sangat
tajam kepada Falsafah Ketuhanan Yunani.
Penolakan Imam Ghazali terhadap fahaman Batiniah telah
dijelaskan di dalam bukunya Fadaih al-Batiniyyah (tembelang
Batiniah) dan al-Munqidh Min al-Dalal. Hujah Imam Ghazali
dalam bukunya sangatlah kuat dan berkesan hingga beliau
berjaya melumpuhkan segala cabaran dan ancaman yang
datang daripada golongan yang ingin menggugat kemantapan
dan kestabilan akidah umat Islam ketika itu. Oleh itu beliau
layak menerima penghormatan daripada umat Islam sebagai
Hujah Islam atau hujjah al-Islam (al-Ghazali 1979: 95,
114-116).
Daripada apa yang dijelaskan dan contoh yang dilakukan
oleh Imam Ghazali maka pendekatan Khalaf dalam memahami
dan menangani isu-isu akidah terdiri daripada:
1. Berpegang kepada kehendak nusus-nusus Agama (Quran dan
Sunnah).
2. Menggunakan pendekatan akal dan logik.
Pendekatan akal dan logik digunakan semata-mata untuk
memperkukuhkan apa yang terkandung dalam nusus Agama.
Golongan Khalaf terus mendahulukan kehendak nusus daripada
yang diputuskan oleh akal. Konsep takwil yang mula
diperkenalkan dalam mentafsirkan nusus atau ayat Mutasyabihat,
tidak keluar dari mafhum wahyu Ilahi. Golongan Khalaf tidak
sekali-kali mengangkat martabat akal lebih daripada nusus
Agama.
Kaedah Khalaf dalam pemikiran akidah Islam telah diguna
pakai hingga ke hari ini. Namun demikian pendekatan Salaf juga
masih dihayati masyarakat Islam terutamanya di Timur Tengah.
Selepas Imam Ghazali pendekatan Khalaf telah diteruskan oleh
tokoh-tokoh seperti Syahrastani (w. 548H), Ahmad al-Iji (w.775H),
Taftazani (791H) dan Muhammad Abduh (1322H).